RENCANA PEMBELAJARAN 39
LAGU 54 “Inilah Jalannya”
Bantulah Orang yang Berhati Jujur
“Semua orang yang memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal mula menjadi pengikut Yesus.”—KIS. 13:48.
FOKUS
Belajar pentingnya untuk menawarkan pembelajaran Bible dan menjemput orang ke perjumpaan kita dengan secepat mungkin.
1. Apakah mungkin reaksi orang terhadap berita baik? (Kisah 13:47, 48; 16:14, 15)
BANYAK orang pada abad pertama menerima kebenaran sebaik sahaja mereka mendengarnya. (Baca Kisah 13:47, 48; 16:14, 15.) Begitu juga hari ini, sesetengah orang sangat gembira apabila mendengar berita baik buat kali pertama. Ada pula yang pada mulanya tidak berminat, tetapi kemudiannya menerima berita baik dengan hati yang terbuka. Apabila kita berjumpa dengan orang yang berhati jujur, iaitu “orang yang memiliki sikap yang diperlukan” untuk menjadi pengikut Yesus, apakah yang patut kita lakukan?
2. Mengapakah kita dapat menyamakan kerja penyebaran dengan kerja seorang pekebun?
2 Kerja penyebaran kita dapat disamakan dengan kerja seorang pekebun. Seorang pekebun mungkin sedang sibuk menggemburkan tanah atau menanam benih pokok. Tetapi apabila buah-buahan pada salah satu pokok di kebunnya sudah masak, dia akan serta-merta memetik dan mengumpulkannya. Begitu juga, apabila kita berjumpa dengan orang yang menerima berita baik, kita mahu membantunya menjadi pengikut Yesus secepat mungkin. Pada masa yang sama, kita mahu terus memupuk minat mereka yang memerlukan lebih banyak masa untuk menghargai kebenaran Bible. (Yoh. 4:35, 36) Kita harus guna daya penilaian untuk pilih cara yang terbaik untuk bantu pendengar kita. Dalam rencana ini, kita akan bincang cara untuk bantu orang yang berminat semasa kali pertama kita berjumpa dengan mereka. Kita juga akan bincang cara untuk bantu mereka terus buat kemajuan rohani.
APABILA ORANG MENUNJUKKAN MINAT
3. Apakah yang patut kita lakukan apabila kita menemui orang yang berminat? (1 Korintus 9:26)
3 Apabila kita menemui orang yang berminat terhadap berita baik, kita patut bantu mereka belajar tentang Yehuwa dan menghampiri-Nya tanpa berlengah-lengah. Kita mahu tawarkan pembelajaran Bible dan jemput mereka ke perjumpaan kita pada kunjungan pertama.—Baca 1 Korintus 9:26.
4. Ceritakan pengalaman yang menunjukkan pentingnya menawarkan pembelajaran Bible pada kali pertama kita berjumpa dengan seseorang.
4 Menawarkan pembelajaran Bible. Sesetengah orang yang kita jumpa bersedia untuk menerima pembelajaran Bible dengan segera. Perhatikan pengalaman seorang wanita muda di Kanada. Pada suatu hari Khamis, dia menghampiri rak kesaksian awam dan mengambil brosur Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Saudari yang berada di situ terus menawarkan pembelajaran Bible kepadanya. Wanita itu berminat dan mereka mengongsi nombor telefon masing-masing. Pada hari yang sama, wanita itu menghantar mesej untuk bertanya bila mereka dapat mula belajar Bible. Walaupun saudari kita rancang untuk belajar pada hujung minggu itu, wanita itu tanya, “Bolehkah kita belajar esok?” Jadi, mereka mula belajar Bible pada hari Jumaat. Wanita itu menghadiri perjumpaan buat kali pertama pada hari Ahad dan terus membuat kemajuan rohani yang pesat.
5. Apakah yang dapat kita lakukan jika seseorang belum bersedia untuk belajar Bible? (Lihat juga gambar.)
5 Sudah tentu, bukan semua orang ingin belajar Bible dengan segera seperti wanita muda itu. Sesetengah orang mungkin perlu lebih banyak masa sebelum menerima pembelajaran Bible. Kita mungkin perlu mulakan perbualan dengan topik yang menarik minat mereka. Jika kita tetap positif dan terus tunjukkan minat terhadap seseorang, kita mungkin dapat mulakan pembelajaran Bible dengannya dalam masa yang singkat. Bagaimanakah kita dapat menawarkan pembelajaran Bible? Mari kita lihat cadangan beberapa saudara saudari yang mahir memulakan pembelajaran Bible.
