Sambutlah Mereka!
1. Bilakah masa yang terbaik untuk memberikan kesaksian? Mengapa?
1 Kita mempunyai peluang terbaik untuk memberikan kesaksian semasa sambutan Peringatan setiap tahun. Cuba fikirkan: Lebih daripada sepuluh juta pelawat dijangka menghadiri sambutan Peringatan pada tahun ini dan mendengar tentang bagaimana Yehuwa dan Yesus memperlihatkan kasih terunggul menerusi korban tebusan. (Yoh. 3:16; 15:13) Mereka akan belajar bagaimana tebusan yang dikurniakan oleh Yehuwa membawa pelbagai berkat. (Yes. 65:21-23) Namun, bukan sahaja penceramah yang dapat memberikan kesaksian. Kita semua yang hadir berpeluang memberikan kesaksian yang berkesan dengan menyambut para pelawat dengan ramah.—Rm. 15:7.
2. Bagaimanakah anda boleh menyambut para pelawat dengan mesra?
2 Bolehkah anda menunjukkan sikap ramah dengan memperkenalkan diri kepada pelawat yang hadir? Dia mungkin gementar dan tidak tahu apa yang patut dilakukan. Senyuman manis dan sapaan mesra kita boleh membuatnya berasa selesa. Mungkin dia datang setelah menerima surat jemputan. Tanyalah dia, sama ada dia pernah datang atau adakah dia mengenali sesiapa di sini. Ajaklah dia untuk duduk bersama anda dan berkongsi Bible serta buku nyanyian dengannya. Jika Peringatan diadakan di Dewan Perjumpaan, anda boleh membawanya melihat bahagian dalam atau luar dewan kita secara ringkas. Jika dia ada soalan selepas ceramah, bersedialah untuk menjawabnya. Jika sidang anda perlu cepat beredar supaya sidang lain dapat menggunakan dewan itu, anda boleh berkata: “Saya ingin dengar pendapat anda tentang program tadi. Bolehkah saya hubungi anda?” Kemudian, buatlah aturan untuk mengunjunginya. Para penatua perlu berusaha menggalakkan semua, khasnya penyiar tidak aktif yang hadir.
3. Mengapakah penting untuk berusaha menyambut para pelawat semasa sambutan Peringatan?
3 Bagi kebanyakan pelawat, sambutan ini merupakan kali pertama mereka merasai sukacita, keamanan, dan perpaduan yang dinikmati oleh umat Yehuwa dalam firdaus rohani. (Mzm. 29:11; Yes. 11:6-9; 65:13, 14) Apakah kenangan yang akan terpahat dalam ingatan mereka? Sebahagian besarnya bergantung pada usaha kita untuk menyambut mereka.