PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w25 November ms. 22-27
  • “Engkau Sangat Berharga di Mata Tuhan”!

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Engkau Sangat Berharga di Mata Tuhan”!
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • CARA YESUS BANTU ORANG SEDAR BAHAWA MEREKA BERHARGA
  • MEMANDANG DIRI SEPERTIMANA YEHUWA MEMANDANG KITA
  • Yehuwa “Menyembuhkan Orang yang Hancur Hati”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Yehuwa Mempunyai Kasih yang Mendalam terhadap Anda
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Pengajaran daripada 40 Hari Terakhir Yesus di Bumi
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Akuilah bahawa Kita Tidak Mengetahui Segala-Galanya
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
w25 November ms. 22-27

RENCANA PEMBELAJARAN 47

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

“Engkau Sangat Berharga di Mata Tuhan”!

“Engkau sangat berharga di mata Tuhan.”​—DAN. 9:23.

FOKUS

Belajar bagaimana orang yang berasa diri mereka tidak berguna atau tidak bernilai dapat dibantu untuk sedar bahawa mereka sangat berharga di mata Yehuwa.

1-2. Apakah yang dapat membantu kita yakin bahawa kita sangat berharga di mata Yehuwa?

SESETENGAH penyembah Yehuwa bergelut dengan perasaan bahawa mereka tidak berguna atau tidak bernilai. Hal ini mungkin kerana mereka pernah ditindas atau dilayan dengan buruk. Jika itu juga perasaan anda, apakah yang dapat membantu anda yakin bahawa anda sangat berharga di mata Yehuwa?

2 Salah satu hal yang dapat membantu anda adalah dengan mengkaji kisah Bible yang menunjukkan bagaimana Yehuwa mahu kita dilayan. Semasa di bumi, Yesus melayan orang dengan hormat dan baik hati. Dengan itu, dia menunjukkan bahawa orang yang berasa diri mereka tidak bernilai sebenarnya sangat berharga baginya dan bagi Bapanya. (Yoh. 5:19; Ibr. 1:3) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan: (1) Bagaimana Yesus membantu orang untuk sedar bahawa mereka berharga di mata Yehuwa, dan (2) bagaimana kita dapat meyakinkan diri sendiri bahawa kita sangat bernilai di mata Yehuwa.​—Hag. 2:7.

CARA YESUS BANTU ORANG SEDAR BAHAWA MEREKA BERHARGA

3. Bagaimanakah Yesus melayan orang Galilea yang datang untuk meminta bantuannya?

3 Semasa Yesus menginjil di Galilea, ramai orang datang kepadanya untuk mendengar ajarannya dan kerana ingin penyakit mereka disembuhkan. Selepas Yesus memerhatikan mereka, dia sedar bahawa mereka “ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala.” (Mat. 9:36) Para pemimpin agama pula memandang rendah terhadap mereka dan bahkan memanggil mereka orang yang “terkutuk.” (Yoh. 7:​47-49) Namun, Yesus menunjukkan kebaikan hati dan hormat terhadap mereka dengan mengajar mereka dan menyembuhkan penyakit mereka. (Mat. 9:35) Selain itu, untuk membantu lebih banyak orang, Yesus melatih para rasulnya untuk menginjil. Dia juga memberi mereka kuasa untuk menyembuhkan orang yang sakit.​—Mat. 10:​5-8.

4. Apakah yang dapat kita belajar daripada cara Yesus melayan orang yang lemah dan ditindas?

4 Dengan melayan orang yang lemah dan ditindas dengan hormat dan bertimbang rasa, Yesus menunjukkan bahawa mereka sangat berharga baginya dan Bapanya. Jika anda sedang menyembah Yehuwa tetapi berasa diri anda tidak bernilai, fikir tentang cara Yesus melayan orang pada zamannya. Dengan berbuat demikian, anda akan dibantu untuk sedar bahawa anda sangat berharga di mata Yehuwa.

5. Apakah yang kita tahu tentang seorang wanita dari Galilea yang pergi mencari Yesus?

5 Yesus bukan sahaja mengajar dan membantu orang ramai, tetapi dia juga memberi perhatian khusus kepada orang sebagai individu. Contohnya, semasa Yesus menginjil di Galilea, dia berjumpa dengan seorang wanita yang menderita masalah pendarahan selama 12 tahun. (Mrk. 5:25) Menurut Hukum Musa, keadaan wanita ini membuatnya najis dan sesiapa yang menyentuhnya juga akan menjadi najis. Maka, pergaulannya dengan orang lain sangat terhad. Selain itu, dia tidak dapat menyertai orang sebangsanya untuk menyembah Yehuwa di rumah ibadat atau menyambut perayaan. (Im. 15:​19, 25) Sudah tentu, wanita ini sangat menderita secara fizikal dan emosi.​—Mrk. 5:26.

