Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
© 2024 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
4-10 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 105
“Dia Ingat akan Perjanjian-Nya Buat Selama-Lamanya”
it-2-E 1201 ¶2
Firman
Semua ciptaan Tuhan, tidak kira yang bernyawa atau tidak bernyawa, juga tunduk kepada firman Tuhan, atau perintah-Nya, dan dapat digunakan oleh Tuhan untuk mencapai tujuan-Nya. (Mz 103:20; 148:8) Semua yang difirmankan oleh Yehuwa dapat dipercayai. Yehuwa juga akan melaksanakan semua yang telah dijanjikan-Nya. (Ul 9:5; Mz 105:42-45) Seperti yang Tuhan telah katakan, firman-Nya “kekal buat selama-lamanya” dan tidak akan kembali kepada-Nya sebelum mencapai tujuan-Nya.—Yes 40:8; 55:10, 11; 1Pt 1:25.
11-17 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 106
Permata Rohani
w06-E 7/15 13 ¶9
Sorotan daripada Mazmur Buku Ketiga dan Keempat
106:36, 37. Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa seseorang yang menyembah berhala seolah-olah sedang mempersembahkan korban kepada roh-roh jahat, dan perbuatan ini mungkin menyebabkannya berada di bawah pengaruh roh-roh jahat. Oleh itu, Bible memberikan amaran ini: “Jauhkanlah diri kamu daripada berhala.”—1 Yohanes 5:21.
18-24 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 107-108
“Bersyukurlah kepada Yehuwa kerana Dia Baik”
w07-E 4/15 20 ¶2
Melaungkan Pujian kepada Yehuwa Bersama Sidang
2 Sidang bukanlah sekadar kumpulan, persatuan, atau pertubuhan untuk melakukan hal-hal sosial. Ini bukanlah tempat di mana orang yang mempunyai latar belakang atau hobi yang serupa untuk bergaul. Sebaliknya, tujuan utama sidang ditubuhkan adalah supaya orang dapat berkumpul untuk memuji Yehuwa. Itulah yang dikatakan di Mazmur 35:18. Ayat ini berbunyi, “Aku akan bersyukur kepada-Mu dalam kalangan perhimpunan yang besar; aku akan memuji-Mu dalam kalangan orang ramai yang berkumpul bersama.” Tambahan lagi, Mazmur 107:31, 32 menggalakkan kita untuk melaungkan pujian kepada Yehuwa bersama sidang. Ayat ini berkata, “Bersyukurlah kepada Yehuwa atas kasih setia-Nya dan atas perbuatan-Nya yang menakjubkan demi manusia. Semoga mereka mengagungkan Tuhan dalam perhimpunan umat.”
25 NOVEMBER–1 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 109-112
Sokonglah Yesus, Raja Kita!
w06-E 9/1 13 ¶6
Sorotan daripada Mazmur Buku Kelima
110:1, 2—Dalam ayat ini, “Tuanku” merujuk kepada Yesus. Apakah yang Yesus lakukan sementara dia di sebelah kanan Tuhan? Selepas Yesus dibangkitkan ke syurga, dia berada di sebelah kanan Tuhan sehingga tahun 1914, iaitu tahun dia mula memerintah sebagai Raja. Sementara menunggu di sebelah kanan Tuhan, Yesus memimpin pengikutnya yang terurap serta membimbing mereka dalam kerja penyebaran. Selain itu, dia membantu mempersiapkan mereka untuk memerintah bersamanya sebagai raja dalam Kerajaan Tuhan.—Matius 24:14; 28:18-20; Lukas 22:28-30.
w00-E 4/1 18 ¶3
Musuh Tuhan Tidak Akan Menang!
