Jumaat, 25 Julai
Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.—Mat. 28:20.
Sejak Perang Dunia Kedua, umat Tuhan di banyak negara dapat menginjil dalam keadaan yang bebas dan damai. Hasilnya, kerja penyebaran telah berkembang maju. Hari ini, Badan Pimpinan terus bergantung pada bimbingan Kristus dan berusaha untuk memastikan arahan yang mereka berikan mencerminkan fikiran Yehuwa dan Yesus. Mereka menggunakan penyelia litar dan para penatua untuk menyampaikan arahan mereka kepada sidang-sidang. Bible kata bahawa para penatua ada ‘di dalam tangan kanan Kristus.’ (Why. 2:1) Namun, para penatua tidak sempurna dan akan membuat kesilapan. Pada zaman dulu, Musa dan Yosua pun pernah berbuat silap, begitu juga dengan para rasul. (Bil. 20:12; Yos. 9:14, 15; Rm. 3:23) Biarpun begitu, Kristus sedang membimbing hamba yang setia dan para penatua, dan dia akan terus berbuat demikian. Maka kita dapat mempercayai sepenuhnya bimbingan yang diberikan melalui saudara yang terlantik. w24.02 23-24 ¶13-14
Sabtu, 26 Julai
Ikutlah teladan Tuhan sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya.—Ef. 5:1.
Kita dapat menyenangkan hati Yehuwa dengan memberitahu orang bahawa kita sangat menghargai dan mengasihi-Nya. Semasa menginjil, tujuan utama kita adalah untuk membantu orang menghampiri Yehuwa dan mengasihi-Nya. (Yak. 4:8) Melalui Bible, kita menunjukkan bagaimana Yehuwa memperlihatkan kasih, keadilan, kebijaksanaan, kuasa, dan sebagainya. Kita juga memuji dan menyenangkan hati Yehuwa semasa kita meniru-Nya. Hasilnya, orang mungkin sedar bahawa kita sangat berbeza daripada orang di sekeliling kita dan ingin tahu sebabnya. (Mat. 5:14-16) Semasa berurusan dengan mereka dalam kehidupan seharian kita, kita dapat mengongsi sebabnya kita berbeza daripada orang lain. Hal ini mungkin mendorong orang yang tulus hati untuk menghampiri Tuhan. Apabila kita memuji Yehuwa dalam cara-cara ini, kita menggembirakan-Nya.—1 Tim. 2:3, 4. w24.02 10 ¶7
Ahad, 27 Julai
Dapat memberikan galakan dan menegur.—Tit. 1:9.
Untuk menjadi lelaki Kristian yang matang, anda perlu belajar kemahiran yang berguna. Dengan ini, anda dapat memikul tanggungjawab dalam sidang, bekerja untuk menyara diri atau keluarga, dan ada hubungan baik dengan orang. Misalnya, belajar kemahiran membaca dan menulis. Bible kata orang yang ingin bahagia dan berjaya harus membaca dan merenungkan Bible setiap hari. (Mzm. 1:1-3) Dengan membaca Bible setiap hari, dia akan mengenali fikiran Yehuwa. Hasilnya, dia dapat membuat pertimbangan yang baik dan tahu cara menerapkan prinsip Bible. (Ams. 1:3, 4) Saudara saudari memerlukan saudara yang cekap untuk memberikan nasihat dan ajaran berdasarkan Bible. Jika anda dapat membaca dan menulis dengan baik, anda dapat menyediakan ceramah dan komen yang meningkatkan pengetahuan mereka dan yang menguatkan iman mereka. Selain itu, anda dapat membuat nota berguna yang membantu anda membina iman sendiri dan menguatkan orang lain. w23.12 26-27 ¶9-11