6. Apakah yang dilakukan oleh wanita itu agar dia disembuhkan?

6 Wanita itu ingin disembuhkan tetapi dia tidak meminta bantuan Yesus secara langsung. Mengapa? Barangkali wanita itu berasa malu kerana keadaannya. Atau dia mungkin takut Yesus akan menegurnya kerana dia berada dalam kalangan orang ramai biarpun dia dianggap najis di bawah Hukum Musa. Namun, dia yakin bahawa dia akan sembuh jika dia sekadar menyentuh jubah luar Yesus. (Mrk. 5:​27, 28) Itulah yang berlaku dan dia telah sembuh kerana imannya! Yesus kemudiannya bertanya siapa yang menyentuh jubah luarnya dan wanita itu memberitahu Yesus apa yang telah berlaku. Bagaimanakah Yesus melayan wanita itu?

7. Bagaimanakah Yesus melayan wanita itu yang berasa takut dan gementar? (Markus 5:34)

7 Yesus melayan wanita itu dengan baik hati dan hormat. Yesus nampak bahawa dia berasa “takut dan gementar.” (Mrk. 5:33) Jadi, Yesus menggalakkannya dan bahkan memanggilnya “anakku.” (Baca Markus 5:34.) Dalam Bible, inilah satu-satunya peristiwa di mana Yesus memanggil seorang wanita dengan gelaran “anakku,” mungkin kerana masalahnya sangat sensitif dan wanita itu “takut dan gementar.” Jika Yesus tidak melegakan hatinya, dia pasti dibebani perasaan bersalah walaupun dia telah sembuh. Tetapi, Yesus melayannya dengan penuh kasih dan membantunya sedar bahawa dia sangat berharga di mata Yehuwa.

8. Apakah cabaran yang dihadapi oleh Saudari Maria?

8 Hari ini, sesetengah penyembah Yehuwa juga menghadapi masalah kesihatan yang mempengaruhi keadaan emosi mereka. Maria,a seorang perintis biasa dari Brazil, lahir tanpa tangan kiri dan kedua-dua kakinya. Dia berkata, “Saya sentiasa diejek dan dibuli semasa di sekolah kerana saya kurang upaya. Bahkan ahli keluarga saya pun melayan saya dengan buruk.”

9. Apakah yang membantu Maria sedar bahawa dia berharga di mata Yehuwa?

9 Apakah yang membantu Maria? Apabila dia menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, rakan seiman melegakan hatinya dan membantunya sedar bahawa dia berharga di mata Yehuwa. Dia berkata, “Buku nota saya tidak cukup muka surat untuk mencatatkan nama semua saudara saudari yang telah membantu saya. Saya amat bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia telah memberi saya keluarga rohani yang sangat pengasih.”

10. Apakah masalah yang dihadapi oleh Maria Magdalena? (Lihat juga gambar.)

10 Perhatikan bagaimana Yesus membantu seorang lagi individu, iaitu Maria Magdalena. Dia dirasuk oleh tujuh roh jahat! (Luk. 8:2) Di bawah pengaruh roh-roh jahat, dia pasti sangat menderita. Barangkali dia berkelakuan pelik dan akibatnya orang lain menjauhkan diri daripadanya. Dia juga pasti sangat takut dan berfikir bahawa tiada orang yang akan mengasihinya atau dapat membantunya. Nampaknya, Yesuslah yang telah membebaskan Maria daripada belenggu roh-roh jahat, dan akhirnya dia menjadi pengikut Yesus yang setia. Apakah cara lain Yesus membantu Maria Magdalena untuk sedar bahawa dia sangat berharga di mata Tuhan?

Kolaj: 1. Yesus memerhatikan Maria Magdalena yang kelihatan sangat sedih. Maria sedang berlutut di sebuah lorong kecil yang gelap. 2. Maria Magdalena mengikut Yesus dan murid-muridnya yang lain dengan gembira.

Bagaimanakah Yesus meyakinkan Maria Magdalena bahawa dia berharga di mata Yehuwa? (Lihat perenggan 10-11)


11. Bagaimanakah Yesus membantu Maria Magdalena sedar bahawa dia berharga di mata Tuhan? (Lihat juga gambar.)

11 Yesus menjemput Maria Magdalena untuk menyertainya semasa menjalankan kerja penyebaran.b Hasilnya, dia dapat terus meraih manfaat daripada ajaran Yesus. Pada hari Yesus dibangkitkan, dia menampakkan diri kepada Maria. Maria merupakan antara orang pertama yang bercakap kepada Yesus pada hari itu. Yesus bahkan menyuruh Maria untuk memberitahu para rasulnya bahawa dia sudah dibangkitkan. Melalui semua cara ini, Yesus membantu Maria untuk sedar bahawa dia sangat berharga di mata Yehuwa.​—Yoh. 20:​11-18.

