Keutamaan Kita
1. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa aktiviti penyebaran adalah penting baginya?
1 Yesus mengutamakan aktiviti penyebaran. Demi mengkhabarkan berita baik kepada seberapa ramai orang yang mungkin, dia berjerih payah berjalan beratus-ratus batu di serata Palestin. Dia menjalani kehidupan yang sederhana agar dapat menghabiskan lebih banyak masa dan tenaga dalam aktiviti penyebaran. (Mat. 8:20) Apabila orang ramai mencuba menghalang Yesus daripada meninggalkan mereka kerana ingin dia menyembuhkan orang sakit dalam kalangan mereka, dia berkata, ‘Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana Tuhan mengutus aku untuk melakukan tugas itu.’—Luk. 4:43.
2. Mengapakah aktiviti penyebaran begitu penting bagi Yesus?
2 Mengapakah aktiviti penyebaran begitu penting bagi Yesus? Perkara yang diutamakan olehnya ialah penyucian nama Yehuwa. (Mat. 6:9) Dia mengasihi Bapanya yang di syurga, maka dia ingin melaksanakan kehendak-Nya dan mematuhi setiap perintah-Nya. (Yoh. 14:31) Selain itu, dia mengambil berat terhadap orang lain dengan ikhlas dan ingin membantu mereka.—Mat. 9:36, 37.
3. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mengutamakan aktiviti penyebaran?
3 Tirulah Yesus: Kita mungkin mendapati sukar untuk mengutamakan aktiviti penyebaran seperti Yesus kerana perkara-perkara dalam dunia ini menelan banyak masa kita dan mengalih perhatian kita. (Mat. 24:37-39; Luk. 21:34) Oleh itu, kita mesti mengenal pasti apa yang terbaik dan lebih penting, iaitu memperuntukkan masa untuk membuat persediaan bagi kerja penyebaran dan menyertainya secara tetap. (Flp. 1:10) Kita berupaya menjalani kehidupan yang sederhana dan tidak sibuk dengan hal-hal dunia.—1 Kor. 7:31.
4. Mengapakah adalah penting untuk mengutamakan aktiviti penyebaran sekarang?
4 Apabila seseorang yang bijak kesuntukan masa, dia akan melakukan perkara yang terpenting dahulu. Misalnya, jika dia mendapat tahu bahawa ribut yang berbahaya bakal melanda, dia akan menumpukan masa dan tenaganya untuk membuat persediaan bagi memastikan keselamatan ahli keluarganya dan memberi amaran kepada jiran-jirannya. Kegiatan lain yang kurang penting boleh diketepikan. Kita tidak mempunyai banyak masa lagi sebelum Armagedon melanda seperti ribut. (Zef. 1:14-16; 1 Kor. 7:29) Jika kita ingin menyelamatkan diri sendiri dan orang yang mendengar kita, kita mesti sentiasa berhati-hati dengan diri sendiri dan ajaran kita, sama ada di dalam atau di luar sidang. (1 Tim. 4:16) Sememangnya, usaha kita untuk tetap mengutamakan aktiviti penyebaran akan menentukan penyelamatan kita!