Bolehkah Anda Menginjil pada Waktu Petang?
1. Menurut sebuah buku, bilakah rasul Paulus keluar menginjil dari rumah ke rumah?
1 Menurut buku Daily Life in Bible Times, lazimnya rasul Paulus menginjil dari rumah ke rumah “dari pukul 4 petang hingga larut malam.” Kita tidak tahu jadual Paulus yang sebenar, tetapi kita tahu bahawa dia sanggup melakukan apa sahaja ‘untuk berita baik.’ (1 Kor. 9:19-23) Paulus pasti telah menyusun jadual hariannya supaya dapat menginjil kepada lebih ramai orang.
2. Mengapakah waktu petang merupakan masa yang sesuai untuk menginjil?
2 Kebanyakan penyiar selalunya menginjil dari rumah ke rumah pada waktu pagi. Namun, adakah masa ini masih sesuai di kawasan anda? Seorang perintis berkata, “Jarang orang berada di rumah pada waktu pagi. Tapi kebanyakan orang berada di rumah pada waktu petang.” Menginjil pada waktu petang mungkin merupakan peluang terbaik untuk berkongsi berita baik, terutamanya dengan kaum lelaki. Biasanya, penghuni rumah berasa lebih selesa dan senang untuk berbual. Jika sesuai, penatua harus mengaturkan perjumpaan sebelum kerja penyebaran pada sebelah petang.
3. Bagaimanakah kita memperlihatkan daya pertimbangan semasa menginjil pada waktu petang?
3 Gunakan Daya Pertimbangan: Daya pertimbangan penting semasa menginjil pada waktu petang. Contohnya, jika anda mengunjungi seseorang pada masa yang kurang sesuai, seperti masa makannya, adalah lebih baik untuk kembali pada masa lain. Sekiranya hari sudah gelap, berdirilah di tempat yang senang dilihat oleh penghuni dan segera perkenalkan diri serta tujuan anda. Adalah baik juga untuk bekerja secara berpasangan atau berdekatan dengan kumpulan. Pastikan anda berada di jalan yang berlampu dan tidak berseorangan. Jangan menginjil terlalu lewat sehingga mengganggu masa tidur penghuni. (2 Kor. 6:3) Buatlah aktiviti penyebaran pada awal petang jika kawasan penyebaran kurang selamat.—Ams. 22:3.
4. Apakah berkat yang diterima kerana menginjil pada waktu petang?
4 Berkat: Kerja penyebaran lebih menyeronokkan jika kita berpeluang memberikan kesaksian. Semakin kerap kita menginjil, semakin banyak peluang untuk membantu orang lain “diselamatkan serta mengetahui ajaran benar.” (1 Tim. 2:3, 4) Bolehkah anda menyesuaikan jadual untuk menginjil pada waktu petang?