Saksi-Saksi Yehuwa—Diorganisasikan untuk Mengkhabarkan Berita Baik
Sejak lebih daripada 100 tahun yang lalu, Saksi-Saksi Yehuwa telah diorganisasikan untuk menyebarkan berita baik. Menerusi kempen kerja penyebaran yang paling meluas dalam sejarah, kita menyampaikan berita ini dalam ratusan bahasa di lebih daripada 230 buah negara. (Mat. 24:14) Mengapakah kerja ini penting? Bagaimanakah kerja ini sedang dijalankan di serata dunia? Video “Saksi-Saksi Yehuwa—Diorganisasikan untuk Mengkhabarkan Berita Baik” (Jehovah’s Witnesses—Organized to Share the Good News) akan menjawab soalan-soalan ini. Di samping itu, video ini akan menjelaskan pelbagai aspek kerja sedunia kita secara terperinci. Selepas menonton video itu, jawablah soalan-soalan yang berikut:
Bagaimanakah video ini telah membantu anda untuk lebih menghargai (1) usaha yang dicurahkan oleh organisasi Yehuwa untuk menyebarkan berita baik? (2 Tim. 4:2) (2) keluarga Bethel di serata dunia? (3) pelbagai kursus yang disediakan untuk melatih para penyelia dan perintis seberang laut? (2 Tim. 2:2) (4) pentingnya memulakan setiap hari dengan perbincangan ayat Bible dan membuat persiapan untuk perjumpaan setiap minggu? (Kis. 17:11) (5) pelbagai manfaat yang diperoleh kerana menghadiri perjumpaan Kristian? (Ibr. 10:24, 25) (6) berkat-berkat yang akan anda nikmati apabila bumi menjadi Firdaus? (Yes. 11:9) (7) penghormatan anda untuk menyertai kerja penuaian yang sedang dijalankan?—Yoh. 4:35.
Video ini sangat berguna untuk membantu orang yang berminat agar mengenal kerja sedunia Saksi-Saksi Yehuwa. (8) Bilakah masa yang sesuai untuk menayangkan video ini kepada pelajar Bible, saudara-mara, dan orang lain? (9) Semasa menunjukkannya, apakah hasil baik yang telah anda peroleh?
Semasa merenungkan apa yang sedang dilakukan oleh Yehuwa, kita tergerak untuk menyuarakan perasaan penulis mazmur, ‘Engkau telah melakukan banyak perkara untuk kami, ya Yehuwa, Tuhanku, Engkau tidak ada bandingnya!’ (Mzm. 40:6) Semoga kita menggunakan video ini dengan sebaik-baiknya. Dengan ini, orang lain akan dibantu untuk menghargai Yehuwa dan organisasi-Nya!