RENCANA PEMBELAJARAN 14
LAGU 8 Yehuwa Pelindungku
“Pilihlah Sekarang Siapa yang Akan Kamu Sembah”
“Bagi aku dan keluargaku, kami akan menyembah Yehuwa.”—YOS. 24:15.
FOKUS
Mengingatkan kita tentang sebab-sebabnya kita memilih untuk menyembah Yehuwa.
1. Untuk menikmati kebahagiaan yang sejati, kita mesti melakukan apa, dan mengapa? (Yesaya 48:17, 18)
BAPA kita yang di syurga sangat mengasihi kita. Dia mahu kita hidup bahagia sekarang dan pada masa depan. (Pkh. 3:12, 13) Semasa Dia menciptakan kita, Dia memberi kita banyak kebolehan. Tetapi Dia tidak memberi kita kebolehan untuk memerintah diri sendiri atau untuk menentukan apa yang betul dan salah. (Pkh. 8:9; Yer. 10:23) Yehuwa tahu bahawa untuk menikmati kebahagiaan yang sejati, kita mesti menyembah-Nya dan mematuhi-Nya.—Baca Yesaya 48:17, 18.
2. Syaitan mahu kita percaya apa? Bagaimanakah Yehuwa membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta?
2 Syaitan mahu kita percaya bahawa kita dapat hidup bahagia tanpa Yehuwa, dan bahawa manusia mampu memerintah diri sendiri. (Kej. 3:4, 5) Untuk membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta, Yehuwa membenarkan manusia memerintah diri sendiri buat suatu jangka masa. Daripada sejarah manusia, jelaslah bahawa pemerintahan manusia gagal membawa kebahagiaan. Namun, Bible penuh dengan kisah tentang lelaki dan wanita yang hidup bahagia kerana menyembah Yehuwa. Antara mereka, Yesus Kristus ialah contoh yang terbaik. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan mengapa Yesus memilih untuk menyembah Yehuwa, mengapa Yehuwa layak disembah, dan mengapa kita memilih untuk menyembah Yehuwa.
MENGAPA YESUS MEMILIH UNTUK MENYEMBAH YEHUWA
3. Apakah yang Syaitan tawarkan kepada Yesus? Apakah pilihan Yesus?
3 Semasa di bumi, Yesus harus pilih siapa yang dia mahu sembah. Tidak lama selepas Yesus dibaptis, Syaitan menawarkan semua kerajaan di bumi kepadanya jika Yesus sujud dan menyembahnya satu kali sahaja. Tetapi Yesus memilih untuk menyembah Yehuwa. Dia berkata, “Pergilah Syaitan! Kerana ada tertulis, ‘Kamu mesti menyembah Yehuwa, Tuhanmu, dan kamu mesti memberikan khidmat suci kepada Dia sahaja.’” (Mat. 4:8-10) Mari kita lihat beberapa sebab Yesus memilih untuk menyembah Yehuwa.
4-5. Apakah beberapa sebab Yesus memilih untuk menyembah Yehuwa?
4 Sebab terpenting Yesus memilih untuk menyembah Yehuwa adalah kerana dia mengasihi Bapanya secara mendalam. (Yoh. 14:31) Selain itu, Yesus menyembah Yehuwa kerana dia tahu itu ialah tindakan yang wajar. (Yoh. 8:28, 29; Why. 4:11) Yehuwa ialah Sumber kehidupan, Tuhan yang murah hati, dan Tuhan yang dapat dipercayai. (Mzm. 33:4; 36:9; Yak. 1:17) Dari mula lagi, Yehuwa sentiasa bercakap benar kepada Yesus, dan segala yang dimiliki Yesus diberikan oleh Yehuwa. (Yoh. 1:14) Syaitan pula ialah penyebab kematian. Dia ialah pendusta yang tamak dan mementingkan diri. (Yoh. 8:44) Oleh sebab Yesus mengenali Yehuwa dan Syaitan, dia tidak pernah terfikir untuk memberontak terhadap Yehuwa seperti yang dilakukan Syaitan.—Flp. 2:5-8.
5 Satu lagi sebab Yesus memilih untuk menyembah Yehuwa adalah kerana dia tahu bahawa kesetiaannya akan membawa hasil yang baik. (Ibr. 12:2) Dia dapat menyucikan nama Bapanya dan membuka jalan untuk melenyapkan segala masalah yang disebabkan oleh Si Iblis.