3 Sejak awal abad ke-20, umat Yehuwa telah ditentang dengan sengit. Di banyak kawasan, orang yang berniat jahat berusaha untuk menghentikan kerja penyebaran kita. Sebenarnya, di sebalik serangan itu ialah Syaitan Si Iblis, iaitu musuh Tuhan yang “sedang merayau-rayau seperti seekor singa yang mengaum sambil mencari mangsa untuk dibaham.” (1 Petrus 5:8) Selepas “waktu yang ditetapkan bagi bangsa-bangsa lain genap” pada 1914, Yehuwa melantik Anak-Nya sebagai Raja. Kemudian, Yehuwa memberikan arahan ini kepadanya: “Pergilah dalam kalangan musuh-musuhmu dan taklukilah mereka.” (Lukas 21:24; Mazmur 110:2) Dengan menggunakan kuasa yang telah diberi kepadanya, Yesus membuang Syaitan dari syurga ke bumi. Memandangkan Syaitan tahu masanya tinggal sedikit sahaja, dia menunjukkan kemarahannya dengan menentang pengikut Kristus yang terurap serta rakan-rakan mereka. (Wahyu 12:9, 17) Apakah kesannya terhadap umat Tuhan?
2-8 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 113-118
Bagaimanakah Kita Dapat Membalas Kebaikan Yehuwa?
w01-E 1/1 11 ¶13
Kasih Menguatkan Kita
13 Daripada kata-kata Yesus, jelaslah kita mesti memiliki kasih kepada Yehuwa. Hal ini ialah hal yang paling penting. Kasih ini tidak datang secara semula jadi, tetapi kita mesti memupuknya. Apabila kita mula mengenali Yehuwa, kita mungkin tertarik kepada apa yang kita dengar tentang-Nya. Secara beransur-ansur, kita juga belajar tentang cara Tuhan menyediakan bumi untuk manusia. (Kejadian 2:5-23) Kita melihat cara Dia melayan manusia dan tidak berputus asa semasa pasangan manusia pertama melakukan dosa. Sebaliknya, Dia mengambil langkah untuk menyelamatkan keturunan mereka. (Kejadian 3:1-5, 15) Yehuwa menunjukkan kebaikan hati kepada orang yang setia. Dia bahkan memberikan Anak tunggal-Nya sebagai korban tebusan supaya dosa kita dapat diampunkan. (Yohanes 3:16, 36) Semakin banyak kita belajar tentang Yehuwa, semakin dalam penghargaan kita terhadap-Nya. (Yesaya 25:1) Raja Daud juga berkata bahawa dia mengasihi Yehuwa kerana Yehuwa menjaganya dengan baik sekali. (Mazmur 116:1-9) Hari ini, Yehuwa juga menjaga kita, membimbing kita, menguatkan kita, dan menggalakkan kita. Dengan terus menimba pengetahuan tentang Yehuwa, kasih kita terhadap-Nya juga akan terus bertambah.—Mazmur 31:23; Zefanya 3:17; Roma 8:28.
w09-E 7/15 29 ¶4-5
Menerima dengan Rasa Syukur, Memberi dengan Sepenuh Hati
Pemazmur pernah menanyakan soalan ini: “Apakah yang dapat aku berikan kepada Yehuwa untuk membalas segala kebaikan-Nya terhadapku?” (Mzm. 116:12) Bagaimanakah Yehuwa telah menunjukkan kebaikan kepadanya? Yehuwa telah menyokongnya semasa “kesusahan dan kesedihan” melandanya. Selain itu, Yehuwa ‘menyelamatkannya daripada maut.’ Maka, pemazmur ingin ‘membalas segala kebaikan Yehuwa.’ Apakah yang dapat dia lakukan? Dia berkata, “Aku akan menunaikan ikrarku kepada Yehuwa.” (Mzm. 116:3, 4, 8, 10-14) Ya, dia bertekad untuk melakukan apa yang dijanjikannya kepada Yehuwa dan menunaikan kewajipannya sebagai penyembah-Nya.
Anda juga dapat melakukan hal yang sama dengan hidup mengikut perintah dan prinsip Tuhan. Utamakanlah ibadat anda kepada Yehuwa dan biarlah kuasa suci Tuhan membimbing setiap perkara yang anda lakukan. (Pkh. 12:13; Gal. 5:16-18) Walaupun kita tidak mungkin dapat membalas segala kebaikan Yehuwa, Dia berasa sangat gembira apabila kita memberi yang terbaik kepada-Nya dengan sepenuh hati. (Ams. 27:11) Sememangnya, ini peluang yang istimewa bagi kita untuk menyenangkan hati Yehuwa.
