Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
7-13 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IMAMAT 10-11
“Lebih Mengasihi Yehuwa daripada Keluarga Sendiri”
(Imamat 10:1, 2) Tidak lama kemudian, anak-anak Harun, iaitu Nadab dan Abihu, mengambil bekas perbaraan masing-masing, mengisinya dengan bara api, dan membubuh kemenyan ke atas bara api itu. Mereka mempersembahkannya kepada Yehuwa, walaupun mereka tidak diperintahkan untuk berbuat demikian. Oleh itu, persembahan yang diberikan oleh mereka itu haram. 2 Maka Yehuwa menurunkan api untuk membinasakan mereka. Dengan itu mereka berdua mati di hadapan Yehuwa.
it-2 1033-1034
Haram
Api dan Kemenyan yang Haram. Di Imamat 10:1, perkataan Ibrani zar digunakan untuk merujuk kepada “api yang haram” yang dipersembahkan oleh anak-anak Harun, iaitu Nadab dan Abihu, kepada Yehuwa, “walaupun mereka tidak diperintahkan untuk berbuat demikian.” Maka Yehuwa telah menurunkan api untuk membinasakan mereka. (Im 10:2; Bil 3:4; 26:61) Setelah itu, Yehuwa berfirman kepada Harun, “Janganlah engkau dan anak-anak lelakimu masuk ke dalam khemah pertemuan setelah meminum wain atau minuman keras yang lain. Jika kamu masuk, kamu akan mati. Engkau dan keturunanmu harus sentiasa mematuhi peraturan ini. Dengan demikian kamu dapat membezakan apa yang suci daripada apa yang tidak suci, dan apa yang najis daripada apa yang tidak najis. Selain itu, kamu juga dapat mengajar umat Israel tentang semua perintah yang telah Aku, Yehuwa, berikan kepada mereka melalui Musa.” (Im 10:8-11) Menurut ayat ini, nampaknya Nadab dan Abihu sedang mabuk pada masa itu. Itulah sebabnya mereka berani untuk mempersembahkan api yang haram. Api itu dikatakan “haram” kerana tidak dipersembahkan pada waktu, tempat, atau dengan cara yang ditetapkan, atau mungkin juga kemenyan yang dipersembahkan itu tidak menurut ciri-ciri yang dinyatakan di Keluaran 30:34, 35. Biarpun mereka mabuk, hal ini tidak bererti mereka tidak berdosa atau dapat terlepas daripada hukuman mereka.
(Imamat 10:6, 7) Kemudian Musa berkata kepada Harun dan anak-anaknya, Eleazar dan Itamar, “Jangan biarkan rambut kamu kusut dan jangan koyakkan pakaian kamu. Dengan demikian, kamu tidak akan mati dan Tuhan tidak akan menjadi murka terhadap seluruh umat. Tetapi semua orang Israel yang lain akan meratapi kematian mereka berdua yang telah dibinasakan oleh api yang diturunkan oleh Yehuwa. 7 Kamu mesti berada di hadapan pintu masuk khemah pertemuan agar kamu tidak mati. Hal ini demikian kerana kamu sudah diurapi dengan minyak suci Yehuwa.” Mereka melakukan segala yang diperintahkan oleh Musa.
Adakah Anda Menikmati Hari Rehat Tuhan?
16 Abang Musa, iaitu Harun, pernah mengalami cabaran yang besar apabila dua orang anak lelakinya dihukum oleh Yehuwa. Bayangkanlah perasaannya apabila anak-anaknya, Nadab dan Abihu, mempersembahkan api yang haram kepada Yehuwa, lalu Yehuwa membunuh mereka. Sememangnya Harun tidak lagi dapat bergaul dengan anak-anaknya yang sudah mati. Biarpun begitu, Harun dan keluarganya perlu menghadapi satu lagi cabaran. Yehuwa telah menyuruh dia dan anak-anaknya yang setia, “Jangan biarkan rambut kamu kusut dan jangan koyakkan pakaian kamu [kerana berkabung]. Dengan demikian, kamu tidak akan mati dan Tuhan tidak akan menjadi murka terhadap seluruh umat.” (Im. 10:1-6) Arahan Yehuwa sangat jelas: Kita harus lebih mengasihi Yehuwa daripada ahli keluarga yang tidak setia.
