Contohi Guru Agung Semasa Menggunakan Buku Bible Teach
1 Guru Agung, iaitu Yesus, sentiasa memberikan penerangan yang mudah dan jelas. Bagi merangsang fikiran pendengarnya, ada kalanya Yesus menanyakan pendapat mereka terlebih dahulu. (Mat. 17:24-27) Dia mengarahkan perhatian pendengarnya kepada Firman Tuhan. (Mat. 26:31; Mrk. 7:6) Dia berhati-hati supaya tidak membanjiri murid-muridnya dengan maklumat yang terlalu banyak kerana dia sedar mereka akan terus belajar. (Yoh. 16:12) Yesus juga berminat untuk mengetahui jika murid-muridnya mempercayai dan memahami apa yang diajar olehnya. (Mat. 13:51) Buku Bible Teach dibekalkan untuk membantu kita mengajar dengan cara yang serupa.
2 Soalan-soalan Pengenalan: Apabila anda mula mengkaji bab tertentu, adalah baik untuk mengarahkan perhatian pelajar kepada soalan-soalan pengenalan yang tercatat di bawah tajuk bab tersebut. Kemukakan soalan tersebut secara retorik untuk memarakkan rasa ingin tahunya. Anda juga boleh menjemputnya untuk memberi komen yang ringkas bagi soalan-soalan tersebut. Anda tidak perlu membincangkan komennya secara panjang lebar atau membetulkan setiap pernyataannya yang salah. Anda boleh mengucapkan terima kasih untuk pendapatnya lalu membincangkan bab berkenaan. Komennya bagi soalan-soalan pengenalan akan membantu anda mengetahui sama ada terdapat bahagian tertentu dalam pelajaran tersebut yang perlu diberi lebih perhatian.
3 Ayat Bible: Pembelajaran harus bertumpu kepada Ayat-ayat Bible. (Ibr. 4:12) Namun, setiap teks rujukan tidak semestinya dibaca. Tekankan ayat-ayat Bible yang menunjukkan dasar kepercayaan kita. Teks-teks yang memberi maklumat latar belakang mungkin tidak perlu dibaca. Buku Bible Teach menyampaikan kebenaran dengan cara yang tidak rumit. Pastikan pembelajaran adalah mudah. Berikan tumpuan kepada isi-isi utama dan hindari kecenderungan untuk asyik membincangkan butiran atau bahan luar yang tidak diperlukan dalam perbincangan.
4 Lampiran: Bahagian lampiran mengandungi 14 topik lanjutan daripada teks utama. Perbincangan topik-topik ini semasa pembelajaran adalah opsyenal. Bagi tajuk-tajuk tertentu, anda boleh menggalakkan pelajar anda supaya membaca sendiri maklumat tambahan, terutamanya jika dia memahami dan menerima maklumat dalam teks utama bab berkenaan. Sebagai contoh, jika pelajar anda sudah mempercayai bahawa Yesus ialah Mesias, anda mungkin tidak perlu membincangkan dengannya topik “Yesus Kristus—Mesias Yang Dijanjikan” semasa membincangkan “Siapakah Yesus Kristus?” dalam bab 4. Dalam situasi lain, adalah bermanfaat untuk meluangkan masa semasa pembelajaran untuk membincangkan semua atau sebahagian daripada bahan dalam lampiran.
5 Jika anda memilih untuk membincangkan bahan daripada lampiran, anda boleh menyediakan soalan-soalan terlebih dahulu. Bincangkan perenggan-perenggan dengan pelajar sepertimana anda membincangkan bab utama dengannya. Atau, bergantung kepada keperluan pelajar, anda boleh memilih untuk meluangkan beberapa minit semasa pembelajaran untuk mengkaji semula maklumat daripada bahagian lampiran dengannya. Dengan ini, anda akan dapat memastikan bahawa dia memahami bahan yang telah dibacanya sendiri.
6 Petak Ulang Kaji: Petak pada penghujung setiap bab mengandungi pernyataan yang biasanya menjawab soalan-soalan pengenalan. Anda boleh menggunakan pernyataan-pernyataan ini untuk mengulang kaji isi penting dalam bab berkenaan. Sesetengah penyiar mendapati bahawa cara yang berkesan adalah untuk membaca bersama pelajar Bible setiap pernyataan dan mungkin juga ayat Bible yang disertakan. Kemudian, mereka meminta pelajar untuk menjelaskan secara ringkas bagaimana ayat Bible yang dibaca menyokong pernyataan tersebut. Dengan cara ini, pengajar Bible dapat mengetahui jika pelajar itu benar-benar memahami isi-isi penting pelajaran berkenaan, bagaimana isi-isi penting tersebut dibuktikan dalam Bible, dan sama ada dia bersetuju dengannya. Penggunaan cara ini juga akan melatih pelajar untuk menjelaskan kebenaran kepada orang lain dengan menggunakan Bible.
7 Cara yang paling berkesan bagi melaksanakan tugasan untuk mengajar dan membantu orang menjadi murid Yesus adalah dengan mencontohi kaedah pengajarannya. (Mat. 28:19, 20) Buku Bible Teach dapat membantu kita berbuat demikian. Gunakan buku ini dengan sebaik-baiknya untuk mengajarkan kebenaran kepada orang lain dengan cara yang jelas, mudah, dan menarik.
[Pertanyaan Pelajaran]
1. Bagaimanakah Yesus mengajar?
2. Bagaimanakah kita dapat menggunakan soalan-soalan pengenalan untuk setiap bab?
3. Bagaimanakah kita boleh memastikan bahawa pembelajaran adalah mudah?
4. Apakah faktor yang menentukan sama ada kita harus meluangkan masa ketika pembelajaran untuk membincangkan maklumat daripada lampiran?
5. Jika kita memilih untuk membincangkan maklumat daripada bahagian lampiran, bagaimanakah kita dapat melakukannya?
6. Bagaimanakah petak ulang kaji pada penghujung setiap pembelajaran dapat digunakan?
7. Bagaimanakah kita dapat menggunakan buku Bible Teach untuk melaksanakan tugasan kita?