Cara Mengendalikan Bahagian Perjumpaan Aktiviti Penyebaran
Bermula dengan terbitan Kerja Teokratik Kita ini, istilah yang lebih mudah akan digunakan dalam jadual Perjumpaan Aktiviti Penyebaran. Arahan dan peringatan yang berikut akan memberi penjelasan yang dikemaskinikan tentang maklumat dalam rencana “Bagaimana Membuat Persediaan untuk Perjumpaan Aktiviti Penyebaran,” yang terdapat dalam Kerja Teokratik Kita terbitan Mei 2009.
◼ Ceramah: Penceramah akan menghuraikan bahan yang ditugaskan tanpa mengundang komen daripada para hadirin. Dia patut menegaskan maklumat yang paling berfaedah untuk sidang.
◼ Soal Jawab: Seperti Pembelajaran Majalah, bahagian ini mempunyai pengenalan dan penutup yang sangat singkat. Soalan akan dikemukakan bagi semua perenggan. Saudara yang mengendalikan bahagian ini tidak patut memberi komen secara berlebih-lebihan. Ayat-ayat Bible yang penting boleh dibaca jika masa mengizinkan. Perenggan-perenggan tidak patut dibaca kecuali apabila diarahkan.
◼ Perbincangan: Bahagian ini ialah ceramah yang merangkumi penyertaan hadirin. Bahagian ini bukan ceramah sahaja, dan juga bukan semata-mata soal jawab.
◼ Demonstrasi dan Temu Ramah: Jika demonstrasi diperlukan, saudara yang mengendalikan bahagian ini bertanggungjawab mengaturkan satu demonstrasi; dia sendiri tidak perlu membuat demonstrasi itu. Peserta demonstrasi yang dipilih patut berupaya menonjolkan isi yang dibincangkan dan merupakan teladan baik. Mereka patut dimaklumkan tentang demonstrasi tersebut seawal yang mungkin. Saudara itu tidak patut memilih penyiar yang baru dan kurang berpengalaman untuk mendemonstrasikan cara menjalankan kerja penyebaran hanya kerana ingin memberi mereka peluang untuk berada di atas pentas. Namun, sesetengah daripada mereka boleh memegang watak penghuni rumah. Para peserta demonstrasi patut menghadap para hadirin. Calon-calon temu ramah perlu memberikan komen mereka di atas pentas dan bukan dari tempat duduk mereka. Adakan latihan untuk demonstrasi dan temu ramah. Jika seorang saudara kesuntukan masa dan terpaksa memendekkan bahagiannya, dia tidak patut membatalkan demonstrasi atau temu ramah. Pembantu sidang patut memaklumkan koordinator badan penatua atau penatua yang lain sebelum memilih pesertanya.
Mana-mana arahan khas untuk bahagian yang tertentu patut diikuti dengan teliti. Saudara-saudara yang mengendalikan bahagian Perjumpaan Aktiviti Penyebaran seperti yang digariskan akan menyumbang kepada Perjumpaan Aktiviti Penyebaran yang “dilakukan dengan baik dan teratur.”—1 Kor. 14:40.