Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
5-11 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KELUARAN 31-32
“Jauhkanlah Diri daripada Penyembahan Berhala”
(Keluaran 32:1) Apabila orang Israel melihat bahawa Musa berada di gunung itu untuk waktu yang lama dan belum juga turun, mereka mengelilingi Harun dan berkata, “Kami tidak tahu apa yang sudah berlaku kepada Musa yang telah membawa kami keluar dari Mesir. Jadi buatlah tuhan untuk memimpin kami.”
w09 15/5 11 per. 11
Berusahalah untuk Menjadi Matang kerana “Hari Besar Yehuwa Sudah Dekat”
11 Ada masanya, susah untuk menerapkan apa yang kita belajar daripada Bible, terutamanya apabila kita dilanda masalah. Misalnya, tidak lama selepas Yehuwa membebaskan orang Israel daripada perhambaan di Mesir, mereka “mula bertengkar dengan Musa” dan “asyik menguji Yehuwa.” Mengapa? Kerana mereka kekurangan air minum. (Kel. 17:1-4) Tidak sampai dua bulan selepas mereka berjanji untuk “melakukan segala yang difirmankan oleh Yehuwa,” mereka memungkiri janji itu dan menyembah berhala. (Kel. 24:3, 12-18; 32:1, 2, 7-9) Mengapakah mereka berbuat demikian? Adakah mereka takut kerana Musa sudah lama berada di atas Gunung Horeb? Atau adakah mereka risau bahawa orang Amalek akan menyerang mereka sekali lagi, dan Musa tiada di situ untuk membantu mereka? (Kel. 17:8-16) Hal itu mungkin, tetapi tidak kira apa pun sebabnya, Bible menyatakan bahawa mereka ‘enggan mematuhi’ Tuhan. (Kis. 7:39-41) Paulus menggesa orang Kristian untuk “berusaha sedaya upaya” supaya “tidak ada seorang pun yang menjadi ingkar” seperti orang Israel.—Ibr. 4:3, 11.
12-18 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KELUARAN 33-34
“Sifat-Sifat Yehuwa yang Mengagumkan”
(Keluaran 34:5) Yehuwa turun di dalam awan; Dia berdiri di sebelah Musa di atas gunung itu lalu mengisytiharkan nama-Nya, iaitu Yehuwa.
it-2 200 per. 4
Nama
Ciptaan Tuhan membuktikan kewujudan-Nya. Biarpun begitu, ciptaan tidak dapat mengajar kita tentang nama Tuhan. (Mz 19:1; Rm 1:20) Mengenal nama Tuhan bukan sekadar tahu apa itu nama Tuhan. (2Ta 6:33) Hal ini bererti mengenal Individu di sebalik nama itu, seperti kehendak-Nya, perbuatan-Nya, dan sifat-sifat-Nya yang disebut dalam Bible. (Bandingkan 1Ra 8:41-43; 9:3, 7; Ne 9:10.) Contoh Musa dapat membantu kita memahami hal ini. Musa berpeluang untuk melihat cahaya kemuliaan Tuhan dan mendengar-Nya “mengisytiharkan nama-Nya, iaitu Yehuwa.” (Kel 34:5) Yehuwa bukan sekadar menyebut nama-Nya berulang kali, tetapi Dia juga menyebut tentang sifat dan perbuatan-Nya. Yehuwa berfirman, “Akulah Yehuwa, Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. Akulah Yehuwa, Tuhan yang tidak cepat murka. Aku berpegang pada kebenaran dan menunjukkan kasih setia yang melimpah. Aku menunjukkan kasih setia kepada beribu-ribu generasi. Aku mengampunkan kesalahan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membiarkan orang yang bersalah bebas daripada hukuman. Aku akan menghukum bapa-bapa kerana dosa mereka, dan hukuman ini akan turut menimpa anak-anak dan cucu-cicit mereka, sehingga generasi yang ketiga dan keempat.” (Kel 34:6, 7) Selain itu, dalam lagu Musa, terdapat ungkapan “aku akan mengisytiharkan nama Yehuwa.” Lagu ini mengisahkan cara Tuhan berurusan dengan orang Israel dan menggambarkan sifat-sifat-Nya.—Ul 32:3-44.
