Cara Melatih Penyiar Baru untuk Menjalankan Kerja Penyebaran
1. Apakah perasaan anda semasa menjalankan kerja penyebaran buat kali pertama?
1 Masihkah anda ingat akan kali pertama anda menjalankan kerja penyebaran dari rumah ke rumah? Mungkin anda berasa sangat cemas. Jika pada masa itu anda bekerja dengan pengajar Bible anda atau penyiar lain, tentu anda berasa lega dengan bantuannya. Memandangkan anda kini sudah menjadi seorang penyebar yang berpengalaman, anda boleh melatih penyiar yang lebih baru untuk menjalankan kerja penyebaran.
2. Apakah yang perlu dipelajari oleh para penyiar baru?
2 Para penyiar baru perlu mempelajari cara memulakan perbualan dengan penghuni rumah, menggunakan Bible dalam penyampaian mereka, membuat kunjungan kembali, dan memulakan serta mengadakan pembelajaran Bible. Mereka juga perlu mempelajari pelbagai bentuk kesaksian yang lain, seperti di tempat awam dan mengunjungi orang dalam kawasan perniagaan. Anda dapat membantu mereka untuk maju dari segi-segi ini melalui teladan dan cadangan anda.
3. Bagaimanakah kita dapat membantu orang lain melalui teladan kita?
3 Mengajar Melalui Teladan: Yesus menunjukkan cara menjalankan kerja penyebaran kepada para pengikutnya. (Luk. 8:1; 1 Ptr. 2:21) Semasa anda merancang untuk bekerja dengan seorang penyiar yang baru, sediakan sebuah penyampaian ringkas agar dia dapat mempelajarinya. Anda boleh berbuat demikian dengan menggunakan cadangan yang terdapat dalam salah satu bahan bacaan kita. Kemudian, anda boleh menawarkan diri untuk bercakap kepada penghuni rumah yang pertama atau yang kedua supaya penyiar itu boleh mendengar penyampaian anda. Sebelum beralih ke rumah seterusnya, anda boleh menanyakan pendapatnya sama ada penyampaian anda berkesan atau tidak. Tindakan ini akan membantunya untuk memahami kebaikan menjalankan kerja penyebaran bersama seorang rakan dan memudahkannya untuk menerima cadangan anda selepas dia memberikan penyampaiannya.
4. Selepas mendengar penyampaian seorang penyiar baru, bagaimanakah kita boleh membantunya?
4 Memberikan Cadangan: Yesus juga mengajar para pengikutnya cara-cara menjalankan kerja penyebaran. (Mat. 10:5-14) Anda juga boleh berbuat demikian untuk membantu penyiar yang baru. Apabila tiba gilirannya untuk bercakap, dengarlah dengan teliti. Setelah anda meninggalkan pintu penghuni rumah, jangan teragak-agak untuk memberikan pujian yang spesifik dan ikhlas, meskipun anda mendapati bahawa beberapa aspek penyampaiannya perlu diperbaiki. Sebelum memberikan suatu cadangan, anda boleh memerhatikan sama ada dia telah memperbaiki aspek itu pada rumah berikutnya. Dia mungkin hanya berasa cemas. Jangan lupa bahawa setiap penyiar mempunyai kebolehan yang berbeza dan sering kali ada berbagai-bagai cara yang betul untuk melakukan sesuatu kerja.—1 Kor. 12:4-7.
5. Apakah yang boleh kita katakan semasa mengambil inisiatif untuk memberikan cadangan?
5 Ada kalanya, seorang penyiar baru akan meminta cadangan anda. Tetapi jika dia tidak berbuat demikian, ambillah inisiatif untuk membantunya. Bagaimanakah anda boleh berbuat demikian tanpa menyinggung perasaannya? Sesetengah penyiar yang berpengalaman bertanya, “Bolehkah saya memberi kamu satu cadangan?” atau “Apakah pendapat kamu tentang penyampaian ini?” Anda juga boleh berkata, “Semasa saya seorang penyiar baru, saya berhadapan dengan cabaran untuk . . . , tetapi saya mendapati . . . boleh membantu.” Kadang kala, adalah baik untuk merujuk buku Perbincangan atau cadangan-cadangan lain dalam Kerja Teokratik Kita bersama-sama. Berikanlah cadangan berdasarkan satu aspek penyampaiannya sahaja agar anda tidak membanjirinya dengan terlalu banyak cadangan.
6. Berkenaan aktiviti penyebaran, bagaimanakah “besi mengasah besi”?
6 Besi Mengasah Besi: Timotius, seorang penyebar berita baik yang berpengalaman, pernah digalakkan oleh Paulus agar terus berusaha mengajar dan membuat kemajuan. (1 Tim. 4:13, 15) Walaupun bertahun-tahun telah berlalu sejak kali pertama anda menjalankan kerja penyebaran, anda patut terus mengasah kemahiran sendiri. Belajar daripada para penyiar yang menjadi teman anda dalam kerja penyebaran, bahkan daripada mereka yang kurang berpengalaman. Bersedialah untuk membantu orang lain dengan baik hati, terutamanya penyiar yang lebih baru, untuk menjadi penyebar berita baik yang mahir.—Ams. 27:17.