Anda Boleh Memberikan Kesaksian Tidak Formal!
1. (a) Apakah maksud kesaksian tidak formal? (b) Di perjumpaan ini, berapa ramaikah orang yang mendengar kebenaran buat kali pertama menerusi kesaksian tidak formal?
1 Berapa ramaikah orang dalam sidang anda yang mendengar kebenaran buat kali pertama menerusi kesaksian tidak formal? Jawapannya mungkin memeranjatkan anda. Kesaksian tidak formal bermaksud mengkhabarkan berita baik kepada orang yang kita temui semasa menjalankan kegiatan seharian—sewaktu dalam perjalanan, mengunjungi saudara-mara atau jiran, membeli-belah, di sekolah, di tempat kerja, dan sebagainya. Dalam sebuah kumpulan yang mempunyai lebih daripada 200 orang Saksi yang terbaptis, 40 peratus daripadanya mendengar kebenaran buat kali pertama menerusi kesaksian tidak formal! Maka, kaedah ini sangat berkesan.
2. Nyatakan contoh-contoh kesaksian tidak formal yang tercatat dalam Bible.
2 Para penyebar berita baik pada abad pertama sering memberikan kesaksian tidak formal. Contohnya, semasa Yesus melalui Samaria, dia memberikan kesaksian kepada seorang wanita yang sedang menimba air dari perigi milik Yakub. (Yoh. 4:6-26) Filipus memulakan perbualan dengan seorang pegawai istana Etiopia yang sedang membaca buku Yesaya dengan bertanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” (Kis. 8:26-38) Semasa dipenjarakan di Filipi, hawari Paulus memberikan kesaksian kepada ketua penjara. (Kis. 16:23-34) Kemudian, semasa ditahan dalam rumah, Paulus “menyambut sesiapa sahaja yang datang melawatnya. Dengan kebebasan dan keberanian, Paulus mengkhabarkan ajaran tentang Pemerintahan [Tuhan], dan memberikan ajaran tentang [Tuan] Yesus Kristus.” (Kis. 28:30, 31) Anda juga boleh memberikan kesaksian tidak formal, biarpun anda pemalu. Bagaimana?
3. Bagaimanakah kita boleh mengatasi rasa malu?
3 Langkah Pertama: Ramai orang berasa sukar untuk memulakan perbualan dengan orang yang tidak dikenali. Biarpun dengan orang yang dikenali, kita juga mungkin berasa kekok untuk menyebut tentang kebenaran. Namun, kita akan didorong untuk memberikan kesaksian, jika kita merenungkan kebaikan Yehuwa, intan mutiara rohani yang dikurniakan oleh-Nya kepada hamba-hamba-Nya, dan keperitan orang di dunia. (Yun. 4:11; Mzm. 40:6; Mat. 13:52) Tambahan lagi, kita boleh meminta Yehuwa agar ‘mengurniai kita keberanian.’ (1 Tes. 2:2) Seorang pelajar Gilead berkata, “Apabila saya berasa sukar untuk bercakap dengan orang lain, doa sering kali dapat membantu.” Jika anda teragak-agak untuk bersuara, ucapkan doa yang ringkas dalam hati.—Neh. 2:4.
4. Apakah matlamat yang boleh kita tetapkan pada mulanya? Apakah sebabnya?
4 Semasa memberikan kesaksian tidak formal, kita tidak perlu menggunakan penyampaian yang formal atau ayat Bible untuk memulakan perbualan. Mungkin kita boleh bermatlamat untuk memulakan perbualan sahaja, tanpa perlu tergesa-gesa menyebut tentang kebenaran. Menurut ramai penyiar, langkah ini memberi mereka keyakinan yang diperlukan untuk memperkenalkan berita baik. Jika seseorang enggan meneruskan perbualan, anda tidak perlu memaksanya. Akhiri perbualan itu dengan sopan dan carilah orang lain.
5. Apakah yang dilakukan oleh seorang saudari yang pemalu untuk memberikan kesaksian tidak formal?
5 Semasa membeli-belah, seorang saudari yang pemalu memandang seseorang dahulu. Setelah menjalinkan kontak mata, dia akan senyum dengan mesra. Jika orang itu membalas senyumannya, dia akan mengatakan sesuatu dengan ringkas. Sekiranya orang itu bersikap ramah, dia akan berasa lebih yakin untuk terus bercakap. Dia akan mendengar dengan teliti dan memikirkan aspek berita baik yang mungkin menarik minat orang itu. Pendekatan ini telah membolehkannya menawarkan lebih banyak bahan bacaan dan bahkan memulakan satu pembelajaran Bible.
