Bolehkah Anda Memasuki ‘Sebuah Pintu Besar yang Menuju ke Kegiatan’?
1 Apabila ‘sebuah pintu besar yang menuju ke kegiatan’ terbuka kepada hawari Paulus, dia menggunakan setiap kesempatan untuk terus menjalankan kerja penyebaran dengan bersungguh-sungguh walaupun menghadapi banyak tentangan. (1 Kor. 16:9) Kini, kira-kira 642,000 penyiar di serata dunia telah memasuki sebuah pintu besar yang menuju ke kegiatan dengan menjadi perintis biasa.
2 Situasi Berubah: Walaupun kini situasi peribadi kita mungkin mengehadkan aktiviti kita, keadaan boleh berubah. Oleh itu, dari semasa ke semasa, adalah wajar dan bijak untuk menilai situasi diri kita dan bukan hanya menunggu keadaan yang sempurna untuk datang bergolek. (Pkh. 11:4) Adakah anda seorang belia yang akan tamat persekolahan tidak lama lagi? Adakah anda seorang ibu atau bapa kepada anak-anak yang akan mula bersekolah? Adakah anda bakal bersara dari kerja sekular? Dengan perubahan-perubahan sebegini, anda akan mempunyai lebih banyak masa. Hal ini memungkinkan anda menyertai khidmat perintis biasa. Seorang saudari yang pernah menghadapi masalah kesihatan sebelum ini telah membuat keputusan untuk menjadi seorang perintis pada usia 89 tahun. Mengapakah dia berbuat demikian? Oleh sebab dia tidak berada di hospital untuk tempoh lebih daripada setahun, dia berasa bahawa kini kesihatannya mengizinkannya untuk merintis.
3 Pada mulanya, Paulus bermaksud untuk melawat saudara-saudara di Korintus. Namun, dia mengubahkan rancangannya demi berita baik. Sebilangan besar penyiar yang kini sedang menjalankan kerja perintis biasa telah membuat beberapa penyesuaian agar mereka dapat merintis. Sesetengah daripada mereka telah menyederhanakan hidup mereka. Oleh itu, mereka hanya perlu bekerja sambilan untuk membiayai perbelanjaan hidup yang telah berkurang. Mereka mendapat kegembiraan kerana dapat berkhidmat sebagai seorang perintis. (1 Tim. 6:6-8) Sesetengah pasangan suami isteri telah menyederhanakan cara hidup mereka agar hanya suami sahaja yang perlu bekerja. Hal ini membolehkan isteri untuk menjadi seorang perintis.
4 Janganlah cepat mengetepikan gagasan untuk merintis kerana bimbang anda tidak dapat memenuhi kuota masa sebanyak 70 jam. Setiap hari, antara dua hingga dua setengah jam sahaja diperlukan. Jika anda masih tidak pasti sama ada anda berupaya melakukannya, cubalah kerja perintis sokongan untuk sebulan dua tetapi dengan jumlah masa 70 jam sebagai sasaran peribadi anda. Dengan cara ini, anda dapat mengecap kegembiraan kerja merintis. (Mzm. 34:9) Bincanglah dengan mereka yang sedang merintis. Perintis-perintis lain mungkin telah mengatasi cabaran-cabaran yang serupa dengan anda. (Ams. 15:22) Doalah kepada Yehuwa supaya memberkati usaha-usaha anda untuk mengembangkan aktiviti penyebaran anda.—1 Yoh. 5:14.
5 Mengejar Sesuatu yang Berfaedah: Dengan berkhidmat sebagai seorang perintis biasa, anda akan mendapat banyak berkat. Anda dapat menikmati kebahagiaan yang mendalam hasil daripada perbuatan memberi. (Kis. 20:35) Kerja merintis akan meningkatkan kebolehan anda untuk menggunakan Firman Tuhan dengan betul. (2 Tim. 2:15) Anda akan mempunyai lebih banyak peluang untuk menikmati bantuan Yehuwa secara peribadi. (Kis. 11:21; Flp. 4:11-13) Kerja merintis akan membantu anda memupuk sifat-sifat rohani seperti ketahanan, dan akan membolehkan anda merapatkan perhubungan anda dengan Tuhan. (Yak. 4:8) Dapatkah anda memasuki pintu besar yang menuju ke kegiatan dengan menjadi seorang perintis biasa?
[Soalan Pembelajaran]
1. Apakah ‘pintu besar yang menuju ke kegiatan’ yang terbuka kepada kita?
2. Mengapakah wajar dan bijak untuk menilai situasi peribadi kita dari semasa ke semasa?
3. Apakah penyesuaian yang telah dibuat oleh sesetengah penyiar supaya mereka dapat menjadi perintis biasa?
4. Apakah yang dapat kita buat jika kita tidak pasti sama ada kita dapat memenuhi kuota masa sebanyak 70 jam?
5. Mengapakah khidmat perintis biasa merupakan usaha yang membawa faedah?