9-15 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 119:1-56
“Bagaimanakah Orang Muda Dapat Hidup Suci?”
w87-E 11/1 18 ¶10
Tetap Suci dalam Segala Hal
10 Di Efesus 5:5, Paulus memberikan amaran ini: “Kamu sendiri tahu dan sedar bahawa orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, orang yang melakukan perkara-perkara yang najis, atau orang yang tamak, iaitu orang yang menyembah berhala, tidak akan mewarisi apa-apa dalam Kerajaan Kristus dan Tuhan.” Sedihnya, setiap tahun, ribuan Saksi diberikan teguran atau disingkirkan kerana perbuatan seks yang tidak bermoral. Bible kata bahawa orang yang melakukan perbuatan sebegini sedang “berdosa terhadap tubuhnya sendiri.” (1 Korintus 6:18) Sering kali, seseorang terjebak dalam gejala ini kerana mereka gagal ‘mengawasi diri dan mematuhi firman Tuhan.’ (Mazmur 119:9) Contohnya semasa bercuti, ada yang bersikap leka dan tidak peka terhadap hal-hal yang dapat mengancam kerohanian mereka. Mungkin mereka rasa lebih bebas untuk bergaul dengan orang duniawi dan memberikan alasan bahawa mereka ialah “orang yang baik.” Akhirnya, ada juga yang terikut dalam aktiviti yang tidak sesuai untuk orang Kristian. Selain bahaya ini, sesetengah Saksi menjadi terlalu mesra dengan rakan kerja mereka. Misalnya, seorang penatua telah menjalin persahabatan yang erat dengan rakan kerjanya sehingga dia meninggalkan keluarganya untuk hidup bersama wanita itu. Akibatnya, dia disingkirkan. Apa yang dikatakan dalam Bible memang benar: “Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.”—1 Korintus 15:33.
w06-E 6/15 25 ¶1
“Aku Menggemari Peringatan-Mu”
YEHUWA memberikan umat-Nya peringatan supaya dapat membantu mereka menghadapi tekanan pada masa yang mencabar ini. Sesetengah peringatan itu datang menerusi pembacaan Bible peribadi. Ada kalanya, peringatan akan disampaikan semasa perjumpaan Kristian atau komen yang diberikan oleh saudara saudari. Kebanyakan maklumat yang kita baca atau dengar bukanlah hal yang baharu bagi kita. Sebenarnya, kita mungkin telah mengkajinya sebelum itu. Tetapi oleh kerana kita cenderung untuk lupa, kita perlukan peringatan daripada Yehuwa supaya dapat terus ingat akan tujuan, perintah, dan arahan-Nya. Sememangnya, kita patut menghargai peringatan daripada Tuhan kerana itu membantu kita untuk tetap bersemangat dan hidup menurut haluan Tuhan. Itulah sebabnya pemazmur bernyanyi kepada Yehuwa, “Aku menggemari peringatan-Mu.”—Mazmur 119:24.
w10-E 4/15 20 ¶2
Palingkanlah Pandanganmu daripada Perkara yang Sia-Sia!
2 Apa yang kita lihat dapat membawa pengaruh yang besar terhadap minda kita dan menimbulkan atau menguatkan keinginan dalam diri kita. Dunia Syaitan yang menggalakkan sikap mementingkan diri sering melontarkan banyak imej dan propaganda untuk menjerat kita. (1 Yoh. 5:19) Jika kita tidak berhati-hati dan melihat bahkan untuk seketika saja, hal ini mungkin memudaratkan atau menyimpangkan kita. Itulah sebabnya pemazmur merayu kepada Yehuwa, “Palingkanlah pandanganku daripada perkara yang sia-sia; bantulah aku berjalan menurut haluan-Mu agar aku tetap hidup.”—Mzm. 119:37.