Apakah yang dapat anda katakan kepada penghuni rumah di dalam gambar ini untuk membuat mereka ingin belajar Bible? (Lihat perenggan 5)a
6. Bagaimanakah kita dapat meneruskan perbualan kita dengan seseorang yang berminat?
6 Penyiar dan perintis yang ditanya tentang cara yang terbaik untuk mulakan pembelajaran Bible kata bahawa di sesetengah tempat, adalah lebih baik untuk elakkan kata-kata seperti “pembelajaran,” “kursus Bible,” atau “mengajar kamu.” Sebaliknya, adalah lebih sesuai untuk guna kata-kata seperti “perbualan,” “perbincangan,” atau “lebih mengenali Bible kamu.” Anda dapat meneruskan perbualan anda dengan berkata, “Tahukah kamu jawapan kepada soalan penting dalam hidup terdapat dalam Bible?” atau “Bible bukan sekadar buku tentang agama, tetapi ada banyak nasihat untuk kehidupan kita.” Anda juga boleh menambah, “Kamu hanya perlu 10 hingga 15 minit untuk belajar sesuatu yang menarik.” Elakkan kata-kata seperti “janji temu” atau “setiap minggu,” yang mungkin buat orang berasa tertekan.
7. Bilakah sesetengah orang mula sedar bahawa apa yang mereka belajar ialah kebenaran? (1 Korintus 14:23-25)
7 Menjemput orang ke perjumpaan. Pada zaman Paulus, nampaknya sesetengah orang sedar bahawa apa yang mereka belajar ialah kebenaran semasa mereka mula hadir perjumpaan. (Baca 1 Korintus 14:23-25.) Begitu juga hari ini, kebanyakan orang baharu lebih cepat membuat kemajuan rohani apabila menghadiri perjumpaan kita. Bilakah anda patut menjemput seseorang ke perjumpaan kita? Di pelajaran 10 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!, pelajar Bible digalakkan untuk menghadiri perjumpaan. Namun, anda tidak perlu menunggu sehingga sampai ke bahagian itu sebelum menjemputnya. Sebenarnya, pada kali pertama anda berjumpa dengannya, anda dapat menjemputnya ke perjumpaan hujung minggu dan menyebut tajuk ceramah umum atau satu isi penting daripada Pembelajaran Menara Pengawal.
8. Apakah hal lain yang dapat kita jelaskan kepada seseorang yang kita jemput ke perjumpaan? (Yesaya 54:13)
8 Semasa menjemput seseorang, kita boleh jelaskan bagaimana perjumpaan kita berbeza dengan tempat ibadat lain. Apabila seorang pelajar Bible melihat Pembelajaran Menara Pengawal dikendalikan buat kali pertama, dia bertanya kepada guru Biblenya, “Adakah saudara di pentas tahu nama setiap orang?” Saudari kita menjelaskan bahawa kita berusaha untuk tahu nama setiap orang kerana sidang adalah seperti sebuah keluarga. Pelajar Bible itu mendapati bahawa hal ini sangat berbeza dengan gerejanya. Selain itu, kita boleh jelaskan kepada seseorang tentang tujuan perjumpaan kita. (Baca Yesaya 54:13.) Kita hadir perjumpaan untuk menyembah Yehuwa, belajar tentang-Nya, dan menggalakkan satu sama lain. (Ibr. 2:12; 10:24, 25) Itulah sebabnya perjumpaan kita teratur dan tidak melibatkan upacara agama. (1 Kor. 14:40) Dewan Perjumpaan juga ada pencahayaan yang baik agar kita lebih senang menumpukan perhatian. Tambahan lagi, kita tidak membincangkan hal-hal politik kerana kita berpendirian neutral. Kita juga tidak berdebat semasa perjumpaan. Sebelum pelajar Bible menghadiri perjumpaan, kita boleh tunjukkan video Apakah yang Berlaku di Dewan Perjumpaan? kepadanya.