(Keluaran 34:6) Yehuwa lalu di hadapan Musa dan berseru, “Akulah Yehuwa, Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. Akulah Yehuwa, Tuhan yang tidak cepat murka. Aku berpegang pada kebenaran dan menunjukkan kasih setia yang melimpah.
Apabila Yehuwa Menggambarkan Diri-Nya
Pertama, Yehuwa menggambarkan diri-Nya sebagai Tuhan yang “penuh rahmat dan belas kasihan.” (Ayat 6) Menurut seorang cendekiawan, perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “belas kasihan” merujuk kepada “kasih sayang yang ditunjukkan oleh seorang bapa kepada anak-anaknya.” Perkataan yang diterjemahkan sebagai “rahmat” pula berkait dengan kata kerja yang menggambarkan “perbuatan memenuhi keperluan orang lain dengan tulus ikhlas.” Jelaslah, Yehuwa mahu kita tahu bahawa Dia menjaga para penyembah-Nya sepertimana ibu bapa menjaga anak-anak. Dia juga amat mengasihi kita dan prihatin terhadap keperluan kita.—Mazmur 103:8, 13.
Selepas itu, Yehuwa menyatakan bahawa Dia “tidak cepat murka.” (Ayat 6) Dia tidak mudah naik marah dengan hamba-hamba-Nya di bumi. Sebaliknya, Dia bersabar dengan mereka, dan sudi mengampuni kesalahan mereka, serta memberi mereka peluang untuk bertaubat.—2 Petrus 3:9.
Seterusnya Tuhan berkata bahawa Dia “berpegang pada kebenaran dan menunjukkan kasih setia yang melimpah.” (Ayat 6) Sifat kasih setia menunjukkan bahawa Yehuwa mempunyai hubungan yang kukuh dengan umat-Nya dan tidak sekali-kali akan meninggalkan mereka. (Ulangan 7:9) Yehuwa juga ialah “sumber kebenaran.” Dia tidak akan menipu atau ditipu. Maka, kita dapat yakin sepenuhnya bahawa segala yang dikatakan-Nya, termasuk janji-janji-Nya tentang masa depan, adalah benar.—Mazmur 31:5.
(Keluaran 34:7) Aku menunjukkan kasih setia kepada beribu-ribu generasi. Aku mengampunkan kesalahan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membiarkan orang yang bersalah bebas daripada hukuman. Aku akan menghukum bapa-bapa kerana dosa mereka, dan hukuman ini akan turut menimpa anak-anak dan cucu-cicit mereka, sehingga generasi yang ketiga dan keempat.”
Apabila Yehuwa Menggambarkan Diri-Nya
Yehuwa juga ingin kita tahu satu lagi sifat-Nya yang penting, iaitu Dia “mengampunkan kesalahan dan dosa.” (Ayat 7) Dia “suka mengampuni” orang yang bertaubat. (Mazmur 86:5) Biarpun begitu, Dia tidak sekali-kali akan membiarkan kejahatan berterusan. Dia menjelaskan bahawa Dia “tidak akan membiarkan orang yang bersalah bebas daripada hukuman.” (Ayat 7) Ya, Tuhan kita yang suci dan adil tidak akan membiarkan orang yang enggan bertaubat terlepas daripada hukuman. Pada kemudian hari, mereka pasti akan menuai akibat buruk dosa mereka.
Mencari Permata Rohani
(Keluaran 34:23, 24) “Tiga kali setahun, semua lelaki harus datang menghadap Aku, Tuan yang benar. Akulah Yehuwa, Tuhan orang Israel. 24 Apabila kamu datang menghadap Aku tiga kali setahun, tiada seorang pun yang akan merampas tanah kamu. Aku, Yehuwa, Tuhan kamu, akan mengusir bangsa-bangsa lain daripada kalangan kamu dan meluaskan wilayah kamu.
w98 1/9 20 per. 5
Utamakanlah Perkara yang Lebih Penting!