Permata Rohani
w05-E 4/15 10 ¶2
Percayalah kepada Firman Tuhan
2 Mazmur 119 menekankan betapa bernilainya Firman Tuhan atau mesejnya. Barangkali penulisnya menggunakan huruf-huruf Ibrani mengikut urutan abjad untuk membantu pembaca lebih mudah mengingati 176 ayat dalam mazmur itu. Dalam teks Ibrani yang asal, Mazmur 119 terdiri daripada 22 rangkap, dan setiap rangkapnya mempunyai lapan baris. Setiap baris dalam satu rangkap akan bermula dengan abjad Ibrani yang sama. Mazmur ini menyebut tentang firman, hukum, peringatan, peraturan, ketetapan, haluan, ajaran, perintah, dan penghakiman Yehuwa yang adil. Dalam rencana ini dan yang seterusnya, kita akan membincangkan Mazmur 119 berdasarkan satu terjemahan teks Bible bahasa Ibrani. Dengan merenungkan pengalaman hamba Tuhan pada zaman lalu dan sekarang, kita akan meningkatkan penghargaan kita terhadap mazmur ini serta Firman Tuhan.
16-22 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 119:57-120
Bagaimanakah Kita Dapat Bertabah semasa Menghadapi Penderitaan?
w06-E 6/15 20 ¶2
“Aku Sangat Mencintai Hukum-Mu!”
2 Anda mungkin tertanya-tanya, “Bagaimanakah perintah Tuhan dapat melegakan dan menghiburkan hati pemazmur?” Perintah Tuhan telah membantu pemazmur yakin bahawa Tuhan sangat prihatin terhadapnya. Meskipun para penentang menyebabkannya mengalami banyak penderitaan, pemazmur rasa bahagia kerana memiliki perintah Tuhan yang menjadi pedoman hidupnya. Dia juga sedar bahawa Yehuwa amat baik terhadapnya. Selain itu, perintah Tuhan membantunya menjadi lebih bijak daripada musuh-musuhnya serta memelihara nyawanya. Dengan mematuhi perintah Tuhan, pemazmur juga memperoleh kedamaian dan hati nurani yang bersih.—Mazmur 119:1, 9, 65, 93, 98, 165.
w00-E 12/1 14 ¶3
Adakah Anda Juga Mengasihi Peringatan Yehuwa?
3 Pemazmur amat menghargai peringatan daripada Yehuwa. Dia bernyanyi, “Aku bergegas-gegas untuk melaksanakan perintah-Mu; aku ingin melaksanakannya tanpa berlengah-lengah. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melupakan hukum-Mu.” (Mazmur 119:60, 61) Peringatan Yehuwa dapat bantu kita bertabah semasa dianiaya kerana kita yakin bahawa Bapa kita yang di syurga dapat membebaskan kita daripada perangkap para musuh. Pada masa yang ditetapkan-Nya, Dia akan memutuskan belenggu yang menghalang kita supaya kita dapat terus melakukan kerja penyebaran.—Markus 13:10.
w06-E 9/1 14 ¶4
Sorotan daripada Mazmur Buku Kelima
119:71—Apakah manfaatnya apabila kita dihukum, atau menderita? Penderitaan mengajar kita untuk lebih bersandar pada Yehuwa, berdoa dengan lebih bersungguh-sungguh, serta menyelidiki dan menerapkan ajaran Bible dengan lebih tekun. Selain itu, penderitaan dapat mendedahkan kelemahan kita agar kita dapat memperbaik keperibadian kita. Kita tidak akan menjadi marah dan kecewa jika kita membenarkan penderitaan untuk memperbaik diri kita.
23-29 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 119:121-176
Cara untuk Elak daripada Mengundang Masalah
w93-E 4/15 17 ¶12
Kaum Muda, Apakah yang Sedang Anda Kejarkan?