Mencari Permata Rohani
(Imamat 11:8) Jangan makan binatang-binatang itu dan jangan sentuh bangkainya. Binatang-binatang itu harus dianggap haram.
it-1 439 per. 7
Binatang
Imamat 11:8 menyatakan, “Binatang-binatang itu harus dianggap haram.” Perintah ini ditujukan kepada orang Israel, yang hidup di bawah Hukum Musa. Maka mereka perlu mematuhi perintah yang melarang mereka memakan binatang-binatang tertentu. Tetapi setelah Yesus Kristus mengorbankan nyawanya sebagai tebusan, Hukum Musa tidak berkuat kuasa lagi dan kita tidak perlu mematuhi perintah ini. Maka kita boleh memakan setiap binatang, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepada Nuh selepas Banjir.—Kol 2:13-17; Kej 9:3, 4.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
Pertanyaan Pembaca
Mengapakah Musa menjadi marah terhadap Eleazar dan Itamar selepas kematian Nadab dan Abihu, dan bagaimanakah kemarahannya diredakan?—Im. 10:16-20.
Tidak lama selepas upacara pelantikan imam di khemah suci, Yehuwa menghukum mati anak-anak Harun, iaitu Nadab dan Abihu, kerana mereka telah mempersembahkan api yang haram kepada-Nya. (Im. 10:1, 2) Musa mengarahkan anak-anak Harun yang masih hidup agar tidak berkabung untuk ahli keluarga mereka yang telah mati. Tidak lama kemudian, Musa menjadi marah terhadap Eleazar dan Itamar kerana mereka tidak makan kambing yang dipersembahkan sebagai korban dosa. (Im. 9:3) Mengapakah reaksi Musa seperti itu?
Hukum yang diberikan Yehuwa kepada Musa menyatakan bahawa imam yang mempersembahkan korban dosa haruslah memakan sebahagian korban itu di halaman khemah pertemuan. Perbuatan ini menandakan bahawa imam itu menanggung dosa pemberi korban itu. Tetapi, jika sebahagian daripada darah binatang korban itu dibawa masuk ke tempat suci, iaitu bahagian pertama khemah pertemuan, korban itu tidak boleh dimakan. Sebaliknya, korban itu mesti dibakar.—Im. 6:24-26, 30.
Nampaknya selepas Nadab dan Abihu dihukum mati, Musa berasa bahawa dia harus memastikan agar semua perintah Yehuwa telah dipatuhi. Maka apabila dia mendapati bahawa kambing yang dipersembahkan sebagai korban dosa telah dibakar, dia segera marah lalu menanya Eleazar dan Itamar mengapa mereka tidak memakan daging korban itu, sedangkan darah korban itu tidak dibawa masuk ke tempat suci.—Im. 10:17, 18.
Mereka tidak memakan daging korban itu atas arahan Harun, maka Harun telah menjawab pertanyaan Musa. Setelah dua orang anaknya dihukum mati, Harun mungkin berasa bahawa tiada imam yang layak memakan daging korban pada hari itu. Biarpun Eleazar dan Itamar tidak bertanggungjawab atas dosa Nadab dan Abihu, Harun mungkin berasa bahawa jika mereka memakan korban itu, perbuatan mereka tidak akan menyenangkan hati Tuhan.—Im. 10:19.
Barangkali Harun berfikir bahawa semasa ahli keluarganya menjalankan tugas imam buat kali pertama, mereka seharusnya mematuhi setiap perintah Tuhan dengan teliti. Walau bagaimanapun, Nadab dan Abihu telah menghina nama Yehuwa, dan Yehuwa marah lalu membinasakan mereka. Jadi Harun mungkin berasa bahawa memandangkan ada sebahagian ahli keluarganya yang telah berdosa, semua imam daripada keluarganya tidak patut memakan korban itu.
Nampaknya Musa menerima penjelasan abangnya kerana Bible menyatakan, “Apabila Musa mendengar jawapan itu, dia berpuas hati.” (Im. 10:20) Nampaknya Yehuwa juga berpuas hati dengan penjelasan Harun.
