Adakah Anda Bersedia untuk Memberikan Kesaksian Tidak Formal?
1. Apakah contoh yang menunjukkan bahawa kesaksian tidak formal boleh membawa hasil yang baik?
1 Kesaksian tidak formal boleh membawa hasil yang sangat baik. Bible mengandungi banyak contoh kesaksian tidak formal yang berkesan. (Yoh. 4:6-15) Apakah yang dapat kita lakukan supaya bersedia untuk aspek kerja penyebaran ini?
2. Bagaimanakah pakaian dan dandanan kita dapat membantu kita bersedia untuk memberikan kesaksian?
2 Pakaian dan Dandanan: Jika kita sentiasa memberi perhatian yang sewajarnya terhadap pakaian dan dandanan kita, kita dapat memberitahu orang lain tentang kepercayaan kita bila-bila sahaja. (1 Tim. 2:9, 10) Jika kita berasa segan dengan penampilan kita, besar kemungkinan kita akan teragak-agak untuk memberikan kesaksian. Sebaliknya, penampilan yang kemas dan bersih mungkin menyebabkan orang lain berminat untuk mengetahui sebabnya kita begitu berbeza.
3. Seperti Yesus, bagaimanakah anda telah memulakan perbualan?
3 Memulakan Perbualan: Semasa Yesus bertemu dengan wanita Samaria di perigi Yakub, dia memulakan perbualan dengan hanya meminta wanita itu memberinya minum. Begitu juga, kita mungkin dapat memulakan perbualan dengan membuat pernyataan ringkas atau dengan menanyakan soalan yang mudah. Meskipun ada kalanya kita mungkin teragak-agak, namun kita boleh memberanikan diri untuk memulakan perbualan jika kita bergantung pada bantuan Yehuwa.—1 Tes. 2:2.
4. Bagaimanakah kita dapat bersedia untuk memberikan kesaksian tidak formal?
4 Mencari Peluang: Ramai penyiar telah menggunakan beberapa cara untuk memberikan kesaksian tidak formal. Pertimbangkan keadaan anda, dan fikir tentang siapa yang mungkin ditemui setiap hari. Bawa bersama anda bahan bacaan yang sesuai dan sebuah Bible. Gunakan daya pemerhatian, dan prihatin terhadap orang di sekeliling anda. Apabila anda memikirkan peluang yang mungkin timbul dalam satu hari, barangkali anda dapat bersedia untuk memberikan kesaksian yang baik.—Flp. 1:12-14; 1 Ptr. 3:15.
5. Mengapakah kita perlu merancang untuk memberikan kesaksian tidak formal?
5 Kita mempunyai dua alasan yang baik untuk merebut peluang bagi memberikan kesaksian tidak formal—kasih akan Tuhan dan kasih akan manusia. (Mat. 22:37-39) Memandangkan kerja penyebaran amat mendesak, kita perlu membuat perancangan untuk memberikan kesaksian tidak formal. Kita patut bersedia merebut setiap peluang yang sesuai untuk memberitahu orang lain tentang berita baik Kerajaan Tuhan sementara kita masih mempunyai masa.—Rm. 10:13, 14; 2 Tim. 4:2.