12 Lebih-lebih lagi, belajarlah untuk membenci dan menjauhi apa yang jahat. (Mazmur 97:10) Bagaimanakah anda dapat memupuk sikap benci akan perkara yang nampaknya seronok saja? Dengan memikirkan akibat buruk perbuatan itu. Bible kata, “Janganlah menipu diri sendiri. Tuhan tidak dapat diperbodoh. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya. Orang yang menanam menurut keinginan yang berdosa akan menuai kebinasaan daripada keinginannya yang berdosa itu.” (Galatia 6:7, 8) Saat anda tergoda untuk menyerah kepada hawa nafsu yang berdosa, renungkanlah terlebih dahulu kesan tindakan itu dan perasaan Tuhan Yehuwa. Sudah pasti perbuatan itu akan menyakiti hati-Nya. (Bandingkan Mazmur 78:41.) Fikirkan juga akibat lain yang mungkin terjadi, misalnya kehamilan yang tidak dirancang atau jangkitan penyakit seperti AIDS. Tambahan lagi, anda akan mengalami parut emosi dan hilang harga diri. Selain itu, terdapat kesan-kesan yang berpanjangan seperti yang dinyatakan oleh seorang wanita Kristian. Dia kata, “Sebelum saya dan suami kenal satu sama lain, kami masing-masing pernah melakukan hubungan seks dengan orang lain. Walaupun hari ini kami berdua sudah menjadi orang Kristian, perbuatan lampau kami masih membawa kesan kepada perkahwinan kami sampai hari ini. Kami akan bertengkar atau rasa cemburu disebabkan hal itu.” Satu lagi akibat perbuatan berdosa ialah seseorang mungkin kehilangan peluang untuk berkhidmat atau bahkan disingkirkan daripada sidang. (1 Korintus 5:9-13) Adakah berbaloi untuk membayar harga tinggi ini sekadar untuk keseronokan yang bersifat sementara?
30 DISEMBER–5 JANUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 120-126
Menabur sambil Mencucurkan Air Mata, Menuai sambil Bersorak Gembira
w04-E 6/1 16 ¶10
Orang yang Memuliakan Tuhan Pasti Diberkati
10 Apabila kita menjadi pengikut Yesus, kita sedang menentang Syaitan Si Iblis. “Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu,” kata Yakobus 4:7. Namun demikian, kita tahu hal ini bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Kita perlu mencurahkan banyak usaha untuk terus menyembah Tuhan. (Lukas 13:24) Tetapi Bible berjanji di Mazmur 126:5, “Orang yang menabur benih sambil mencucurkan air mata, akan menuai hasilnya sambil bersorak gembira.” Sememangnya, Yehuwa bukanlah Tuhan yang tidak tahu mengenang budi. Sebaliknya, Dia “memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh,” dan Dia memberkati orang yang berusaha memuliakan-Nya.—Ibrani 11:6.
w01-E 7/15 18-19 ¶13-14
Teruslah Melakukan Kerja Menuai!
13 Mazmur 126:5, 6 sangat melegakan bagi para penginjil Tuhan, terutamanya mereka yang menderita akibat penganiayaan. Ayat itu kata, “Orang yang menabur benih sambil mencucurkan air mata, akan menuai hasilnya sambil bersorak gembira. Orang yang keluar dengan tangisan sambil membawa kantungnya yang berisi benih, pasti akan pulang dengan seruan sukacita sambil membawa hasil tuaiannya.” Kata-kata pemazmur tentang kerja menabur dan menuai menggambarkan cara Yehuwa menjaga dan memberkati umat Israel yang dibebaskan dari Babilon dan kembali ke tanah air mereka. Mereka pasti sangat gembira kerana dibebaskan. Tapi mereka juga mungkin mencucurkan air mata semasa mereka menabur benih di tempat yang sudah terbiar selama 70 tahun. Namun mereka yang tidak putus asa telah menikmati hasil baik daripada usaha mereka.
14 Kita juga mungkin mencucurkan air mata semasa menghadapi cabaran. Selain itu, kita juga mungkin mengalirkan air mata semasa kita atau rakan seiman sedang menderita kerana melakukan apa yang benar. (1 Petrus 3:14) Kita juga mungkin rasa aktiviti penyebaran kita mencabar kerana usaha kita nampaknya tidak berhasil. Tetapi jika kita terus menanam dan menyiram, Tuhan akan menyebabkannya terus bertumbuh. (1 Korintus 3:6) Kebanyakan masanya, hasil yang diraih lebih baik daripada apa yang kita jangkakan. Hal ini terbukti benar daripada hasil pengedaran Bible dan bahan bacaan kita.