PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w19 Ogos ms. 26-28
  • Iman—Sifat yang Menguatkan Kita

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Iman—Sifat yang Menguatkan Kita
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • APAKAH ITU IMAN?
  • KAITAN HATI DENGAN IMAN
  • CARA DAUD MEMBINA IMAN YANG KUAT
  • CARA MENGUATKAN IMAN KITA
  • BERIMAN KEPADA YESUS
  • “BINALAH IMAN KAMU YANG SUCI”
  • Beriman terhadap Janji-Janji Yehuwa
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2016
  • “Berilah Kami Lebih Banyak Iman”
    Menara Pengawal—2015
  • “Berpegang Teguh pada Iman”
    Menara Pengawal—2015
  • Pupuklah Sifat Kristian—Iman
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2017
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
w19 Ogos ms. 26-28

Iman​—Sifat yang Menguatkan Kita

  • KASIH

  • SUKACITA

  • KEDAMAIAN

  • KESABARAN

  • KEBAIKAN HATI

  • KEBAIKAN

  • IMAN

  • KELEMAHLEMBUTAN

  • KAWALAN DIRI

IMAN sangat berkuasa. Contohnya, meskipun Syaitan ingin merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa, iman dapat membantu kita “memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat.” (Ef. 6:16) Iman juga dapat menolong kita mengatasi masalah yang besar seperti gunung. Yesus memberitahu murid-muridnya, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada gunung ini, ‘Beralihlah dari sini ke sana,’ lalu gunung ini akan beralih.” (Mat. 17:20) Memandangkan iman dapat mengukuhkan kerohanian kita, marilah kita memikirkan soalan-soalan ini: Apakah itu iman? Apakah kaitan hati dengan iman? Bagaimanakah kita dapat menguatkan iman sendiri? Kita harus beriman kepada siapa?​—Rm. 4:3.

APAKAH ITU IMAN?

Iman bukan sekadar percaya atau mengakui kebenaran. Bible menyatakan, “Roh-roh jahat pun percaya [bahawa Tuhan wujud], dan mereka menggigil kerana takut akan Tuhan.” (Yak. 2:19) Jadi, apakah maksud iman?

Bumi di angkasa lepas

Sebagaimana kita yakin bahawa siang dan malam akan sentiasa ada, kita yakin bahawa segala yang difirmankan Tuhan pasti terjadi

Bible menjelaskan bahawa iman mempunyai dua aspek. Pertama, “iman ialah keyakinan yang teguh bahawa apa yang diharapkan akan menjadi kenyataan.” (Ibr. 11:1a) Jika anda beriman, maksudnya anda yakin sepenuhnya bahawa segala yang difirmankan Yehuwa adalah benar dan pasti menjadi kenyataan. Misalnya, Yehuwa memberitahu orang Israel, “Aku telah membuat perjanjian dengan siang dan malam supaya siang dan malam selalu datang tepat pada waktunya. Tetapi andai kata kamu dapat membatalkan perjanjian ini, maka perjanjian yang Aku buat dengan hamba-Ku Daud juga dapat dibatalkan.” (Yer. 33:20, 21) Pernahkah anda berasa takut bahawa suatu hari nanti matahari tidak akan terbit atau terbenam lagi dan kita tidak akan memiliki waktu siang atau malam? Jika anda tidak pernah meragui hukum-hukum alam yang memastikan bumi sentiasa berputar pada paksinya dan beredar mengelilingi matahari, perlukah anda risau bahawa Pencipta hukum-hukum itu tidak akan dapat menunaikan janji-Nya? Sudah pasti tidak!​—Yes. 55:10, 11; Mat. 5:18.

Kedua, iman ialah “bukti yang kukuh bahawa apa yang dipercayai adalah nyata meskipun hal-hal itu tidak dapat dilihat.” (Ibr. 11:1b) Fikirkan contoh berikut: Katakan seorang budak bertanya, “Bagaimanakah kamu tahu bahawa udara wujud?” Biarpun anda tidak pernah melihat udara, anda boleh memberitahunya tentang bukti bahawa udara wujud, seperti nafas kita, angin, dan sebagainya. Apabila budak itu percaya akan buktinya, dia dapat faham bahawa udara memang wujud meskipun tidak kelihatan. Begitu juga, iman mesti berdasarkan bukti yang kukuh.​—Rm. 1:20.