14-20 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IMAMAT 12-13
“Pengajaran daripada Hukum tentang Kusta”
(Imamat 13:52) Benda itu harus dibakar, sama ada pakaian, kain yang ditenun daripada bulu bebiri atau linen, atau apa sahaja yang dibuat daripada kulit, kerana kulapuk itu jenis yang berbahaya. Ya, benda itu mesti dibakar kerana benda itu telah dicemari kulapuk.
(Imamat 13:57) Namun jika kulapuk itu muncul di bahagian lain pada pakaian, atau kain yang ditenun, atau apa sahaja yang dibuat daripada kulit, benda itu harus dibakar kerana kulapuk sudah merebak dan mencemarinya.
it-1 1372 per. 3
Kusta
Pada pakaian dan rumah. Penyakit kusta (mungkin merujuk kepada sejenis kulat atau kulapuk; namun hal ini tidak dapat dipastikan) juga boleh mencemari pakaian yang dibuat daripada linen, bulu, atau kulit. Kulapuk ini mungkin akan hilang selepas pakaian itu dibasuh atau diasingkan. Tetapi jika masih terdapat kulapuk berwarna kuning kehijau-hijauan atau kemerah-merahan, hal ini bermaksud kulapuk itu berbahaya dan pakaian itu harus dibakar. (Im 13:47-59) Jika terdapat tompokan pada dinding rumah yang berwarna hijau kekuning-kuningan atau kemerah-merahan, seorang imam akan menutup rumah itu. Batu-batu pada dinding yang dicemari kulapuk itu dan tanah liat yang melapisi bahagian dalam rumah itu harus dikikis dan dibuang di luar kota, iaitu di tempat benda-benda najis dibuang. Jika kulapuk itu tumbuh semula, imam akan mengumumkan bahawa rumah itu najis dan harus dirobohkan. Kemudian semua batu, kayu, dan tanah liat rumah itu harus dibawa ke luar kota, ke tempat benda-benda najis dibuang. Tetapi jika imam mengumumkan bahawa rumah itu tahir, upacara penyucian untuk rumah itu akan dijalankan.—Im 14:33-57.
Mencari Permata Rohani
(Imamat 12:2) “Beritahulah umat Israel, ‘Apabila seorang wanita mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki, wanita itu dianggap najis selama tujuh hari, sama seperti keadaannya yang tidak suci pada masa haidnya.
(Imamat 12:5) “‘Jika wanita itu melahirkan seorang anak perempuan, wanita itu dianggap najis selama 14 hari, sama seperti keadaannya yang tidak suci pada masa haidnya. Wanita itu mesti terus menyucikan diri daripada pendarahannya selama 66 hari lagi.
w04 15/5 23 per. 2
Sorotan daripada Buku Imamat
12:2, 5—Mengapakah wanita yang melahirkan anak dianggap “najis”? Organ pembiakan dicipta untuk melahirkan manusia yang sempurna. Tetapi disebabkan dosa Adam, manusia mewariskan ketidaksempurnaan dan dosa kepada keturunan mereka. Maka apabila wanita datang haid atau melahirkan anak, atau lelaki mengeluarkan air mani, mereka dianggap najis buat sementara. Hal ini mengingatkan orang Israel tentang dosa yang diwarisi mereka. (Imamat 15:16-24; Mazmur 51:5; Roma 5:12) Mereka harus menjalankan upacara penyucian. Hukum ini membantu mereka untuk memahami bahawa umat manusia memerlukan korban tebusan untuk menutupi dosa mereka dan menjadi sempurna semula. Oleh itu, Hukum Musa telah menjadi ‘penjaga yang memimpin mereka kepada Kristus.’—Galatia 3:24.
