Kempen Pengedaran Risalah Istimewa 20 Oktober–16 November!
1 Mulai hari Isnin, 20 Oktober, dan selama empat minggu berturut-turut, kita akan mengambil bahagian dalam satu kempen istimewa untuk mengedarkan satu risalah baharu yang bertajuk Adakah Anda Ingin Mengetahui Kebenaran? Kita berharap agar kempen istimewa sedunia ini akan membangkitkan minat lebih ramai orang terhadap satu-satunya sumber kebenaran.—Yoh. 17:17.
2 Secara ringkas dan tepat, risalah ini memberikan jawapan Bible kepada enam soalan yang penting: “Adakah Tuhan benar-benar mengambil berat tentang kita?” “Adakah peperangan dan penderitaan akan berakhir?” “Apakah yang berlaku kepada kita apabila kita mati?” “Adakah orang yang telah mati mempunyai harapan?” “Apakah caranya untuk berdoa supaya didengari Tuhan?” dan “Bagaimanakah saya boleh mendapat kebahagiaan hidup?” Gereja-gereja Kristian tidak pernah memberikan jawapan yang memuaskan kepada soalan-soalan ini. Mereka yang tidak beragama Kristian juga tertanya-tanya tentang perkara-perkara sebegini tanpa menyedari bahawa jawapan yang jelas dapat diperoleh daripada Bible. Oleh itu, maklumat ini sudah tentu akan menarik minat ramai orang.
3 Meliputi Kawasan Penyebaran Anda: Berusahalah untuk meliputi sebanyak mungkin kawasan kerja penyebaran dari rumah ke rumah. Jika anda mempunyai kawasan penyebaran yang besar, para penatua mungkin mencadangkan supaya anda meninggalkan risalah ini untuk mereka yang tidak ada di rumah pada lawatan pertama. Jangan lupa untuk memberikan risalah baharu ini kepada jiran-jiran, saudara-mara, kenalan di tempat kerja atau di sekolah, dan mereka yang sering anda temui. Mungkin anda dapat merancang untuk menyertai khidmat perintis sokongan pada bulan Oktober atau November. Adakah anak atau pelajar Bible anda sedang membuat kemajuan yang baik secara rohani dan mungkin memenuhi syarat untuk menyertai kita sebagai penyiar yang belum dibaptis dalam kempen ini? Jika ya, beritahulah para penatua.
4 Cara Menawarkan Risalah: Anda akan mencapai lebih banyak orang dengan berita dalam risalah ini jika anda menggunakan penyampaian yang ringkas. Tanyalah penghuni rumah salah satu daripada enam soalan yang terdapat pada muka surat pertama risalah ini. Kemudian tunjukkan jawapan daripada risalah. Dengan cara ini, semua penyiar dapat menyesuaikan penyampaian mereka mengikut keperluan-keperluan orang di kawasan penyebaran. Catatkan maklumat mereka yang menunjukkan minat dan kembali mengunjungi mereka pada masa yang lain. Pada hujung minggu, majalah-majalah tempatan boleh ditawarkan bersama risalah ini. Selepas kempen ini berakhir pada 16 November, kita akan menawarkan brosur Dikehendaki. Risalah-risalah yang masih ada akan diedarkan sepertimana kita menggunakan risalah-risalah lain yang sedia ada.
5 Mulakan Satu Pembelajaran Bible: Risalah ini telah disediakan khas untuk membantu kita memulakan pembelajaran Bible. Semasa membuat kunjungan kembali pada seseorang yang telah menunjukkan minat, anda mungkin bertanya kebenaran Bible manakah yang telah melegakan hatinya? Halakan perhatiannya pada aturan pembelajaran Bible kita yang disebutkan pada muka surat terakhir risalah ini dan berikan brosur Dikehendaki kepadanya. Jika boleh, bincangkan dengan ringkas satu atau dua perenggan daripada pelajaran yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan topik yang dipilihnya.
6 Yehuwa sedang mencari mereka yang akan menyembah Dia ‘sebagai Tuhan yang benar seperti yang dikehendaki oleh-Nya.’ (Yoh. 4:23) Semoga kita semua menyertai kempen istimewa ini untuk membantu orang lain mengenali kebenaran!