BAB 9
Cara-Cara untuk Menyebarkan Berita Baik
SEBAGAI penyebar berita baik yang bersemangat, Yesus telah memberikan teladan kepada para pengikutnya. Dia mengambil inisiatif untuk menginjil dan mengajar di rumah orang dan di tempat awam. (Mat. 9:35; 13:36; Luk. 8:1) Yesus bercakap kepada orang secara peribadi, mengajar murid-muridnya, dan berucap kepada ribuan orang. (Mrk. 4:10-13; 6:35-44; Yoh. 3:2-21) Dia menggunakan setiap kesempatan yang sesuai untuk mengongsi hal-hal yang menggalakkan dan yang membawa harapan. (Luk. 4:16-19) Biarpun semasa dia penat dan lapar, dia tidak melepaskan peluang untuk memberikan kesaksian. (Mrk. 6:30-34; Yoh. 4:4-34) Sewaktu membaca kisah Bible tentang kegiatan Yesus, tidakkah kita tergerak untuk menirunya, seperti yang dilakukan para rasul?—Mat. 4:19, 20; Luk. 5:27, 28; Yoh. 1:43-45.
2 Orang Kristian hari ini pun berpeluang menyertai kerja yang dimulakan oleh Yesus Kristus hampir 2,000 tahun yang lalu. Mari kita lihat caranya.
MENGINJIL DARI RUMAH KE RUMAH
3 Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita tahu pentingnya menyebarkan berita baik dari rumah ke rumah. Cara menginjil ini telah kita gunakan dengan begitu meluas sehingga menjadi tanda pengenal kita. Kaedah ini terbukti bijak kerana membawa hasil yang baik dan membolehkan kita berjumpa dengan jutaan orang dalam masa yang singkat. (Mat. 11:19; 24:14) Kerja penyebaran dari rumah ke rumah merupakan satu cara yang baik untuk menunjukkan bahawa kita mengasihi Yehuwa dan orang lain.—Mat. 22:34-40.
4 Kerja penyebaran dari rumah ke rumah bukanlah kaedah yang diciptakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Rasul Paulus berkata bahawa dia pernah mengajar di rumah orang. Semasa menceritakan kerja penyebarannya kepada para penyelia di Efesus, dia berkata, “Sejak hari pertama aku menjejakkan kaki ke daerah Asia, . . . aku tidak teragak-agak untuk memberitahu kamu tentang semua perkara yang bermanfaat untuk kamu. Aku selalu mengajar kamu . . . dari rumah ke rumah.” Melalui cara ini dan kaedah lain, Paulus “memberikan kesaksian yang menyeluruh, baik kepada orang Yahudi mahupun orang Yunani, bahawa mereka harus bertaubat, berpaling kepada Tuhan, dan beriman kepada Tuan kita, Yesus.” (Kis. 20:18, 20, 21) Pada zaman Paulus, maharaja Roma menyokong penyembahan berhala, dan ramai orang “takut kepada dewa dewi.” Maka orang Kristian perlu membantu orang untuk mencari “Tuhan yang menjadikan dunia ini dan segala yang ada di dalamnya,” iaitu Tuhan yang “mengumumkan kepada semua orang di merata tempat bahawa mereka harus bertaubat.”—Kis. 17:22-31.
5 Hari ini, kerja menyebarkan berita baik menjadi lebih mendesak, kerana akhir sistem dunia yang jahat ini sudah sangat dekat. Oleh itu, kita didorong untuk bergiat dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Kerja penyebaran dari rumah ke rumah sudah dicuba dan terbukti merupakan cara yang terbaik untuk mencari orang yang mendahagakan kebenaran. Cara ini amat berkesan, baik pada zaman Yesus dan para rasul mahupun pada zaman sekarang.—Mrk. 13:10.
6 Adakah anda berusaha sedaya upaya untuk menginjil dari rumah ke rumah? Jika ya, yakinlah bahawa Yehuwa senang hati dengan anda. (Yeh. 9:11; Kis. 20:35) Menginjil dari rumah ke rumah mungkin tidak mudah bagi anda. Anda mungkin menghadapi cabaran seperti masalah kesihatan, sambutan yang dingin, atau larangan daripada kerajaan. Mungkin anda pemalu dan berasa susah untuk memulakan perbualan dengan orang yang tidak dikenali. Oleh itu, anda berasa cemas setiap kali anda menginjil dari rumah ke rumah. Namun, janganlah tawar hati. (Kel. 4:10-12) Saudara saudari anda di banyak tempat juga menghadapi cabaran yang serupa.
