Mengajar dengan Menggunakan Brosur Berita Baik
1. Bagaimanakah brosur Berita Baik direka?
1 Seperti yang dibincangkan dalam Kerja Teokratik Kita terbitan Julai, brosur Berita Baik ialah satu alat bantu mengajar yang penting. Brosur ini tidak mengandungi petikan ayat Bible. Sebaliknya, terdapat ayat-ayat rujukan agar penghuni rumah dapat belajar daripada Bible. Tidak seperti bahan pembelajaran Bible yang lain, brosur ini direka agar penghuni rumah dapat mengadakan perbincangan Bible bersama seorang pengajar. Maka, semasa menawarkan brosur ini, tunjuklah cara pembelajaran Bible diadakan agar penghuni rumah dapat memperoleh sukacita daripada berita baik dalam Bible.—Mat. 13:44.
2. Bagaimanakah brosur Berita Baik dapat digunakan semasa kunjungan pertama?
2 Semasa Kunjungan Pertama: Anda boleh kata, “Saya mengunjungi kawasan ini kerana ramai orang bimbang tentang masa depan kita. Adakah anda berasa bahawa keadaan akan menjadi lebih baik? [Izinkan maklum balas.] Bible mengandungi berita baik yang memberi kita harapan dan menjawab soalan-soalan ini.” Berikan brosur kepada penghuni rumah dan jemputnya untuk pilih satu soalan daripada muka belakang brosur. Kemudian, gunakan perenggan pertama pelajaran itu dan tunjukkan cara pembelajaran diadakan. Anda juga boleh guna soalan berdasarkan pelajaran yang anda pilih untuk membangkitkan minatnya, dan tunjukkan bagaimana brosur ini dapat membantunya mencari jawapan daripada Bible. Sesetengah penyiar juga menunjukkan video di jw.org yang berkaitan dengan pelajaran itu.
3. Jelaskan cara untuk mengendalikan pembelajaran dengan menggunakan brosur Berita Baik.
3 Cara Mengendalikan Pembelajaran: (1) Baca soalan yang berhuruf tebal agar penghuni rumah dapat bertumpu kepada isi utama perenggan itu. (2) Baca perenggan di bawah soalan itu. (3) Baca ayat Bible yang berhuruf condong dan gunakan soalan untuk membantunya lihat bagaimana ayat Bible itu menjawab soalan yang berhuruf tebal. (4) Ulangi langkah 2 dan 3 jika terdapat perenggan lain di bawah soalan itu. Jika terdapat video yang berkaitan dengan soalan itu, anda boleh tunjukkannya kepada penghuni rumah. (5) Akhir sekali, tanya soalan yang berhuruf tebal dan pastikan dia memahami bahagian itu.
4. Apakah yang dapat membantu kita menggunakan brosur ini dengan mahir?
4 Biasakan diri dengan brosur ini. Gunakannya pada setiap kesempatan. Sebelum setiap pembelajaran, fikirlah tentang pelajar anda dan cara terbaik untuk menggunakan ayat Bible dalam pelajaran itu untuk mengajarnya dengan berkesan. (Ams. 15:28; Kis. 17:2, 3) Seraya anda mendapat pengalaman dan menjadi semakin mahir, anda akan semakin suka menggunakan brosur ini untuk mengajar orang lain kebenaran!