12. Mengapakah Lidia berasa dirinya tidak layak dikasihi?

12 Seperti Maria Magdalena, banyak orang bergelut dengan perasaan bahawa mereka tidak layak dikasihi. Saudari Lidia dari Sepanyol berkata bahawa ibunya mahu menggugurkannya semasa dia masih di dalam kandungan. Bahkan semasa dia sangat kecil, Lidia ingat bahawa ibunya mengabaikannya dan sering menggunakan kata-kata yang pedas terhadapnya. Dia berkata, “Oleh sebab ibu saya tidak menunjukkan kasih kepada saya, saya sentiasa mendambakan kasih orang lain. Tapi saya rasa saya tidak layak dikasihi kerana ibu saya buat saya fikir bahawa saya orang yang jahat.”

13. Apakah yang membantu Lidia sedar bahawa dia berharga di mata Yehuwa?

13 Pandangan Lidia berubah semasa dia mula belajar Bible. Kata-kata dan perbuatan saudara saudari yang baik hati, doa kepada Yehuwa, dan pembacaan Bible telah membantunya untuk sedar bahawa dia berharga di mata Yehuwa. Lidia berkata, “Suami saya sering memberitahu saya bahawa dia sangat mengasihi saya. Dia juga selalu mengingatkan saya tentang sifat-sifat baik saya. Kawan-kawan saya juga melakukan hal yang sama.” Dapatkah anda fikir tentang seorang saudara atau saudari yang memerlukan bantuan untuk sedar bahawa dia sangat berharga di mata Yehuwa?

MEMANDANG DIRI SEPERTIMANA YEHUWA MEMANDANG KITA

14. Bagaimanakah 1 Samuel 16:7 membantu kita memandang diri sepertimana Yehuwa memandang kita? (Lihat juga kotak “Mengapakah Umat Yehuwa Bernilai di Mata-Nya?”)

14 Yehuwa tidak memandang anda sepertimana dunia memandang anda. (Baca 1 Samuel 16:7.) Yehuwa tidak menentukan nilai anda berdasarkan rupa luaran, kedudukan sosial, atau pendidikan anda. (Yes. 55:​8, 9) Jadi pupuklah pandangan Yehuwa terhadap diri anda. Anda boleh mengkaji kisah Bible yang menunjukkan bahawa Yehuwa tetap menghargai penyembah-Nya yang kadangkala meragui nilai diri sendiri, seperti Elia, Naomi, dan Hana. Anda juga boleh mencatatkan pengalaman sendiri yang menunjukkan bahawa Yehuwa mengasihi dan menghargai anda. Selain itu, anda boleh mengkaji topik tentang harga diri dalam bahan terbitan kita.c

Mengapakah Umat Yehuwa Bernilai di Mata-Nya?

Semasa Yehuwa menciptakan makhluk hidup di bumi, manusia diciptakan dengan kebolehan untuk menjalin persahabatan yang erat dengan-Nya. Maka, manusia jauh lebih istimewa daripada binatang. (Kej. 1:27; Mzm. 8:5; 25:14; Yes. 41:8) Namun, ini bukanlah sebab utama mengapa kita bernilai di mata Yehuwa. Apa yang membuat kita sangat bernilai di mata Yehuwa ialah apabila kita menghampiri-Nya, mematuhi-Nya, dan membaktikan diri kepada-Nya.​—Yes. 49:15.

15. Apakah yang membuat Daniel “sangat berharga di mata Tuhan”? (Daniel 9:23)

15 Kesetiaan anda membuat anda berharga di mata Yehuwa. Semasa Daniel berumur lewat 90-an, dia berasa “sangat letih” dan tawar hati. (Dan. 9:​20, 21) Bagaimanakah Yehuwa menggalakkannya? Yehuwa mendengar doa Daniel dan mengutus malaikat Gabriel untuk mengingatkan Daniel bahawa dia “sangat berharga” di mata-Nya. (Baca Daniel 9:23.) Apakah yang membuat Daniel sangat berharga di mata Tuhan? Dia ada banyak sifat yang baik, dia melakukan apa yang benar, dan dia setia kepada Yehuwa. (Yeh. 14:14) Yehuwa memastikan kisah ini dicatatkan dalam Bible untuk melegakan hati kita. (Rm. 15:4) Yehuwa juga mendengar doa kita dan menghargai kita kerana kita melakukan apa yang benar dan berkhidmat kepada-Nya dengan setia.​—Mi. 6:​8, nota kaki; Ibr. 6:10.

