PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • km 3/15 ms. 3-6
  • Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran yang Membawa Manfaat

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran yang Membawa Manfaat
  • Kerja Teokratik Kita—2015
  • Bahan yang Berkaitan
  • Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran
    Kerja Teokratik Kita—2009
  • Petua untuk Mengadakan Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran yang Membawa Manfaat
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2021
  • Cara Memanfaatkan Kumpulan Menginjil Anda
    Kerja Teokratik Kita—2012
  • Perjumpaan Mendorong Kita Menunjukkan Kasih dan Berbuat Baik
    Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
Lihat Selanjutnya
Kerja Teokratik Kita—2015
km 3/15 ms. 3-6

Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran yang Membawa Manfaat

1. Apakah tujuan perjumpaan sebelum kerja penyebaran?

1 Sebelum 70 orang pengikutnya keluar menginjil, Yesus berjumpa dengan mereka. (Luk. 10:1-11) Dia menggalakkan mereka dengan berkata bahawa Yehuwa, “Pemilik tuaian,” akan membimbing mereka. Selain itu, Yesus memberikan arahan agar mereka dilengkapi untuk kerja menginjil dan mengatur mereka untuk menginjil “secara berpasangan.” Dewasa ini, perjumpaan sebelum kerja penyebaran juga menggalakkan, melengkapi, dan mengatur para penyiar untuk menjalankan kerja penyebaran.

2. Berapa lamakah perjumpaan sebelum kerja penyebaran harus diadakan?

2 Biasanya, perjumpaan sebelum kerja penyebaran mengambil masa 10 hingga 15 minit. Selepas kumpulan dan kawasan penyebaran diaturkan, perjumpaan akan diakhiri dengan doa. Namun bermula pada bulan April, perjumpaan ini akan diadakan selama lima hingga tujuh minit. Jika perjumpaan ini diadakan selepas perjumpaan sidang, masa bagi perjumpaan ini patut lebih singkat kerana penyiar baru sahaja menikmati program rohani. Perubahan ini membolehkan penyiar untuk meluangkan lebih banyak masa dalam kerja penyebaran. Selain itu, jika seorang perintis atau penyiar sudah mula menginjil sebelum perjumpaan ini, mereka dapat menyambung kerja menginjil secepat mungkin.

3. Apakah yang boleh dilakukan agar para penyiar mendapat manfaat daripada perjumpaan sebelum kerja penyebaran?

3 Para penyiar akan mendapat manfaat jika perjumpaan sebelum kerja penyebaran diatur dengan baik. Di kebanyakan sidang, setiap kumpulan penyebaran bertemu di lokasi yang sesuai mengikut kumpulan masing-masing. Maka, para penyiar dapat menghadiri perjumpaan sebelum kerja penyebaran dan pergi ke kawasan penyebaran dengan mudah. Aturan ini juga membantu penyelia kumpulan untuk menjaga kumpulannya dengan lebih baik. Badan penatua harus mengambil kira keadaan tempatan sebelum membuat aturan bagi perjumpaan ini. Sebelum perjumpaan diakhiri dengan doa yang singkat, semua penyiar harus tahu kawasan penyebaran dan rakan menginjil masing-masing.

4. Mengapakah perjumpaan sebelum kerja penyebaran tidak patut dipandang remeh?

4 Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran Adalah Penting: Perjumpaan ini diadakan bagi mereka yang akan menyertai kerja penyebaran. Jadi bilangan orang yang menghadirinya adalah kurang berbanding dengan jumlah hadirin bagi perjumpaan sidang. Namun, perjumpaan ini tidak patut dipandang remeh. Seperti perjumpaan yang lain, perjumpaan ini disediakan oleh Yehuwa untuk membantu kita saling memperlihatkan kasih dan berbuat baik. (Ibr. 10:24, 25) Maka, mereka yang mengambil pimpinan harus membuat persiapan rapi agar perjumpaan ini memuliakan Yehuwa dan membawa manfaat kepada penyiar. Oleh sebab perjumpaan ini penting, penyiar yang menyertai kerja penyebaran digalakkan untuk menghadirinya.

Seperti perjumpaan lain, perjumpaan sebelum kerja penyebaran juga penting dan tidak patut dipandang remeh

5. (a) Apakah tanggungjawab penyelia aktiviti penyebaran dalam mengaturkan perjumpaan sebelum kerja penyebaran? (b) Bagaimanakah seharusnya seorang saudari mengendalikan perjumpaan sebelum kerja penyebaran? (Lihat kotak pada ms. 6.)

