Program Baru untuk Hari Perhimpunan Istimewa
Tema untuk program hari perhimpunan istimewa bagi tahun aktiviti penyebaran 2008 ialah “Kita ialah Tanah Liat—Yehuwa ialah Tukang Tembikar Kita,” berdasarkan Yesaya 64:8. Nasihat daripada Bible yang disampaikan menerusi program ini akan menambahkan penghargaan kita terhadap hikmat, keadilan, kuasa, dan kasih Yehuwa selaku Tukang Tembikar Agung.
Ceramah penyelia litar yang bertajuk, “Berkhidmat sebagai Bejana-bejana yang Mulia dalam Aktiviti Penyebaran” akan menunjukkan bagaimana semakin banyak orang sedang menikmati berkat yang melimpah kerana mengetahui kebenaran dan memberitakan kebenaran ini kepada orang lain. Ceramah yang bertajuk, “Perenungan akan Melindungi Anda” akan memperlihatkan bagaimana perenungan yang serius tentang prinsip-prinsip Yehuwa yang adil benar dapat melindungi kita. Penceramah undangan akan berucap kepada hadirin berdasarkan tema, “Tidak ‘Mengikut Kebiasaan Dunia’ ” dan “Dibentuk oleh Tukang Tembikar Agung.” Ibu bapa dan kaum muda akan mendapat galakan daripada bahagian, “Belia yang Berguna kepada Yehuwa” dan “Peranan Penting Ibu Bapa dalam Proses Pembentukan.” Menerusi demonstrasi dan temu ramah, kita akan berasa gembira untuk mendengar dan memperhatikan apa yang sedang dilaksanakan oleh saudara saudari kita dalam aktiviti penyebaran mereka. Mereka yang berhasrat untuk melambangkan pembaktian mereka kepada Tuhan dengan pembaptisan patut memaklumkan koordinator badan penatua dengan secepat mungkin. Pastikan anda membawa terbitan majalah pembelajaran anda yang akan dibincangkan pada minggu berlangsungnya hari perhimpunan istimewa.
Apa sahaja tujuan yang ditetapkan oleh Tukang Tembikar Agung akan ditunaikan oleh-Nya. Tetapi, terpulang kepada kita masing-masing untuk memilih bagaimana kita akan menerima pembentukan-Nya. Mereka yang dengan bijak mentaati standard-standard Yehuwa dan menuruti pemurnian rohani-Nya adalah seperti segumpal tanah liat di atas peroda tembikar yang dapat dibentuk, diperbaik, dan diubah menjadi bejana yang berguna. Apabila kita bekerjasama dengan Yehuwa, kita membuktikan kesahihan kedaulatan-Nya dan akan menerima banyak berkat.