7 Yesus berjanji kepada para pengikutnya, “Ingatlah, aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.” (Mat. 28:20) Janji itu menguatkan kita agar terus membantu orang menjadi murid Yesus. Kita berasa seperti Rasul Paulus yang berkata, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.” (Flp. 4:13) Sokonglah sepenuhnya aturan sidang untuk menginjil dari rumah ke rumah. Semasa bekerja bersama orang lain, anda akan menerima galakan dan bantuan. Mohonlah pertolongan Tuhan untuk mengatasi apa sahaja halangan, dan sebarkanlah berita baik dengan bersungguh-sungguh.—1 Yoh. 5:14.
8 Semasa memberitahu orang lain tentang berita baik, anda juga berpeluang memberikan ‘penjelasan tentang harapan yang anda miliki.’ (1 Ptr. 3:15) Anda akan semakin menyedari perbezaan antara mereka yang memiliki harapan daripada Kerajaan Tuhan dengan mereka yang tidak memiliki harapan. (Yes. 65:13, 14) Anda akan berasa puas kerana tahu bahawa anda sudah mematuhi perintah Yesus untuk ‘membiarkan cahaya anda bersinar.’ Anda bahkan mungkin berpeluang membantu orang mengenali Yehuwa dan mengajar mereka kebenaran yang membawa kehidupan kekal.—Mat. 5:16; Yoh. 17:3; 1 Tim. 4:16.
9 Sidang mempunyai aturan menginjil dari rumah ke rumah pada hujung minggu dan pada pertengahan minggu. Di sesetengah kawasan, ramai orang tiada di rumah pada waktu siang, maka sesetengah sidang mengaturkan kerja penyebaran pada lewat petang. Mungkin orang lebih sudi dikunjungi pada waktu sebegini berbanding pada sebelah pagi.
CARILAH ORANG YANG LAYAK
10 Yesus menyuruh para pengikutnya untuk ‘mencari’ orang yang layak. (Mat. 10:11) Yesus tidak hanya mencari orang sebegini dari rumah ke rumah. Sebaliknya, dia memberikan kesaksian pada setiap kesempatan, baik secara formal mahupun tidak formal. (Luk. 8:1; Yoh. 4:7-15) Para rasul juga memberikan kesaksian di pelbagai tempat.—Kis. 17:17; 28:16, 23, 30, 31.
Kita ingin menyampaikan berita baik kepada seberapa banyak orang yang mungkin
11 Hari ini, kita ingin menyampaikan berita baik kepada seberapa banyak orang yang mungkin. Maksudnya, kita perlu meniru cara Yesus dan para rasul menginjil, dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman dan pelbagai situasi orang di kawasan kita. (1 Kor. 7:31) Sebagai contoh, ramai penyiar berjaya menemui orang di kawasan perniagaan. Penyiar di banyak negara telah meraih hasil yang baik dengan memberikan kesaksian di jalan, di taman, di tempat parkir, atau di mana sahaja yang ada orang. Sesetengah sidang menggunakan meja atau rak mudah alih di kawasan mereka. Selain itu, pejabat cawangan mungkin menjemput penyiar dari beberapa sidang untuk menyertai program khas kesaksian awam di bandar raya. Kesaksian ini dilakukan di kawasan yang mempunyai ramai pejalan kaki. Hasilnya, orang yang tidak dapat ditemui di rumah juga dapat mendengar berita baik.
12 Apabila kita menemui seseorang yang berminat semasa melakukan kesaksian di tempat awam, kita boleh menawarkan bahan bacaan yang sesuai kepadanya. Untuk memupuk minatnya terhadap mesej Bible, kita boleh memberitahunya cara untuk menghubungi kita dan mengaturkan masa dan tempat supaya kita dapat membuat kunjungan kembali. Kita juga boleh memperkenalkan jw.org atau memberitahunya alamat sidang yang terdekat. Anda mungkin mendapati bahawa kesaksian di tempat awam ialah cara yang menyeronokkan untuk meluaskan khidmat anda.
