Pemberian Tuhan kepada Penyebar Kristian
1 Pada tahun 1938, organisasi Yehuwa memulakan satu aturan yang baru. Sidang-sidang dijemput untuk menghadiri perhimpunan zon, yang kini dikenali sebagai perhimpunan litar. Apakah tujuannya? Informant (kini Kerja Teokratik Kita) terbitan Januari 1939 menjawab, “Perhimpunan-perhimpunan ini ialah sebahagian daripada aturan organisasi Yehuwa untuk membantu kita melaksanakan kerja penyebaran Kerajaan Tuhan. Ajaran yang disampaikan semasa perhimpunan sangat penting kerana dapat membantu setiap penyebar menyempurnakan kerja mereka.” Pertambahan jumlah penyebar Kerajaan Tuhan daripada 58,000 orang pada tahun 1938 kepada lebih daripada 7,000,000 orang pada tahun 2009, jelas menunjukkan bahawa perhimpunan litar sedang mencapai tujuannya, iaitu membantu para penyebar “menyempurnakan kerja mereka”!
2 Tema bagi Tahun Depan: Kita menantikan program perhimpunan yang menggalakkan yang akan bermula pada September. Temanya “Kamu Bukan Milik Dunia” dipetik daripada Yohanes 15:19. Apakah antara ceramah-ceramah yang pasti bermanfaat bagi para penyebar Kristian? Pada hari Sabtu, kita akan mendengar ceramah “Khidmat Sepenuh Masa Melindungi Kita—Bagaimana?” Kita juga akan mendengar sebuah simposium yang mengandungi tiga bahagian. Tajuknya “Jangan Dicemari oleh . . .” “Binatang Itu,” “Pelacur yang Termasyhur,” dan “Para Saudagar.” Pada hari Ahad, kita akan mendengar simposium yang bertajuk “Kasihi Yehuwa, Bukannya Dunia Ini.” Ceramah-ceramah lain termasuk “Tetap Hidup sebagai ‘Orang Asing dan Orang Pelarian’” dan “Tabahkan Hatimu! Kamu Boleh Mengalahkan Dunia.”
3 Selepas menghadiri salah sebuah perhimpunan litar baru-baru ini, seorang saudari yang telah menjadi kurang aktif dalam aktiviti penyebaran menulis bahawa program tersebut telah membuatnya menilai semula keadaan hidupnya. Dia bertekad untuk “bergiat dalam aktiviti penyebaran dan jangan berdalih lagi!” Sememangnya, program perhimpunan litar pada tahun aktiviti penyebaran yang baru akan membantu kita semua mengasihi Yehuwa dan bukannya dunia ini. (1 Yoh. 2:15-17) Pastikan bahawa anda hadir dan memberi sepenuh perhatian. Dengan ini, anda dapat memanfaatkan sepenuhnya pemberian daripada Tuhan yang pengasih kepada para penyebar Kristian!
[Soalan Pembelajaran]
1. Apakah aturan baru yang bermula pada tahun 1938? Apakah tujuannya?
2. Apakah ceramah yang akan disampaikan semasa perhimpunan litar pada tahun aktiviti penyebaran yang baru?
3. Jika kita menghadiri perhimpunan litar, apakah manfaat yang dapat diperoleh?