Cara untuk Menawarkan Buku Ajaran Bible
Sisipan ini mengandungi pelbagai cadangan untuk menawarkan buku Ajaran Bible. Seboleh-bolehnya, gunakan kata-kata sendiri dan sesuaikan cadangan di bawah dengan kawasan penyebaran anda. Baca dan kenali isi-isi dalam buku ini yang boleh digunakan sebagai topik perbincangan. Penyampaian lain yang praktikal juga boleh digunakan.
Armagedon
◼ “Apabila mendengar perkataan ‘Armagedon,’ ramai orang terfikir tentang kemusnahan secara besar-besaran. Tahukah anda bahawa Armagedon sebenarnya merupakan peristiwa yang baik? [Izinkan maklum balas. Kemudian baca Wahyu 16:14, 16.] Bible menceritakan keadaan hidup selepas Armagedon.” Buka ke muka surat 94-96, dan baca perenggan 21.
Bible
◼ “Sering kali orang menyebut Bible sebagai Firman Tuhan. Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapakah sebuah buku yang ditulis oleh manusia boleh dipanggil Firman Tuhan? [Izinkan maklum balas. Kemudian baca 2 Petrus 1:21 dan perenggan 5 pada muka surat 21-22.] Buku ini menawarkan jawapan Bible kepada soalan-soalan ini.” Tunjukkan senarai soalan pada muka surat 6.
Kematian/Pembangkitan
◼ “Ramai orang tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku semasa seseorang meninggal. Pada pandangan anda, mungkinkah kita mengetahui jawapannya? [Izinkan maklum balas. Kemudian baca Pengkhutbah 9:5 dan perenggan 5-6 pada muka surat 65-66.] Buku ini juga menjelaskan bagaimana orang mati akan dibangkitkan, seperti yang dijanjikan dalam Bible.” Tunjukkan gambar pada muka surat 85.
◼ “Apabila seseorang yang dikasihi meninggal, tidakkah anda setuju bahawa kita ingin berjumpa dengannya lagi? [Izinkan maklum balas.] Bible mengandungi janji tentang pembangkitan yang telah membawa kelegaan hati kepada ramai orang. [Baca Yohanes 5:28, 29 dan perenggan 16-17 pada muka surat 82.] Bab ini juga menjawab soalan-soalan ini.” Tunjukkan soalan-soalan pengenalan pada muka surat 75.
Kehidupan Kekal
◼ “Kebanyakan orang ingin hidup sihat dan panjang umur. Jika hal itu boleh terjadi, inginkah anda hidup selama-lamanya? [Izinkan maklum balas. Kemudian baca Wahyu 21:3, 4 dan perenggan 17 pada muka surat 60-61.] Bible menerangkan bagaimana kita dapat memperoleh kehidupan kekal dan menikmati berkat pada masa hadapan.”
Keluarga
◼ “Tidakkah anda setuju bahawa kita semua ingin mempunyai keluarga yang bahagia? [Izinkan maklum balas.] Menurut Bible setiap ahli keluarga dapat meniru kasih Tuhan lalu menyumbang kepada kebahagiaan keluarga.” Baca Efesus 5:1, 2 dan perenggan 4 pada muka surat 155-156.
Perumahan
◼ “Di banyak kawasan, adalah semakin sukar untuk mencari tempat tinggal yang sesuai pada harga yang berpatutan. Pada pendapat anda, mungkinkah suatu hari nanti terdapat tempat tinggal yang mencukupi untuk semua orang? [Izinkan maklum balas. Kemudian baca Yesaya 65:21, 22 dan perenggan 20 pada muka surat 38.] Buku ini menjelaskan bagaimana janji Tuhan ini akan ditunaikan.”
Tuhan Yehuwa
◼ “Ramai orang berdoa agar nama Tuhan disucikan atau dikuduskan. Pernahkah anda berfikir, siapakah nama Tuhan? [Izinkan maklum balas. Kemudian baca Keluaran 3:14, 15, nota kaki. Bincangkan perenggan 2-3 pada muka surat 225.] Buku ini menjelaskan apa sebenarnya ajaran Bible tentang Tuhan Yehuwa dan tujuan-Nya untuk umat manusia.”
Yesus Kristus
◼ “Orang di serata dunia pernah mendengar tentang Yesus Kristus. Sesetengah orang berkata bahawa dia seorang yang bijak dan baik. Orang lain pula menyembahnya sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa. Pada pandangan anda, adakah penting untuk mengetahui siapa sebenarnya Yesus Kristus?” Izinkan maklum balas. Kemudian baca Yohanes 17:3 dan perenggan 3 pada muka surat 41-42. Tunjukkan soalan-soalan pengenalan di bawah tajuk utama bab berkenaan.
Doa
◼ “Pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana Tuhan menjawab doa kita? [Izinkan maklum balas. Kemudian baca 1 Yohanes 5:14, 15 dan perenggan 16-18 pada muka surat 197-199.] Bab ini juga menjelaskan sebabnya kita patut berdoa kepada Tuhan dan apa yang mesti kita lakukan supaya Dia mengabulkan doa kita.”
Agama
◼ “Ramai orang mula berasa bahawa agama menimbulkan banyak masalah di dunia. Adakah anda berasa bahawa agama sedang membimbing orang ke haluan yang betul? [Izinkan maklum balas. Kemudian baca Matius 7:13, 14 dan perenggan 5 pada muka surat 168.] Bab ini akan mengupas enam ciri ibadat yang diperkenankan Tuhan.” Tunjukkan senarai pada muka surat 169.
Tragedi/Penderitaan
◼ “Apabila tragedi berlaku, ramai orang ingin tahu sama ada Tuhan benar-benar mengambil berat terhadap manusia dan kesusahan mereka. Pernahkah anda berfikir tentang hal ini? [Izinkan maklum balas. Kemudian baca 1 Petrus 5:7 dan perenggan 11 pada muka surat 12.] Buku ini menjelaskan bagaimana Tuhan akan menghilangkan semua kesengsaraan manusia.” Tunjukkan soalan-soalan pengenalan pada muka surat 122.
Peperangan/Kedamaian
◼ “Orang di serata dunia mendambakan kedamaian. Adakah anda berasa bahawa kedamaian sedunia sekadar impian sahaja? [Izinkan maklum balas. Kemudian baca Mazmur 46:9, 10.] Buku ini menjelaskan bagaimana Tuhan akan melaksanakan tujuan-Nya dan membawa kedamaian sedunia.” Tunjukkan gambar pada muka surat 39, dan bincangkan perenggan 17-21 pada muka surat 37-38.
[Kotak pada muka surat 7]
Cara untuk Menyebut tentang Sumbangan
“Jika anda ingin memberikan sumbangan yang kecil bagi menyokong kerja sedunia kami, saya berasa besar hati untuk menerimanya.”
“Walaupun bahan bacaan kami ditawarkan tanpa bayaran, kami rela menerima sumbangan yang diberikan bagi menyokong kerja sedunia ini.”
“Anda mungkin ingin tahu bagaimana kerja kami dibiayai. Kerja sedunia kami disokong oleh sumbangan sukarela. Jika anda ingin menderma kepada kerja sedunia, saya berasa besar hati untuk menerimanya.”