9-10. Apakah yang dapat kita katakan kepada seseorang agar dia tidak berasa takut untuk hadir perjumpaan? (Lihat juga gambar.)
9 Sesetengah orang teragak-agak untuk hadir perjumpaan kerana takut dipaksa untuk mengubah agama mereka. Yakinkanlah orang yang kita jemput bahawa kita gembira apabila ada orang baharu yang datang dan dia tidak wajib mengambil bahagian. Semua orang, termasuk kanak-kanak, dijemput untuk hadir. Kanak-kanak tidak diasingkan dan dapat duduk bersama ibu bapa mereka. Dengan itu, ibu bapa dapat tahu apa yang sedang dipelajari oleh anak-anak mereka. (Ul. 31:12) Kita juga tidak memungut derma kerana kita ikut nasihat Yesus: “Kamu menerima secara percuma, jadi berilah dengan percuma.” (Mat. 10:8) Selain itu, beritahulah dia bahawa dia tidak perlu memakai pakaian yang mahal ke perjumpaan kerana Tuhan mementingkan apa yang ada di dalam hati kita.—1 Sam. 16:7.
10 Jika orang yang anda jemput datang, bantulah dia untuk berasa dialu-alukan. Perkenalkannya kepada para penatua dan penyiar lain. Jika dia berasa selesa di perjumpaan, barangkali dia akan hadir lagi. Jika dia tiada Bible, kongsilah Bible anda dan bantulah dia ikut bersama bahan yang sedang dibincangkan.
Semakin cepat seseorang mula menghadiri perjumpaan, semakin cepat dia meraih manfaat daripadanya (Lihat perenggan 9-10)
APABILA ORANG MULA BELAJAR BIBLE
11. Apakah yang harus kita ingat semasa mengendalikan pembelajaran Bible?
11 Kita harus ingat bahawa kebanyakan orang sangat sibuk. Jadi, kita mahu bertimbang rasa terhadap masa dan jadual mereka. Contohnya, jika anda sudah buat janji temu, tepatilah masa itu biarpun orang di kawasan anda biasanya tidak menepati masa. Pastikan juga sesi pembelajaran pertama anda adalah singkat. Sesetengah penyiar yang berpengalaman mencadangkan untuk menghabiskan pembelajaran pada masa yang ditetapkan, walaupun pelajar Bible ingin tahu lebih banyak. Janganlah cakap terlalu banyak dan izinkanlah pelajar anda untuk luahkan perasaannya.—Ams. 10:19.
12. Dari awal lagi, apakah matlamat anda semasa mengendalikan pembelajaran Bible?
12 Dari awal lagi, matlamat anda adalah untuk bantu pelajar Bible mengenali dan mengasihi Yehuwa dan Yesus. Maka, halakanlah perhatiannya kepada Firman Tuhan, dan bukannya kepada diri anda dan pengetahuan Bible anda. (Kis. 10:25, 26) Yehuwa mengutus Yesus untuk bantu kita mengenali dan mengasihi-Nya. Itulah sebabnya Paulus sering bertumpu kepada ajaran Yesus. (1 Kor. 2:1, 2) Paulus juga menjelaskan bahawa adalah penting untuk bantu murid baharu memupuk sifat-sifat baik, yang diibaratkan sebagai emas, perak, dan batu-batu berharga. (1 Kor. 3:11-15) Sifat-sifat Kristian merangkumi iman, kebijaksanaan, daya penilaian, dan rasa takut akan Yehuwa. (Mzm. 19:9, 10; Ams. 3:13-15; 1 Ptr. 1:7) Jadi, tirulah cara Paulus mengajar dengan membantu pelajar anda membina iman dan hubungan yang erat dengan Yehuwa.—2 Kor. 1:24.
13. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kesabaran dan bersikap munasabah semasa membantu pelajar Bible kita? (2 Korintus 10:4, 5) (Lihat juga gambar.)