13 Namun, tanggungjawab orang Kristian bukan sekadar menyebarkan berita baik. Untuk membantu orang menerima kebenaran dan meraih kehidupan, anda perlu terus mengunjungi seseorang yang berminat supaya dia dapat maju dan menjadi orang Kristian yang matang.
MEMBUAT KUNJUNGAN KEMBALI
14 Yesus berkata kepada para pengikutnya, “Kamu akan menjadi saksi-saksiku . . . sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:8) Dia juga berkata, “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. . . . Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.” (Mat. 28:19, 20) Kerja membuat kunjungan kembali dapat membawa sukacita. Orang yang berminat terhadap berita baik semasa anda mengunjungi mereka buat kali pertama, kemungkinan besar akan gembira untuk berjumpa dengan anda lagi. Apabila anda memberitahu mereka lebih banyak maklumat daripada Bible, anda dapat menguatkan iman mereka kepada Tuhan dan membantu mereka menyedari keperluan rohani mereka sendiri. (Mat. 5:3) Jika anda membuat persiapan yang baik dan mengunjungi mereka pada waktu yang sesuai bagi mereka, anda mungkin dapat memulakan pembelajaran Bible. Itulah tujuan kita membuat kunjungan kembali. Kita bukan sahaja menanam benih kebenaran, tetapi juga menyiramnya.—1 Kor. 3:6.
15 Sesetengah orang berasa susah untuk membuat kunjungan kembali. Anda mungkin sudah mahir membuat penyampaian yang singkat semasa menginjil, dan anda suka kegiatan ini. Tetapi sewaktu perlu mengunjungi semula seseorang untuk membincangkan Bible bersamanya, anda mungkin berasa hal itu sangat mencabar. Namun, persiapan yang baik akan membantu anda berasa lebih yakin. Gunakanlah cadangan yang dipelajari semasa perjumpaan pertengahan minggu. Anda juga boleh menjemput seorang penyiar yang lebih berpengalaman untuk menemani anda.
MENGADAKAN PEMBELAJARAN BIBLE
16 Semasa seorang lelaki yang memeluk agama Yahudi membaca Firman Tuhan, penginjil yang bernama Filipus telah mendekatinya lalu bertanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” Lelaki itu menjawab, “Bagaimana mungkin aku memahaminya jika tiada orang yang mengajar aku?” Catatan dalam Kisah bab 8 melaporkan bahawa Filipus mula menjelaskan bahagian Ayat-Ayat Suci yang dibaca lelaki itu, lalu memberitahunya “berita baik tentang Yesus.” (Kis. 8:26-36) Kita tidak tahu berapa lama Filipus bercakap kepada lelaki itu, tetapi sudah pasti Filipus menjelaskan berita baik dengan cukup mendalam sehingga lelaki itu percaya dan ingin dibaptis sebagai murid Yesus Kristus.
17 Ramai orang hari ini kurang memahami Bible. Jadi kita mungkin perlu mengunjungi seseorang berulang kali dan membincangkan Bible secara terperinci bersamanya selama beberapa minggu, bulan, atau bahkan bertahun-tahun, supaya dia dapat membina iman dan memenuhi syarat untuk dibaptis. Namun, jika kita membantu seseorang dengan sabar dan penuh kasih untuk menjadi murid Yesus, usaha kita memang berbaloi, kerana Yesus berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”—Kis. 20:35.
18 Sudah tentu anda ingin mengadakan pembelajaran Bible dengan menggunakan salah satu bahan bacaan yang disediakan khas untuk pembelajaran Bible. Jika anda menerapkan nasihat yang diterima semasa perjumpaan pertengahan minggu dan bekerja bersama pengajar yang berpengalaman, anda dapat mengendalikan pembelajaran dengan baik dan membantu orang menjadi murid Yesus Kristus.
19 Jika anda memerlukan bantuan untuk memulakan dan mengadakan pembelajaran Bible, mintalah bantuan seorang penatua atau seorang Saksi yang mahir dalam kerja ini. Anda juga boleh menggunakan cadangan dalam Lembaran Kerja Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian atau cadangan daripada demonstrasi semasa perjumpaan. Bergantunglah pada Yehuwa dan beritahulah Dia hasrat anda. (1 Yoh. 3:22) Seboleh-bolehnya, tetapkan matlamat untuk mengadakan pembelajaran Bible dengan orang lain, meskipun anda mungkin sudah berbuat demikian dengan ahli keluarga anda. Kerja ini akan menambahkan sukacita anda dalam kerja penyebaran.
