Sentiasa Bersedia untuk Menawarkan Pembelajaran Bible
1. Apakah yang terlibat dalam usaha untuk melaksanakan amanat Yesus di Matius 28:19, 20?
1 Yesus memberi kita amanat untuk ‘menjadikan orang pengikutnya dan mengajar mereka.’ (Mat. 28:19, 20) Maka, kita perlu bersedia untuk menawarkan pembelajaran Bible pada setiap masa, bukan hanya pada hari yang dikhaskan untuk menawarkan pembelajaran Bible. Cadangan-cadangan yang berikut boleh membantu.
2. Kita boleh menawarkan pembelajaran Bible kepada siapa?
2 Tawarkan Pembelajaran Bible: Semakin kerap kita menawarkan pembelajaran Bible, semakin tinggi peluang kita untuk mengadakannya. (Pkh. 11:6) Pernahkah anda mencuba pendekatan secara langsung? Sebuah sidang di Amerika Syarikat telah mengadakan usaha padu untuk berbuat demikian selama sebulan. Betapa terujanya mereka apabila berjaya memulakan 42 pembelajaran Bible yang baru! Jangan beranggapan bahawa mereka yang berminat yang anda kunjungi sedar bahawa anda rela mengadakan pembelajaran Bible dengan mereka. Jadi, semasa anda mengunjungi mereka pada lain kali, bolehkah anda menawarkan pembelajaran Bible kepada mereka? Jika mereka menolak tawaran anda, anda tidak rugi apa-apa. Anda boleh terus memupuk minat mereka. Sudahkah anda menanya jiran tetangga, sanak saudara, rakan sekerja, dan rakan sekolah anda sama ada mereka ingin mempelajari Bible bersama anda? Anda juga boleh menanya pelajar-pelajar Bible anda sama ada mereka mempunyai sahabat atau saudara-mara yang ingin mempelajari Bible.
3. Apakah alat yang berguna yang dapat membantu kita memulakan pembelajaran Bible, dan bilakah kita boleh menggunakannya?
3 Alat yang Berguna: Satu alat yang berguna untuk memulakan pembelajaran Bible ialah risalah Adakah Anda Ingin Mengetahui Kebenaran? Anda boleh memberikannya kepada penghuni rumah tidak kira mereka menerima bahan bacaan yang lain atau tidak. Risalah ini boleh digunakan semasa kita bergiat di kawasan perniagaan, di tempat awam, semasa mengirim surat, dan semasa membuat kunjungan kembali. Risalah ini juga boleh ditinggalkan untuk mereka yang tidak ada di rumah. Bolehkah anda membawanya bersama anda apabila menaiki pengangkutan awam, apabila membeli-belah, dan semasa di tempat kerja? Halaman belakang risalah ini menjelaskan secara ringkas bagaimana kita mengadakan pembelajaran Bible dan memperkenalkan brosur Dikehendaki.
4. Bagaimanakah kita boleh menggunakan risalah Mengetahui Kebenaran untuk memulakan pembelajaran Bible?
4 Selepas anda memberikan risalah itu kepada seseorang, anda boleh menunjukkan soalan-soalan pada halaman depan dan menanya, “Soalan manakah yang paling menarik minat anda?” Kemudian, bincangkan jawapan dalam risalah itu bersamanya, dan baca atau nyatakan secara ringkas maklumat pada halaman belakang yang menjelaskan bagaimana pembelajaran Bible diadakan. Seterusnya, anda boleh menunjukkan kepadanya pelajaran dalam brosur Dikehendaki yang mengandungi lebih banyak maklumat tentang subjek tersebut. Tawarkan brosur itu dan buatlah temu janji untuk kembali dan meneruskan perbincangan dengannya.
5. Mengapakah kita patut sentiasa bersedia untuk menawarkan pembelajaran Bible?
5 Kawasan penyebaran kita masih mempunyai orang yang ingin mengetahui apa sebenarnya ajaran Bible. Dengan sentiasa bersedia untuk menawarkan pembelajaran Bible, kita akan mendapat lebih banyak peluang untuk menikmati sukacita dalam membantu orang menemui jalan yang menghala ke hidup sejati.—Mat. 7:13, 14.