Mengusahakan Kawasan Penyebaran Bahasa Asing
1. Apakah peluang yang terbuka kepada kita semasa menjalankan kerja penyebaran di kawasan sidang kita?
1 Yesus Kristus menubuatkan bahawa berita baik akan dikhabarkan di serata dunia “supaya semua orang mendengarnya.” Kata-kata itu bergema dalam telinga setiap penyiar yang menyertai kerja menyebar dan mengajar. (Mat. 24:14; 28:19, 20) Seraya kita menjalankan kerja penyebaran dan menjadikan orang murid Yesus, kita mungkin bertemu dengan orang berbilang bangsa yang bertutur dalam bahasa asing. Mereka juga berhak untuk mendengar berita Kerajaan Tuhan dan berdiri teguh demi kebenaran sebelum tibanya hari Yehuwa yang dahsyat. (Mal. 3:18) Bagaimanakah kita dapat mengusahakan kawasan penyebaran bahasa asing di kawasan kita?
2. Bagaimanakah kita dapat meniru Yehuwa semasa bercakap kepada penutur bahasa lain?
2 Perlihatkan Pandangan Yehuwa terhadap Penutur Bahasa Lain: Kita tidak ingin berat sebelah semasa mencerminkan kasih Yehuwa kepada semua orang dalam kawasan penyebaran kita. Maka, kita mesti memiliki hasrat yang kuat untuk membantu orang memperoleh pengetahuan yang tepat tentang Yehuwa, Tuhan yang benar, tanpa mengira bahasa yang dituturkan oleh mereka. (Mzm. 83:19; Kis. 10:34, 35) Walaupun usaha kita tertumpu khususnya pada mereka yang bertutur dalam bahasa yang digunakan dalam sidang kita, kita juga mesti peka dan prihatin terhadap keperluan mereka yang bertutur dalam bahasa asing, lalu berikhtiar untuk berkongsi berita Kerajaan Tuhan dengan mereka. Jika kita mengabaikan orang yang berbahasa asing, ertinya kita tidak sehaluan dengan tujuan Yehuwa untuk memberi kesaksian kepada orang daripada semua bangsa. Jadi, bagaimanakah kita dapat membantu orang yang tidak bertutur dalam bahasa kita?
3. Apakah bahan bacaan yang disediakan untuk membantu kita? Apakah persiapan yang boleh kita buat sebelum menggunakannya?
3 Gunakan Buku Kecil “Bangsa”: Buku kecil “Bangsa” (Good News for People of All Nations-E) disediakan untuk membantu kita semasa bertemu dengan penutur bahasa asing. Pastikan anda sentiasa membawa buku kecil ini, kenali pelbagai cirinya, dan bersedia untuk menggunakannya. Tandakan bahasa-bahasa asing yang digunakan dalam kawasan penyebaran anda supaya dapat dicari dengan mudah. Jika terdapat bahan bacaan dalam bahasa-bahasa ini, adalah baik untuk membawa dan memberikannya kepada seseorang individu setelah dia membaca pesanan dalam buku kecil itu.
4. Bagaimanakah kita dapat menggunakan buku kecil “Bangsa” semasa menjalankan aktiviti penyebaran?
4 Semasa menjalankan aktiviti penyebaran, apakah yang harus dilakukan jika anda menemui seorang penutur bahasa asing dan anda tidak pasti bahasa apa yang dituturkannya? Mula-mula, tunjukkan kulit depan buku kecil itu kepadanya. Kemudian, buka peta dunia pada kulit dalam dan nyatakan bahawa anda ingin mengetahui negara asalnya serta bahasa yang dituturkannya. Setelah mengetahui bahasanya, lihat senarai kandungan untuk mencari muka surat yang diperlukan dan halakan perhatian penghuni rumah kepada arahan yang dicetak dalam huruf tebal di awal muka surat. Jemput dia untuk membaca pesanan itu. Selepas dia selesai membaca, tawarkan sehelai risalah dalam bahasanya atau tunjukkan ayat berwarna kelabu yang menyatakan bahawa anda sudi kembali dengan sebuah bahan bacaan dalam bahasanya. Kemudian tunjuk kepada ungkapan “nama saya” yang dicetak dalam huruf tebal lalu sebut nama anda dengan jelas. Tunjuk kepada ungkapan “nama anda” dalam huruf tebal, dan tunggu jawapan penghuni rumah. Buat janji temu untuk kembali.
5. Apakah yang patut kita lakukan seterusnya untuk membantu penutur bahasa asing yang berminat?
5 Kunjungan Susulan: Kita mesti berusaha sedaya upaya untuk mengunjungi mereka yang berminat terhadap berita Kerajaan Tuhan, tidak kira bahasa apa yang dituturkan oleh mereka. Setelah mengesahkan bahawa seseorang itu berminat terhadap Tuhan dan Bible, kita patut mengisi dan menyerahkan borang Kunjungan Susulan (S-43) dengan secepat mungkin kepada setiausaha sidang. Dia akan mengirimnya kepada pejabat cawangan supaya seorang penyiar yang bertutur dalam bahasa yang sama dapat mengunjungi orang yang berminat itu. Kemudian, pejabat cawangan akan mengirim borang itu kepada kumpulan bahasa yang sesuai. Orang itu akan dihubungi dengan secepat mungkin selepas borang itu diterima. Setiausaha boleh memberi salinan borang itu kepada penyelia aktiviti penyebaran supaya dia mengetahui bilangan orang yang berminat dalam kalangan penutur bahasa asing tertentu. Gunakan borang ini hanya jika seseorang individu benar-benar berminat.
6. Jika kita bertemu dengan seorang penutur bahasa asing yang berminat, apakah tanggungjawab kita?
6 Selepas borang S-43 diserahkan, suatu jangka masa mungkin berlalu sebelum orang yang berminat itu dikunjungi oleh seorang penyiar yang bertutur dalam bahasanya. Oleh itu, penyiar yang menyerahkan borang S-43 boleh terus memupuk minatnya sehingga dia dikunjungi oleh seorang penyiar yang bertutur dalam bahasanya. Kadangkala, pembelajaran Bible boleh diadakan dengan orang yang berminat itu. Namun, dalam jangka masa ini, bagaimanakah seorang penyiar boleh mendapatkan bahan bacaan dalam bahasa orang yang berminat itu?
7. Apakah aturan yang dibuat untuk membantu kita memperoleh bahan bacaan dalam bahasa lain?
7 Bahan Bacaan dalam Bahasa Lain: Sidang tidak patut menyimpan banyak bekalan bahan bacaan dalam bahasa asing. Namun, jika penyelia aktiviti penyebaran mendapati bahawa terdapat semakin ramai penutur suatu bahasa asing yang menunjukkan minat, dia boleh memutuskan untuk menyimpan bekalan bahan bacaan yang secukupnya dalam bahasa itu untuk kegunaan para penyiar. Bahan bacaan itu boleh dipesan sekiranya sidang tidak mempunyai bekalan. Oleh sebab sidang mungkin perlu menunggu seketika sebelum menerima bahan bacaan tersebut, para penyiar dan orang yang berminat boleh memanfaatkan aturan yang disediakan di www.watchtower.org untuk mencetak bahan bacaan yang diperlukan. Laman web ini menyediakan banyak bahan bacaan dalam ratusan bahasa yang boleh didapati dengan serta-merta. Pastinya, aturan ini akan membantu para penyiar untuk memupuk minat yang ditunjukkan oleh penutur bahasa asing.
8. Apakah peranan sidang dalam memupuk minat penutur bahasa asing?
8 Peranan Sidang: Di sesetengah kawasan, terdapat semakin ramai orang yang bertutur dalam suatu bahasa asing, tetapi mungkin tiada sidang berdekatan yang mengadakan perjumpaan dalam bahasa mereka. Maka, mereka yang berminat patut dijemput untuk menghadiri perjumpaan anda. Jika mereka disambut dengan mesra dan merasai keprihatinan kita, mereka mungkin digalakkan untuk menghadiri perjumpaan secara tetap. Pada mulanya, mungkin terdapat benteng bahasa dan budaya. Namun, kasih Kristian sejati dalam kalangan persaudaraan Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia tidak mengenal batas. (Zef. 3:9; Yoh. 13:35) Adakah anda fasih bertutur dalam bahasa lain? Jika anda mampu dan sudi membuat kunjungan susulan dalam bahasa tersebut, sila beritahu setiausaha sidang anda supaya dia boleh memaklumkan pejabat cawangan. Maklumat ini berguna apabila pejabat cawangan sedang mencari seorang penyiar untuk membantu mereka yang berminat.
9. Bilakah kelas bahasa untuk para penyiar diperlukan? Bagaimanakah hal ini dilakukan?
9 Kelas Bahasa: Semasa anda membantu penutur bahasa lain, adalah paling baik untuk menggalakkan mereka agar menghadiri perjumpaan yang diadakan dalam bahasa mereka, jika terdapat sidang yang lokasinya tidak terlalu jauh. Jika tidak, sesetengah penyiar mungkin memutuskan untuk mempelajari bahasa lain supaya dapat memberi bantuan yang lebih besar kepada mereka yang berminat. Sekiranya tiada sidang yang berdekatan tetapi terdapat pertambahan bilangan pendatang asing atau penutur jati suatu bahasa, pejabat cawangan mungkin menyimpulkan bahawa kelas bahasa diperlukan. Dalam keadaan sebegini, pejabat cawangan akan memaklumkan sidang-sidang berdekatan tentang keperluan ini dan mengumumkan aturan mengenai kelas bahasa. Mereka yang memohon untuk mengikuti kelas itu patut bermatlamat untuk menyertai kumpulan atau sidang bahasa asing bagi membantu mengusahakan kawasan penyebaran dalam bahasa tersebut.
10. Bilakah sebuah kumpulan bahasa asing dapat ditubuhkan, dan apakah syarat-syaratnya?
10 Menubuhkan Sebuah Kumpulan: Terdapat empat syarat asas yang mesti dipenuhi untuk menubuhkan sebuah kumpulan bahasa asing. (1) Kawasan penyebaran bahasa asing itu harus mempunyai potensi untuk bertumbuh. (2) Harus ada sekumpulan kecil penyiar yang mengetahui atau sedang mempelajari bahasa itu. (3) Kumpulan itu harus dipimpin oleh seorang penatua atau pembantu sidang yang layak. Dia harus mengadakan sekurang-kurangnya satu perjumpaan setiap minggu dalam bahasa itu. (4) Sebuah badan penatua harus sudi menyokong kumpulan itu. Apabila syarat-syarat ini dipenuhi pada tahap yang munasabah, badan penatua akan mengirim butiran kumpulan itu kepada pejabat cawangan, dan memohon agar diiktiraf sebagai sidang yang menyokong kumpulan bahasa asing itu secara rasmi. (Lihat buku “Diorganisasikan” (Organized-E), ms. 106-107.) Penatua atau pembantu sidang yang bertanggungjawab mengetuai dan menjaga kumpulan itu akan dikenali sebagai “penyelia kumpulan” atau “pembantu kumpulan.”
11. Mengapakah kita berbesar hati untuk mengusahakan kawasan penyebaran bahasa asing dalam kawasan sidang kita?
11 Kerja mengusahakan kawasan penyebaran bahasa asing dalam kawasan sidang kita tidak terpisah daripada kempen kerja penyebaran sedunia yang dipelopori oleh Suri Teladan kita, Yesus Kristus. Semoga kita memainkan peranan masing-masing dengan bersemangat dan melihat bagaimana Yehuwa terus menggulingkan semua bangsa dan membawa masuk mereka yang berharga bagi-Nya. (Hag. 2:7) Alangkah puasnya kita kerana dapat bekerjasama sepenuhnya dalam usaha ini! Semoga Yehuwa memberkati usaha bersepadu kita untuk mengusahakan kawasan penyebaran bahasa asing dalam kawasan sidang masing-masing. Ingatlah bahawa meskipun terdapat benteng bahasa dalam kalangan manusia, Tuhan boleh menyebabkannya bertumbuh!—1 Kor. 3:6-9.