Benih yang Ditanam Mesti Disiram agar Dapat Bertumbuh
1. Apakah yang mesti disiram agar dapat bertumbuh?
1 Benih yang ditanam di kebun mesti disiram agar dapat bertumbuh. Begitu juga dengan benih-benih kebenaran yang ditanam dalam hati orang di kawasan penyebaran kita. (1 Kor. 3:6) Kita mesti membuat kunjungan kembali dan menyiram benih-benih ini dengan Firman Tuhan jika kita ingin mereka berakar dan bertumbuh dengan subur.
2. Bagaimanakah kita dapat membuat persediaan untuk kunjungan yang seterusnya?
2 Kemukakan Soalan: Ketika menyediakan penyampaian anda, cuba sediakan satu soalan yang membangkitkan minat penghuni rumah yang boleh dijawab pada kunjungan kembali nanti. Sebelum beredar, kemukakanlah soalan itu dan buatlah janji temu untuk menjawabnya. Ramai penyiar memilih untuk menggunakan topik daripada buku Ajaran Bible. Dengan ini, mereka dapat memulakan pembelajaran Bible.
3. Apakah maklumat yang boleh dicatatkan selepas membuat kunjungan pertama?
3 Membuat Catatan: Pada kunjungan pertama, catatkan apa yang telah dibincangkan sebaik sahaja anda beredar. Tuliskan nama dan alamat penghuni rumah. Catatkan juga tarikh dan masa perbualan, topik yang dibincangkan, dan bahan bacaan yang telah diterimanya. Adakah dia menyebut tentang agamanya? Sudahkah dia berkeluarga? Adakah dia menyebut tentang minat atau kekhuatirannya? Maklumat sedemikian boleh membantu anda untuk menyesuaikan topik perbualan pada kunjungan seterusnya. Pastikan bahawa anda menulis masa dan tarikh janji temu, dan soalan yang akan dijawab nanti.
4. Mengapakah kita harus bertekun semasa mengunjungi orang yang menunjukkan minat?
4 Bertekun: Syaitan akan giat berusaha untuk “mengambil perkhabaran” yang sudah ditanam di dalam hati orang. (Mrk. 4:14, 15) Maka, jangan berputus asa jika orang yang menunjukkan minat tiada di rumah semasa anda mengunjunginya. Anda mungkin boleh menulis surat atau meninggalkan nota di pintu rumah. Seorang perintis telah memulakan pembelajaran Bible di depan pintu dengan seorang wanita. Namun, dia tidak dapat menemuinya pada kunjungan seterusnya. Jadi, dia menulis surat kepadanya. Akhirnya, saudari ini dapat menemuinya sekali lagi. Wanita ini berkata bahawa dia sangat tersentuh dan menghargai keprihatinan saudari ini. Semasa menyiram benih kebenaran, kita bersukacita kerana melihatnya bertumbuh, menjadi matang, “lalu berbuah; ada yang tiga puluh, ada yang enam puluh, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.”—Mrk. 4:20.