21-27 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IMAMAT 14-15
“Kebersihan Amat Penting dalam Ibadat Sejati”
(Imamat 15:13-15) “‘Jika lelehan itu berhenti, lelaki itu mesti mandi dengan air bersih dan mencuci pakaiannya selepas tujuh hari untuk menyucikan dirinya. Dengan itu dia akan menjadi tahir. 14 Pada hari kelapan, lelaki itu harus membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati muda kepada imam. Dia harus membawa burung itu ke hadapan Yehuwa di depan pintu masuk khemah pertemuan. 15 Imam akan mempersembahkan seekor daripada burung itu sebagai korban dosa dan seekor lagi sebagai korban bakar bagi kenajisan lelaki itu. Dengan cara ini, imam akan memohon pengampunan dosa bagi pihak lelaki itu di hadapan Yehuwa.
it-1 338-339
Mandi
Secara umumnya, orang Israel perlu menjalankan upacara penyucian atas pelbagai sebab. Contohnya, sesiapa yang sembuh daripada penyakit kusta, sesiapa yang menyentuh benda yang telah disentuh oleh orang yang “mengeluarkan lelehan,” sesiapa yang mengeluarkan air mani, atau yang datang haid atau mengalami pendarahan, atau sesiapa yang melakukan hubungan seks, dianggap “najis” dan harus mandi. (Im 14:8, 9; 15:4-27) Sesiapa yang berada di dalam khemah bersama mayat atau menyentuh mayat dianggap “najis” dan harus menyucikan diri dengan air. Sesiapa yang enggan mematuhi perintah ini ‘harus dihukum mati kerana orang itu telah mencemari khemah suci milik Yehuwa.’ (Bil 19:20) Oleh itu, Bible menggunakan perbuatan membersihkan diri dengan air untuk menggambarkan keadaan suci di mata Yehuwa. (Mz 26:6; 73:13; Yes 1:16; Yeh 16:9) Firman Yehuwa seperti air kebenaran yang dapat membersihkan kita.—Ef 5:26.
(Imamat 15:28-30) “‘Tetapi jika pendarahan itu berhenti, wanita itu mesti menunggu selama tujuh hari, barulah dia akan menjadi tahir. 29 Pada hari kelapan, wanita itu harus membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati muda kepada imam di hadapan pintu masuk khemah pertemuan. 30 Imam akan mempersembahkan seekor daripada burung itu sebagai korban dosa dan seekor lagi sebagai korban bakar bagi kenajisan wanita itu. Dengan cara ini, imam akan memohon pengampunan bagi pihak wanita itu di hadapan Yehuwa.
it-1 850 per. 1
Haid
Seorang wanita juga dianggap najis apabila dia mengalami pendarahan selama beberapa hari di luar masa haidnya atau apabila “pendarahannya berterusan sesudah masa haidnya yang biasa.” Sepanjang masa itu, apa sahaja yang diduduki atau ditiduri olehnya, dan sesiapa yang menyentuh benda-benda itu dianggap najis. Jika pendarahannya berhenti, dia mesti menunggu selama tujuh hari, barulah dia akan menjadi tahir. Pada hari kelapan, dia harus membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati muda kepada imam. Imam akan mempersembahkan seekor daripada burung itu sebagai korban dosa kepada Yehuwa dan seekor lagi sebagai korban bakar.—Im 15:19-30.
(Imamat 15:31) “‘Kamu mesti memastikan umat Israel tetap suci supaya mereka tidak mencemari khemah suci-Ku yang berada di tengah-tengah mereka. Umat Israel akan mati jika mereka mencemari khemah suci-Ku dengan kenajisan mereka.
it-2 1009 per. 2
Tempat Suci
2. Khemah pertemuan, dan kemudiannya Rumah Tuhan. Seluruh bangunan, termasuk halaman khemah suci dan halaman Rumah Tuhan, ialah tempat yang suci. (Kel 38:24; 2Ta 29:5; Kis 21:28) Benda-benda yang terletak di halaman khemah suci atau Rumah Tuhan, seperti mazbah korban bakar dan besen tembaga, juga merupakan benda-benda suci. Hanya orang yang telah menjalankan upacara penyucian boleh memasuki halaman khemah suci. Begitu juga, tiada sesiapa pun yang najis boleh memasuki halaman Rumah Tuhan. Contohnya, seorang wanita dalam keadaan najis tidak boleh menyentuh apa-apa yang suci atau masuk ke tempat yang suci. (Im 12:2-4) Jika umat Israel tidak tetap suci, mereka akan mencemari khemah suci. (Im 15:31) Sesiapa yang sembuh daripada penyakit kusta dan mempersembahkan korban bagi upacara penyucian hanya boleh membawa persembahannya sejauh pintu masuk khemah pertemuan. (Im 14:11) Sesiapa yang najis tidak boleh memakan daging korban pendamaian di khemah suci atau Rumah Tuhan. Jika dia memakannya, dia pasti dihukum mati.—Im 7:20, 21.
