PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • g16 No. 6 ms. 4-6
  • Lindungi Diri Anda daripada Penyakit

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Lindungi Diri Anda daripada Penyakit
  • Sedarlah!—2016
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • 1 AIR
  • 2 MAKANAN
  • 3 SERANGGA
  • 4 BINATANG
  • 5 ORANG
  • Tujuh Langkah untuk Keselamatan Makanan dan Diet yang Sihat
    Topik-Topik Lain
  • Pengenalan
    Sedarlah!—2016
  • Penyakit—Cara untuk Mencegahnya
    Sedarlah!—2016
  • 1 | Lindungi Kesihatan Anda
    Sedarlah!—2022
Lihat Selanjutnya
Sedarlah!—2016
g16 No. 6 ms. 4-6

TOPIK UTAMA | PENYAKIT​—CARA UNTUK MENCEGAHNYA

Lindungi Diri Anda daripada Penyakit

BANYAK kota pada zaman kuno dilindungi oleh tembok yang besar. Jika musuh berjaya menembusi satu bahagian kecil tembok itu pun, keselamatan seluruh kota akan terancam. Badan kita bagaikan kota yang bertembok itu. Cara kita menjaga pertahanan tubuh kita akan menentukan tahap kesihatan kita. Perhatikan lima perkara yang dapat menyebabkan penyakit dan cara anda dapat mencegahnya.

Seorang wanita dan anak perempuannya berjalan di pasar

1 AIR

ANCAMAN: Organisma yang berbahaya dapat memasuki tubuh anda melalui air yang tercemar.

PENCEGAHAN: Langkah yang terbaik adalah dengan melindungi bekalan air anda. Jika anda mendapati atau mengesyaki bahawa sumber air anda sudah tercemar, anda dapat merawat air itu.a Simpan air di dalam bekas yang tertutup, dan gunakan pili, senduk, atau gayung yang bersih untuk mengambilnya. Jangan sekali-kali memasukkan tangan anda ke dalam sumber air. Jika dapat, tinggallah di kawasan yang mempunyai sistem pembetungan yang baik, supaya sumber air anda tidak dicemari bahan kumbahan.

2 MAKANAN

ANCAMAN: Makanan anda mungkin mengandungi organisma yang berbahaya.

PENCEGAHAN: Makanan yang kelihatan segar dan berkhasiat pun mungkin sudah tercemar. Maka, pupuklah kebiasaan untuk mencuci bersih semua buah-buahan dan sayur-sayuran. Pastikan peralatan memasak, tempat menyediakan makanan, dan tangan anda, bersih sebelum menyediakan atau menghidangkan makanan. Sesetengah makanan perlu dimasak pada suhu tertentu untuk membunuh kuman. Jika bau, warna, dan rasa makanan sudah berubah, hal itu menunjukkan bahawa makanan itu sudah dicemari dan mungkin tidak selamat untuk dimakan. Simpan makanan di dalam peti sejuk dengan secepat mungkin jika anda tidak memakannya. Elakkan daripada menyediakan makanan untuk orang lain semasa anda sakit.b

3 SERANGGA

ANCAMAN: Sesetengah serangga mempunyai parasit yang berbahaya bagi manusia.

PENCEGAHAN: Jangan keluar dari rumah sewaktu serangga sedemikian aktif. Jika anda perlu keluar, pakailah baju berlengan panjang dan seluar panjang. Gunakan kelambu semasa tidur atau gunakan penghalau serangga. Hapuskan semua tempat dan bekas yang menakung air, yang menjadi tempat nyamuk membiak.c

4 BINATANG

ANCAMAN: Mikroorganisma yang hidup di dalam tubuh binatang dapat mengancam kesihatan anda. Jika anda digigit atau dicakar oleh binatang peliharaan, atau jika anda terkena najis binatang, kesihatan anda mungkin terancam.

PENCEGAHAN: Sesetengah orang tidak membiarkan binatang masuk ke dalam rumah. Basuh tangan anda selepas menyentuh binatang peliharaan, dan jangan menyentuh binatang liar. Jika anda digigit atau dicakar, basuhlah luka anda dan berjumpalah dengan doktor.d

5 ORANG

ANCAMAN: Sesetengah kuman tersebar semasa seseorang batuk atau bersin. Kuman juga dapat tersebar melalui sentuhan, contohnya semasa berpelukan atau berjabat tangan. Kuman daripada orang lain juga mungkin melekat pada tombol pintu, selusur tangan, telefon, alat kawalan jauh, skrin komputer, dan papan kekunci.

