Mendapatkan Kedamaian meskipun Menghadapi Perang dan Konflik
“Sebelum saya belajar Bible, saya tidak tahu mengapa dunia penuh dengan ketidakadilan dan kekejaman. Tetapi sekarang, saya mendapat ketenangan minda kerana tahu bahawa Tuhan Yehuwa akan menjadikan dunia ini tempat yang selamat,” kata Gary, yang pernah berkhidmat sebagai seorang askar.
Lihat bagaimana Bible juga telah membantu orang lain.
BIBLE KATA: “Ya Yehuwa, Engkau baik dan suka mengampuni.”—Mazmur 86:5.
MANFAATNYA: “Ayat ini meyakinkan saya bahawa Yehuwa berbelas kasihan. Saya tahu Dia sudi mengampuni saya atas segala yang telah saya lakukan semasa terlibat dalam perang.”—Wilmar, Colombia.
BIBLE KATA: “Aku menciptakan langit baharu dan bumi baharu; perkara-perkara yang lama tidak akan terlintas dalam fikiran lagi, dan tidak akan dikenang sama sekali.”—Yesaya 65:17.
MANFAATNYA: “Saya mengalami stres, trauma, dan kemurungan disebabkan pengalaman buruk semasa perang. Ayat Bible ini ingatkan saya bahawa Yehuwa akan menghapuskan semua kenangan pahit yang mengganggu hati dan fikiran saya. Hal ini sungguh menakjubkan!”—Zafirah, Amerika Syarikat.
BIBLE KATA: “Di bawah pemerintahannya, orang yang baik akan hidup makmur dan menikmati kedamaian yang melimpah selagi bulan bercahaya.”—Mazmur 72:7.
MANFAATNYA: “Saya selalu merenungkan ayat ini. Tidak lama lagi, perang akan berakhir dan kita tidak lagi perlu risau tentang keselamatan orang tersayang kita.”—Oleksandra, Ukraine.
BIBLE KATA: “Orang mati dalam kalangan kamu akan hidup semula. . . . Hai kamu yang tinggal di dalam debu, bangunlah dan berserulah dengan sukacita.”—Yesaya 26:19.
MANFAATNYA: “Hampir semua ahli keluarga saya terkorban akibat pembunuhan kaum Tutsi. Ayat Bible ini meyakinkan saya bahawa saya akan berjumpa lagi dengan mereka pada masa depan. Saya menantikan saatnya mereka dibangkitkan dan saya dapat mendengar semula bunyi gelak ketawa mereka.”—Marie, Rwanda.
BIBLE KATA: “Tidak lama lagi, orang jahat akan dibinasakan . . . Orang yang rendah hati akan memiliki bumi, dan mereka akan menikmati kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah-limpah.”—Mazmur 37:10, 11.
MANFAATNYA: “Walaupun perang sudah berakhir, kejahatan dan ketidakadilan masih berleluasa. Ayat Bible ini telah beri saya banyak kekuatan. Saya sedar bahawa Yehuwa melihat segalanya dan memahami situasi saya. Dia berjanji bahawa tidak lama lagi semua penderitaan akan lenyap dan dilupakan.”—Daler, Tajikistan.
Semua individu ini telah mempelajari Bible, dan kini menjadi sebahagian daripada jutaan Saksi-Saksi Yehuwa yang menikmati kedamaian sejati. Mereka telah belajar untuk menyingkirkan segala bentuk kebencian daripada hati mereka. (Efesus 4:31, 32) Saksi-Saksi Yehuwa tetap neutral dari segi politik dan tidak mengambil bahagian dalam perang.—Yohanes 18:36.
Saksi-Saksi Yehuwa juga menikmati kasih dan sokongan daripada rakan seiman mereka di seluas dunia. (Yohanes 13:35) Contohnya, Oleksandra, yang disebut dalam majalah ini, terpaksa meninggalkan negaranya kerana perang. Dia bersama kakaknya telah menjadi pelarian. Dia kata, “Apabila kami merentasi sempadan ke negara jiran, para Saksi di sana terus menyambut kami. Mereka telah membantu kami untuk menyesuaikan diri di tempat yang baharu.”
Kami menjemput anda untuk menghadiri perjumpaan kami dan belajar tentang bagaimana Bible bantu kita menikmati kedamaian sekarang dan tentang harapan Bible pada masa depan. Layari jw.org untuk mencari lokasi yang berdekatan anda atau untuk memohon kursus perbincangan Bible yang percuma dengan menggunakan Nikmati Hidup Selama-Lamanya!