MENGAPA YEHUWA LAYAK DISEMBAH
6-7. Hari ini, mengapakah banyak orang tidak menyembah Yehuwa? Mengapakah Yehuwa layak disembah?
6 Hari ini, banyak orang tidak menyembah Yehuwa kerana mereka tidak mengenali sifat-sifat baik-Nya dan segala yang dilakukan-Nya untuk mereka. Itulah keadaan orang Atena semasa Rasul Paulus menginjil kepada mereka.—Kis. 17:19, 20, 30, 34.
7 Paulus menjelaskan kepada mereka bahawa Tuhan yang benar telah “memberikan kehidupan dan nafas serta segala sesuatu kepada semua orang.” Dia juga berkata, “Kita hidup, bergerak, dan wujud kerana Dia.’” Sebagai Pencipta yang “menjadikan semua bangsa” di bumi, Yehuwa memang layak disembah.—Kis. 17:25, 26, 28.
8. Apakah yang tidak akan dilakukan oleh Yehuwa? Jelaskan.
8 Biarpun Yehuwa ialah Pencipta dan Pemerintah Tertinggi di alam semesta, Dia tidak akan memaksa orang untuk menyembah-Nya. Sebaliknya, Dia menyediakan bukti tentang kasih-Nya dan kewujudan-Nya supaya kita masing-masing dapat memilih jika kita mahu menyembah-Nya atau tidak. Contohnya, Dia melatih kita untuk mengajar orang tentang tujuan-Nya dan janji-janji-Nya bagi masa depan, kerana Dia mahu sebanyak orang yang mungkin untuk menjadi sahabat-Nya buat selama-lamanya. (Mat. 10:11-13; 28:19, 20; 1 Tim. 2:3, 4) Dia juga menyediakan sidang supaya kita dapat menyembah-Nya dan mengaturkan penatua yang pengasih untuk menjaga kita.—Kis. 20:28.
9. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa mengasihi semua manusia?
9 Biarpun banyak orang tidak mahu percaya bahawa Yehuwa wujud, Dia tetap menunjukkan bahawa Dia mengasihi mereka. Apakah yang dilakukan-Nya? Sepanjang sejarah manusia, berbilion-bilion orang tidak mengendahkan piawaian Yehuwa tentang apa yang baik dan apa yang jahat. Namun, Yehuwa tetap menyediakan apa yang mereka perlukan untuk terus hidup dengan gembira. (Mat. 5:44, 45; Kis. 14:16, 17) Contohnya, mereka dapat berumah tangga, menjalinkan hubungan yang baik dengan sahabat dan keluarga, dan menikmati hasil baik kerja keras mereka. (Mzm. 127:3; Pkh. 2:24) Semua bukti ini jelas menunjukkan bahawa Bapa kita di syurga mengasihi semua manusia. (Kel. 34:6) Sekarang, mari kita bincang mengapa kita memilih untuk menyembah Yehuwa dan bagaimana Dia memberkati orang yang berbuat demikian.
MENGAPA KITA MEMILIH UNTUK MENYEMBAH YEHUWA
10. (a) Apakah sebab utama kita menyembah Yehuwa? (Matius 22:37) (b) Apakah perasaan anda setelah merenungkan kesabaran Yehuwa? (Mazmur 103:13, 14)
10 Seperti Yesus, sebab utama kita menyembah Yehuwa adalah kerana kita sangat mengasihi-Nya. (Baca Matius 22:37.) Kita mahu menjadi sahabat Yehuwa selepas kita belajar tentang sifat-sifat baik-Nya. Sebagai contoh, fikirkan kesabaran Yehuwa. Biarpun orang Israel berkali-kali mengingkari-Nya, Dia merayu kepada mereka, “Berpalinglah daripada haluan jahat kamu.” (Yer. 18:11) Selain itu, walaupun kita sering berbuat silap, Yehuwa mengampuni kita kerana Dia ingat bahawa kita adalah seperti debu. (Baca Mazmur 103:13, 14.) Setelah merenungkan kesabaran Yehuwa dan sifat-sifat-Nya yang lain, tidakkah anda tergerak untuk menyembah-Nya buat selama-lamanya?
