KEHIDUPAN KRISTIAN KITA
Bekerjasama semasa Menginjil di Kawasan yang Berbilang Bahasa
Orang lebih sudi mendengar berita baik dalam bahasa ibunda mereka. Mungkin inilah sebabnya pada Pentakosta 33 M, Yehuwa mahu “orang Yahudi yang alim” mendengar berita baik dalam ‘bahasa ibunda mereka masing-masing,’ walaupun mereka boleh bercakap dalam bahasa Ibrani atau Yunani. (Kis 2:5, 8) Hari ini, sesetengah sidang yang berlainan bahasa menginjil di kawasan penyebaran yang sama. Jadi, mereka perlu bekerjasama supaya kawasan penyebaran diliputi dengan teratur, dan bukannya dengan terlalu kerap sehingga menyebabkan penghuni rumah berasa tidak selesa. Bagaimanakah hal ini dapat dilakukan?
Berbincang (Ams 15:22): Penyelia aktiviti penyebaran daripada sidang-sidang itu harus berbincang bersama mengenai aturan yang sesuai bagi sidang mereka. Sekiranya sesebuah sidang memiliki kawasan penyebaran yang terhad, aturan mungkin dibuat untuk mengunjungi rumah penghuni yang menuturkan bahasa sidang masing-masing sahaja. Jika kawasan penyebaran mereka terlalu luas dan tidak dapat diliputi secara tetap, sidang lain mungkin diminta untuk mengunjungi setiap rumah dan memaklumkan kepada sidang itu jika terdapat penghuni rumah yang berminat. (od 93-94 per. 37) Sidang bahasa lain juga mungkin meminta anda untuk mencari orang yang bertutur dalam bahasa mereka dan menyerahkan alamat penghuni rumah kepada sidang mereka. (km 7/12 5, kotak) Ingatlah bahawa kadangkala terdapat lebih daripada satu bahasa yang dituturkan dalam sebuah rumah. Aturan untuk meliputi kawasan penyebaran haruslah mematuhi undang-undang perlindungan data peribadi.
Bekerjasama (Ef 4:16): Ikutlah arahan penyelia aktiviti penyebaran dengan teliti. Anda mungkin mempunyai pelajar Bible yang lebih suka menggunakan bahasa yang tidak digunakan oleh sidang anda. Pelajar Bible itu mungkin akan membuat kemajuan rohani dengan lebih cepat jika dia belajar Bible dengan penyiar dari sidang atau kumpulan yang menggunakan bahasanya.
Buat Persiapan (Ams 15:28; 16:1): Jika anda berjumpa dengan orang yang bertutur dalam bahasa lain semasa menginjil, berusahalah untuk menyampaikan berita baik kepadanya. Fikirkanlah terlebih dahulu bahasa apa yang mungkin dituturkan penghuni rumah dalam kawasan penyebaran anda. Anda boleh muat turun terjemahan Bible dan video dalam bahasa mereka di dalam alat elektronik anda. Gunakanlah aplikasi JW Language untuk mempelajari kata-kata pengenalan dalam bahasa mereka.