Kotak Pertanyaan
◼ Bagaimanakah lagu pembuka untuk Sekolah Penyebaran Teokratik, Perjumpaan Aktiviti Penyebaran, Perjumpaan Umum, dan Pembelajaran Majalah sepatutnya diperkenalkan? Siapakah yang harus berbuat demikian?
Lagu pembuka yang dipilih untuk Sekolah Penyebaran Teokratik pada setiap minggu disenaraikan dalam Jadual Sekolah Penyebaran Teokratik yang disisipkan dalam Kerja Teokratik Kita terbitan bulan Oktober. Lagu pembuka dan lagu penutup bagi Perjumpaan Aktiviti Penyebaran setiap minggu tertera di muka surat 2 Kerja Teokratik Kita. Begitu juga, nombor lagu bagi Pembelajaran Majalah mingguan terdapat pada muka surat 2 dalam setiap terbitan majalah pembelajaran. Memandangkan lagu-lagu yang telah ditetapkan adalah sebahagian daripada perjumpaan yang seterusnya, lagu-lagu itu harus diperkenalkan oleh saudara yang mengendalikan perjumpaan berkenaan dan bukan pengerusi bagi perjumpaan yang sebelumnya.
Misalnya, penyelia Sekolah Penyebaran Teokratik akan mengalu-alukan para hadirin, memperkenalkan lagu pembuka, mengendalikan sekolah, dan menjemput penceramah pertama bagi Perjumpaan Aktiviti Penyebaran supaya tampil ke pentas. Saudara yang mengendalikan bahagian Perjumpaan Aktiviti Penyebaran sepatutnya memperkenalkan lagu dan dengan itu memulakan Perjumpaan Aktiviti Penyebaran.
Begitu juga, Perjumpaan Umum akan dimulakan oleh seorang pengerusi. Dia akan mengalu-alukan kedatangan para hadirin dan menjemput mereka untuk menyanyikan lagu pembuka yang dipilih oleh penceramah. Pengerusi (atau mungkin seorang saudara yang berkelayakan yang telah ditugaskan terlebih dahulu) akan memulakan perjumpaan dengan doa. Dia akan memperkenalkan penceramah dan menyatakan tajuk ceramahnya. Selepas ceramah disampaikan, pengerusi akan mengucapkan penghargaan yang ringkas untuk ceramah tadi tanpa mengulangi isi-isi penting ceramah. Dia akan mengumumkan tajuk ceramah umum untuk minggu yang akan datang, dan menjemput para hadirin untuk terus bersama sidang dalam Pembelajaran Majalah. Pengerusi tidak perlu bertanya sama ada para hadirin ingin mengirimkan salam kasih mereka kepada sidang asal penceramah undangan. Seterusnya, pengerusi akan menjemput saudara yang mengendalikan Pembelajaran Majalah supaya tampil ke pentas.
Saudara yang mengendalikan Pembelajaran Majalah akan memperkenalkan lagu pertama sehubungan dengan pembelajaran pada hari itu. Dia akan mengendalikan pembelajaran selaras dengan arahan tercetak dan kemudian mengumumkan lagu penutup. Biasanya, saudara yang mengendalikan Pembelajaran Majalah akan menjemput saudara yang menyampaikan ceramah umum untuk menyampaikan doa penutup.
Dengan mematuhi panduan-panduan am ini, kita dapat memastikan bahawa perjumpaan-perjumpaan sidang dikendalikan dengan cara yang seragam.