5 Tanggungjawab Mereka yang Mengambil Pimpinan: Persiapan yang rapi amat penting bagi mereka yang diberikan tugasan dalam perjumpaan, termasuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Untuk berbuat demikian, tugasan harus diberikan kepada mereka seawal yang mungkin. Biasanya, penyelia kumpulan atau pembantu mereka akan mengendalikan perjumpaan tersebut jika penyiar bertemu mengikut kumpulan penyebaran masing-masing. Namun, apabila seluruh sidang bergabung untuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran, penyelia aktiviti penyebaran akan menugaskan seseorang untuk mengendalikan perjumpaan tersebut. Sesetengah penyelia aktiviti penyebaran membuat jadual bagi perjumpaan itu dan memberikannya kepada mereka yang ditugaskan, serta melekatkan jadual itu pada papan kenyataan. Kemahiran mengajar dan mengatur memainkan peranan penting dalam perjumpaan itu. Jadi penyelia aktiviti penyebaran harus membuat pertimbangan yang baik semasa memilih mereka yang akan mengendalikan perjumpaan itu. Apakah yang boleh dilakukan jika penatua, pembantu sidang, atau saudara yang layak tidak dapat mengambil pimpinan pada hari tertentu? Penyelia aktiviti penyebaran harus menugaskan seorang saudari yang layak untuk mengambil pimpinan.—Lihat rencana “Semasa Saudari Mengambil Pimpinan.”

6. Mengapakah penting bagi mereka yang mengambil pimpinan untuk membuat persiapan rapi?

6 Kita memandang serius tugasan-tugasan dalam Sekolah Penyebaran Teokratik atau Perjumpaan Aktiviti Penyebaran dan akan membuat persiapan yang rapi. Begitu juga, mereka yang ditugaskan untuk mengendalikan perjumpaan sebelum kerja penyebaran perlu membuat persiapan rapi agar maklumat yang bermakna dapat disampaikan dalam masa yang diperuntukkan. Selain itu, mereka juga harus mendapatkan peta kawasan terlebih dahulu.

7. Apakah perkara yang boleh dibincangkan semasa perjumpaan sebelum kerja penyebaran? (Lihat kotak pada ms. 6.)

7 Topik Perbincangan: Hamba yang setia tidak menyediakan rangka ceramah bagi perjumpaan sebelum kerja penyebaran kerana keadaan setiap kawasan adalah berbeza. Kotak “Semasa Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran, Bincanglah” mengandungi cadangan yang boleh digunakan. Biasanya, perjumpaan ini dikendalikan dalam bentuk perbincangan. Kadangkala, sebuah demonstrasi boleh diadakan atau video yang sesuai daripada jw.org boleh ditayangkan. Semasa membuat persiapan, mereka yang mengambil pimpinan harus memikirkan perkara yang dapat menggalakkan dan melengkapi penyiar untuk kerja penyebaran.

Semasa membuat persiapan, mereka yang mengambil pimpinan harus memikirkan perkara yang dapat menggalakkan dan melengkapi penyiar untuk kerja penyebaran

8. Apakah yang boleh dibincangkan semasa perjumpaan sebelum kerja penyebaran pada hari Sabtu dan Ahad?

8 Misalnya, tawaran untuk hari Sabtu ialah majalah Menara Pengawal. Kebanyakan penyiar yang menyertai kerja penyebaran pada hari Sabtu tidak dapat keluar menginjil pada hari-hari lain. Jadi, mereka mungkin terlupa akan cadangan penyampaian yang dipelajari semasa Penyembahan Keluarga mereka. Maka, mereka yang mengambil pimpinan pada hari Sabtu boleh membincangkan cadangan penyampaian daripada Kerja Teokratik Kita. Selain itu, mereka boleh memilih untuk membincangkan bagaimana suatu peristiwa, berita, atau perayaan dapat digunakan dalam penyampaian semasa menawarkan majalah, atau membincangkan cara menyediakan asas bagi kunjungan kembali. Mereka juga boleh menjemput penyiar yang sudah menawarkan majalah bagi bulan tersebut untuk berkongsi cadangan atau pengalaman mereka. Pada hari Ahad, mereka yang mengambil pimpinan juga boleh menggunakan cadangan yang sama dalam perenggan ini untuk membincangkan tawaran bahan bacaan bagi bulan tersebut. Bahan bacaan seperti brosur Berita Baik, Dengarlah Cakap Tuhan, dan buku Ajaran Bible boleh ditawarkan pada bila-bila masa. Maka, mereka yang mengambil pimpinan juga boleh membincangkan secara ringkas cara untuk menawarkan bahan bacaan tersebut.