11. Apakah sebab lain kita memilih untuk menyembah Yehuwa?
11 Sebab lain kita memilih untuk menyembah Yehuwa adalah kerana kita tahu itulah tindakan yang wajar. (Mat. 4:10) Selain itu, kita tahu kesetiaan kepada Yehuwa dapat membawa hasil yang baik. Kita dapat membantu untuk menyucikan nama Yehuwa, membuktikan Syaitan sebagai pendusta, dan menyenangkan hati Yehuwa. Tambahan lagi, jika kita memilih untuk menyembah Yehuwa, kita ada harapan untuk sembah-Nya buat selama-lamanya!—Yoh. 17:3.
12-13. Apakah yang kita belajar daripada pengalaman Jane dan Pamela?
12 Sejak kecil lagi, kita dapat belajar untuk mengasihi Yehuwa secara mendalam, dan kasih itu dapat kian hari kian bertambah. Perhatikan pengalaman dua orang adik-beradik yang bernama Jane dan Pamela.a Mereka masing-masing berumur 11 dan 10 tahun semasa mula belajar Bible. Ibu bapa mereka tidak berminat untuk belajar. Tetapi mereka mengizinkan Jane dan Pamela untuk belajar Bible dengan para Saksi asalkan mereka berdua pergi ke gereja bersama keluarga pada hujung minggu. Jane berkata, “Apa yang para Saksi ajarkan daripada Bible telah bantu saya menolak tekanan rakan sebaya untuk mengambil dadah dan hidup tidak bermoral.”
13 Semasa berusia lewat belasan tahun, Jane dan Pamela telah dibaptis, dan kemudian mereka mula merintis. Mereka terus merintis bahkan semasa menjaga ibu bapa yang lanjut usia. Mengenang kembali kehidupan mereka, Jane berkata, “Saya sendiri telah rasa bagaimana Yehuwa menjaga sahabat-Nya dengan setia. Memang benar kata-kata di 2 Timotius 2:19: ‘Yehuwa mengenal mereka yang merupakan milik-Nya.’” Jelaslah, Yehuwa sentiasa menjaga orang yang memilih untuk mengasihi dan menyembah-Nya!
14. Bagaimanakah kita dapat mempertahankan nama baik Yehuwa? (Lihat juga gambar.)
14 Kita mahu mempertahankan nama baik Yehuwa. Bayangkan anda mempunyai seorang sahabat rapat yang baik hati, murah hati, dan rela mengampuni. Suatu hari, anda mendengar orang menuduh sahabat anda itu kejam dan tidak jujur. Apakah reaksi anda? Anda pasti mempertahankan sahabat anda. Begitu juga, apabila Syaitan dan orang yang dipengaruhinya memburuk-burukkan nama Yehuwa dan menyebarkan dusta tentang-Nya, kita mahu mempertahankan nama baik Yehuwa dan menyebarkan kebenaran tentang-Nya. (Mzm. 34:1; Yes. 43:10) Apabila kita mempertahankan reputasi Yehuwa menerusi kata-kata dan tindakan kita, kita menunjukkan bahawa kita mahu menyembah-Nya dengan sepenuh jiwa.
Adakah anda akan mempertahankan nama Yehuwa? (Lihat perenggan 14)b
15. Apakah hasilnya setelah Rasul Paulus membuat perubahan dalam hidupnya? (Filipi 3:7, 8)
15 Kita sudi membuat perubahan dalam kehidupan kita supaya dapat menyenangkan hati Yehuwa dan melakukan lebih banyak untuk-Nya. Sebagai contoh, Rasul Paulus memilih untuk meninggalkan kedudukan yang terkemuka dalam masyarakat Yahudi kerana ingin mengikut Yesus dan menyembah Yehuwa. (Gal. 1:14) Hasilnya, dia menikmati kehidupan yang bermakna dan berpeluang untuk memerintah bersama Yesus di syurga. Dia tidak pernah menyesali keputusannya untuk menyembah Yehuwa. Begitu juga dengan kita.—Baca Filipi 3:7, 8.
