Program Hari Perhimpunan Istimewa untuk Tahun 2010
1. (a) Apakah beberapa tema yang berdasarkan Bible yang telah dibincangkan semasa hari-hari perhimpunan istimewa yang lalu? (b) Apakah isi-isi penting daripada hari perhimpunan istimewa yang lalu yang telah membantu anda dalam aktiviti penyebaran?
1 “Mengenal Pasti Hal-hal yang Lebih Penting,” “Berdiri Teguh sebagai Satu Kawanan,” “Teruslah Memberikan Kesaksian demi Kebenaran,” dan “Kita Ialah Tanah Liat—Yehuwa Ialah Tukang Tembikar Kita.” (Flp. 1:9, 10, 27; Yoh. 18:37; Yes. 64:8) Inilah antara beberapa tema yang dibincangkan semasa hari-hari perhimpunan istimewa yang lalu. Inginkah anda menghadiri hari perhimpunan istimewa untuk tahun aktiviti penyebaran 2010? Perhimpunan ini akan mengembangkan tema “Kita Tidak Mempunyai Banyak Masa,” yang dipetik daripada 1 Korintus 7:29.
2. Bagaimanakah anda dapat membina semangat untuk perhimpunan ini?
2 Binalah semangat untuk hari perhimpunan istimewa sebaik sahaja tarikhnya diumumkan dalam sidang anda. Sesetengah ibu bapa membantu anak-anak mereka menantikan ketibaan perhimpunan dengan menandakan tarikhnya pada kalendar keluarga, menyenaraikan barang yang perlu dibawa oleh setiap ahli keluarga, dan menghitung hari-hari yang tinggal sebelum berlangsungnya perhimpunan. Semasa malam Penyembahan Keluarga, anda boleh mengkaji semula catatan yang telah dibuat pada hari-hari perhimpunan istimewa yang lalu. Anda juga dapat mempersiapkan hati untuk perhimpunan ini dengan mengkaji bahan daripada buku “Sekolah Penyebaran” (Ministry School-E), muka surat 13-16, supaya anda sekeluarga dapat ‘memperhatikan cara anda mendengar.’—Luk. 8:18.
3. Bagaimanakah kita dapat memanfaatkan sepenuhnya program perhimpunan?
3 Terapkan Apa yang Dipelajari: “Program ini sangat bagus!” Ungkapan ini sering didengari selepas tamatnya perhimpunan. Hal ini memang benar kerana perhimpunan merupakan salah satu pemberian yang melimpah daripada Yehuwa. (Ams. 10:22) Jika kita ingin agar maklumat yang didengari membuahkan hasil, kita mesti merenungkan dan menyimpannya di hati. (Luk. 8:15) Selepas perhimpunan, luangkan masa dalam perjalanan pulang untuk membincangkan program bersama keluarga atau penumpang lain dalam kereta. Bincangkan matlamat setiap orang dan isi-isi yang dapat membantu anda dalam aktiviti penyebaran. Dengan berbuat demikian, anda dapat terus memanfaatkan maklumat program meskipun perhimpunan sudah lama berlalu.—Yak. 1:25.
4. Mengapakah perhimpunan ini istimewa bagi kita?
4 Kita selalu berbesar hati apabila menerima sebuah hadiah yang bermanfaat bagi kita. Tidakkah kita menanti-nantikan apa yang telah disediakan oleh Yehuwa buat kita pada hari perhimpunan istimewa yang akan datang? Sudah pasti perhimpunan ini akan membawa manfaat dari semua segi. Yehuwa, Bapa kita di syurga, tentunya telah menyediakan pemberian yang kita perlukan dalam bentuk galakan dan latihan supaya kita dapat melaksanakan kerja yang telah ditugaskan oleh-Nya kepada kita.—2 Tim. 4:2; Yak. 1:17.