KAITAN HATI DENGAN IMAN

Oleh sebab iman haruslah berdasarkan bukti, seseorang yang ingin memiliki iman mesti “memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran” terlebih dahulu. (1 Tim. 2:4) Namun, sekadar memiliki pengetahuan tidak cukup. Rasul Paulus menulis, “Dengan hati, seseorang beriman.” (Rm. 10:10) Seseorang bukan sahaja perlu mempercayai kebenaran, tetapi juga menghargainya, barulah dia akan terdorong untuk menunjukkan iman, iaitu hidup selaras dengan kehendak Tuhan. (Yak. 2:20) Sebaliknya, seseorang yang tidak menghargai kebenaran mungkin menolak bukti yang kukuh kerana enggan mengubah kepercayaannya atau berkeras bertindak sesuka hati. (2 Ptr. 3:3, 4; Yud. 18) Itulah sebabnya pada zaman Bible, bukan semua orang yang melihat mukjizat telah beriman. (Bil. 14:11; Yoh. 12:37) Kuasa suci Tuhan hanya akan menghasilkan iman dalam diri orang yang benar-benar mencintai kebenaran.​—Gal. 5:22; 2 Tes. 2:10, 11.

CARA DAUD MEMBINA IMAN YANG KUAT

Raja Daud merupakan salah seorang yang teguh imannya. (Ibr. 11:32, 33) Namun, bukan semua orang dalam keluarganya memiliki iman sebegitu. Contohnya, Daud berasa marah semasa Goliat mencabar orang Israel, tetapi abang sulungnya Eliab menegurnya. Hal itu menunjukkan bahawa Eliab tidak beriman kepada kuasa Yehuwa untuk menyelamatkan orang Israel. (1 Sam. 17:26-28) Jelaslah, iman tidak dimiliki sejak lahir ataupun diwarisi daripada ibu bapa. Daud beriman kerana dia memiliki hubungan yang rapat dengan Tuhan.

Di Mazmur 27, Daud menjelaskan bagaimana dia membina iman yang kuat. (Ayat 1) Dia merenungkan kehidupannya dan bagaimana Yehuwa mengalahkan musuh-musuhnya. (Ayat 2, 3) Dia amat menghargai aturan untuk menyembah Yehuwa. (Ayat 4) Daud beribadat kepada Tuhan bersama rakan seimannya di khemah suci. (Ayat 6) Dia berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa. (Ayat 7, 8) Dia juga ingin diajar untuk mengikut haluan Tuhan. (Ayat 11) Iman begitu penting bagi Daud sehingga dia berkata, “Jika aku tidak beriman . . . Apakah yang akan berlaku kepadaku?”​—Ayat 13.

CARA MENGUATKAN IMAN KITA

Anda dapat memiliki iman seperti Daud jika anda meniru fikiran, sikap, dan tabiat yang digambarkan di Mazmur 27. Memandangkan iman harus berdasarkan pengetahuan yang tepat, semakin kerap anda mengkaji Firman Tuhan dan bahan bacaan Bible, semakin mudah bagi anda untuk memupuk iman, iaitu salah satu aspek buah kuasa suci Tuhan. (Mzm. 1:2, 3) Semasa membuat pembelajaran, luangkan masa untuk membuat perenungan, kerana itulah tanah subur untuk menanam penghargaan. Apabila penghargaan anda untuk Yehuwa bertambah, keinginan anda untuk menunjukkan iman akan menjadi semakin kuat. Anda akan terdorong untuk menyembah-Nya di perjumpaan dan untuk mengisytiharkan harapan anda. (Ibr. 10:23-25) Kita juga menunjukkan iman dengan “sentiasa berdoa dan tidak berputus asa.” (Luk. 18:1-8) Maka “berdoalah sentiasa” kepada Yehuwa dan yakinlah bahawa ‘Dia mengambil berat tentang kita.’ (1 Tes. 5:17; 1 Ptr. 5:7) Iman kita akan menghasilkan perbuatan yang benar, dan perbuatan yang benar akan menguatkan iman kita.​—Yak. 2:22.

BERIMAN KEPADA YESUS

Pada malam sebelum kematiannya, Yesus memberitahu murid-muridnya, “Berimanlah kepada Tuhan dan berimanlah juga kepada aku.” (Yoh. 14:1) Jadi, kita perlu beriman bukan sahaja kepada Yehuwa, tetapi juga kepada Yesus. Bagaimana? Perhatikan tiga cara.

Yesus bersama 11 orang rasulnya yang setia

Apakah maksud beriman kepada Yesus?

Pertama, pandanglah tebusan sebagai kurniaan peribadi daripada Tuhan. Rasul Paulus berkata, “Hidup yang sedang aku jalani sekarang ialah hidup yang berdasarkan iman kepada Anak Tuhan. Dia mengasihi aku dan telah menyerahkan dirinya bagi aku.” (Gal. 2:20) Jika anda beriman kepada Yesus, anda akan yakin sepenuhnya bahawa tebusan membawa manfaat untuk anda, merupakan dasar untuk mengampunkan dosa anda, memberi anda peluang untuk hidup kekal, dan merupakan bukti terbesar bahawa Tuhan mengasihi anda. (Rm. 8:32, 38, 39; Ef. 1:7) Keyakinan ini akan menguatkan anda supaya anda tidak berpandangan buruk terhadap diri sendiri.​—2 Tes. 2:16, 17.

Kedua, hampirilah Yehuwa melalui doa. Ingatlah bahawa hanya dengan adanya korban tebusan Yesus, barulah kita boleh berdoa kepada Yehuwa “dengan berani. Dengan demikian, kita dapat menerima belas kasihan dan kebaikan hati yang unggul semasa kita memerlukan bantuan.” (Ibr. 4:15, 16; 10:19-22) Doa dapat menguatkan tekad kita untuk melawan godaan.​—Luk. 22:40.

Ketiga, patuhi Yesus. Rasul Yohanes menulis, “Sesiapa yang beriman kepada Anak akan meraih kehidupan kekal, tetapi sesiapa yang tidak patuh kepada Anak tidak akan meraih kehidupan. Sebaliknya, kemurkaan Tuhan akan tetap ada padanya.” (Yoh. 3:36) Perhatikan bahawa Yohanes membandingkan orang yang beriman dengan orang yang tidak patuh. Maksudnya, orang yang beriman akan mematuhi Yesus. Untuk mematuhi Yesus, anda perlu mengikut “hukum Kristus,” yang merangkumi segala ajaran dan perintahnya. (Gal. 6:2) Anda juga perlu mengikut arahan Yesus yang diberikan melalui “hamba yang setia dan bijaksana.” (Mat. 24:45) Jika anda mematuhi Yesus, anda akan dikuatkan untuk menghadapi cubaan yang bagaikan ribut.​—Luk. 6:47, 48.

“BINALAH IMAN KAMU YANG SUCI”

Seorang lelaki pernah berseru kepada Yesus, “Aku beriman! Bantulah aku untuk menguatkan imanku!” (Mrk. 9:24) Lelaki itu memang beriman, tetapi dia sedar bahawa imannya tidak cukup. Seperti lelaki itu, kita semua memerlukan iman yang lebih kuat untuk berdepan dengan sesetengah situasi dalam hidup, dan kita dapat menguatkan iman sendiri sekarang juga. Seperti yang disebut tadi, iman kita akan bertambah kuat apabila kita mengkaji dan merenungkan Bible, lalu memperdalam penghargaan kita kepada Yehuwa. Kita juga perlu menyembah Yehuwa bersama rakan seiman, mengisytiharkan harapan kita, dan berdoa dengan tekun. Apabila iman kita dikuatkan, kita akan meraih berkat yang terbesar. Bible menggesa kita, “Binalah iman kamu yang suci . . . Dengan demikian kamu akan tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan.”​—Yud. 20, 21.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi