Gunakan Risalah untuk Menyebarkan Berita Baik
1. Bagaimanakah risalah digunakan oleh umat Tuhan?
1 Risalah Bible sudah lama digunakan oleh umat Yehuwa untuk menyebarkan berita baik. Pada 1880, C. T. Russell dan rakan-rakannya mula menerbitkan Bible Students’ Tracts (Risalah Pelajar Bible) yang diberikan kepada pembaca Watch Tower untuk diedarkan kepada umum. Pada 1884, C. T. Russell mendaftarkan sebuah perbadanan untuk melanjutkan kepentingan Kerajaan Tuhan. Risalah begitu penting sehingga perkataan “risalah” (tract) disertakan dalam nama perbadanan itu, Zion’s Watch Tower Tract Society, kini dipanggil Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania. Pada 1918, lebih daripada 300 juta risalah diedarkan oleh Pelajar Bible. Risalah merupakan alat penyebaran yang berkesan sehingga hari ini.
2. Mengapakah risalah berkesan?
2 Mengapa Berkesan: Risalah berwarna-warni dan menarik. Mesejnya ringkas, mudah difahami, dan berfaedah. Penghuni yang kurang minat membaca majalah atau buku, mungkin suka menerima risalah. Risalah mudah ditawarkan, bahkan oleh penyiar baru atau anak kecil. Risalah juga bersaiz kecil dan senang dibawa.
3. Ceritakan pengalaman peribadi ataupun pengalaman dari bahan bacaan kita berkenaan keberkesanan risalah.
3 Ramai mendapat kebenaran melalui risalah. Contohnya, seorang wanita di Haiti ternampak risalah kita di atas jalan. Dia mengutip dan membacanya, lalu berkata, “Inilah kebenaran!” Kemudian, dia pergi ke Dewan Perjumpaan, mula belajar Bible, dan dibaptis—semua ini disebabkan kuasa Firman Tuhan dalam risalah itu.
4. Apakah matlamat kita semasa risalah dijadikan tawaran bulanan?
4 Dari Rumah ke Rumah: Oleh sebab risalah terbukti berkesan, risalah akan dijadikan tawaran bulanan dari masa ke masa, bermula pada bulan November. Matlamat kita bukan sahaja menawarkan risalah tetapi juga untuk memulakan perbualan. Jika ada yang menunjukkan minat pada kunjungan pertama atau kunjungan kembali, kita boleh menggunakan buku Ajaran Bible atau bahan bacaan lain untuk menunjukkan cara pembelajaran Bible diadakan. Bagaimanakah kita boleh menawarkan risalah dari rumah ke rumah? Setiap risalah berbeza, jadi kita perlu mengenal baik risalah yang akan kita tawarkan.
5. Bagaimanakah kita menawarkan risalah dari rumah ke rumah?
5 Penyampaian kita patut disesuaikan mengikut kawasan dan risalah yang digunakan. Mula-mula, kita boleh menyerahkan risalah kepada penghuni rumah. Muka depan risalah mungkin menarik perhatiannya. Atau kita boleh menunjukkan beberapa risalah dan meminta penghuni memilih risalah mana yang dia suka. Jika orang enggan membuka pintu, kita boleh menunjukkan muka depan risalah kepadanya, atau meminta kebenaran untuk meletakkan risalah di bawah pintu, lalu menanya pendapatnya. Jika tajuk risalah berbentuk soalan, tanyalah pendapatnya tentang soalan itu. Atau kita boleh fikirkan soalan yang boleh membangkitkan minat dan memulakan perbualan. Kemudian, bacalah beberapa perenggan daripada risalah bersama penghuni. Semasa membaca, berhentilah sejenak pada soalan yang tertera, dan mintalah pandangannya. Ayat kunci boleh dibaca daripada Bible. Selepas membincangkan beberapa isi, buatlah temu janji untuk kembali. Jika sidang biasanya meninggalkan bahan bacaan untuk penghuni yang tiada di rumah, tinggalkanlah risalah di tempat yang tidak senang dilihat oleh orang lain.
6. Bagaimanakah risalah dapat digunakan semasa menginjil di tempat awam?
6 Kesaksian di Tempat Awam: Pernahkah anda menggunakan risalah semasa menginjil di tempat awam? Kadang-kadang orang mengejar masa dan enggan berbual, jadi mungkin susah menentukan tahap minat mereka. Oleh sebab kita tidak tahu sama ada mereka akan membaca majalah kita atau tidak, bolehkah kita memberi mereka risalah? Disebabkan muka depan risalah menarik dan mesejnya ringkas, sifat ingin tahu mungkin menggerakkan orang untuk membacanya jika mereka ada masa. Sudah tentu, jika mereka tidak terburu-buru, kita boleh membincangkan beberapa isi dalam risalah dengan mereka.
7. Ceritakan pengalaman yang menunjukkan cara menggunakan risalah untuk memberikan kesaksian tidak formal.
7 Kesaksian Tidak Formal: Menggunakan risalah untuk memberikan kesaksian tidak formal amatlah mudah. Seorang saudara menyimpan risalah dalam poketnya apabila dia keluar dari rumahnya. Semasa berjumpa dengan orang, seperti pekerja kedai, dia akan memberikan risalah kepadanya. Sewaktu sepasang suami isteri melancong di Bandar Raya New York, mereka sedar bahawa mereka akan menemui orang dari pelbagai negara. Jadi mereka membawa buku kecil “Bangsa” (Nations) dan risalah dalam pelbagai bahasa. Apabila mereka terdengar orang yang berniaga di tepi jalan, atau yang duduk berdekatan mereka di taman atau di restoran yang berbahasa asing, mereka akan menawarkan risalah dalam bahasa ibundanya.
8. Mengapakah risalah ibarat benih?
8 “Taburlah Benih”: Risalah ibarat benih. Seorang petani menabur benih merata-rata kerana dia tidak tahu benih mana yang akan bercambah dan bertumbuh. Pengkhutbah 11:6 (ABB) mengatakan, “Taburlah benih pada waktu pagi dan waktu petang juga, kerana kamu tidak tahu sama ada semuanya akan tumbuh, ataupun yang mana satu akan tumbuh dengan lebih subur.” Oleh itu, marilah kita terus ‘menyebarluaskan pengetahuan’ dengan menggunakan alat penyebaran yang amat berkesan ini.—Ams. 15:7.
[Blurb pada muka surat 3]
Oleh sebab risalah terbukti berkesan, risalah akan dijadikan tawaran bulanan dari masa ke masa, bermula pada bulan November