RENCANA PEMBELAJARAN 49
Adakah Yehuwa Akan Menjawab Doa Saya?
“Kamu akan berseru kepada-Ku. Kamu akan datang untuk berdoa kepada-Ku, dan Aku akan mendengar doa kamu.”—YER. 29:12.
LAGU 41 Dengarlah Doa Aku
PENGENALANa
1-2. Mengapakah kita mungkin berasa bahawa Yehuwa tidak menjawab doa kita?
“CARILAH kebahagiaan yang datang daripada Yehuwa, lalu Dia akan mengabulkan segala keinginan hatimu.” (Mzm. 37:4) Ini sememangnya janji yang menakjubkan! Tetapi ada kalanya, kita mungkin berasa bahawa Yehuwa tidak menjawab doa kita dengan segera. Mengapa? Pertimbangkan beberapa situasi berikut: Seorang saudari bujang ingin menghadiri Sekolah Latihan Penginjil dan dia berdoa secara bersungguh-sungguh tentangnya. Namun beberapa tahun kemudian, dia belum lagi dijemput. Seorang saudara muda yang menghidap penyakit yang teruk berdoa agar penyakitnya disembuhkan supaya dia dapat buat lebih banyak kerja dalam sidang. Tetapi keadaannya tidak berubah. Sepasang ibu bapa Kristian berdoa agar anak mereka tetap berada dalam kebenaran. Namun anak mereka berhenti menyembah Yehuwa.
2 Barangkali anda juga pernah meminta sesuatu daripada Yehuwa tetapi belum menerimanya. Jadi anda mungkin berfikir bahawa Yehuwa menjawab doa sesetengah orang tetapi tidak menjawab doa anda. Atau anda mungkin berfikir bahawa anda telah melakukan sesuatu yang membuat Yehuwa tidak senang hati dengan anda. Itulah perasaan seorang saudari yang bernama Janice.b Dia dan suaminya berdoa agar dapat berkhidmat di Bethel. Dia berkata, “Saya sangat yakin kami akan diterima ke Bethel dengan segera.” Tetapi selepas bertahun-tahun tidak dijemput, Janice berasa sedih dan keliru. Dia berkata, “Saya asyik tertanya-tanya apa yang telah saya lakukan sehingga Yehuwa begitu kecewa dengan saya. Jika saya tidak buat salah, mengapa pula Yehuwa tidak menjawab doa saya padahal doa saya sangat spesifik?”
3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
3 Kadangkala, kita mungkin berfikir bahawa Yehuwa tidak mendengar doa kita. Bahkan sesetengah penyembah Yehuwa yang setia pada masa lalu juga berfikir demikian. (Ayb. 30:20; Mzm. 22:2; Hab. 1:2) Jadi, apakah yang dapat meyakinkan kita bahawa Yehuwa pasti menjawab doa kita? (Mzm. 65:2) Untuk menjawab soalan itu, kita akan mengkaji tiga soalan yang berikut: (1) Apakah yang akan Yehuwa lakukan untuk kita? (2) Apakah yang Yehuwa mahu kita lakukan? (3) Mengapakah kita mungkin perlu mengubah sesetengah permintaan kita?
APAKAH YANG AKAN YEHUWA LAKUKAN UNTUK KITA?
4. Menurut Yeremia 29:12, Yehuwa berjanji untuk melakukan apa?
4 Yehuwa berjanji untuk mendengar semua doa kita. (Baca Yeremia 29:12.) Tuhan kita mengasihi para penyembah-Nya. Jadi mustahil Dia tidak mendengar doa kita. (Mzm. 10:17; 37:28) Namun, hal ini tidak bermaksud bahawa Dia akan menunaikan semua permintaan kita. Sesetengah permintaan kita hanya akan ditunaikan di dunia baharu kelak.
5. Apakah yang dipertimbangkan oleh Yehuwa semasa mendengar doa kita? Jelaskan.
5 Yehuwa mempertimbangkan tujuan-Nya semasa mendengar doa kita. (Yes. 55:8, 9) Sebahagian daripada tujuan Tuhan adalah supaya bumi dipenuhi dengan manusia yang bahagia dan bersatu padu di bawah pemerintahan-Nya. Tetapi Syaitan mendakwa bahawa manusia tidak memerlukan Yehuwa dan dapat memerintah diri sendiri dengan berjaya. (Kej. 3:1-5) Maka, Yehuwa telah mengizinkan manusia untuk memerintah diri sendiri buat suatu jangka masa. Hasilnya? Banyak masalah yang kita hadapi hari ini disebabkan oleh pemerintahan manusia. (Pkh. 8:9) Kita tahu bahawa Yehuwa tidak akan melenyapkan semua masalah kita sekarang kerana hal itu akan membuat orang berfikir bahawa manusia memang dapat memerintah dengan baik dan dapat menyelesaikan semua masalah di dunia.
6. Mengapakah kita harus yakin bahawa Yehuwa akan sentiasa bertindak dengan adil dan didorong oleh kasih?
6 Yehuwa mungkin menjawab doa yang sama dalam cara yang berbeza-beza. Sebagai contoh, apabila Raja Hizkia merayu kepada Yehuwa untuk disembuhkan daripada penyakitnya yang tenat, Yehuwa mengabulkan permintaannya lalu menyembuhkannya. (2 Raj. 20:1-6) Sebaliknya, semasa Rasul Paulus merayu kepada Yehuwa untuk menyingkirkan ‘duri dalam dagingnya,’ yang mungkin merujuk kepada penyakit yang dihidapinya, Yehuwa tidak menyembuhkannya. (2 Kor. 12:7-9) Pertimbangkan juga contoh Rasul Yakobus dan Petrus, yang mahu dibunuh oleh Raja Herodes. Biarpun sidang Kristian telah berdoa untuk mereka berdua, Yakobus dibunuh tetapi Petrus pula diselamatkan oleh malaikat. (Kis. 12:1-11) Kita mungkin tertanya-tanya, “Mengapa Yehuwa menyelamatkan Petrus tetapi membiarkan Yakobus dibunuh?” Bible tidak menjawab soalan itu.c Tetapi kita dapat yakin bahawa Yehuwa “tidak berat sebelah.” (Ul. 32:4) Kita juga tahu bahawa Petrus dan Yakobus mendapat perkenan Yehuwa. (Why. 21:14) Kadangkala, Yehuwa tidak akan menjawab doa kita dalam cara yang kita harapkan. Itulah sebabnya kita harus yakin bahawa Yehuwa akan sentiasa bertindak dengan adil dan didorong oleh kasih. Dengan demikian, kita tidak akan mempersoalkan cara Yehuwa menjawab doa kita.—Ayb. 33:13.
7. Apakah yang tidak patut kita lakukan, dan mengapa?
7 Kita tidak patut membandingkan situasi kita dengan situasi orang lain. Contohnya, kita mungkin berdoa secara spesifik tentang sesuatu tetapi permintaan kita tidak ditunaikan. Kemudiannya, kita mendapat tahu bahawa saudara saudari lain berdoa tentang hal yang serupa dan doa mereka dijawab. Itulah situasi yang dihadapi oleh Anna. Dia berdoa agar suaminya, Matthew, sembuh daripada kanser. Pada masa yang sama, dua orang saudari yang lanjut usia juga menghidap kanser. Anna berdoa bagi suaminya dan dua orang saudari itu dengan bersungguh-sungguh. Sedihnya, Matthew meninggal, tetapi dua orang saudari itu sembuh. Pada mulanya, Anna tertanya-tanya, “Mengapa Yehuwa menyembuhkan dua orang saudari itu, sedangkan suami saya tidak?” Sudah tentu, kita tidak tahu bagaimana dua orang saudari itu sembuh. Namun kita tahu Yehuwa akan melenyapkan semua penderitaan kita buat selama-lamanya dan membangkitkan orang yang telah meninggal.—Ayb. 14:15.
8. (a) Menurut Yesaya 43:2, bagaimanakah Yehuwa menyokong kita? (b) Bagaimanakah doa dapat membantu kita semasa kita menghadapi cabaran? (Lihat video Doa Bantu Kita Bertabah.)
8 Yehuwa akan sentiasa menyokong kita. Yehuwa ialah Bapa kita yang pengasih dan Dia tidak suka melihat kita menderita. (Yes. 63:9) Dalam Bible, cubaan kita disamakan dengan “sungai” atau “api.” (Baca Yesaya 43:2.) Biarpun Tuhan tidak akan menghalang kita daripada ditimpa cubaan, Dia berjanji untuk membantu kita “melintasi” atau “melalui” cubaan kita. Dia tidak akan mengizinkan kita ditenggelami masalah kita. Dia juga berjanji untuk memberi kita kuasa suci-Nya untuk membantu kita bertabah. (Luk. 11:13; Flp. 4:13) Itulah sebabnya kita yakin bahawa kita akan sentiasa menerima apa yang kita perlukan untuk bertabah dan tetap setia kepada-Nya.d
APAKAH YANG YEHUWA MAHU KITA LAKUKAN?
