Sabtu, 26 Julai
Ikutlah teladan Tuhan sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya.—Ef. 5:1.
Kita dapat menyenangkan hati Yehuwa dengan memberitahu orang bahawa kita sangat menghargai dan mengasihi-Nya. Semasa menginjil, tujuan utama kita adalah untuk membantu orang menghampiri Yehuwa dan mengasihi-Nya. (Yak. 4:8) Melalui Bible, kita menunjukkan bagaimana Yehuwa memperlihatkan kasih, keadilan, kebijaksanaan, kuasa, dan sebagainya. Kita juga memuji dan menyenangkan hati Yehuwa semasa kita meniru-Nya. Hasilnya, orang mungkin sedar bahawa kita sangat berbeza daripada orang di sekeliling kita dan ingin tahu sebabnya. (Mat. 5:14-16) Semasa berurusan dengan mereka dalam kehidupan seharian kita, kita dapat mengongsi sebabnya kita berbeza daripada orang lain. Hal ini mungkin mendorong orang yang tulus hati untuk menghampiri Tuhan. Apabila kita memuji Yehuwa dalam cara-cara ini, kita menggembirakan-Nya.—1 Tim. 2:3, 4. w24.02 10 ¶7
Ahad, 27 Julai
Dapat memberikan galakan dan menegur.—Tit. 1:9.
Untuk menjadi lelaki Kristian yang matang, anda perlu belajar kemahiran yang berguna. Dengan ini, anda dapat memikul tanggungjawab dalam sidang, bekerja untuk menyara diri atau keluarga, dan ada hubungan baik dengan orang. Misalnya, belajar kemahiran membaca dan menulis. Bible kata orang yang ingin bahagia dan berjaya harus membaca dan merenungkan Bible setiap hari. (Mzm. 1:1-3) Dengan membaca Bible setiap hari, dia akan mengenali fikiran Yehuwa. Hasilnya, dia dapat membuat pertimbangan yang baik dan tahu cara menerapkan prinsip Bible. (Ams. 1:3, 4) Saudara saudari memerlukan saudara yang cekap untuk memberikan nasihat dan ajaran berdasarkan Bible. Jika anda dapat membaca dan menulis dengan baik, anda dapat menyediakan ceramah dan komen yang meningkatkan pengetahuan mereka dan yang menguatkan iman mereka. Selain itu, anda dapat membuat nota berguna yang membantu anda membina iman sendiri dan menguatkan orang lain. w23.12 26-27 ¶9-11
Isnin, 28 Julai
Dia yang bersatu dengan kamu itu lebih besar daripada dia yang bersatu dengan dunia.—1 Yoh. 4:4.
Jika anda takut, renungkan harapan yang dijanjikan Yehuwa semasa Syaitan dihapuskan. Di konvensyen serantau 2014, sebuah demonstrasi menunjukkan seorang bapa membincangkan 2 Timotius 3:1-5 dengan keluarganya dan ubah ayat-ayat itu untuk berbunyi, “Di dunia baharu nanti, akan ada hari-hari yang amat bahagia. Manusia akan mengasihi satu sama lain, mencintai hal-hal rohani, rendah hati, tidak angkuh, dan suka memuji Tuhan. Mereka akan mentaati ibu bapa, tahu berterima kasih, setia, menyayangi ahli keluarga, sudi dibawa berbincang, sentiasa bercakap baik tentang orang lain, mampu mengawal diri, lemah lembut, dan mencintai kebaikan. Mereka juga boleh dipercayai, tidak keras kepala, tidak sombong, dan mencintai Tuhan, bukannya kesenangan. Mereka juga berusaha untuk hidup selaras dengan ibadat mereka. Hampirilah orang sebegini.” Adakah anda bincang tentang hidup di dunia baharu dengan keluarga atau rakan seiman? w24.01 6 ¶13-14