9. Apakah yang boleh dibincangkan jika sidang mengadakan kempen istimewa pada hujung minggu?

9 Jika sidang mengadakan kempen istimewa pada hujung minggu, mereka boleh membincangkan cara untuk menawarkan majalah bersama dengan jemputan atau risalah. Mereka juga boleh membincangkan apa yang boleh dilakukan jika penghuni rumah menunjukkan minat, atau berkongsi pengalaman tentang manfaat untuk menjalankan kempen sebegini.

10, 11. Mengapakah para penyiar harus membuat persiapan untuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran?

10 Tanggungjawab Para Penyiar: Para penyiar perlu membuat persiapan yang rapi agar perjumpaan sebelum kerja penyebaran menjadi lebih bermakna. Misalnya, semasa penyembahan keluarga, mereka boleh menyediakan maklumat yang dapat dikongsi dengan penyiar lain. Selain itu, mereka harus mendapatkan bahan bacaan yang secukupnya sebelum menghadiri perjumpaan bagi kerja penyebaran agar mereka dapat bertolak ke kawasan penyebaran secepat mungkin.

11 Kita ingin tiba awal untuk semua perjumpaan sidang, termasuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Hal ini adalah kerana saudara yang mengambil pimpinan perlu mempertimbangkan beberapa perkara semasa membuat aturan bagi kerja penyebaran. Misalnya, jika bilangan penyiar yang hadir tidak banyak, dia mungkin menugaskan mereka untuk menginjil di kawasan penyebaran yang masih belum siap. Penyiar yang tidak mempunyai kenderaan mungkin diatur untuk menginjil bersama penyiar yang ada kenderaan. Bagi kawasan penyebaran yang kurang selamat, beberapa orang saudara mungkin ditugaskan untuk menginjil bersama atau berdekatan dengan para saudari. Penyiar yang lanjut usia pula akan ditugaskan untuk menginjil di kawasan yang sesuai. Selain itu, penyiar baru mungkin ditugaskan untuk menginjil bersama penyiar yang berpengalaman. Jadi, jika kita lewat, kita akan mengganggu aturan yang sudah ditetapkan dan kumpulan penyebaran harus diaturkan semula. Ada kalanya kita lewat kerana hal yang tidak terduga berlaku. Namun, jika kita sering lewat, kita patut memikirkan mengapa hal ini terjadi. Barangkali kita perlu meningkatkan penghargaan terhadap perjumpaan sebelum kerja penyebaran atau mengatur masa kita dengan lebih baik.

12. Jika anda sering membuat aturan sendiri, apakah yang dapat anda lakukan?

12 Sebelumperjumpaan bagi kerja penyebaran bermula, para penyiar boleh memilih rakan menginjil sendiri atau menunggu aturan daripada mereka yang mengambil pimpinan. Jika anda sering membuat aturan sendiri, adalah baik untuk tidak menginjil bersama sahabat karib sahaja. Bolehkah anda membuka hati anda lebar-lebar untuk menginjil bersama penyiar lain? (2 Kor. 6:11-13) Bolehkah anda menginjil bersama penyiar baru dan membantu dia untuk menjadi lebih mahir? (1 Kor. 10:24; 1 Tim. 4:13, 15) Dengarlah dengan teliti arahan yang diberikan, termasuk lokasi penyebaran yang ditugaskan kepada anda. Selepas perjumpaan tamat, bertolaklah ke lokasi penyebaran dengan segera dan elakkan daripada mengubah aturan yang sudah ditetapkan.

13. Apakah manfaatnya jika kita memainkan peranan masing-masing?

13 Selepas 70 orang pengikut Yesus selesai menginjil, mereka “kembali dengan sukacita.” (Luk. 10:17) Sememangnya, perjumpaan yang diadakan sebelum menginjil telah membantu mereka untuk melaksanakan tugas itu dengan berkesan. Hari ini, perjumpaan sebelum kerja penyebaran juga membantu kita dalam cara yang sama. Jika kita memainkan peranan masing-masing, perjumpaan ini pasti dapat menggalakkan, melengkapi, dan mengatur kita untuk memberikan “kesaksian kepada semua bangsa.”—Mat. 24:14.