9. Menurut Yakobus 1:6, 7, mengapakah kita harus yakin bahawa Yehuwa akan membantu kita?
9 Yehuwa mahu kita mempercayai-Nya. (Ibr. 11:6) Ada kalanya, kita mungkin berasa bahawa masalah kita terlalu berat. Kita mula berasa tawar hati dan meragui sama ada Yehuwa akan membantu kita atau tidak. Namun Bible meyakinkan kita bahawa melalui kuasa Tuhan, kita dapat “melompat merentasi tembok.” (Mzm. 18:29) Daripada membiarkan keraguan berakar umbi dalam hati kita, kita patut berdoa dengan penuh iman dan yakin bahawa Yehuwa akan menjawab doa kita.—Baca Yakobus 1:6, 7.
10. Berikan contoh yang menunjukkan bagaimana kita boleh bertindak selaras dengan doa kita.
10 Yehuwa mahu kita bertindak selaras dengan doa kita. Sebagai contoh, seorang saudara berdoa supaya Yehuwa membantunya memohon cuti daripada majikannya agar dia dapat menghadiri konvensyen. Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa saudara itu? Yehuwa boleh memberi saudara itu keberanian. Tetapi saudara itu harus bertindak selaras dengan doanya. Dia mungkin perlu memohon cuti berulang kali, atau dia boleh minta rakan sekerja yang lain untuk menukar syif dengannya. Jika perlu, dia boleh memberitahu majikannya bahawa dia sanggup mengambil cuti tanpa gaji.
11. Mengapakah kita patut berdoa secara berulang kali?
11 Yehuwa mahu kita berdoa secara berulang kali. (1 Tes. 5:17) Melalui kata-kata Yesus, kita tahu bahawa sesetengah permintaan kita tidak akan ditunaikan dengan serta-merta. (Luk. 11:9) Maka, janganlah berputus asa! Berdoalah dengan bersungguh-sungguh tanpa henti. (Luk. 18:1-7) Apabila kita terus berdoa tentang sesuatu, kita menunjukkan kesungguhan kita. Kita juga menunjukkan bahawa kita percaya Yehuwa dapat membantu kita.
MENGAPAKAH KITA MUNGKIN PERLU MENGUBAH SESETENGAH PERMINTAAN KITA?
12. (a) Apakah soalan pertama yang harus kita tanya berkenaan doa kita, dan mengapa? (b) Bagaimanakah kita dapat memastikan doa kita menunjukkan hormat kepada Yehuwa? (Lihat kotak “Adakah Permintaan Saya Menunjukkan Hormat kepada Yehuwa?”)
12 Jika doa kita tidak dijawab, kita boleh menanya diri tiga soalan. Soalan pertama ialah, “Adakah saya berdoa untuk perkara yang betul?” Sering kali, kita fikir bahawa kita tahu apa yang terbaik bagi diri kita, tetapi apa yang kita minta tidak selalunya bermanfaat dalam jangka masa panjang. Jika kita berdoa tentang sesuatu masalah, mungkin terdapat penyelesaian yang lebih bagus daripada penyelesaian yang kita minta. Kadangkala apa yang kita minta mungkin tidak selaras dengan kehendak Yehuwa. (1 Yoh. 5:14) Contohnya, fikirkan pasangan ibu bapa yang disebut di awal rencana. Mereka telah meminta Yehuwa untuk membantu anak mereka tetap berada dalam kebenaran. Permintaan mereka nampaknya munasabah. Namun, Yehuwa tidak akan memaksa sesiapa pun untuk menyembah-Nya. Dia mahu kita semua, termasuk anak-anak kita, untuk memilih menyembah-Nya. (Ul. 10:12, 13; 30:19, 20) Maka, ibu bapa itu boleh mengubah doa mereka dan meminta Yehuwa membantu mereka mencapai hati anak mereka agar anak mereka tergerak untuk mengasihi Yehuwa dan menjadi sahabat-Nya.—Ams. 22:6; Ef. 6:4.
13. Menurut Ibrani 4:16, bilakah Yehuwa akan membantu kita? Jelaskan.
13 Soalan kedua ialah, “Adakah sekarang masa yang sesuai bagi Yehuwa untuk mengabulkan doa saya?” Kita mungkin mahu doa kita dijawab dengan serta-merta. Namun, Yehuwa tahu bila masa yang terbaik untuk membantu kita. (Baca Ibrani 4:16.) Apabila doa kita tidak dijawab dengan segera, kita mungkin fikir jawapan Yehuwa ialah “Tidak.” Namun, jawapan Yehuwa mungkin ialah “Sila tunggu.” Sebagai contoh, fikir kembali tentang saudara muda yang berdoa agar penyakitnya disembuhkan. Jika Yehuwa menyembuhkannya secara mukjizat, Syaitan boleh mendakwa bahawa dia hanya menyembah Yehuwa kerana disembuhkan. (Ayb. 1:9-11; 2:4) Selain itu, Yehuwa telah menentukan masa untuk menyembuhkan semua penyakit. (Yes. 33:24; Why. 21:3, 4) Jika masa yang ditentukan-Nya belum sampai, kita tidak boleh mengharapkan penyembuhan secara mukjizat. Jadi saudara itu boleh mengubah doanya dan meminta Yehuwa memberinya kekuatan dan ketenangan minda untuk tabah menghadapi penyakitnya dan menyembah Yehuwa dengan setia.—Mzm. 29:11.
14. Apakah yang anda belajar daripada pengalaman Janice?
14 Fikir kembali pengalaman Janice, yang berdoa supaya dapat berkhidmat di Bethel. Lima tahun kemudian, barulah dia sedar bagaimana Yehuwa menjawab doanya. Dia berkata, “Yehuwa menggunakan masa itu untuk mengajar saya dan memurnikan keperibadian saya. Saya belajar bahawa iman saya perlu dikuatkan. Tabiat pembelajaran peribadi saya juga perlu diperbaiki. Selain itu, saya perlu belajar bahawa saya dapat bersukacita di mana sahaja saya berkhidmat.” Kemudian, Janice dan suaminya dijemput untuk melakukan kerja litar. Mengenang kembali masa itu, Janice berkata, “Yehuwa menjawab doa saya dalam cara yang tidak saya jangkakan. Saya memerlukan masa untuk menghargai bagaimana Yehuwa menjawab doa saya, dan saya bersyukur dapat merasai kasih dan kebaikan-Nya.”
Jika anda berasa bahawa doa anda tidak dijawab, berdoalah tentang hal-hal lain (Lihat perenggan 15)f
15. Mengapakah ada kalanya bagus jika kita berdoa secara kurang spesifik? (Lihat juga gambar.)
15 Soalan ketiga ialah, “Patutkah saya berdoa untuk hal yang lain?” Walaupun bagus bagi kita untuk berdoa secara spesifik, kadangkala adalah baik jika kita berdoa secara kurang spesifik. Fikir kembali contoh saudari bujang yang berdoa untuk menghadiri Sekolah Latihan Penginjil. Dia mahu menghadiri sekolah itu agar dia dapat berkhidmat di tempat yang memerlukan lebih banyak bantuan. Maka sementara menunggu doanya dijawab dan dijemput untuk menghadiri sekolah itu, dia juga dapat berdoa kepada Yehuwa untuk membantunya kenal pasti cara lain dia dapat meluaskan khidmatnya. (Kis. 16:9, 10) Kemudian, dia boleh bertindak selaras dengan doanya dan bertanya kepada penyelia litar sama ada terdapat sidang berdekatan yang memerlukan lebih banyak perintis. Dia boleh menulis kepada para saudara di pejabat cawangan untuk mengetahui sidang mana yang memerlukan lebih banyak bantuan.e
16. Kita dapat yakin akan hal apa?
16 Seperti yang telah kita bincangkan, kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan berlaku adil dan menunjukkan kasih semasa menjawab doa kita. (Mzm. 4:3; Yes. 30:18) Ada kalanya, doa kita dijawab dalam cara yang tidak kita jangkakan. Namun, Yehuwa akan sentiasa menjawab doa kita. Dia sangat mengasihi kita dan tidak akan meninggalkan kita. (Mzm. 9:10) Semoga anda terus percaya kepada Yehuwa dan mencurahkan isi hati anda kepada-Nya melalui doa.—Mzm. 62:8.
LAGU 43 Doa Kesyukuran
a Dalam rencana ini, kita akan belajar mengapa kita dapat percaya bahawa Yehuwa akan berlaku adil dan menunjukkan kasih semasa menjawab doa kita.
b Sesetengah nama telah diubah.
c Lihat rencana “Adakah Anda Percaya bahawa Tindakan Yehuwa Selalu Betul?” dalam majalah Menara Pengawal terbitan Februari 2022, per. 3-6.
d Untuk maklumat lanjut tentang bagaimana Yehuwa membantu kita tabah menghadapi cubaan yang mencabar, sila tonton video Doa Bantu Kita Bertabah di jw.org.
e Untuk arahan tentang bagaimana anda dapat meluaskan khidmat di kawasan pejabat cawangan lain, lihat buku Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa, bab 10, per. 6-9.
f KETERANGAN GAMBAR: Dua orang saudari berdoa sebelum memohon untuk menyertai Sekolah Latihan Penginjil. Pada kemudian hari, seorang dijemput, tetapi seorang lagi tidak. Saudari yang tidak dijemput itu tidak terlalu kecewa. Dia berdoa kepada Yehuwa untuk membantunya kenal pasti cara lain dia dapat meluaskan khidmatnya. Kemudian dia menulis surat kepada pejabat cawangan untuk menyatakan bahawa dia sudi berkhidmat di tempat yang memerlukan lebih banyak bantuan.