Tingkatkan Kemahiran Aktiviti Penyebaran—Memulakan Perbualan untuk Memberikan Kesaksian Tidak Formal
Mengapa Penting: Semasa menginjil, biasanya banyak orang tiada di rumah. Namun, kita boleh menemui mereka apabila menggunakan pengangkutan awam, semasa di ruang menunggu klinik, semasa rehat di tempat kerja atau sekolah, dan lain-lain. Kehendak Yehuwa adalah agar semua orang berpeluang mendengar mesej Kerajaan Tuhan. (1 Tim. 2:3, 4) Kita perlu mengambil langkah pertama untuk memulakan perbualan agar dapat memberikan kesaksian.
Caranya:
• Bijak memilih. Adakah orang itu ramah dan sudi bercakap? Adakah keadaan mengizinkan perbualan secara santai? Sesetengah penyiar memandang orang itu lalu memberikan senyuman. Jika dia membalas senyuman, penyiar akan cuba memulakan perbualan.
• Jika berasa kurang yakin, berdoalah dengan ringkas dalam hati.—Neh. 2:4; Kis. 4:29.
• Mulakan komen yang ringkas, seperti memberikan salam. Yesus tidak bercakap tentang Kerajaan Tuhan semasa memulakan perbualan dengan wanita Samaria. (Yoh. 4:6-8) Ada kalanya perbualan boleh dimulakan dengan memberikan pujian: “Kelakuan anak kamu sangat baik!” Menanyakan soalan juga merupakan cara untuk memulakan perbualan: “Adakah kamu lihat berita semalam?”
• Apabila perbualan bermula, carilah peluang untuk memperkenalkan berita baik. Tetapi janganlah tergesa-gesa. Biarlah perbualan itu berkembang. Anda mungkin boleh bercakap sesuatu yang dapat menarik minatnya untuk menanya soalan. Misalnya, jika berbual tentang keluarga, anda boleh berkata, “Saya ada beberapa nasihat yang dapat dipercayai tentang cara membesarkan anak.” Jika berbual tentang berita, anda boleh berkata, “Baru-baru ini saya telah membaca beberapa berita yang baik.” Janganlah tawar hati jika perbualan berakhir sebelum anda dapat memberikan kesaksian.
• Bawa risalah atau bahan bacaan untuk ditawarkan kepada orang yang berminat.
Cubalah Bulan Ini:
• Setiap minggu, cubalah memulakan sekurang-kurangnya satu perbualan untuk memberikan kesaksian tidak formal.