6. Semasa memberikan kesaksian tidak formal, bagaimanakah kita dapat memulakan perbualan?
6 Memulakan Perbualan: Apakah yang boleh dikatakan untuk memulakan perbualan? Yesus berjaya memulakan perbualan dengan seorang wanita di tepi perigi hanya dengan meminta minuman daripadanya. (Yoh. 4:6-8) Barangkali, sapaan yang mesra atau sebuah soalan boleh membantu kita mencetuskan perbualan. Sepanjang perbualan itu, anda mungkin akan mendapat peluang untuk mengemukakan ajaran Bible, atau menanam benih kebenaran. (Pkh. 11:6) Sesetengah penyiar berjaya berbuat demikian dengan membuat suatu pernyataan yang menarik. Pernyataan sebegini akan membangkitkan minat seseorang dan menggerakkannya untuk mengajukan soalan. Misalnya, sewaktu anda sedang menunggu doktor, anda boleh memulakan perbualan dengan berkata, “Alangkah baiknya jika saya tidak perlu jatuh sakit lagi.”
7. Bagaimanakah daya pemerhatian yang tajam dapat membantu kita dalam kesaksian tidak formal?
7 Daya pemerhatian yang tajam juga dapat membantu kita memulakan perbualan. Jika kita memerhatikan anak yang berkelakuan baik, kita boleh memuji ibu atau bapanya dan bertanya, “Bagaimanakah anda dapat menjadi ibu atau bapa yang berjaya?” Seorang saudari peka terhadap perkara yang dibincangkan oleh rakan sekerjanya. Kemudian, dia akan berkongsi maklumat yang sesuai dengan hal yang diminati oleh mereka. Semasa dia mendapat tahu bahawa seorang wanita di tempat kerjanya akan berkahwin, saudari itu memberinya salah satu majalah kita tentang cara merancang perkahwinan. Hasilnya, lebih banyak perbincangan tentang Bible dapat diadakan.
8. Bagaimanakah bahan bacaan kita dapat digunakan untuk memulakan perbualan?
8 Satu lagi cara untuk memulakan perbualan adalah dengan membaca bahan bacaan kita di mana orang lain dapat memerhatikan kita. Seorang saudara membuka majalah kita, memilih satu rencana dengan tajuk yang menarik, dan mula membacanya dalam hati. Jika dia mendapati seorang yang berdekatan sedang memandang majalahnya, dia akan menanyakan satu soalan atau mengatakan sesuatu yang ringkas tentang rencana itu. Biasanya dia dapat memulakan perbualan dan memberikan kesaksian dengan cara ini. Jika kita meletakkan bahan bacaan di tempat yang mudah dilihat, kita dapat membangkitkan minat rakan sekerja atau rakan sekolah untuk bertanya tentangnya.
9, 10. (a) Bagaimanakah kita dapat mewujudkan peluang untuk memberikan kesaksian tidak formal? (b) Bagaimanakah anda telah melakukannya?
9 Mewujudkan Peluang: Aktiviti penyebaran ialah kerja yang mendesak. Maka, kita tidak boleh mengharapkan peluang untuk memberikan kesaksian tidak formal akan datang begitu sahaja. Sebaliknya, kita patut berusaha mewujudkan peluang untuk memberikan kesaksian semasa menjalankan aktiviti seharian. Fikirkan terlebih dahulu siapa yang mungkin anda temui, dan rancang bagaimana anda dapat memulakan perbualan dengan ramah. Pastikan anda membawa Bible sendiri dan bahan bacaan untuk diberikan kepada mereka yang berminat.—1 Ptr. 3:15.
