Perhimpunan Litar yang Membantu Kita Menjaga Kerohanian Kita
1. Apakah salah satu pemberian Yehuwa yang membantu kita menyempurnakan amanat untuk menyebarkan berita baik?
1 Yehuwa dengan murah hati memberikan maklumat, latihan, dan galakan yang kita perlukan agar dapat menyempurnakan tugas menyebarkan berita baik yang diamanatkan oleh-Nya. (Mat. 24:14; 2 Tim. 4:17) Salah satu cara Dia berbuat demikian adalah menerusi perhimpunan litar yang diadakan setiap tahun. Program perhimpunan yang baru untuk tahun aktiviti penyebaran 2010 akan mengembangkan tema “Jagalah Kerohanian Anda,” berdasarkan Roma 8:5 dan Yudas 17-19. Perhimpunan ini akan diadakan bermula minggu 31 Ogos 2009.
2. (a) Bagaimanakah perhimpunan litar akan memberi kita manfaat? (b) Bagaimanakah perhimpunan litar yang diadakan dahulu telah membantu anda dalam aktiviti penyebaran?
2 Manfaatnya: Program perhimpunan ini akan membangkitkan kesedaran kita terhadap bahaya seperti perkara yang akan menelan masa kita dan menyimpangkan perhatian kita daripada apa yang benar-benar penting. Kita akan belajar cara melawan sikap permisif dan mengkaji ciri-ciri orang yang bersifat rohani. Simposium pada hari Ahad akan menunjukkan langkah-langkah yang dapat kita ambil sebagai individu dan keluarga bagi memantapkan kerohanian kita semasa menghadapi tekanan yang semakin meningkat dan semasa dugaan yang besar menguji kepercayaan kita. Program ini akan membantu kita menjaga hati masing-masing, mengekalkan kesihatan rohani, dan memusatkan perhatian pada berkat yang berlipat ganda yang menantikan orang yang menjaga kerohanian mereka.
3. Bilakah perhimpunan litar anda akan diadakan? Anda patut bertekad untuk membuat apa?
3 Sebaik sahaja anda mengetahui tempat dan masa perhimpunan litar akan diadakan, rancanglah untuk hadir dan mendengar kesemua sesi perhimpunan dengan penuh perhatian. Yakinlah bahawa Yehuwa akan memberkati usaha orang yang rajin.—Ams. 21:5.
4. Apakah manfaat yang pasti diterima jika kita menghadiri perhimpunan litar yang akan datang?
4 Sememangnya kurniaan yang berharga ini datangnya daripada Yehuwa. Program yang disediakan oleh golongan hamba yang setia akan memberi kita bantuan yang diperlukan untuk meneruskan perjuangan kita sebagai penyebar Kristian. Kita bersyukur atas kasih Yehuwa yang ditunjukkan menerusi segala pemberian yang membantu kita untuk “berpegang teguh kepada harapan yang kita akui.”—Ibr. 10:23-25; Yak. 1:17.