MEMBIMBING ORANG YANG BERMINAT KE ORGANISASI YEHUWA
20 Apabila kita membantu orang mengenali Yehuwa dan menjadi murid Yesus Kristus, mereka menjadi sebahagian daripada sidang. Pelajar Bible akan maju secara rohani dan menjadi matang jika mereka mengenali dan menyokong organisasi Yehuwa. Oleh itu, kita harus mengajar mereka cara untuk berbuat demikian. Terdapat alat-alat bantuan yang disediakan khas untuk tujuan ini, seperti video-video dan brosur Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa? Sesetengah maklumat dalam Bab 4 buku ini juga dapat membantu.
21 Dari awal lagi, bantulah pelajar anda untuk memahami bahawa Yehuwa sedang menggunakan sebuah organisasi untuk melaksanakan kerja penyebaran di serata bumi. Tunjukkan manfaat bahan pembelajaran Bible kita, dan jelaskan bagaimana semua itu disediakan dan diedarkan ke seluruh dunia oleh para pekerja sukarela yang telah membaktikan diri kepada Yehuwa. Jemput pelajar anda untuk menghadiri perjumpaan di Dewan Perjumpaan. Jelaskan bagaimana perjumpaan kita diadakan, dan perkenalkan dia kepada saudara saudari di sidang. Anda juga boleh membantu dia berkenalan dengan Saksi-Saksi lain semasa perhimpunan dan konvensyen. Semasa acara-acara ini, biarlah pelajar anda melihat sendiri bagaimana umat Yehuwa menunjukkan kasih, iaitu tanda pengenal orang Kristian sejati. (Yoh. 13:35) Apabila seseorang yang berminat semakin menghargai organisasi Yehuwa, dia akan semakin menghampiri Yehuwa.
MENGGUNAKAN BAHAN BACAAN BIBLE
22 Orang Kristian abad pertama memberitakan Firman Tuhan dengan bersemangat. Mereka menyalin Ayat-Ayat Suci untuk kegunaan peribadi dan sidang. Mereka menggalakkan orang lain untuk mempelajari kebenaran dalam Firman Tuhan. Salinan yang dibuat mereka hanya sedikit dan sangat dihargai. (Kol. 4:16; 2 Tim. 2:15; 3:14-17; 4:13; 1 Ptr. 1:1) Hari ini, Saksi-Saksi Yehuwa menggunakan mesin cetak untuk menghasilkan ratusan juta naskhah Bible dan bahan pembelajaran Bible. Mereka menerbitkan risalah, brosur, buku, dan majalah, dalam beratus-ratus bahasa.
23 Semasa mengongsi berita baik dengan orang lain, gunakanlah bahan bacaan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa. Dengan memikirkan manfaat yang anda peroleh setelah membaca dan mengkaji bahan bacaan Saksi-Saksi Yehuwa, anda akan terdorong untuk mengongsinya dengan orang lain.—Ibr. 13:15, 16.
24 Kini, semakin ramai orang menggunakan Internet untuk mencari maklumat. Oleh itu, selain bahan bacaan Bible, satu alat yang berkesan untuk menyebarkan berita baik ialah laman web rasmi kita, iaitu jw.org. Orang di seluruh dunia dapat menggunakan komputer untuk membaca atau mendengar rakaman audio Bible atau bahan bacaan Bible dalam ratusan bahasa. Orang yang teragak-agak untuk berbual dengan kita atau yang jarang dapat berjumpa dengan Saksi kerana lokasi mereka, dapat lebih memahami kepercayaan kita dengan melayari jw.org di rumah mereka.
25 Oleh itu, kita patut memperkenalkan jw.org pada setiap kesempatan yang sesuai. Jika penghuni rumah menanyakan soalan tentang kepercayaan kita, kita boleh menggunakan telefon, tablet, atau komputer untuk menunjukkan jawapannya daripada laman web kita. Jika kita berjumpa dengan seseorang yang menuturkan bahasa lain atau yang menggunakan bahasa isyarat, kita boleh menunjukkan cara mendapatkan Bible dan bahan bacaan Bible dalam bahasanya daripada laman web kita. Ramai penyiar telah menggunakan video di jw.org untuk memulakan perbincangan Bible.