16. Apakah yang kita belajar daripada pengalaman Julia? (Lihat juga gambar.)
16 Jika kita mengutamakan khidmat kepada Yehuwa, kita dapat hidup bahagia sekarang dan pada masa depan. Perhatikan pengalaman seorang saudari yang bernama Julia. Sebelum mempelajari kebenaran, Julia bernyanyi dalam koir gereja sejak kecil lagi. Pada suatu hari, seorang penyanyi opera yang profesional nampak bakatnya dan mula melatihnya. Tidak lama kemudian, Julia menjadi terkenal dan mula membuat persembahan di dewan-dewan muzik yang termasyhur. Dia juga dapat menghadiri sekolah muzik yang terkenal. Di situ, seorang rakan kelasnya bercakap kepadanya tentang Tuhan dan memberitahunya bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa. Julia mula belajar Bible dua kali seminggu. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk mengutamakan khidmat Yehuwa dan bukan kerjaya muzik. Julia menggambarkan cabaran yang dihadapinya semasa membuat keputusan itu: “Banyak orang memberitahu saya bahawa saya mensia-siakan bakat saya, tetapi saya mahu menggunakan kehidupan saya untuk menyembah Yehuwa.” Selepas 30 tahun berlalu, apakah perasaan Julia? Dia berkata, “Saya sangat gembira sekarang, dan saya yakin bahawa Yehuwa akan menunaikan segala keinginan saya pada masa depan.”—Mzm. 145:16.
Jika kita mengutamakan khidmat kepada Yehuwa, kita akan menikmati kehidupan yang terbaik (Lihat perenggan 16)c
TERUSLAH MENYEMBAH YEHUWA
17. Memandangkan akhir sudah dekat, apakah yang patut disedari oleh orang di dunia dan penyembah Yehuwa?
17 Tidak lama lagi, dunia jahat ini akan berakhir. Rasul Paulus menulis, “‘Hanya sebentar lagi,’ dan ‘dia yang akan datang akan tiba dan tidak akan terlambat.’” (Ibr. 10:37) Maka, orang di dunia harus sedar bahawa mereka sudah kesuntukan masa dan harus segera memilih sama ada mereka mahu menyembah Yehuwa atau tidak. (1 Kor. 7:29) Bagi penyembah Yehuwa pula, kita sedar bahawa biarpun kita perlu menderita sekarang kerana memilih untuk menyembah Tuhan, penderitaan kita hanyalah sementara.
18. Yesus dan Yehuwa mahu kita melakukan apa?
18 Yesus menggalakkan orang untuk menjadi pengikutnya dan terus mengikutnya. (Mat. 16:24) Jadi, jika kita sudah menyembah Yehuwa selama bertahun-tahun, janganlah berputus asa. Bertekadlah untuk terus menyembah Yehuwa biarpun hal itu tidak senang. Yakinlah bahawa kita dapat menikmati hidup yang bahagia dan bermakna sekarang!—Mzm. 35:27.
19. Apakah yang kita belajar daripada pengalaman Gene?
19 Sesetengah orang rasa mereka tidak dapat menikmati kehidupan jika mereka menyembah Yehuwa. Orang muda sekalian, adakah anda rasa anda rugi jika anda menyembah Yehuwa? Seorang saudara muda yang bernama Gene berkata, “Semasa kecil, saya rasa menjadi Saksi-Saksi Yehuwa sangat mengongkong kebebasan. Budak-budak lain boleh berparti, berdating, atau main video game yang ganas, dan saya pula harus pergi ke perjumpaan atau menginjil.” Apakah kesannya terhadap Gene? Dia berkata, “Saya mula hidup bermuka dua. Pada mulanya saya rasa seronok, tetapi perasaan itu tidak berkekalan. Saya mula berfikir tentang manfaatnya jika saya mematuhi ajaran Bible, dan saya memutuskan untuk menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Sejak itu, saya dapat rasakan bahawa Yehuwa menjawab setiap doa saya.”
20. Apakah sepatutnya tekad kita?
20 Seorang pemazmur bernyanyi kepada Yehuwa, “Berbahagialah orang yang Engkau pilih dan yang Engkau jemput untuk mendekati-Mu.” (Mzm. 65:4) Semoga kita bertekad untuk terus menyembah Yehuwa. Seperti Yosua, kita mahu berkata, “Bagi aku dan keluargaku, kami akan menyembah Yehuwa.”—Yos. 24:15.
LAGU 28 Menjadi Sahabat Yehuwa
a Sesetengah nama telah diubah.
b KETERANGAN GAMBAR: Seorang wanita mendengar kata-kata para penentang di luar tapak konvensyen. Kemudian dia mendengar kebenaran Bible semasa lalu dekat rak kesaksian awam.
c KETERANGAN GAMBAR: Lakonan semula yang menunjukkan keputusan Julia untuk mengutamakan khidmat kepada Yehuwa.