Sudikah Anda Menjadi Perintis Sokongan?
1. Mengapakah musim Peringatan ialah masa yang sesuai untuk menginjil dengan lebih giat?
1 Musim Peringatan ialah masa yang sesuai untuk menginjil dengan lebih giat. Inilah masanya kita merenungkan kasih Yehuwa yang agung dalam mengorbankan Anak-Nya sebagai tebusan. (Yoh. 3:16) Hasilnya, hati kita dipenuhi rasa syukur dan tekad kita diperkuat untuk memberitahu orang lain tentang Yehuwa dan apa yang sedang dilakukan-Nya untuk manusia. (Yes. 12:4, 5; Luk. 6:45) Pada musim ini, kita juga menyertai kempen istimewa bagi menjemput kenalan dan penduduk di kawasan tempatan agar turut menghadiri Peringatan. Kemudian, kita berusaha memupuk minat mereka yang hadir. Adakah anda akan menginjil dengan lebih giat dan menjadi perintis sokongan pada Mac, April, atau Mei?
2. Mengapakah Mac ialah bulan yang amat sesuai untuk menjadi perintis sokongan?
2 Jadikan Mac Bulan yang Istimewa: Mac ialah bulan yang amat sesuai untuk menjadi perintis sokongan. Kita dapat memilih untuk merintis sebanyak 30 jam atau 50 jam. Jika penyelia litar melawat pada bulan Mac, perintis sokongan boleh menghadiri seluruh perjumpaan yang diadakan dengan perintis biasa dan perintis khas. Sambutan Peringatan tahun ini jatuh pada Selasa, 26 Mac 2013. Tidak seperti dahulu, tempoh untuk kempen mengedarkan jemputan kini dilanjutkan, dan akan bermula pada 1 Mac. Mac juga mempunyai lima hari Sabtu dan lima hari Ahad. Jadi, bolehkah anda mempertimbangkan sama ada anda dapat menjadikan Mac bulan yang teristimewa tahun ini?
3. Bagaimanakah kita boleh merancang untuk menginjil dengan lebih giat?
3 Rancanglah Sekarang: Kinilah masanya untuk meneliti jadual anda dan membuat penyesuaian agar dapat merintis. Kerjasama keluarga adalah penting, jadi semasa malam Penyembahan Keluarga, bincangkan matlamat keluarga dan buatlah jadual. (Ams. 15:22) Janganlah tawar hati kalau anda tidak dapat merintis. Bolehkah anda menyusun jadual untuk menghabiskan lebih banyak masa dalam kerja menginjil? Dapatkah anda menginjil sehari lagi dalam seminggu?
4. Apakah manfaatnya jika kita menggiatkan usaha pada Mac, April, dan Mei?
4 Seraya kita menggiatkan usaha pada Mac, April, dan Mei, kita akan berasa lebih gembira dan puas kerana berkhidmat kepada Yehuwa dan membantu orang lain. (Yoh. 4:34; Kis. 20:35) Yang lebih penting, semangat rela berkorban kita akan menggembirakan Yehuwa.—Ams. 27:11.