Semasa Saudari Mengambil Pimpinan

Seorang saudari harus menudung kepalanya dan duduk semasa mengendalikan perjumpaan ini. Dia boleh menggunakan cadangan dalam rencana ini sebagai topik perbincangan. Perjumpaan ini boleh diadakan dalam bentuk perbincangan, tetapi dia harus berhati-hati agar tidak memberi orang lain tanggapan bahawa dia sedang mengajar penyiar lain. Jika dia menjemput seorang saudari yang dibaptis untuk berdoa, saudari tersebut juga harus menudung kepalanya. Jika seorang saudara yang dibaptis hadir selepas perjumpaan bermula, saudari itu harus menjemput dia untuk mengendalikan perjumpaan tersebut. Penyelia aktiviti penyebaran harus berfikir tentang situasi kekok yang mungkin timbul dan memberikan arahan yang sewajarnya untuk menangani situasi sedemikian. Misalnya, seorang saudara yang dibaptis tetapi masih sangat muda mungkin menghadiri perjumpaan sebelum kerja penyebaran yang dikendalikan oleh seorang saudari. Jika para penatua berasa bahawa saudara itu masih belum layak untuk mengambil pimpinan, saudari tersebut akan mengendalikan perjumpaan itu. Namun, saudara muda itu boleh mengucapkan doa jika para penatua berasa dia layak untuk berbuat demikian. Dalam situasi ini, para penatua boleh memaklumkan aturan ini kepada saudari yang mengambil pimpinan dan saudara muda itu. Bagaimana pula jika seorang saudara yang tidak dibenarkan untuk mengambil pimpinan dan mengucapkan doa dalam perjumpaan menghadiri perjumpaan sebelum kerja penyebaran? Para penatua harus memaklumkan saudari yang ditugaskan terlebih dahulu untuk mengambil pimpinan dan mengucapkan doa, biarpun saudara tersebut hadir. Namun, para penatua tidak perlu menyatakan sebab saudara itu dikenakan sekatan. Jika terdapat saudari yang ditugaskan untuk mengambil pimpinan pada hari-hari tertentu, para penatua boleh memberitahu saudara itu tentang aturan tersebut terlebih dahulu.

Semasa Perjumpaan Sebelum Kerja Penyebaran, Bincanglah:

  • Cadangan penyampaian yang terdapat dalam Kerja Teokratik Kita.

  • Video daripada jw.org yang berkaitan dengan kerja penyebaran.

  • Salah satu aspek penyampaian yang baik, seperti cara memulakan perbualan, membuat persediaan untuk kunjungan kembali, atau menyebut tentang aturan derma jika penghuni rumah menerima bahan bacaan.

  • Ayat Bible yang menggalakkan atau berkaitan dengan kerja penyebaran.

  • Pengalaman daripada kawasan tempatan atau bahan bacaan kita.

  • Maklumat dalam Kerja Teokratik Kita.

  • Maklumat daripada bahagian Perjumpaan Aktiviti Penyebaran yang baru dibincangkan.

  • Maklumat mengenai kerja penyebaran berdasarkan majalah Menara Pengawal.

  • Maklumat berdasarkan bahan bacaan kita, misalnya buku Sekolah Penyebaran-IN, “Mari Jadilah Pengikutku”-IN dan buku kecil Pengenalan kepada Firman Tuhan.

  • Maklumat daripada jw.org yang boleh digunakan dalam kerja penyebaran.

  • Cara untuk memulakan perbualan dengan ateis, orang yang beragama Hindu atau Buddha, dan orang yang mempercayai evolusi.

  • Cara menangani penghalang perbualan.

  • Cara untuk membantu rakan menginjil dalam kerja penyebaran.

  • Cara untuk menginjil kepada penghuni rumah yang bertutur dalam bahasa yang lain.

  • Cara untuk menginjil menerusi telefon, melakukan kesaksian awam, kunjungan kembali, pembelajaran Bible, atau mencari mereka yang bertutur dalam bahasa tertentu.

  • Cara untuk menjaga keselamatan, bersikap munasabah dan positif, berkelakuan baik, dan lain-lain.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi