SOALAN-SOALAN BAGI MEREKA YANG INGIN DIBAPTIS
Bahagian Terakhir untuk Dibincangkan dengan Calon Pembaptisan
Pembaptisan biasanya diadakan di perhimpunan dan konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa. Pada penghujung ceramah pembaptisan, penceramah akan meminta calon-calon pembaptisan untuk berdiri dan menjawab dua soalan berikut dengan suara yang lantang:
1. Sudahkah anda bertaubat daripada dosa-dosa anda, membaktikan diri kepada Yehuwa, dan menerima cara Dia memberikan penyelamatan melalui Yesus Kristus?
2. Adakah anda faham bahawa setelah dibaptis, anda akan dikenali sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang menyertai organisasi Yehuwa?
Dengan menjawab “ya” kepada dua soalan ini, calon-calon pembaptisan ‘mengisytiharkan di hadapan umum’ bahawa mereka beriman kepada tebusan dan telah membaktikan diri dengan sepenuhnya kepada Yehuwa. (Rm. 10:9, 10) Mereka patut berdoa sambil merenungkan soalan-soalan ini terlebih dahulu supaya dapat memberikan jawapan yang mencerminkan tekad mereka.
Sudahkah anda berdoa untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan berjanji bahawa anda hanya akan menyembah-Nya dan mengutamakan kehendak-Nya dalam kehidupan anda?
Adakah anda yakin sepenuhnya bahawa anda sudah bersedia untuk dibaptis?
Apakah pakaian yang sesuai untuk pembaptisan? (1 Tim. 2:9, 10; Yoh. 15:19; Flp. 1:10)
Kita harus memilih ‘pakaian yang sopan dan yang sederhana,’ yang sesuai bagi penyembah Tuhan. Maka, mereka yang dibaptis tidak harus memakai pakaian renang yang menjolok mata atau pakaian yang mempunyai cogan kata atau slogan. Pakaian mereka patut kemas, bersih, sopan, dan sesuai untuk pembaptisan.
Apakah kelakuan yang harus ditunjukkan semasa seseorang dibaptis? (Luk. 3:21, 22)
Pembaptisan Yesus merupakan contoh bagi pembaptisan orang Kristian zaman ini. Sikap dan kelakuan Yesus menunjukkan bahawa pembaptisan merupakan langkah yang serius. Maka, tempat pembaptisan bukanlah tempat untuk berjenaka, bermain, berenang, atau berkelakuan dalam cara yang dapat menjejaskan suasana yang mulia itu. Orang Kristian yang baru dibaptis juga tidak akan berkelakuan seolah-olah dia telah meraih kemenangan besar. Meskipun peristiwa itu amat menggembirakan, kita harus menunjukkan kegembiraan itu dengan cara yang terhormat.
Jika anda menghadiri perjumpaan secara tetap dan bergaul dengan sidang, bagaimanakah hal itu akan membantu anda menunaikan janji pembaktian anda kepada Yehuwa?
Selepas dibaptis, mengapakah anda perlu terus melakukan pembelajaran peribadi dan menginjil secara tetap?
ARAHAN BAGI PENATUA SIDANG
Apabila seorang penyiar yang belum dibaptis memberitahu penatua bahawa dia ingin dibaptis, galakkannya untuk mengkaji “Soalan-Soalan bagi Mereka yang Ingin Dibaptis” pada muka surat 185-207. Halakan perhatiannya kepada “Pesanan kepada Penyiar yang Belum Dibaptis” yang bermula pada muka surat 182, supaya dia mengetahui cara membuat persiapan bagi perbincangan bersama para penatua. Seperti yang dinyatakan di situ, orang yang ingin dibaptis boleh merujuk kepada catatan peribadinya dan buku ini semasa perbincangan. Namun, dia tidak perlu membincangkan soalan-soalan itu dengan orang lain sebelum perbincangannya dengan para penatua.
Seseorang yang berhasrat untuk dibaptis harus berjumpa dengan koordinator badan penatua. Selepas orang itu diberi masa untuk mengkaji “Soalan-Soalan bagi Mereka yang Ingin Dibaptis,” koordinator badan penatua akan menanya orang itu sama ada dia sudah membaktikan dirinya kepada Yehuwa menerusi doa untuk melakukan kehendak-Nya atau belum. Jika orang itu sudah membaktikan diri, koordinator badan penatua akan mengaturkan dua orang penatua untuk membincangkan “Soalan-Soalan bagi Mereka yang Ingin Dibaptis” dengannya. Penatua yang berbeza harus ditugaskan untuk menangani setiap bahagian. Perbincangan itu boleh diadakan biarpun pengumuman tentang perhimpunan atau konvensyen belum dibuat.
Dua bahagian ini biasanya dapat dibincangkan dalam dua sesi yang panjang setiap satunya kira-kira sejam. Namun, lebih banyak masa boleh digunakan jika perlu. Setiap sesi patut bermula dan berakhir dengan doa. Calon atau penatua tidak patut membincangkan soalan-soalan secara terburu-buru. Penatua yang ditugaskan untuk mengadakan perbincangan harus mengaturkan masa dengan secepat yang mungkin untuk melakukannya.
Perbincangan ini sebaik-baiknya diadakan secara individu dan bukan secara berkumpulan. Dengan mendengar jawapan calon bagi setiap soalan, para penatua dapat mengetahui tahap pemahamannya dengan jelas dan dapat menentukan sama ada dia sudah bersedia untuk dibaptis atau tidak. Tambahan lagi, orang yang ingin dibaptis mungkin lebih selesa meluahkan pandangannya jika perbincangan diadakan secara individu. Suami dan isteri boleh melakukan perbincangan ini bersama-sama.
Jika calon pembaptisan ialah seorang saudari, perbincangan itu harus diadakan di tempat yang dapat dilihat orang lain tetapi tidak dapat didengari mereka. Jika seorang lagi diperlukan untuk menyertai perbincangan, orang itu seharusnya seorang penatua atau pembantu sidang, bergantung pada bahagian yang akan dibincangkan. Perenggan seterusnya akan memberikan penjelasan lanjut.
Di sidang yang hanya ada sedikit penatua, pembantu sidang yang cekap, yang berpengertian, dan mampu membuat pertimbangan yang baik, boleh membincangkan soalan-soalan di “Bahagian 1: Kepercayaan Kristian.” Namun, “Bahagian 2: Kehidupan Kristian” hanya boleh dibincangkan oleh penatua. Jika sidang tidak mempunyai cukup penatua, sidang boleh menghubungi penyelia litar supaya sidang yang berdekatan dapat memberikan bantuan.
Jika calon pembaptisan merupakan anak di bawah umur, ibu atau bapanya yang seiman harus hadir semasa perbincangan. Jika mereka tidak dapat hadir, dua orang penatua (atau seorang penatua dan seorang pembantu sidang, bergantung pada bahagian yang dibincangkan) harus membincangkan soalan-soalan pembaptisan bersamanya.
Para penatua akan memastikan bahawa orang yang ingin dibaptis sudah memahami ajaran asas Bible dengan secukupnya. Mereka juga harus memastikan bahawa orang itu menghargai kebenaran dan menghormati organisasi Yehuwa. Jika dia belum memahami ajaran asas Bible, para penatua akan mengaturkan agar dia diberi bantuan, supaya dia memenuhi syarat untuk dibaptis pada kelak hari. Yang lain pula mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk menunjukkan penghargaan bagi kerja penyebaran atau lebih tunduk kepada aturan organisasi. Untuk mengetahui sama ada seseorang sudah bersedia untuk dibaptis atau tidak, penatua harus mengagihkan waktu perbincangan sekitar sejam itu dengan bijak. Sesetengah soalan mungkin memerlukan lebih banyak masa berbanding dengan soalan lain, tetapi semua soalan harus dibincangkan.
Selepas sesi kedua, penatua-penatua yang ditugaskan untuk membincangkan soalan pembaptisan akan bertemu untuk memutuskan sama ada seseorang itu boleh dibaptis atau tidak. Mereka akan mengambil kira latar, kebolehan, dan situasi setiap orang. Yang terpenting, orang itu harus mengasihi Yehuwa dan memahami ajaran asas Bible. Bantuan dan kasih anda akan membantu orang yang ingin dibaptis agar bersedia untuk melaksanakan tugas mereka sebagai penyebar berita baik.
Selepas itu, salah seorang atau kedua-dua orang penatua itu harus berjumpa dengan orang tersebut dan memberitahunya sama ada dia boleh dibaptis atau tidak. Jika orang itu boleh dibaptis, mereka harus membincangkan “Bahagian Terakhir untuk Dibincangkan dengan Calon Pembaptisan” pada muka surat 206-207. Jika calon pembaptisan belum selesai mempelajari buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!, para penatua harus menggalakkannya untuk berbuat demikian selepas dibaptis. Maklumkannya bahawa tarikh pembaptisannya akan dicatatkan pada Rekod Penyiar Sidang kepunyaannya. Ingatkannya bahawa para penatua akan mencatatkan maklumat ini supaya organisasi dapat terus menjaga kegiatan ibadat Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia, dan supaya dia dapat menyertai kegiatan sidang dan menerima bantuan daripada penatua. Para penatua juga boleh memberitahu penyiar yang baharu bahawa semua maklumat peribadi digunakan menurut Polisi Perlindungan Data Global Saksi-Saksi Yehuwa yang terdapat di jw.org. Perbincangan ini biasanya mengambil masa kurang daripada 10 minit.
Satu tahun setelah seorang penyiar dibaptis, dua orang penatua patut bertemu dengannya untuk memberinya galakan dan cadangan yang berguna. Salah seorang daripada dua orang penatua itu haruslah penyelia kumpulan penyebaran penyiar tersebut. Jika penyiar itu seorang anak di bawah umur, ibu atau bapanya yang seiman harus ikut serta. Suasana perbincangan itu patut ramah dan membina. Para penatua akan menyatakan kemajuan rohani penyiar dan memberinya cadangan yang praktikal supaya dia dapat membuat pembelajaran peribadi yang tetap, membaca Bible setiap hari, mengadakan penyembahan keluarga setiap minggu, menghadiri perjumpaan secara tetap dan memberikan komen, dan menginjil setiap minggu. (Ef. 5:15, 16) Jika dia belum selesai mempelajari buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya!, penatua harus mengaturkan agar seseorang membantunya berbuat demikian. Penatua haruslah memujinya dengan ikhlas. Biasanya, mereka hanya perlu memberinya nasihat atau cadangan dalam satu atau dua perkara.