16. Apakah yang dapat membantu anda memandang Yehuwa sebagai Bapa yang pengasih?

16 Memandang Yehuwa sebagai Bapa yang pengasih. Yehuwa mahu membantu anda dan bukannya mencari kesalahan anda. (Mzm. 130:3; Mat. 7:11; Luk. 12:​6, 7) Banyak orang dibantu untuk mengatasi perasaan kurang harga diri mereka apabila mereka memikirkan hal ini. Fikirkan contoh Saudari Michelle dari Sepanyol. Dia berasa dirinya tidak berguna dan tidak layak dikasihi kerana suaminya telah menggunakan kata-kata yang tajam terhadapnya selama bertahun-tahun. Dia berkata, “Semasa saya berasa tidak berguna, saya membayangkan diri saya dalam pangkuan Yehuwa. Saya berasa dikasihi dan dilindungi oleh-Nya.” (Mzm. 28:9) Saudari Lauren dari Afrika Selatan mengingatkan dirinya, “Yehuwa telah membimbing saya ke dalam kebenaran, membantu saya mempunyai hubungan yang akrab dengan-Nya selama bertahun-tahun, dan bahkan menggunakan saya untuk mengajarkan kebenaran kepada orang lain. Jadi sudah pasti saya berharga dan berguna di mata Yehuwa.”​—Ho. 11:4.

17. Bagaimanakah anda dapat yakin bahawa anda mempunyai perkenan Yehuwa? (Mazmur 5:12) (Lihat juga gambar.)

17 Yakinlah anda mempunyai perkenan Yehuwa. (Baca Mazmur 5:12.) Daud menyamakan perkenan Yehuwa kepada “sebuah perisai yang besar” yang melindungi orang yang melakukan apa yang benar. Jika anda yakin anda ada perkenan Yehuwa, hal itu dapat bantu anda melawan perasaan bahawa anda tidak berguna atau tidak bernilai. Tetapi, bagaimanakah anda dapat yakin bahawa anda mempunyai perkenan Yehuwa? Seperti yang telah kita belajar, Yehuwa memberi anda keyakinan itu melalui Firman-Nya. Selain itu, Dia menggunakan para penatua, kawan rapat, dan orang lain untuk meyakinkan anda bahawa anda berharga di mata-Nya. Apakah sepatutnya reaksi anda terhadap galakan mereka?

Seorang saudari tersenyum semasa meninggalkan Dewan Perjumpaan untuk keluar menginjil. Seorang lagi saudari berada di sebelahnya dan dia meletakkan tangannya di bahunya.

Jika kita yakin kita ada perkenan Yehuwa, hal itu dapat bantu kita melawan perasaan bahawa kita tidak berguna atau tidak bernilai (Lihat perenggan 17)


18. Mengapakah anda patut menerima kata-kata pujian daripada saudara saudari?

18 Janganlah menolak kata-kata pujian yang ikhlas daripada orang yang mengenali dan mengasihi anda. Ingatlah bahawa Yehuwa mungkin menggunakan mereka untuk membantu anda sedar bahawa anda ada perkenan-Nya. Michelle, yang disebut sebelum ini, berkata, “Secara beransur-ansur, saya sedang belajar untuk menerima kata-kata galakan daripada orang lain. Walaupun hal ini susah bagi saya, saya tahu inilah apa yang Yehuwa mahu saya lakukan.” Michelle juga meraih manfaat daripada galakan para penatua yang pengasih. Dia kini berkhidmat sebagai seorang perintis dan pekerja sukarela luar Bethel.

19. Mengapakah anda dapat yakin bahawa anda sangat berharga di mata Tuhan?

19 Yesus mengingatkan kita bahawa kita sangat berharga di mata Yehuwa. (Luk. 12:24) Maka, kita dapat yakin bahawa Yehuwa sangat prihatin dan mengambil berat terhadap kita. Janganlah sekali-kali melupakan hal ini! Semoga kita terus membantu orang lain sedar bahawa mereka juga sangat berharga di mata Yehuwa!

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Bagaimanakah Yesus membantu orang sedar bahawa mereka berharga di mata Tuhan?

  • Bagaimanakah Yesus membantu seorang wanita yang menderita akibat masalah pendarahan?

  • Apakah yang dapat membantu kita memandang diri sepertimana Yehuwa memandang kita?

LAGU 139 Bayangkan Dirimu di Dunia Baharu

a Sesetengah nama telah diubah.

b Maria Magdalena adalah antara wanita-wanita yang mengikut Yesus dalam perjalanannya semasa menginjil. Mereka menggunakan harta milik mereka untuk menolong Yesus dan rasul-rasulnya.​—Mat. 27:​55, 56; Luk. 8:​1-3.

c Contohnya, lihat bab 24 dalam buku Hampirilah Yehuwa serta baca ayat-ayat Bible dan kisah Bible yang dicadangkan di bawah topik “Keraguan” dalam buku Ayat Bible untuk Kehidupan Kristian.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi