Kotak Pertanyaan
◼ Sejauh manakah seseorang harus melibatkan diri dalam aktiviti penyebaran dan perjumpaan sebelum dia layak dibaptis?
Pembaptisan merupakan keputusan yang paling penting bagi seseorang. Maka, sebelum seseorang layak dibaptis, dia perlu tahu apa yang dikehendaki oleh Tuhan daripadanya serta menunjukkan tekad untuk hidup selaras dengan kehendak Tuhan.
Orang Kristian digalakkan untuk berkumpul bersama-sama. Maka, penyiar belum dibaptis juga harus menghadiri perjumpaan dengan tetap. (Ibr. 10:24, 25) Dia juga akan memberikan komen di perjumpaan. Barangkali dia akan mengambil bahagian dalam Sekolah Penyebaran Teokratik, walaupun hal ini bukan syarat untuk pembaptisan.
Penyiar yang belum dibaptis juga menurut perintah untuk menyebarkan berita baik dan menjadikan orang murid Yesus. (Mat. 24:14; 28:19, 20) Berapa lamakah seseorang harus menjadi penyiar sebelum dia dapat dibaptis? Sememangnya masa yang mencukupi perlu diberikan supaya dia dapat menunjukkan keinginan untuk menjadi penyiar yang tetap dengan semangat berkobar-kobar. (Mzm. 78:37) Namun, tempoh masa ini mungkin beberapa bulan sahaja. Jadi berapakah jam yang perlu dia laporkan setiap bulan? Sebenarnya tiada peraturan bagi hal ini. Para penatua harus mempunyai pandangan seimbang dan memahami keadaan setiap penyiar yang belum dibaptis.—Luk. 21:1-4.
Setiap individu adalah berbeza. Maka, semasa para penatua (atau pembantu sidang jika kekurangan penatua) berjumpa dengan seorang penyiar untuk menentukan sama ada dia layak dibaptis, mereka harus menggunakan daya pertimbangan yang baik. Penyiar itu harus menunjukkan bahawa dia benar-benar ingin menjadi seorang Saksi. Dia juga harus menghargai peluang istimewa untuk bergaul bersama Saksi-Saksi Yehuwa dan menginjil. Para penatua faham bahawa penyiar itu belum matang secara rohani dan belum mempunyai kemahiran yang tinggi dalam kerja menginjil. Sekiranya para penatua berasa bahawa seseorang itu belum layak dibaptis, mereka dengan ramah akan menjelaskan sebabnya berdasarkan Bible serta memberi bantuan rohani kepada penyiar tersebut.