KESAKSIAN TIDAK FORMAL
26 Yesus memberitahu murid-muridnya, “Kamu ialah cahaya dunia. . . . Biarlah cahaya kamu bersinar di hadapan orang lain supaya mereka melihat perbuatan baik kamu dan memuji Bapa kamu yang di syurga.” (Mat. 5:14-16) Murid-murid Yesus dapat mencerminkan sifat-sifat Tuhan jika mereka mengikut teladan Yesus, yang berkata, “Akulah cahaya dunia.” Yesus merupakan teladan baik bagi orang Kristian, kerana dia membiarkan “cahaya yang memberikan kehidupan” bersinar demi manfaat sesiapa sahaja yang sudi mendengar.—Yoh. 8:12.
27 Rasul Paulus juga memberi kita teladan yang baik. (1 Kor. 4:16; 11:1) Semasa di Atena, dia menginjil setiap hari di tempat awam kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya. (Kis. 17:17) Orang Kristian di Filipi juga berbuat demikian. Oleh itu, Paulus memberitahu mereka bahawa mereka sedang ‘bersinar seperti cahaya dalam kalangan generasi yang jahat dan menyeleweng.’ (Flp. 2:15) Hari ini, kita dapat membiarkan cahaya kebenaran bersinar melalui kata-kata dan tindakan kita setiap kali kita mengambil peluang untuk memberitahu orang tentang berita baik. Memang benar, jika kita jujur dan berkelakuan baik, orang lain dapat melihat bahawa kita berbeza daripada orang di dunia. Namun, jika kita mengongsi berita baik dengan mereka, mereka dapat mengetahui sebabnya kita berbeza.
28 Ramai antara umat Yehuwa mengongsi berita baik di tempat kerja, di sekolah, semasa menaiki kenderaan awam, atau semasa menjalankan kegiatan harian. Semasa bercuti, kita mungkin berpeluang bercakap kepada pelancong lain. Kita masing-masing harus peka terhadap peluang untuk memberikan kesaksian semasa bersembang dengan orang lain. Semoga kita bersedia untuk memberikan kesaksian pada setiap kesempatan yang sesuai.
29 Jika kita ingat bahawa kesaksian kita dapat memuji Pencipta kita dan memuliakan nama-Nya, kita akan terdorong untuk bercakap kepada orang lain. Usaha kita juga dapat membantu orang yang berhati jujur untuk mengenali Yehuwa, menyembah-Nya, beriman kepada Yesus Kristus, dan mendapat harapan kehidupan kekal. Kerja sebegini suci dalam mata Yehuwa dan menyenangkan hati-Nya.—Ibr. 12:28; Why. 7:9, 10.
KAWASAN PENYEBARAN
30 Yehuwa menghendaki berita tentang Kerajaan Tuhan disebarkan di seluruh dunia, baik di kota mahupun di desa. Oleh itu, pejabat cawangan akan menugaskan kawasan penyebaran kepada sidang dan kepada penyiar di kawasan terpencil. (1 Kor. 14:40) Langkah ini mirip dengan aturan pada abad pertama yang ditentukan oleh Tuhan. (2 Kor. 10:13; Gal. 2:9) Pada hari-hari terakhir ini, kerja penyebaran berkembang dengan pesat. Jika aturan untuk menginjil di kawasan penyebaran sidang dibuat dengan baik, kita akan menuai hasil yang melimpah.
31 Aturan untuk kawasan penyebaran sidang dijaga oleh penyelia aktiviti penyebaran. Dia mungkin meminta seorang pembantu sidang untuk mengurus peta-peta kawasan. Terdapat dua jenis kawasan penyebaran: Kawasan penyebaran kumpulan dan kawasan penyebaran peribadi. Jika sidang tidak mempunyai banyak kawasan penyebaran, penyelia kumpulan akan diberi kawasan penyebaran kumpulan. Dengan itu, para penyiar dalam kumpulannya dapat menginjil di situ. Jika sidang mempunyai kawasan penyebaran yang banyak, para penyiar boleh mendapatkan kawasan penyebaran peribadi.
32 Penyiar yang diberi kawasan penyebaran peribadi mempunyai tempat untuk menginjil semasa sidang tiada aturan bagi perjumpaan sebelum kerja penyebaran, atau semasa mereka tidak dapat menyertai aturan kerja penyebaran kumpulan. Contohnya, sesetengah penyiar mendapatkan kawasan penyebaran berhampiran tempat kerja, supaya mereka dapat menginjil di situ semasa waktu rehat tengah hari atau selepas kerja. Ada keluarga yang mendapatkan kawasan penyebaran berhampiran rumah mereka, supaya mereka dapat menginjil di situ pada waktu petang. Dengan adanya kawasan penyebaran yang mudah dikunjungi, seorang penyiar dapat menggunakan lebih banyak masa untuk menginjil. Sudah pasti, kawasan penyebaran peribadi juga boleh digunakan untuk kerja penyebaran kumpulan. Jika anda ingin mendapatkan kawasan penyebaran peribadi, sila berjumpa dengan saudara yang berkhidmat sebagai pembantu kawasan penyebaran.
33 Penyelia kumpulan atau penyiar yang diberi kawasan penyebaran harus memastikan agar usaha yang secukupnya dicurahkan untuk menginjil kepada seseorang di setiap rumah. Aturan untuk meliputi kawasan penyebaran haruslah mematuhi undang-undang perlindungan data peribadi. Penyelia kumpulan atau penyiar yang diberi kawasan penyebaran perlu berusaha untuk mengerjakan seluruh kawasannya dalam masa empat bulan. Setelah selesai, pembantu kawasan penyebaran harus dimaklumkan. Bergantung pada keadaan, penyelia kumpulan atau penyiar itu boleh terus memegang peta kawasan itu dan mengunjunginya lagi, atau mengembalikannya kepada pembantu kawasan penyebaran.
34 Jika semua ahli sidang bekerjasama, kawasan penyebaran dapat diliputi dengan menyeluruh. Selain itu, suatu kawasan tidak akan dikunjungi berulang kali oleh dua atau beberapa orang penyiar pada masa yang sama, sehingga penghuni rumah berasa diganggu. Dengan itu, kita menunjukkan sikap bertimbang rasa terhadap rakan seiman dan penduduk di kawasan penyebaran.
BEKERJASAMA UNTUK MENGINJIL KEPADA ORANG DARIPADA PELBAGAI BAHASA
35 Semua orang perlu belajar tentang Tuhan Yehuwa, Anak-Nya, dan Kerajaan-Nya. (Why. 14:6, 7) Kita ingin membantu orang daripada pelbagai bahasa untuk mengenakan keperibadian Kristian dan menyeru nama Yehuwa agar diselamatkan. (Rm. 10:12, 13; Kol. 3:10, 11) Apakah cabaran yang timbul semasa menginjil di kawasan yang penduduknya berbilang bahasa? Apakah yang dapat dilakukan supaya sebanyak orang yang mungkin dapat mendengar berita baik dalam bahasa yang paling difahami mereka?—Rm. 10:14.
36 Kawasan penyebaran setiap sidang dibahagikan menurut bahasa. Jika penduduk di sesebuah tempat menuturkan pelbagai bahasa, tempat itu akan dikunjungi oleh penyiar daripada beberapa sidang. Dalam keadaan sebegini, penyiar setiap sidang sebaik-baiknya harus bertumpu untuk memberikan kesaksian kepada penduduk yang menuturkan bahasa sidang mereka. Mereka juga akan berbuat demikian semasa kempen mengedarkan jemputan setiap tahun. Namun, semasa membuat kesaksian awam atau memberikan kesaksian tidak formal, para penyiar boleh bercakap kepada sesiapa sahaja dan mengedarkan bahan bacaan dalam apa-apa bahasa.
37 Dalam sesetengah situasi, sidang-sidang bahasa lain mungkin mempunyai kawasan penyebaran di tempat yang jauh dan tidak dapat mengunjungi orang di situ secara tetap. Jika demikian, para penyelia aktiviti penyebaran daripada sidang-sidang yang terlibat harus mengadakan perbincangan dan membuat aturan yang sesuai bagi semua sidang. Dengan itu, setiap orang akan berpeluang mendengar berita tentang Kerajaan Tuhan, dan mereka tidak akan dikunjungi dengan terlalu kerap.—Ams. 15:22.