Mencari Permata Rohani
(Imamat 14:14) “Kemudian imam akan mengambil sedikit darah binatang bagi korban ganti rugi itu lalu menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan ibu jari kaki kanan orang yang menjalani upacara penyucian.
(Imamat 14:17) Selepas itu, imam akan menyapukan sedikit minyak yang ada di telapak tangannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan ibu jari kaki kanan orang tersebut, iaitu di tempat yang sama dia menyapukan darah itu.
(Imamat 14:25) Kemudian imam akan menyembelih bebiri itu, lalu mengambil sedikit darahnya dan menyapukannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan ibu jari kaki kanan orang yang menjalani upacara penyucian.
(Imamat 14:28) Selepas itu, imam akan menyapukan sedikit minyak yang ada di telapak tangannya pada cuping telinga kanan, ibu jari tangan kanan, dan ibu jari kaki kanan orang tersebut, iaitu di tempat yang sama dia menyapukan darah untuk korban ganti rugi itu.
it-2 1007 per. 2
Telinga
Semasa upacara pelantikan imam di Israel, Musa disuruh untuk mengambil sedikit darah bebiri jantan yang digunakan sebagai korban, lalu menyapukan darah itu pada cuping telinga kanan, tangan kanan, dan kaki kanan Harun dan anak-anak lelakinya. Hal ini menggambarkan bahawa telinga mereka akan mendengar firman Tuhan, tangan mereka akan melakukan tugas mereka dalam cara yang menyenangkan hati-Nya, dan kaki mereka sentiasa berjalan di haluan yang suci. (Im 8:22-24) Hal ini juga digambarkan dalam upacara penyucian seorang pesakit kusta. Semasa upacara itu, imam mengambil sedikit minyak dan sedikit darah bebiri jantan bagi korban ganti rugi, lalu menyapukan kedua-duanya pada cuping telinga kanan pesakit kusta itu. (Im 14:14, 17, 25, 28) Jika seorang hamba ingin terus berkhidmat kepada tuannya seumur hidup, dia juga perlu melakukan hal yang serupa. Hamba itu akan disuruh untuk bersandar pada tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinganya. Telinganya yang telah ditindik menunjukkan bahawa dia ingin terus mendengar dan mematuhi tuannya.—Kel 21:5, 6.
(Imamat 14:43-45) “Namun jika tompokan muncul kembali di dalam rumah itu selepas batu-batu dikeluarkan dan selepas dinding rumah dikikis dan dilapisi semula, 44 imam akan masuk untuk memeriksa rumah itu. Jika tompokan itu sudah merebak ke bahagian lain rumah itu, maka kulapuk itu jenis yang berbahaya. Rumah itu sudah menjadi najis. 45 Imam akan mengarahkan agar rumah itu dirobohkan. Kemudian semua batu, kayu, dan tanah liat rumah itu harus dibawa ke luar kota, ke tempat benda-benda najis dibuang.
g 1/06 14-15, kotak
Kulat—Kawan dan Lawan!
KULAT PADA ZAMAN BIBLE?
Catatan Bible menyebut tentang ‘sebuah rumah yang dicemari kulapuk.’ (Imamat 14:34-48) Ada orang berpendapat bahawa kulapuk ini merupakan “sejenis penyakit kusta atau kulat yang berbahaya,” namun hal ini tidak dapat dipastikan. Tidak kira apa pun, Hukum Tuhan mengarahkan pemilik rumah itu untuk mengeluarkan batu-batu yang dicemari, mengikis seluruh bahagian dalam rumah itu, dan membuang semua batu dan tanah liat yang sudah dikikis itu di luar kota, “iaitu tempat benda-benda najis dibuang.” Jika kulat itu muncul kembali, imam akan mengumumkan bahawa seluruh rumah itu sudah menjadi najis dan harus dirobohkan, dan semua bahannya harus dibuang. Perintah Yehuwa yang terperinci ini mencerminkan kasih-Nya yang mendalam terhadap umat-Nya dan keprihatinan-Nya terhadap kesihatan jasmani mereka.