Belajarlah daripada Penyiar yang Berpengalaman
Kita amat menghargai penyiar yang berpengalaman. Ada antara mereka yang setia menyembah Yehuwa selama bertahun-tahun. Yang lain pula mungkin baru menjadi mahir dalam aktiviti penyebaran. Penyiar-penyiar ini telah melihat cara Yesus memimpin sidang Kristian dalam kerja penyebaran pada hari-hari terakhir. (Mat. 28:19, 20) Dengan bergiat dalam kerja menginjil, mereka menerima “kuasa luar biasa” untuk menghadapi cabaran. (2 Kor. 4:7) Kita dapat belajar banyak daripada penyiar yang berpengalaman. Mereka juga sudi berkongsi pengalaman mereka dengan kita. (Mzm. 71:18) Jadi, ambillah peluang untuk belajar daripada mereka. Bagaimanakah hal ini boleh dilakukan?
Dalam Kerja Penyebaran. Untuk menginjil dengan efektif, penyiar baru atau yang kurang berpengalaman memerlukan latihan. Mereka boleh memerhatikan cara penyiar yang berpengalaman menjalankan kerja penyebaran. (Lihat rencana “Tetap Bersemangat dalam Aktiviti Penyebaran,” Menara Pengawal 15 Februari 2015. Lihat tajuk kecil “Bantu Penyiar Baru.”) Apakah manfaat yang diperoleh semasa anda bekerja bersama mereka?
Bolehkah anda menjemput seorang penyiar yang berpengalaman untuk bekerja bersama anda? Jika penyiar itu lanjut usia atau uzur, anda boleh sekali-sekala mengadakan pembelajaran Bible di rumahnya. Selepas itu, mintalah nasihat atau cadangan daripadanya.
Luangkanlah Masa dengan Mereka: Luangkanlah masa untuk mengenali mereka. Jemputlah salah seorang penyiar yang berpengalaman untuk menyertai penyembahan keluarga anda dan tanyalah dia soalan seperti: Bagaimanakah anda mendapat kebenaran? Apakah berkat yang telah anda nikmati? Apakah kemajuan di kawasan ini yang telah anda lihat? Apakah sukacita yang anda nikmati semasa berkhidmat kepada Yehuwa? Jika penyiar itu lanjut usia atau uzur, bolehkah anda mengadakan penyembahan keluarga di rumahnya?
Tunjukkanlah sikap munasabah terhadap kemampuan mereka. Seperti kita, penyiar yang berpengalaman juga mempunyai kebolehan yang berlainan. (Rm. 12:6-8) Mereka yang lanjut usia mungkin tidak dapat meluangkan banyak masa dengan kita. Namun, kita masih dapat belajar daripada teladan mereka dalam menyembah Yehuwa dengan setia.