13 Tirulah cara Yesus mengajar dengan menunjukkan kesabaran dan bersikap munasabah. Elakkan soalan yang boleh membuat pelajar Bible anda berasa tidak selesa. Jika dia berasa susah untuk terima ajaran Bible tertentu, janganlah paksa dia. Sementara waktu, anda dapat terus belajar poin lain dan kembali kepada poin yang susah baginya itu pada masa yang lain. Berilah dia masa untuk berfikir tentangnya dan mengubah pandangannya. (Yoh. 16:12; Kol. 2:6, 7) Bible mengingatkan kita bahawa ajaran palsu adalah seperti “perkara-perkara yang sudah berurat berakar.” (Baca 2 Korintus 10:4, 5.) Memandangkan pelajar Bible kita sudah lama berpaut pada ajaran sedemikian, tidak senang bagi dia untuk melepaskannya. Maka, kita mahu membantunya mempunyai hubungan yang kuat dengan Yehuwa terlebih dahulu. Hal itu akan bantu dia lebih mudah meninggalkan ajaran palsu.
Masa diperlukan agar kebenaran berakar di dalam hati pelajar Bible anda (Lihat perenggan 13)
APABILA ORANG MENGHADIRI PERJUMPAAN
14. Bagaimanakah kita harus melayan orang baharu yang hadir ke perjumpaan kita?
14 Yehuwa mahu kita melayan orang baharu dengan tidak berat sebelah tidak kira budaya, kedudukan sosial, atau latar belakang mereka. (Yak. 2:1-4, 9) Jadi, bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kepada orang yang hadir ke perjumpaan kita?
15-16. Bagaimanakah kita dapat membantu orang baharu berasa dialu-alukan di perjumpaan kita?
15 Sesetengah orang menghadiri perjumpaan kita mungkin kerana ingin tahu cara perjumpaan kita diadakan atau kerana dijemput oleh seseorang yang bukan dari sidang kita. Jadi kita tidak mahu teragak-agak untuk menyapa mereka. Biarpun kita mahu bersikap ramah, kita tidak mahu keterlaluan sehingga mereka rasa tidak selesa. Jemputlah mereka duduk dengan anda. Kongsilah Bible anda dan bahan yang dibincangkan, atau beri mereka satu salinan. Fikirkan juga cara lain anda dapat buat mereka rasa selesa. Seorang lelaki yang menghadiri perjumpaan beritahu saudara yang menyambutnya bahawa dia rasa risau kerana dia berpakaian biasa. Kata-kata saudara itu melegakan hatinya. Pada kemudian hari, lelaki itu membuat kemajuan rohani sehingga dibaptis, dan dia tidak pernah lupa kata-kata saudara itu yang baik hati. Sebagai peringatan, apabila kita menunjukkan minat kepada orang baharu, kita mahu berhati-hati agar tidak menanya soalan peribadi yang mungkin memalukan mereka.—1 Ptr. 4:15.
16 Kita juga dapat membuat orang baharu berasa dialu-alukan dengan memastikan perbualan, komen, atau tugasan yang kita sampaikan menghormati mereka. Kita tidak akan menggunakan kata-kata hinaan yang boleh buat mereka tersandung. Contohnya, kita tidak mahu memburuk-burukkan mereka atau kepercayaan mereka. (2 Kor. 6:3; Tit. 2:8; 3:2) Para saudara yang menyampaikan ceramah umum harus sangat peka dalam soal ini. Mereka juga boleh menjelaskan ungkapan yang biasanya tidak difahami oleh orang yang bukan Saksi.
17. Apakah matlamat kita apabila menemui orang yang berhati jujur?
17 Kerja penyebaran kita semakin hari semakin mendesak, dan kita akan terus mencari orang yang “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal.” (Kis. 13:48) Apabila kita menemui orang yang berhati jujur, kita tidak mahu teragak-agak untuk menawarkan pembelajaran Bible atau menjemput mereka ke perjumpaan kita. Dengan berbuat demikian, kita membantu mereka untuk mengorak langkah pertama di ‘jalan yang menuju kehidupan.’—Mat. 7:14.
LAGU 64 Menyertai Kerja Menuai dengan Riang
a KETERANGAN GAMBAR: Dua orang saudara bercakap kepada seorang bekas askar yang sedang duduk bersantai di anjung rumahnya; dua orang saudari memberikan kesaksian yang singkat kepada seorang ibu yang sibuk.