PENCEGAHAN: Jangan mengongsi barangan peribadi seperti pisau cukur, berus gigi, atau tuala mandi. Elakkan daripada menyentuh cecair tubuh binatang atau orang lain, termasuk darah dan produk darah. Jangan lupa untuk selalu membasuh tangan dengan teliti. Nampaknya amalan ini ialah langkah yang paling berkesan untuk mencegah penularan penyakit.

Jika dapat, tinggallah di rumah semasa anda sakit. Centers for Disease Control and Prevention A.S. mengesyorkan agar anda menutup mulut dan hidung dengan tisu atau lengan baju semasa bersin, dan bukannya dengan tangan.

Bible menyatakan, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya.” (Amsal 22:3) Nasihat ini memang berguna dalam dunia yang penuh dengan penyakit berbahaya! Maka dapatkanlah maklumat kesihatan yang secukupnya, dan jagalah kebersihan untuk mengelakkan bahaya penyakit. Tingkatkanlah pertahanan tubuh anda, dan kurangkanlah risiko dijangkiti penyakit!

a Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan beberapa langkah untuk merawat air di rumah, seperti menggunakan klorin, menjemur air, menapis air, dan memasak air.

b Untuk maklumat lanjut tentang keselamatan makanan, lihat Sedarlah! bahasa Indonesia, terbitan Jun 2012, muka surat 3, 4, 5, 6, 7, 8-9.

c Untuk mengetahui langkah-langkah mencegah malaria, lihat Sadarlah! bahasa Indonesia, terbitan Julai 2015, muka surat 14-15.

d Jika luka anda disebabkan oleh binatang berbisa, dapatkan rawatan dengan segera.

Cara Mengurangkan Risiko Jangkitan semasa Wabak

Seorang wanita mencuci tangan

Pada tahun 2014, virus Ebola telah menular dengan cepat di Afrika Barat dan mendapat perhatian dunia. Pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di situ telah melancarkan kempen untuk mendidik masyarakat tentang cara mengurangkan risiko jangkitan. Beberapa orang wakil daripada Saksi-Saksi Yehuwa menjelaskan langkah-langkah yang telah diambil oleh mereka.

  • Pembentangan

    Bagaimanakah anda mendidik orang ramai tentang bahaya virus ini?

    Kami membuat pembentangan di tempat-tempat awam untuk menjelaskan cara virus ini merebak dan mengingatkan orang ramai tentang amalan yang tidak selamat. Hal ini membantu orang ramai supaya tidak takut dan tidak keliru semasa menghadapi krisis Ebola.

  • Mencuci tangan

    Apakah langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh Saksi-Saksi Yehuwa?

    Kami menggunakan termometer inframerah untuk memeriksa suhu badan setiap orang yang datang ke perjumpaan kami. Semua orang mengelakkan sentuhan fizikal seperti berjabat tangan atau berpelukan, dan kerap mencuci tangan sepanjang hari. Selain itu, kami menyediakan tempat membasuh tangan di tempat-tempat awam supaya orang ramai dapat mencuci tangan dengan air yang dicampurkan dengan sedikit peluntur.

  • Sebuah telefon di dalam rumah

    Bagaimanakah anda dapat terus menginjil dan mengadakan perjumpaan?

    Pihak kerajaan telah mengarahkan agar sesetengah kawasan dikuarantin. Jadi, perjumpaan di kawasan-kawasan tersebut dibatalkan, dan setiap keluarga mengadakan perjumpaan di rumah masing-masing. Untuk mengurangkan sentuhan fizikal, sesetengah Saksi menggunakan telefon untuk mengadakan pembelajaran Bible.

  • Sebuah kalendar

    Apakah yang anda lakukan jika seseorang mempunyai gejala Ebola?

    Pihak berkuasa akan dimaklumkan. Sesiapa yang berhubung rapat dengan mangsa Ebola, menghadiri pengebumian mangsa, atau mempunyai gejala-gejala Ebola, akan diminta untuk melakukan kuarantin diri selama 21 hari, iaitu tempoh pengeraman virus Ebola yang diakui secara umum.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi