Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
© 2024 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
3-9 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN AMSAL 3
Permata Rohani
w06-E 9/15 17 ¶7
Sorotan daripada Buku Amsal
3:3. Kita harus memandang tinggi sifat kasih setia dan kesetiaan. Seperti seorang yang memakai rantai leher yang berharga, kita harus menerapkan sifat-sifat ini dan menunjukkannya kepada orang lain. Kita juga harus menuliskannya pada hati kita dengan menjadikannya sebahagian daripada diri kita.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
w11-E 3/15 14 ¶7-10
Percayalah kepada Yehuwa Seraya Akhir Semakin Dekat
7 Ramai saudara saudari kita berkhidmat di kawasan yang memerlukan lebih banyak ketabahan. Nabi Yeremia juga menghadapi situasi yang susah semasa dia berkhidmat pada hari-hari terakhir kerajaan Yehuda. Setiap hari, imannya diuji kerana dia dengan setia menyampaikan mesej penghakiman Tuhan. Pernah sekali, Barukh, iaitu setiausaha Yeremia, juga merungut kerana berasa penat. (Yer. 45:2, 3) Adakah Yeremia juga berasa kecewa? Ya. Kadangkala, Yeremia berasa tawar hati. “Terkutuklah hari kelahiranku!” kata Yeremia. “Mengapakah aku harus dilahirkan, dan melihat kesusahan dan penderitaan, lalu mengakhiri hari-hariku dengan rasa malu?”—Yer. 20:14, 15, 18.
8 Walaupun begitu, Yeremia tidak berputus asa. Dia terus percaya kepada Yehuwa. Hasilnya, dia dapat lihat kata-kata Yehuwa menjadi kenyataan seperti yang tercatat di Yeremia 17:7, 8: “Terpujilah orang yang berharap kepada Yehuwa, yang bergantung pada Yehuwa. Orang itu akan menjadi seperti sebatang pokok yang ditanam di tepi air, yang akarnya bertumbuh ke arah sungai. Meskipun matahari panas terik, dia tidak akan merasainya. Daun-daunnya sentiasa lebat. Pada musim kemarau, dia tidak risau, atau berhenti menghasilkan buah.”
9 Seperti pokok buah yang “ditanam di tepi air” atau di dusun yang mempunyai saluran air yang baik, Yeremia tidak “berhenti menghasilkan buah.” Dia bertekad untuk tidak dipengaruhi oleh para penentang. Sebaliknya, dia tetap bergantung pada Sumber “air” yang sejati, iaitu Yehuwa, dan menyimpan firman-Nya dalam hati. (Baca Mazmur 1:1-3; Yer. 20:9) Teladan Yeremia sangat menggalakkan, terutamanya bagi mereka yang berkhidmat di kawasan penyebaran yang mencabar. Jika itulah situasi anda, teruslah bergantung pada Yehuwa. Dia akan memberi anda ketabahan seraya anda “mengisytiharkan nama-Nya di hadapan umum.”—Ibr. 13:15.
10 Yehuwa juga telah beri kita firdaus rohani untuk bantu kita menghadapi hari-hari terakhir yang mencabar ini. Dia memberi kita Firman-Nya yang telah diterjemahkan dengan tepat ke dalam ratusan bahasa. Melalui hamba yang setia dan bijaksana, Dia juga memberi kita makanan rohani yang berlimpah dan yang disediakan tepat pada masanya. Selain itu, Yehuwa juga mengurniakan saudara saudari yang sentiasa menyokong kita. Kita dapat bergaul bersama mereka di perjumpaan dan perhimpunan. Adakah anda memanfaatkan sepenuhnya semua kurniaan ini? Jika anda berbuat demikian, anda ‘akan bersorak-sorai kerana hati anda dipenuhi sukacita.’ Sebaliknya, mereka yang enggan mendengarkan Tuhan “akan menangis kerana bersedih dan meraung-raung kerana patah semangat.”—Yes. 65:13, 14.
10-16 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN AMSAL 4
“Jagalah Hatimu”
w12-E 5/1 32 ¶2
“Jagalah Hatimu!”
Mengapakah kita mesti menjaga hati kiasan kita? Jawapannya terkandung dalam kata-kata Raja Salomo yang diilhami Tuhan: “Lebih daripada segala-galanya, jagalah hatimu, kerana hatimu menentukan hidup matimu.” (Amsal 4:23) Oleh kerana Tuhan melihat hati, atau batin kita, ini akan menentukan sama ada Dia memperkenankan kita atau tidak. (1 Samuel 16:7; 1 Petrus 3:4) Hal ini sangat penting kerana ini mempengaruhi bagaimana hidup kita sekarang dan harapan masa depan kita.
17-23 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN AMSAL 5
Jauhilah Perbuatan Seks yang Tidak Bermoral
w00-E 7/15 29 ¶1
Anda Dapat Tetap Murni dalam Dunia yang Tidak Bermoral
Orang yang tidak bermoral dalam buku Amsal digambarkan sebagai seorang “perempuan jalang.” Kata-katanya yang menggoda seperti madu yang manis dan lebih licin daripada minyak zaitun. Bukankah orang biasanya menggunakan cara yang sama untuk memikat hati orang lain agar dapat melakukan perbuatan yang tidak bermoral? Perhatikan pengalaman Amy yang bekerja sebagai seorang setiausaha. Gadis yang berumur 27 tahun ini berkata, “Seorang lelaki di tempat kerja saya selalu beri saya perhatian dan suka memuji saya. Memang rasa seronok sebab ada orang beri perhatian. Tapi, saya dapat lihat dengan jelas bahawa dia ada niat yang tersembunyi. Jadi, saya tidak akan terperdaya dengan kata-katanya yang manis.” Begitu juga, kata-kata seorang yang tidak bermoral sangat memikat hati. Meskipun begitu, kita dapat kenal pasti niat mereka yang sebenar apabila kita menggunakan daya pemikiran kita.
24-30 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN AMSAL 6
Apakah yang Kita Dapat Belajar daripada Semut?
it-1-E 115 ¶1-2
Semut
“Bijak Secara Semula Jadi.” Semut bijak bukan kerana makhluk ini ada pengetahuan dan daya pemikiran, tapi kerana naluri yang diberikan oleh Pencipta mereka. Bible berkata bahawa semut ‘menyediakan makanan pada musim panas dan mengumpulkan bekalan makanan pada musim menuai.’ (Ams 6:8) Semut yang paling banyak dijumpai di Palestin ialah semut penuai (Messor semirufus). Semut ini menyimpan biji-bijian pada musim bunga dan musim panas supaya ada makanan pada musim yang lain, termasuk musim sejuk. Semut ini dapat dijumpai di tempat mengirik tuaian di mana terdapat biji-bijian. Semasa hujan, biji-bijian yang dikumpul mungkin menjadi basah. Jadi, semut ini akan mengangkut keluar biji-bijian tersebut untuk dikeringkan di bawah matahari. Semut ini juga akan menggigit bahagian yang akan mengeluarkan tunas supaya biji itu tidak bercambah. Sarang semut dapat dikenal pasti semasa melihat laluan yang sering digunakan oleh semut atau kulit biji-bijian yang ditinggalkan di laluan masuk sarang semut.
Sifat-Sifat yang Patut Diteladani. Selepas mengkaji sifat-sifat semut, Bible kata, “Hai orang yang malas, pergilah dan perhatikanlah cara hidup semut; belajarlah daripada semut dan jadilah bijak.” (Ams 6:6) Semut bukan sahaja bersiap sedia untuk masa depan, tapi juga ada sifat rajin dan tekad yang kuat. Mereka dapat mengangkat atau menarik benda-benda yang dua kali lebih berat daripada mereka. Mereka melakukan setiap tugas dengan sedaya upaya walaupun mereka mungkin terjatuh atau tergelincir. Mereka juga bekerjasama dengan baik dan saling menjaga. Contohnya, semasa ada semut yang cedera atau penat, mereka akan bantu semut itu untuk balik ke sarang. Mereka juga memastikan sarang mereka selalu bersih.
w00-E 9/15 26 ¶3-4
Kekalkan Reputasi yang Baik
Seperti semut, kita juga harus bersikap rajin. Kita mahu berusaha meningkatkan kemahiran dalam kerja kita dan bekerja keras tidak kira kita diawasi orang atau tidak. Kita harus mencurahkan usaha yang terbaik semasa di sekolah, tempat kerja, atau semasa melakukan aktiviti rohani. Semut meraih banyak manfaat kerana sikapnya yang rajin. Begitu juga, Tuhan mahu kita meraih manfaat dan “menikmati hasil kerja keras [kita].” (Pengkhutbah 3:13, 22; 5:18) Antara manfaatnya ialah kita memiliki hati nurani yang bersih dan kita rasa puas hati.—Pengkhutbah 5:12.
Dengan menggunakan dua soalan, Salomo cuba menggugah fikiran orang malas dan membantunya sedar diri. Salomo menulis, “Hai orang yang malas, berapa lamakah kamu mahu berbaring? Bilakah kamu akan bangun daripada tidur?” Dia menambah, “Tidurlah sekejap, lelapkanlah matamu sejenak, silangkanlah tanganmu untuk berehat sebentar, maka kamu akan dilanda kemiskinan yang datang seperti perompak, dan kamu akan ditimpa kekurangan yang datang seperti orang yang bersenjata.” (Amsal 6:9-11) Apabila orang malas itu berbaring, kemiskinan menimpanya dengan tiba-tiba seperti seorang pencuri. Akibatnya, dia akan hidup serba kekurangan, seolah-olah diserang orang yang bersenjata. Dalam sekelip mata sahaja, ladangnya akan ditumbuhi lalang dan tumbuhan berduri. (Amsal 24:30, 31) Sememangnya, orang malas yang mempunyai perniagaan pasti akan mengalami kerugian. Jika dia seorang pekerja, sudah tentu majikannya tidak akan tahan dengan sikapnya yang malas. Selain itu, pelajar yang berat tulang juga mungkin susah mendapat prestasi yang baik dalam sekolah.
31 MAC–6 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN AMSAL 7
Permata Rohani
w00-E 11/15 29 ¶1
“Taatilah Perintahku agar Kamu Hidup dengan Gembira”
Salomo menulis, “Ikatkanlah perintah dan ajaranku pada jarimu, dan tuliskanlah semua itu pada hatimu.” (Amsal 7:3) Jari kita amat penting untuk melakukan kerja dan kita dapat selalu melihatnya. Begitu juga, kita harus selalu memperhatikan bimbingan daripada Firman Tuhan dalam segala yang kita lakukan. Dengan berbuat demikian, kita seolah-olah mengikat perintah Tuhan pada jari kita. Kita juga harus menuliskan ajaran Tuhan pada hati kita dengan menerapkannya dan menjadikannya sebahagian daripada diri kita.
7-13 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN AMSAL 8
Dengarlah Kata-Kata Yesus yang Bijak
cf-E 131 ¶7
“Aku Mengasihi Bapa”
7 Kebijaksanaan bersuara dan berkata di ayat 22, “Yehuwa mencipta aku sebagai permulaan karya-Nya. Akulah hasil ciptaan-Nya yang pertama sejak dahulukala.” Sebenarnya, ayat ini tidak merujuk kepada sifat kebijaksanaan secara harfiah kerana sifat itu tidak diciptakan. Sebaliknya, kebijaksanaan berasal daripada Yehuwa, dan Yehuwa wujud sejak dahulu dan untuk selama-lamanya. (Mazmur 90:2) Maka, kebijaksanaan dalam ayat ini merujuk kepada Yesus, iaitu ciptaan pertama Tuhan dan “anak sulung antara semua ciptaan.” (Kolose 1:15) Seperti yang dinyatakan di buku Amsal, Anak Tuhan wujud sebelum syurga dan bumi diciptakan. Sebagai Firman, dialah Jurucakap Tuhan yang mengungkapkan kebijaksanaan Yehuwa dengan sempurna.—Yohanes 1:1.
cf-E 131-132 ¶8-9
“Aku Mengasihi Bapa”
8 Apakah yang Anak Tuhan lakukan sebelum dia datang ke bumi? Ayat 30 memberitahu kita bahawa dia berada di sisi Tuhan sebagai “jurubina yang mahir.” Apakah maksudnya? Kolose 1:16 menjelaskan, “Segala sesuatu yang lain diciptakan melalui dia, baik yang di syurga mahupun yang di bumi . . . Segala sesuatu yang lain diciptakan melaluinya dan diciptakan untuknya.” Melalui Yesus, Tuhan Yehuwa telah menciptakan segala sesuatu. Ini merangkumi makhluk roh di syurga, alam semesta, serta bumi, tumbuh-tumbuhan, binatang, dan manusia. Apa yang dilakukan oleh Tuhan dan Yesus dapat dijelaskan dengan menggunakan perumpamaan seorang arkitek dan seorang jurubina. Arkitek bertanggungjawab membuat pelan bangunan dan jurubina akan membina apa yang dirancang. Maka, apabila kita rasa kagum semasa melihat ciptaan yang menakjubkan, kita sedang memberi pujian kepada Pencipta, atau arkitek di sebalik ciptaan itu, iaitu Yehuwa. (Mazmur 19:1) Pada masa yang sama, kita juga ingat tentang kerjasama yang baik antara Yehuwa dengan Yesus, iaitu “jurubina yang mahir.”
9 Biasanya apabila orang kerja bersama, mungkin akan timbul perselisihan faham atau masalah. Tetapi, Yehuwa dan Yesus ada hubungan yang sangat baik, dan Bible kata bahawa Yesus “sentiasa bergembira di hadirat-Nya.” (Amsal 8:30) Yehuwa juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Yesus. Selama berbilion-bilion tahun mereka bekerja bersama, Yesus dapat melihat dan meniru sifat-sifat Yehuwa. Hasilnya, hubungan mereka sebagai Bapa dan Anak menjadi sangat erat. Kasih mereka terhadap satu sama lain juga menjadi sangat dalam. Sememangnya, inilah hubungan yang paling lama dan akrab di seluruh alam semesta.
w09-E 4/15 31 ¶14
Hargailah Yesus—Daud dan Salomo yang Lebih Agung
14 Kristus ialah “kebijaksanaan Tuhan.” (1 Kor. 1:24, 30) Sebagai Raja Kerajaan Tuhan, Yesus memiliki kebijaksanaan yang datang melalui “kuasa suci Tuhan.” (Yes. 11:2) Antara semua manusia yang pernah hidup di bumi, hanya Yesus Kristus yang lebih bijak daripada Salomo. Yesus menggambarkan dirinya sebagai orang yang “lebih besar daripada Salomo.” (Mat. 12:42) Kata-kata yang Yesus ucapkan juga “membawa kehidupan kekal.” (Yoh. 6:68) Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus mengembangkan prinsip-prinsip di sebalik ayat dalam buku Amsal yang ditulis oleh Salomo. Contohnya, Salomo menulis tentang beberapa perkara yang membawa kebahagiaan kepada penyembah Yehuwa. (Ams. 3:13; 8:32, 33; 14:21; 16:20) Tetapi, Yesus menonjolkan bahawa kebahagiaan sejati berkait rapat dengan ibadat Yehuwa dan penunaian janji-janji-Nya. Yesus kata, “Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka, kerana Kerajaan di syurga milik mereka.” (Mat. 5:3) Apabila kita menerapkan ajaran Yesus, kita akan menjadi lebih erat kepada Yehuwa, “sumber segala kehidupan.”—Mzm. 36:9; Ams. 22:11; Mat. 5:8.
Permata Rohani
g-E 5/14 16
“Kebijaksanaan Sedang Berseru” —Dapatkah Anda Mendengarnya?
▪ Bible ialah “buku yang paling banyak diedarkan dalam sejarah,” kata The World Book Encyclopedia. “Inilah buku yang diterjemahkan ke dalam paling banyak bahasa.” Seluruh atau sebahagian daripada Bible terdapat dalam kira-kira 2,600 bahasa, dan lebih daripada 90 peratus penduduk bumi dapat membacanya.
▪ Kebijaksanaan juga berseru seperti yang dinubuatkan di Matius 24:14. Ayat itu berkata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir [sistem dunia ini] akan datang.”
14-20 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN AMSAL 9
Jadilah Orang yang Bijak
w01-E 5/15 30 ¶1-2
‘Kebijaksanaan Menambahkan Jangka Hayatmu’
Seorang yang bijak dan seorang yang suka mencemuh memberi reaksi yang berbeza semasa ditegur. Salomo kata, “Jika kamu menegur orang yang bijaksana, dia akan mengasihimu. Ajarlah orang yang bijaksana, dan dia akan menjadi lebih bijaksana.” (Amsal 9:8b, 9a) Seorang yang bijak tahu bahawa “semasa disiplin diberikan, hal itu memedihkan hati dan tidak membawa sukacita. Tetapi kemudian, orang yang sudah dilatih menerusi disiplin akan menuai buah kedamaian, iaitu kehidupan yang diperkenankan Tuhan.” (Ibrani 12:11) Meskipun teguran membuat kita rasa pedih hati, hasilnya akan membawa manfaat dan membantu kita menjadi bijak. Maka, bukankah lebih baik untuk menerimanya dan tidak membela diri atau menolak nasihat?
Salomo menambah, “Bimbinglah orang yang baik, dan pengetahuannya akan bertambah.” (Amsal 9:9b) Menimba pengetahuan tiada hadnya. Tiada orang yang terlalu tua atau bijak untuk terus belajar. Kita amat gembira apabila melihat mereka yang lanjut usia belajar kebenaran dan membaktikan diri kepada Yehuwa. Semoga kita semua terus kekalkan semangat untuk belajar dan menggunakan daya pemikiran yang kita miliki.
w01-E 5/15 30 ¶5
‘Kebijaksanaan Menambahkan Jangka Hayatmu’
Memperoleh kebijaksanaan ialah tanggungjawab kita masing-masing. Tentang hal ini, Salomo menulis, “Jika kamu mempunyai hikmat, kamu sendiri akan mendapat faedah. Tetapi jika kamu suka mengejek orang, kamu sendiri akan menanggung akibatnya.” (Amsal 9:12) Sememangnya, kita menuai apa yang kita tanam. Memandangkan kita akan menanggung baik buruk daripada keputusan kita, semoga kita memilih untuk “mendengar kebijaksanaan dengan teliti” dan meraih manfaatnya.—Amsal 2:2.
21-27 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN AMSAL 10
Apakah yang Buat Hidup Kita Benar-Benar Bahagia?
w01-E 7/15 25 ¶1-3
“Orang Baik Akan Mendapat Perkenan Orang Lain”
Orang yang berbuat baik akan diberkati. Bible kata, “Orang malas akan jatuh miskin, tetapi orang rajin akan menjadi kaya. Anak yang mengumpulkan hasil tanaman pada musim panas, bertindak dengan pengertian, tetapi anak yang tidur nyenyak semasa musim menuai, memalukan diri sendiri.”—Amsal 10:4, 5.
Perhatikan kata-kata raja tentang para pekerja semasa musim menuai. Musim menuai bukanlah waktu untuk tidur dan rehat. Tetapi pekerja perlu mencurahkan banyak usaha, bekerja untuk masa yang lama, dan tidak berlengah-lengah.
Begitu juga, Yesus pernah menyamakan kerja menginjil dengan kerja penuaian. Dia kata kepada pengikutnya, “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja hanya sedikit. Jadi, rayulah Pemilik tuaian [Tuhan Yehuwa] supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.” (Matius 9:35-38) Adakah “ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai” seperti yang dikatakan Yesus? (Yohanes 4:35) Ya! Pada tahun 2000, lebih daripada 14 juta orang telah menghadiri sambutan Peringatan kematian Yesus. Angka itu ialah dua kali ganda jumlah Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia. Saudara saudari bukan hanya berdoa untuk lebih banyak pekerja, tetapi mereka sendiri mencurahkan usaha dalam aktiviti penyebaran. (Matius 28:19, 20) Hasilnya, Yehuwa memberkati kerja keras mereka dengan melimpah! Pada tahun aktiviti penyebaran yang sama, lebih daripada 280,000 orang telah dibaptis. Murid-murid baharu ini juga berusaha menjadi pengajar Firman Tuhan yang baik. Marilah kita menggandakan usaha kita dalam kerja menjadikan orang murid Yesus dan menikmati sukacita dan kepuasan hati yang besar.
w01-E 9/15 24 ¶3-4
Berjalan di “Haluan yang Benar”
Mengenai pentingnya untuk berbuat benar, Salomo kata, “Kekayaan merupakan kota yang bertembok bagi orang kaya, tetapi kemiskinan ialah kemusnahan bagi orang miskin. Perbuatan baik mendatangkan kehidupan, tetapi perbuatan jahat mengakibatkan dosa.”—Amsal 10:15, 16.
Sepertimana kota yang bertembok dapat membuat penduduknya rasa lebih selamat, kekayaan mungkin memberi kita hidup yang lebih stabil. Kemiskinan pula mungkin membawa musibah lain sekiranya masalah yang tidak dijangka berlaku. (Pengkhutbah 7:12) Meskipun demikian, barangkali kata-kata Salomo juga mengingatkan kita tentang bahaya apabila seseorang terlalu mementingkan harta. Misalnya, seorang yang kaya mungkin cenderung menaruh kepercayaan kepada kekayaannya dan menganggap hartanya sebagai “tembok perlindungannya.” (Amsal 18:11) Sebaliknya, seseorang yang hidup serba kekurangan pula mungkin menyimpulkan bahawa masa depannya kelam kerana dia miskin. Oleh sebab mereka bertumpu kepada harta dan kekayaan, mereka gagal menjalinkan hubungan baik dengan Tuhan.
it-1-E 340
Berkat
Yehuwa Memberkati Manusia. “Berkat Yehuwalah yang menjadikan seseorang kaya, dan berkat-Nya tidak disertai kepedihan hati.” (Ams 10:22) Yehuwa memberkati umat-Nya dengan melindungi, membimbing, dan memenuhi keperluan mereka. Selain itu, Dia memberi mereka kejayaan dan kehidupan yang makmur.
Permata Rohani
w06-E 5/15 30 ¶18
Sukacita yang Diraih kerana Tetap Setia
18 “Berkat Yehuwalah” yang membuat umat-Nya makmur secara rohani, dan kita yakin bahawa “berkat-Nya tidak disertai kepedihan hati.” (Amsal 10:22) Jika begitu, mengapakah umat Tuhan masih menghadapi cabaran dan masalah yang membawa dukacita dan penderitaan? Terdapat tiga sebab utama: (1) Kecenderungan kita yang berdosa. (Kejadian 6:5; 8:21; Yakobus 1:14, 15) (2) Syaitan dan roh-roh jahat. (Efesus 6:11, 12) (3) Dunia yang jahat ini. (Yohanes 15:19) Walaupun Yehuwa mengizinkan perkara buruk untuk menimpa kita, Dia bukanlah penyebabnya. Sebaliknya, “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna berasal dari syurga dan diturunkan oleh Bapa, Sumber segala cahaya.” (Yakobus 1:17) Ya, berkat Tuhan tidak disertai kepedihan hati.
28 APRIL–4 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN AMSAL 11
Jagalah Mulut Kita!
w02-E 5/15 26 ¶4
Kesetiaan Membimbing Orang yang Berbuat Benar
Kesetiaan orang yang baik dan perbuatan orang yang jahat dapat mempengaruhi orang lain. “Percakapan orang murtad membinasakan orang lain,” kata raja Israel, “tetapi pengetahuan dapat menyelamatkan orang yang baik.” (Amsal 11:9) Sememangnya, perbualan kosong tentang hal orang lain, gosip yang berbahaya, dan kata-kata fitnah atau lucah dapat membawa kesan buruk kepada orang lain. Sebaliknya, orang yang baik bertimbang rasa dan berfikir dahulu sebelum bercakap. Kata-katanya juga sentiasa murni dan benar. Semasa dituduh, kesetiaan dan perbuatannya yang baik dapat membuktikan bahawa para penuduh sebenarnya sedang berdusta. Oleh sebab itu, ayat di buku Amsal kata bahawa “pengetahuan dapat menyelamatkan orang yang baik.”
w02-E 5/15 27 ¶2-3
Kesetiaan Membimbing Orang yang Berbuat Benar
Sekiranya penduduk kota berusaha berbuat baik, semua orang akan menikmati kedamaian dan hidup sejahtera. Sebaliknya, mereka yang suka mengucapkan kata-kata yang meruntuhkan semangat, yang pedas, atau fitnah akan mengakibatkan masalah, perpecahan, dan pergolakan. Kesannya lebih teruk lagi jika orang yang berpengaruh atau berkedudukan bersikap buruk. Sudah pasti seluruh kota akan huru-hara, dan bahkan mungkin mengalami keruntuhan moral dan kegawatan ekonomi.
Begitu juga, prinsip di Amsal 11:11 boleh diterapkan dalam sidang. Sebuah sidang boleh diumpamakan seperti sebuah kota. “Penduduk kota” yang setia dan kuat secara rohani akan menyumbang kepada kemakmuran “kota.” Mereka akan saling membantu, bersukacita, dan memuliakan Tuhan. Hasilnya, Yehuwa akan memberkati sidang itu dan menjadikannya makmur secara rohani. Ada kalanya, terdapat segelintir “penduduk kota” yang suka meluahkan rasa tidak puas atau bersungut-sungut. Mereka umpama “akar beracun” yang dapat mempengaruhi orang lain. (Ibrani 12:15) Orang sedemikian mungkin inginkan kedudukan dan kuasa. Maka, mereka menyebarkan kata-kata negatif dan menuduh bahawa terdapat orang atau penatua dalam sidang yang bersikap prasangka atau berat sebelah. Kata-kata itu pasti membawa perpecahan dalam sidang. Oleh itu, adalah bijak untuk menghindari perbualan sedemikian dan berusaha menyumbang kepada kedamaian dan perpaduan sidang.