38 Apakah yang dapat kita lakukan jika kita menemui penghuni rumah yang menuturkan bahasa yang lain? Janganlah menyangka bahawa dia akan dikunjungi oleh penyiar yang menuturkan bahasanya. Sesetengah penyiar telah mempelajari penyampaian ringkas dalam bahasa lain yang sering digunakan di kawasan penyebaran mereka. Kita boleh memberitahu penghuni rumah cara untuk membaca atau memuat turun bahan bacaan dalam bahasanya daripada laman web rasmi kita, iaitu jw.org, atau memberitahunya bahawa kita akan mengunjunginya lagi untuk memberinya bahan bacaan dalam bahasanya.
39 Jika orang itu benar-benar berminat, cubalah dapatkan bantuan seorang penyiar yang dapat menuturkan bahasanya. Kita juga boleh memberitahu orang itu perjumpaan terdekat yang diadakan dalam bahasanya. Jika dia ingin dikunjungi oleh seseorang yang menuturkan bahasanya, kita boleh memberitahu dia cara untuk memasukkan maklumat perhubungannya di jw.org. Selepas itu, pejabat cawangan akan mencari penyiar, kumpulan, atau sidang berdekatan yang dapat terus membantunya.
40 Kita harus terus mengunjungi orang yang berminat itu sehingga dia memberitahu kita bahawa seorang penyiar yang menuturkan bahasanya telah menghubunginya. Ada kalanya pejabat cawangan akan memberitahu penatua bahawa mereka tidak dapat menjumpai penyiar yang menuturkan bahasa orang itu. Jika demikian, kita harus melakukan apa yang terdaya untuk memupuk minatnya. Jika dapat, cubalah menggunakan bahan bacaan dalam bahasanya untuk mengadakan pembelajaran Bible dengannya. Jika kita membincangkan gambar-gambar dan menjemputnya untuk membaca ayat rujukan Bible, dia akan mendapat pemahaman asas tentang Bible. Seorang ahli keluarganya yang mengetahui bahasanya dan bahasa tempatan mungkin sudi membantu sebagai penterjemah.
41 Untuk membimbing orang yang berminat itu ke organisasi Tuhan, kita patut menjemputnya ke perjumpaan, meskipun dia tidak memahami seluruh program. Jika terdapat Bible dalam bahasanya, kita boleh membantu dia mencari ayat Bible yang dibacakan. Pergaulan di sidang dapat menggalakkannya dan membantunya untuk terus maju secara rohani.
42 Prakumpulan: Sebuah prakumpulan mempunyai beberapa orang penyiar yang dapat menginjil dalam bahasa yang tidak digunakan oleh sidang, tetapi tidak mempunyai penatua atau pembantu sidang yang dapat mengendalikan perjumpaan dalam bahasa itu setiap minggu. Pejabat cawangan boleh meluluskan permohonan sidang untuk menjaga sebuah prakumpulan jika syarat-syarat berikut dipenuhi:
(1) Terdapat ramai penduduk di kawasan penyebaran yang menuturkan bahasa yang tidak digunakan oleh sidang.
(2) Terdapat sekurang-kurangnya beberapa orang penyiar yang tahu atau yang sudi belajar bahasa itu.
(3) Badan penatua sudi mengaturkan kerja penyebaran dalam bahasa itu.
Jika badan penatua ingin menubuhkan prakumpulan, mereka akan membincangkan hal itu dengan penyelia litar. Dia mungkin tahu tentang sidang-sidang lain yang berusaha untuk menginjil kepada orang yang menuturkan bahasa itu, dan dia juga dapat memberikan maklumat yang berguna agar penatua dalam sidang-sidang yang terlibat dapat menentukan sidang mana yang paling sesuai untuk menjaga prakumpulan tersebut. Selepas keputusan dibuat, para penatua daripada sidang yang dipilih akan menulis surat kepada pejabat cawangan dan meminta izin untuk menubuhkan sebuah prakumpulan di bawah jagaan sidang mereka.
43 Kumpulan: Pejabat cawangan boleh meluluskan permohonan sidang untuk menjaga sebuah kumpulan jika syarat-syarat berikut dipenuhi:
(1) Ada agak ramai penutur suatu bahasa yang berminat, dan kawasan penyebaran bahasa itu mempunyai potensi untuk berkembang.
(2) Terdapat sekurang-kurangnya beberapa orang penyiar yang tahu atau yang sedang belajar bahasa itu.
(3) Seorang penatua atau pembantu sidang dapat mengambil pimpinan dalam kumpulan dan mengendalikan sekurang-kurangnya satu perjumpaan (atau satu bahagian perjumpaan seperti ceramah umum atau pembelajaran Menara Pengawal) dalam bahasa itu setiap minggu.
Sekiranya syarat-syarat tersebut dipenuhi sehingga tahap yang munasabah, badan penatua akan menulis surat kepada pejabat cawangan untuk menjelaskan butiran tentang kumpulan itu dan meminta izin untuk menubuhkan sebuah kumpulan di bawah jagaan sidang mereka. Penatua atau pembantu sidang yang mengambil pimpinan dan menjaga kumpulan itu akan dikenali sebagai “penyelia kumpulan” atau “pembantu kumpulan.”
44 Selepas kumpulan itu ditubuhkan, badan penatua yang menjaga kumpulan tersebut akan menentukan jika bahagian-bahagian perjumpaan lain patut ditambahkan dan seberapa kerapnya bahagian-bahagian itu akan diadakan setiap bulan. Perjumpaan sebelum kerja penyebaran juga boleh diaturkan bagi kumpulan. Semua ahli kumpulan akan bekerjasama dengan badan penatua yang menjaga kumpulan itu. Para penatua akan memberikan arahan yang sesuai dan mengambil inisiatif untuk menjaga keperluan kumpulan. Semasa penyelia litar melawat sidang yang menjaga kumpulan, dia akan bekerja bersama kumpulan itu dan kemudiannya memberi pejabat cawangan laporan ringkas tentang kemajuan dan keperluan kumpulan itu. Kumpulan itu mungkin akan berkembang dan akhirnya menjadi sebuah sidang. Jika semua orang mengikut arahan daripada organisasi Tuhan, Yehuwa akan berasa gembira.—1 Kor. 1:10; 3:5, 6.
KESAKSIAN BERKUMPULAN
45 Setiap orang Kristian yang sudah membaktikan diri bertanggungjawab menyebarkan berita baik. Terdapat banyak cara untuk berbuat demikian, tetapi kita biasanya suka keluar menginjil bersama rakan seiman. (Luk. 10:1) Oleh itu, sidang mempunyai perjumpaan sebelum kerja penyebaran pada hujung minggu dan pada hari biasa. Cuti umum juga merupakan peluang yang baik untuk kesaksian berkumpulan, kerana ramai saudara saudari tidak perlu bekerja pada masa itu. Jawatankuasa Sidang akan mengaturkan perjumpaan sebelum kerja penyebaran pada waktu siang dan lewat petang, menurut masa dan tempat yang sesuai bagi para penyiar.
46 Kesaksian berkumpulan membolehkan para penyiar bekerja bersama-sama dan menggalakkan satu sama lain. (Rm. 1:12) Penyiar yang baharu dapat dilatih semasa menginjil bersama penyiar yang mahir dan berpengalaman. Di sesetengah tempat, dua atau lebih ramai penyiar mungkin perlu bekerja bersama-sama demi keselamatan. Biarpun anda sudah merancang untuk menginjil seorang diri, semua orang dapat digalakkan jika anda menghadiri perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Anda juga akan berasa lebih yakin kerana tahu bahawa saudara saudari lain sedang menginjil di lokasi yang sama. Para perintis dan penyiar tidak perlu berasa bahawa mereka wajib menghadiri semua perjumpaan sebelum kerja penyebaran, terutamanya jika sidang mempunyai aturan sebegini setiap hari. Namun, mereka sepatutnya dapat menghadiri beberapa perjumpaan itu dalam seminggu.
47 Semoga kita mengikut teladan Yesus dan para rasul! Kerja menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan sangat penting. Jika kita berusaha untuk menyertai kerja ini dengan sepenuhnya, Yehuwa pasti memberkati kita.—Luk. 9:57-62.