-
Sebabnya Orang Susah Mengasihi TuhanMenara Pengawal—2013 | 1 November
-
-
TOPIK UTAMA | DUSTA YANG MENGHALANG KITA MENGASIHI TUHAN
Sebabnya Orang Susah Mengasihi Tuhan
“‘Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap akal.’ Inilah hukum pertama dan hukum yang terpenting.”—Yesus Kristus, 33 M.a
Sesetengah orang berasa susah untuk mengasihi Tuhan kerana mereka fikir Dia sangat jauh, kejam, atau merupakan suatu misteri yang tidak dapat difahami. Dengarlah luahan beberapa orang ini.
“Saya berdoa untuk memohon bantuan Tuhan. Tapi pada masa yang sama, saya rasa Dia sangat jauh. Bagi saya, Tuhan hanyalah suatu kuasa yang tiada emosi.”—Marco, Itali.
“Saya mahu menyembah Tuhan. Tapi saya rasa Dia susah didekati dan tidak mengasihi kita. Saya fikir Dia kejam dan hanya mahu hukum kita saja.”—Rosa, Guatemala.
“Masa kecil, saya fikir Tuhan mahu cari kesalahan kita supaya Dia boleh hukum kita. Masa saya dewasa, saya rasa Tuhan seperti pemimpin berkuasa yang mengatur hidup orang tetapi tidak mengasihi mereka.”—Raymonde, Kanada.
Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda dapat mengasihi Tuhan? Sejak dulu lagi, sesetengah orang Kristian tertanya-tanya sama ada kita dapat mengasihi Tuhan atau tidak. Ada orang Kristian yang bahkan tidak berani berdoa kepada Tuhan Yang Maha Kuasa atau menghampiri-Nya. Mengapa? Sejarawan yang bernama Will Durant berkata, “Mana mungkin seorang pendosa dan insan biasa berani berdoa kepada Raja yang begitu menakutkan dan jauh?”
Bagaimanakah idea bahawa Tuhan itu “menakutkan dan jauh” mula tertanam dalam fikiran orang? Apakah yang sebenarnya diajarkan Bible tentang Tuhan? Dapatkah kebenaran tentang Tuhan membantu anda mengasihi-Nya?
-
-
Dusta 1: Tuhan Tiada NamaMenara Pengawal—2013 | 1 November
-
-
TOPIK UTAMA | DUSTA YANG MENGHALANG KITA MENGASIHI TUHAN
Dusta 1: Tuhan Tiada Nama
APA ORANG PERCAYA
“Kami tidak dapat bersetuju sama ada Tuhan mempunyai nama atau tidak. Jika ada, kami pun tidak dapat pasti siapa nama-Nya.”—Profesor David Cunningham, Theological Studies.
KEBENARAN BIBLE
Tuhan berkata, “Aku ialah Yehuwa, itulah nama-Ku.” (Yesaya 42:8) Yehuwa ialah nama Ibrani yang boleh bererti “Dia Menyebabkan Menjadi.”—Kejadian 2:4, nota kaki.
Yehuwa mahu kita menggunakan dan “menyeru nama-Nya.” Bible kata, “Ceritakanlah perbuatan-Nya kepada semua orang! Isytiharkanlah keagungan nama-Nya.”—Yesaya 12:4.
Yesus juga menggunakan nama Tuhan. Semasa berdoa kepada Yehuwa, dia kata, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada mereka [murid-murid Yesus] dan aku akan terus berbuat demikian.” Mengapakah Yesus mengajar murid-muridnya tentang nama Tuhan? Yesus kata, “Supaya mereka akan menunjukkan kasih sepertimana Engkau menunjukkan kasih kepadaku dan supaya aku bersatu dengan mereka.”—Yohanes 17:26.
MENGAPA PENTING
“Orang yang tidak kenal nama Tuhan tidak betul-betul mengenali-Nya,” tulis ahli teologi yang bernama Walter Lowrie. “Jika mereka anggap Tuhan sebagai suatu kuasa dan bukannya Individu yang mempunyai perasaan dan sifat, sudah pasti mereka tidak dapat mengasihi-Nya.”
Jika kita menyembunyikan atau menggantikan nama Tuhan, itu seperti kita sedang mengeluarkannya daripada halaman Bible
Seorang lelaki yang bernama Victor menghadiri gereja setiap minggu. Biarpun begitu, dia rasa dia tidak benar-benar mengenali Tuhan. Dia kata, “Sebelum ini, Tuhan tidak nyata bagi saya. Saya hanya dengar tentang-Nya. Tetapi selepas mengetahui nama Tuhan, iaitu Yehuwa, barulah saya dapat mengenali-Nya dan memupuk persahabatan dengan-Nya.”