Semua lelaki Israel dan lelaki yang memeluk agama Yahudi harus menghadap Yehuwa di Yerusalem tiga kali setahun. Banyak ketua keluarga sedar bahawa aturan ini dapat menguatkan kerohanian seisi keluarga mereka. Maka, mereka akan membawa anak dan isteri mereka bersama. Tetapi sewaktu mereka tiada di rumah, siapakah yang akan melindungi rumah dan ladang mereka daripada serangan musuh? Yehuwa berjanji, “Apabila kamu datang menghadap Aku tiga kali setahun, tiada seorang pun yang akan merampas tanah kamu.” (Keluaran 34:24) Orang Israel harus beriman dan yakin bahawa jika mereka mengutamakan hal-hal rohani, Yehuwa pasti menjaga keperluan fizikal mereka. Adakah Yehuwa mengotakan janji-Nya? Ya!
19-25 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KELUARAN 35-36
Mencari Permata Rohani
(Keluaran 35:1-3) Musa mengumpulkan seluruh umat Israel lalu berkata kepada mereka, “Inilah perintah Yehuwa kepada kamu semua: 2 Kamu boleh bekerja selama enam hari, tetapi hari yang ketujuh harus dianggap suci dan dikhaskan untuk berehat. Hari itu hari Sabat untuk Aku, Yehuwa. Sesiapa yang bekerja pada hari itu haruslah dihukum mati. 3 Kamu tidak boleh menyalakan api di rumah kamu pada hari Sabat.”
w05 15/5 23 per. 14
Belajar tentang Kehendak Yehuwa
14 Utamakan hal-hal rohani. Orang Israel tidak patut membiarkan keperluan fizikal mereka menjadi lebih penting daripada hal-hal rohani. Kehidupan mereka tidak patut hanya bertumpu kepada kesibukan harian. Yehuwa telah mengekhaskan satu hari dalam setiap minggu sebagai hari yang suci. Hari itu haruslah digunakan untuk melakukan hal-hal rohani sahaja. (Keluaran 35:1-3; Bilangan 15:32-36) Selain itu, orang Israel juga harus berkumpul untuk menyambut perayaan suci setiap tahun. (Imamat 23:4-44) Perayaan-perayaan ini memberi mereka peluang untuk mengingat kembali perbuatan Yehuwa yang menakjubkan, belajar tentang kehendak-Nya, dan menunjukkan rasa syukur atas kebaikan hati-Nya. Dengan berbuat demikian, mereka akan belajar untuk lebih mengasihi Yehuwa dan melakukan semua kehendak-Nya. (Ulangan 10:12, 13) Prinsip-prinsip dalam Hukum Sabat juga bermanfaat bagi umat Yehuwa hari ini.—Ibrani 10:24, 25.
(Keluaran 35:21) Setiap orang yang hatinya terdorong untuk memberi, datang lalu memberikan sumbangan kepada Yehuwa. Mereka menyumbangkan segala yang diperlukan untuk membuat khemah pertemuan dan pakaian suci. Mereka juga membawa segala yang diperlukan untuk khidmat suci.
w00 1/11 29 per. 2
Sikap Murah Hati Membawa Sukacita
Bayangkanlah perasaan orang Israel. Selama beberapa generasi, mereka hidup sengsara kerana kemiskinan dan dipaksa menjadi hamba. Kini, mereka sudah bebas dan mempunyai harta milik. Adakah mereka akan menunjukkan sikap murah hati dan menyumbangkan harta mereka? Mereka mungkin berasa bahawa mereka berhak untuk menyimpan harta mereka. Tetapi, apabila Musa menyuruh mereka untuk memberikan sumbangan untuk menyokong ibadat sejati, mereka melakukannya dengan rela. Mereka tidak lupa bahawa apa yang dimiliki mereka sebenarnya dikurniakan oleh Yehuwa. Maka, mereka memberikan begitu banyak perak, emas, dan ternakan. Bible menyatakan bahawa mereka “memberi dengan rela hati,” dan ‘hati mereka terdorong untuk memberi.’ Ya, mereka sememangnya telah “memberikan sumbangan kepada Yehuwa secara sukarela.”—Keluaran 25:1-9; 35:4-9, 20-29; 36:3-7.