10 Ramai penyiar menggunakan pelbagai cara untuk mewujudkan peluang bagi memberikan kesaksian tidak formal. Seorang saudari yang menetap di bangunan yang mempunyai kawalan keselamatan yang ketat menyusun suai gambar alam semula jadi yang indah di kawasan rekreasi. Apabila orang lain bercakap tentang pemandangan yang indah itu, dia mengambil peluang untuk memulakan perbualan dan memberitahu mereka tentang janji Bible mengenai “langit baru dan bumi baru.” (Pny. 21:1-4) Bolehkah anda memikirkan bagaimana anda dapat mewujudkan peluang untuk memberikan kesaksian tidak formal?
11. Bagaimanakah kita boleh memupuk minat seseorang yang ditemui semasa memberikan kesaksian tidak formal?
11 Memupuk Minat: Sekiranya seseorang sudi mendengar, cubalah pupuk minatnya. Jika sesuai, anda boleh berkata kepada orang itu, “Saya gembira sekali kerana dapat berbual dengan anda. Bagaimanakah saya dapat menghubungi anda supaya kita dapat berbual lagi?” Sesetengah penyiar memberikan alamat dan nombor telefon mereka kepada orang itu dan berkata, “Perbualan tadi sangat bermakna. Jika anda ingin mengetahui selanjutnya tentang apa yang kita bincangkan tadi, hubungilah saya.” Jika anda tidak dapat mengunjunginya, isikan borang Kunjungan Susulan (S-43) dan serahkannya kepada setiausaha sidang. Dengan ini, sidang yang lain dapat mengunjunginya.
12. (a) Mengapakah kita patut mencatatkan dan melaporkan masa yang digunakan untuk memberikan kesaksian tidak formal? (b) Apakah hasil yang diperoleh menerusi kesaksian tidak formal? (Lihat kotak “Kesaksian Tidak Formal Memang Berhasil!”)
12 Kita patut melaporkan masa yang digunakan untuk memberikan kesaksian tidak formal. Oleh itu, pastikan bahawa anda mencatatkan masa itu, biarpun hanya beberapa minit sehari. Fikirkan: Jika setiap orang penyiar meluangkan lima minit setiap hari untuk memberikan kesaksian tidak formal, kita akan melaporkan lebih daripada 17 juta jam dalam sebulan!
13. Apakah yang patut mendorong kita untuk memberikan kesaksian tidak formal?
13 Kasih kepada Tuhan dan manusia merupakan sebab terpenting kita memberikan kesaksian tidak formal. (Mat. 22:37-39) Hati yang dipenuhi rasa syukur terhadap sifat-sifat Yehuwa dan tujuan-Nya mendorong kita untuk mengisytiharkan ‘pemerintahan-Nya yang mulia dan semarak.’ (Mzm. 145:7, 10-12) Kita mengambil berat kepada orang lain dengan ikhlas. Hal ini menggerakkan kita agar tidak melepaskan setiap peluang yang sesuai untuk menyebarkan berita baik sebelum terlambat. (Rm. 10:13, 14) Dengan membuat perancangan dan persiapan, kita semua boleh memberikan kesaksian tidak formal dan bersukacita semasa membantu orang yang berhati jujur untuk mengenal kebenaran.
[Blurb on page 4]
Anda mungkin boleh bermatlamat untuk menemui orang dan memulakan perbualan
[Blurb on page 5]
Ramai penyiar menggunakan pelbagai cara untuk mewujudkan peluang bagi memberikan kesaksian tidak formal
[Caption on page 5]
Cadangan untuk Memulakan Perbualan
◼ Sebelum bermula, berdoa kepada Yehuwa
◼ Pilih mereka yang nampak ramah dan tidak mengejar masa
◼ Jalinkan kontak mata, senyum, dan katakan sesuatu yang menarik minatnya
◼ Jadi pendengar yang baik
[Box on page 6]
Kesaksian Tidak Formal Memang Berhasil!
• Sambil menunggu keretanya dibaiki di bengkel, seorang saudara memberikan kesaksian kepada orang di sekelilingnya. Dia memberi mereka surat jemputan konvensyen dan menjemput mereka ke ceramah umum. Setahun kemudian, semasa menghadiri konvensyen, dia disapa dengan ramah oleh seorang saudara yang tidak dikenalinya. Rupa-rupanya saudara itu ialah salah seorang lelaki yang menerima surat jemputan di bengkel kereta pada tahun lalu! Lelaki itu telah menghadiri ceramah umum dan meminta pembelajaran Bible. Dia dan isterinya telah dibaptis.
• Seorang saudari yang menerima kebenaran menerusi kesaksian tidak formal mempunyai kawasan penyebaran yang istimewa. Kawasannya merupakan orang yang ditemuinya menerusi tiga orang anaknya. Mereka merangkumi jiran, ibu bapa yang ditemuinya di sekolah dan di perjumpaan bagi ibu bapa. Setiap kali dia memperkenalkan diri, dia mengatakan secara ringkas dan ikhlas bahawa Bible memberinya bantuan yang berharga untuk membesarkan anak. Kemudian, dia beralih ke topik yang lain. Memandangkan dia telah memulakan perbualan, maka adalah lebih mudah baginya untuk menyebut tentang Bible dalam perbualan yang lain. Dengan berbuat demikian, dia telah membantu 12 orang untuk dibaptis.
• Sewaktu dikunjungi oleh jurujual insurans, seorang saudari menggunakan peluang itu untuk memberikan kesaksian. Dia bertanya kepada lelaki itu sama ada dia menginginkan kesihatan yang baik, kebahagiaan, dan kehidupan kekal yang terjamin. Lelaki itu menjawab ya dan ingin mengetahui jenis insurans yang dimaksudkannya. Saudari itu menunjukkan janji-janji Bible lalu menawarkan salah satu bahan bacaan kita. Dalam satu malam sahaja, lelaki itu selesai membacanya. Dia mempelajari Bible, mula menghadiri perjumpaan, dan kemudiannya dibaptis.
• Semasa menaiki kapal terbang, seorang saudari berbual dan memberikan kesaksian kepada wanita yang duduk bersebelahannya. Setibanya di destinasi, saudari itu memberi wanita itu alamat dan nombor telefonnya lalu menggalakkan wanita itu untuk meminta Saksi-Saksi Yehuwa mempelajari Bible dengannya semasa mereka mengunjunginya. Keesokan harinya, dua orang Saksi berkunjung ke rumah wanita itu. Wanita itu mula mempelajari Bible, membuat kemajuan yang baik, dibaptis, dan tidak lama kemudian mengadakan tiga pembelajaran Bible.
• Seorang saudara buta yang berusia 100 tahun tinggal di rumah penjagaan. Dia sering berkata, “Kita memerlukan Kerajaan Tuhan.” Hasilnya, dia dapat memberikan penjelasan kepada jururawat dan pesakit yang menanyakan apa sebenarnya Kerajaan Tuhan. Salah seorang wanita yang bekerja di situ menanya dia apa yang akan dilakukannya semasa di Firdaus. Dia menjawab, “Saya akan melihat dan berjalan semula serta membakar kerusi roda saya.” Oleh sebab saudara itu buta, dia meminta wanita itu untuk membacakan majalah kepadanya. Apabila anak perempuan saudara itu melawatnya, pekerja itu meminta kebenaran anaknya untuk membawa pulang majalah-majalah itu. Seorang jururawat memberitahu anak perempuan saudara itu, “Tema baru rumah penjagaan kita ialah: ‘Kita memerlukan Kerajaan Tuhan.’”
• Semasa beratur di restoran, seorang saudari terdengar perbualan sekumpulan lelaki tua yang duduk berdekatan. Mereka sedang membincangkan isu-isu politik. Seorang lelaki menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh menyelesaikan masalah kita. Saudari itu berbisik dalam hatinya, ‘Inilah peluangku.’ Dia mengucapkan doa yang singkat lalu mendekati mereka. Setelah memperkenalkan diri, dia memberitahu mereka tentang sebuah kerajaan yang akan menyelesaikan masalah manusia, iaitu Kerajaan Tuhan. Kemudian, dia menawarkan senaskhah brosur yang dibawa olehnya. Ketika itu, pengurus restoran mendekati mereka. Saudari itu menyangka bahawa pengurus itu akan menyuruhnya untuk beredar. Sebaliknya, pengurus itu memberitahunya bahawa dia telah mendengar perbualan mereka dan menginginkan senaskhah brosur juga. Seorang pekerja yang juga sedang mendengar perbualan itu mendekati mereka dengan air mata yang berlinangan. Rupa-rupanya dia pernah mempelajari Bible dan kini ingin menyambung semula pembelajarannya.