Yehuwa dekat dengan orang yang menggunakan nama-Nya. Berkenaan orang yang “merenungkan nama-Nya,” Tuhan berjanji, “Aku akan berbelas kasihan terhadap mereka sebagaimana seorang bapa berbelas kasihan kepada anaknya yang taat.” (Maleakhi 3:16, 17) Yehuwa juga memberkati orang yang menyeru nama-Nya. Bible kata, “Semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.”—Roma 10:13.
-
-
Dusta 2: Tuhan Suatu MisteriMenara Pengawal—2013 | 1 November
-
-
TOPIK UTAMA | DUSTA YANG MENGHALANG KITA MENGASIHI TUHAN
Dusta 2: Tuhan Suatu Misteri
APA ORANG PERCAYA
“Tiga aliran agama Kristian yang utama, iaitu Roman Katolik, Ortodoks Timur, dan Protestan, percaya bahawa Tuhan terdiri daripada tiga individu: Bapa ialah Tuhan, Anak ialah Tuhan, dan Roh Kudus ialah Tuhan. Biarpun ada tiga, mereka sebenarnya satu.”—The New Encyclopædia Britannica.
KEBENARAN BIBLE
Yesus, iaitu Anak Tuhan, tidak pernah kata bahawa dia setaraf atau sama dengan Bapanya. Sebaliknya, dia kata, “Aku akan pergi kepada Bapa, kerana Bapa lebih besar daripada aku.” (Yohanes 14:28) Dia juga memberitahu pengikutnya, “Aku akan pergi kepada Bapaku yang juga Bapa kamu, kepada Tuhanku yang juga Tuhan kamu.”—Yohanes 20:17.
Bible kata bahawa orang Kristian pada zaman dulu “dipenuhi Roh Kudus.” Selain itu, Yehuwa berkata, “Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia.” (Kisah 2:1-4, 17, Alkitab Versi Borneo) Jelaslah, Roh Kudus bukanlah suatu tuhan atau individu, tetapi merupakan kuasa suci Tuhan.
MENGAPA PENTING
Pakar agama Katolik yang bernama Karl Rahner dan Herbert Vorgrimler kata bahawa ajaran Tritunggal “tidak dapat diketahui tanpa wahyu daripada Tuhan. Selepas mendapat wahyu pun, kita tidak dapat memahaminya dengan sepenuhnya.” Bak kata pepatah, “Tak kenal maka tak cinta.” Maka, bagaimana mungkin seseorang dapat mengasihi Tuhan jika dia tidak dapat mengenali-Nya?
Marco, yang disebut sebelum ini, kata bahawa ajaran Tritunggal membuatnya susah mengenali dan menghampiri Tuhan. Dia kata, “Saya fikir Tuhan mahu menyembunyikan identiti-Nya daripada saya. Oleh sebab Dia suatu misteri, saya rasa Dia sangat jauh.” Tetapi, Tuhan tidak mahu buat kita keliru atau cuba menyembunyikan identiti-Nya daripada kita. (1 Korintus 14:33) Dia mahu kita mengenali-Nya. Yesus kata, “Kami tahu siapa yang kami sembah.”—Yohanes 4:22.
Marco berkata, “Semasa saya tahu bahawa Tuhan bukan Tritunggal, saya dapat menjalin persahabatan dengan-Nya.” Apabila kita sedar bahawa Tuhan ialah Individu yang nyata dan bukannya suatu misteri yang mustahil difahami, kita akan rasa lebih senang untuk mengasihi-Nya. “Sesiapa yang tidak mempunyai kasih, belum lagi mengenal Tuhan, kerana Tuhan itu kasih.”—1 Yohanes 4:8.
-
-
Dusta 3: Tuhan Itu KejamMenara Pengawal—2013 | 1 November
-
-
TOPIK UTAMA | DUSTA YANG MENGHALANG KITA MENGASIHI TUHAN
Dusta 3: Tuhan Itu Kejam
APA ORANG PERCAYA
“Selepas mati, jiwa atau roh orang yang berdosa akan dihukum dalam ‘api neraka untuk selama-lamanya.’” (Catechism of the Catholic Church) Menurut sesetengah pemimpin agama, neraka merupakan keadaan di mana seseorang terpisah sepenuhnya daripada Tuhan.
KEBENARAN BIBLE
Bible kata, “Jiwa yang berdosa, dialah yang akan mati.” (Yehezkiel 18:4, nota kaki) “Orang mati tidak tahu apa-apa pun.” (Pengkhutbah 9:5) Jika demikian, mungkinkah seseorang menderita selama-lamanya di api neraka atau kerana terpisah daripada Tuhan?
Dalam Bible, perkataan Ibrani dan Yunani yang sering diterjemahkan sebagai “neraka” sebenarnya merujuk kepada kuburan umum manusia. Sebagai contoh, semasa Ayub menderita, dia berdoa, “Hanya sekiranya Engkau menyembunyikan aku di alam kubur [“di neraka,” Versi Douay-Rheims].” (Ayub 14:13, Alkitab Versi Borneo) Mungkinkah Ayub sedang minta Tuhan untuk menyeksanya buat selama-lamanya? Pasti tidak! Sebaliknya, dia mahu “rehat” di kuburan.