26 OKTOBER–1 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KELUARAN 37-38
“Mazbah-Mazbah di Khemah Suci dan Peranannya dalam Ibadat Suci”
(Keluaran 37:25) Dia membuat sebuah mazbah daripada kayu akasia, sebagai tempat membakar kemenyan. Mazbah itu berbentuk segi empat, berukuran 44.5 sentimeter panjang, 44.5 sentimeter lebar, dan 89 sentimeter tinggi. Dia juga membuat tanduk-tanduk yang menjadi sebahagian daripada mazbah.
it-2 115 per. 3
Mazbah
Mazbah untuk membakar kemenyan. Mazbah untuk membakar kemenyan (juga dipanggil “mazbah emas” [Kel 39:38]) diperbuat daripada kayu akasia. Mazbah ini berbentuk segi empat, berukuran 44.5 sentimeter panjang, 44.5 sentimeter lebar, dan 89 sentimeter tinggi. Terdapat juga “tanduk-tanduk” pada keempat-empat sudut di bahagian atas mazbah ini. Bahagian atas dan semua sisi mazbah ini disaluti dengan emas tulen. Pada bahagian atas mazbah, terdapat sebuah bingkai emas. Di bawah bingkai itu, terdapat gelang emas untuk menyangga kayu pengusung mazbah. Gelang-gelang emas itu dipasang pada dua sisi mazbah yang bertentangan, dan kayu pengusung mazbah itu diperbuat daripada kayu akasia yang disaluti emas. (Kel 30:1-5; 37:25-28) Dua kali sehari, iaitu pada waktu pagi dan petang, kemenyan suci akan dibakar di atas mazbah ini. (Kel 30:7-9, 34-38) Bible juga menyebut tentang bekas perbaraan. Nampaknya, bekas ini digunakan semasa membakar kemenyan di mazbah ini. (Im 16:12, 13; Ibr 9:4; Why 8:5; bandingkan 2Ta 26:16, 19.) Mazbah untuk membakar kemenyan terletak di dalam khemah suci, iaitu di hadapan tirai Bilik Maha Suci. Oleh itu, Bible menyatakan bahawa mazbah ini diletakkan “di hadapan tabut perjanjian.”—Kel 30:1, 6; 40:5, 26, 27.
(Keluaran 37:29) Dia juga membuat minyak suci dan kemenyan harum yang murni. Dia membuatnya sebagaimana seorang tukang yang mahir akan membuatnya.
it-1 615 per. 1
Kemenyan
Kemenyan yang digunakan di khemah suci diperbuat daripada bahan wangian yang mahal. Bahan-bahan ini disumbangkan oleh umat Israel. (Kel 25:1, 2, 6; 35:4, 5, 8, 27-29) Semasa memberitahu Musa ramuan kemenyan ini, Yehuwa berfirman, “Ambillah minyak damar, kulit lokan, minyak raksamala, dan kemenyan putih yang tulen. Semua bahan harum ini mestilah sama banyaknya. Campurkanlah semua bahan ini untuk membuat kemenyan, sebagaimana seorang tukang yang mahir akan mencampurkannya, lalu tambahkanlah garam ke dalamnya. Campuran yang harum ini ialah sesuatu yang murni dan suci. Tumbuklah sebahagian daripada campuran ini sehingga menjadi serbuk yang halus. Kemudian, ambillah sedikit serbuk itu lalu letakkannya di dalam khemah pertemuan, iaitu di depan tabut, tempat Aku akan menampakkan diri kepadamu. Kamu harus menganggap kemenyan ini sebagai sesuatu yang sangat suci.” Kemudian, untuk menekankan betapa suci dan istimewanya kemenyan ini, Yehuwa berfirman, “Sesiapa yang membuat kemenyan seperti ini untuk menikmati baunya, haruslah dihukum mati.”—Kel 30:34-38; 37:29.
(Keluaran 38:1) Bezaleel membuat sebuah mazbah untuk korban bakar daripada kayu akasia. Mazbah itu berbentuk segi empat, berukuran kira-kira dua meter panjang, kira-kira dua meter lebar, dan kira-kira satu meter tinggi.
it-2 115 per. 1
Mazbah
Mazbah-Mazbah di Khemah Suci. Semasa khemah suci dibina, Yehuwa telah mengarahkan agar dua buah mazbah dibina. Mazbah untuk korban bakar (juga dipanggil “mazbah tembaga” [Kel 39:39]) diperbuat daripada kayu akasia. Mazbah itu berbentuk kotak kosong, dan tidak mempunyai bahagian atas dan bawah. Mazbah itu berukuran kira-kira dua meter panjang, kira-kira dua meter lebar, dan kira-kira satu meter tinggi. Terdapat “tanduk-tanduk” pada keempat-empat sudut mazbah itu. Semua permukaan mazbah itu disaluti dengan tembaga. Selain itu, terdapat kekisi tembaga “di tengah-tengah mazbah” itu. Empat gelang tembaga dipasang pada setiap sudut dekat kekisi tembaga itu. Nampaknya, gelang-gelang itu digunakan untuk menyangga kayu pengusung yang diperbuat daripada kayu akasia yang disaluti tembaga. Hal ini mungkin bererti bahawa terdapat ruang kosong pada kedua-dua sisi mazbah agar kekisi itu dapat dimasukkan, dan gelang-gelang dipasang pada kedua-dua sisi kekisi itu. Tetapi ada juga cendekiawan yang berpendapat bahawa terdapat empat lagi gelang, yang dipasang pada bahagian luar mazbah itu, yang digunakan untuk kayu pengusung. Semua peralatan mazbah itu, seperti baldi dan penyodok untuk mengumpulkan abu, mangkuk untuk mengumpulkan darah binatang, garpu untuk mengendalikan daging, dan bekas perbaraan, juga diperbuat daripada tembaga.—Kel 27:1-8; 38:1-7, 30; Bil 4:14.
Mencari Permata Rohani
(Keluaran 37:1) Bezaleel membuat tabut perjanjian daripada kayu akasia. Tabut itu berukuran kira-kira 111 sentimeter panjang, kira-kira 67 sentimeter lebar, dan kira-kira 67 sentimeter tinggi.
(Keluaran 37:10) Dia membuat sebuah meja daripada kayu akasia. Meja itu berukuran 89 sentimeter panjang, 44.5 sentimeter lebar, dan kira-kira 67 sentimeter tinggi.
(Keluaran 37:25) Dia membuat sebuah mazbah daripada kayu akasia, sebagai tempat membakar kemenyan. Mazbah itu berbentuk segi empat, berukuran 44.5 sentimeter panjang, 44.5 sentimeter lebar, dan 89 sentimeter tinggi. Dia juga membuat tanduk-tanduk yang menjadi sebahagian daripada mazbah.
it-1 77
Akasia
Dahan-dahan pokok akasia mempunyai duri yang panjang. Biasanya, dahan-dahan daripada beberapa pokok akasia yang berdekatan akan saling melilit dan membentuk semak yang tebal. Itulah sebabnya apabila penulis Bible menyebut tentang pokok akasia, mereka akan menggunakan kata ganda shit·timʹ. Sebatang pokok akasia boleh mencecah ketinggian 6 hingga 8 meter, dan biasanya kelihatan seperti semak. Daun-daunnya lembut seperti pelepah. Bunganya berwarna kuning dan berbau harum, dan buahnya berbentuk runcing dan melengkung. Kulit pokok akasia berwarna hitam dan sangat kasar. Batang pokoknya pula sangat keras, berat, berurat halus, dan kebal daripada serangan serangga. Oleh sebab pokok akasia mempunyai ciri-ciri ini dan senang ditemui di padang belantara, pokok ini amat sesuai untuk dijadikan bahan untuk membina khemah suci, termasuk tabut perjanjian (Kel 25:10; 37:1), meja untuk roti yang dipersembahkan (Kel 25:23; 37:10), mazbah-mazbah (Kel 27:1; 37:25; 38:1), kayu pengusung (Kel 25:13, 28; 27:6; 30:5; 37:4, 15, 28; 38:6), tiang untuk menggantung tirai dan tabir (Kel 26:32, 37; 36:36), dan rangka khemah suci (Kel 26:15; 36:20) berserta kayu-kayu lintangnya (Kel 26:26; 36:31).