Kesan Buruk Perang
Perang dan konflik sering kali meninggalkan kesan buruk yang mendalam terhadap orang yang mengalaminya. Perhatikan kata-kata beberapa orang askar dan rakyat biasa tentang pengalaman mereka.
ASKAR
“Saya selalu melihat orang cedera parah atau dibunuh. Saya sering khuatir dan tidak berasa selamat.”—Gary, Britain.
“Muka dan belakang saya ditembak. Saya melihat banyak orang dibunuh, termasuk kanak-kanak dan orang tua. Perang menyebabkan orang menjadi lali terhadap penderitaan dan pembunuhan.”—Wilmar, Colombia.
“Apabila seseorang ditembak di depan kamu, susah bagi kamu untuk melupakan apa yang berlaku. Kamu akan terus dihantui jeritan dan tangisan mereka.”—Zafirah, Amerika Syarikat.
RAKYAT BIASA
“Saya rasa saya tidak dapat berasa gembira lagi. Saya memang takut mati, tapi saya lebih takut jika ahli keluarga dan kawan-kawan saya mati dibunuh.”—Oleksandra, Ukraine.
“Kami perlu berbaris untuk lebih daripada 20 jam untuk mendapatkan makanan. Kami sangat takut kerana tidak tahu bila akan terkena tembakan peluru sesat.”—Daler, Tajikistan.
“Disebabkan perang, saya menjadi anak yatim. Oleh sebab saya kehilangan ibu bapa saya, tiada orang yang menjaga atau melegakan hati saya.”—Marie, Rwanda.
Biarpun semua individu ini menderita akibat perang, mereka kini menikmati kedamaian sejati. Selain itu, mereka yakin bahawa semua perang dan konflik akan berakhir tidak lama lagi. Dalam majalah ini, anda akan mengetahui penjelasan Bible tentang bagaimana hal itu akan berlaku.