MENGAPA PENTING
Jika Tuhan kejam, kita pasti menjauhi-Nya. “Sejak lahir, saya diajar tentang neraka,” kata Rocío yang tinggal di Mexico. “Saya sangat takut Tuhan. Saya tidak rasa Dia ada sifat-sifat yang baik. Saya sangka Dia pemarah dan tidak bertimbang rasa.”
Kebenaran Bible tentang penghakiman Tuhan dan keadaan orang mati mengubah pandangan Rocío terhadap Tuhan. “Saya rasa bebas, seolah-olah beban yang berat diangkat dari bahu saya,” katanya. “Saya mula percaya bahawa Tuhan mahukan yang terbaik bagi kita. Dia mengasihi kita dan saya pun dapat mengasihi-Nya. Dia seperti bapa penyayang yang selalu di sisi anaknya.”—Yesaya 41:13.
Banyak orang menyembah Tuhan kerana mereka takut dihukum di neraka. Tetapi Tuhan tidak mahu kita menyembah-Nya kerana didorong oleh rasa takut. Yesus kata, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu.” (Markus 12:29, 30) Tambahan lagi, apabila kita sedar bahawa Tuhan tidak bertindak dengan kejam, kita dapat percaya bahawa Dia akan menghakimi dengan saksama. Seperti sahabat Ayub yang bernama Elihu, kita juga dapat kata dengan yakin, “Mustahil bagi Tuhan yang benar untuk melakukan hal yang jahat; Dia Yang Maha Kuasa pasti tidak akan berbuat salah!”—Ayub 34:10.
-
-
Kebenaran Dapat Membebaskan AndaMenara Pengawal—2013 | 1 November
-
-
TOPIK UTAMA | DUSTA YANG MENGHALANG KITA MENGASIHI TUHAN
Kebenaran Dapat Membebaskan Anda
Semasa di Yerusalem, Yesus bercakap tentang Bapa-Nya Yehuwa dan mendedahkan perbuatan salah pemimpin agama. (Yohanes 8:12-30) Apa yang dikatakan oleh Yesus sangat penting. Dia berkata, “Jika kamu sentiasa mematuhi ajaranku, kamu benar-benar ialah muridku. Kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan membebaskan kamu.”—Yohanes 8:31, 32.
Menurut Yesus, jika kita ‘sentiasa mematuhi ajarannya,’ kita akan menemui kebenaran. Maka, kita harus sentiasa membandingkan apa yang dipelajari dengan ajaran Yesus dan Bible supaya kita tahu sama ada hal itu benar atau tidak. Itulah yang dilakukan oleh orang yang mendengar ajaran Rasul Paulus. Mereka “mengkaji Ayat-Ayat Suci dengan teliti untuk memastikan sama ada apa yang didengar oleh mereka itu benar atau tidak.”—Kisah 17:11.
Marco, Rosa, dan Raymonde yang disebut tadi telah memeriksa kepercayaan mereka semasa mempelajari Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Apakah hasilnya?
Marco: “Guru Bible saya guna Bible untuk jawab setiap soalan yang saya dan isteri saya tanya. Apa yang kami belajar bantu kami semakin mengasihi Yehuwa dan hubungan kami sebagai suami isteri juga semakin rapat.”
Rosa: “Pada mulanya, saya fikir Bible hanya sebuah buku yang mengandungi ajaran dan pandangan manusia tentang Tuhan. Secara beransur-ansur, saya dapat jawapan kepada soalan-soalan saya dalam Bible. Sekarang bagi saya, Yehuwa betul-betul wujud dan saya boleh percaya Dia dengan sepenuhnya.”
Raymonde: “Saya berdoa kepada Tuhan untuk bantu saya mengenali-Nya. Tidak lama kemudian, saya dan suami saya mula belajar Bible. Akhirnya, kami belajar kebenaran tentang Yehuwa. Sifat-sifat-Nya sangat menyentuh hati kami.”
Sebenarnya, Bible tidak sekadar mendedahkan dusta yang disebarkan tentang Tuhan. Buku yang diilhami Tuhan ini juga mengajar kita sifat-sifat-Nya yang mengagumkan. Selain itu, kita dapat “mengetahui perkara-perkara yang dikurniakan oleh Tuhan” kepada kita. (1 Korintus 2:12) Lihatlah sendiri bagaimana Bible dapat menjawab soalan yang penting tentang Tuhan, tujuan-Nya, dan masa depan kita. Jawapan kepada sesetengah soalan ini boleh didapati di bawah “Ajaran Bible > Jawapan kepada Soalan Bible” di www.pr2711.com. Anda juga dapat mohon pembelajaran Bible daripada laman web ini atau daripada salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Hasilnya, anda akan lebih mengenali Tuhan dan mengasihi-Nya.
-