KENAIKAN HARGA BARANG—CARA HADAPINYA
Terima Hakikatnya
Apabila harga barang naik secara beransur-ansur dan gaji kita pun naik, kita mungkin tidak rasa apa-apa. Namun apabila harga barang melambung tinggi dan gaji kita tidak berubah, kita mungkin berasa risau dan stres, terutamanya jika kita perlu menyara keluarga.
Kenaikan harga barang memang di luar kawalan kita, tetapi jika kita menerima hakikatnya, hal itu bermanfaat untuk kita.
MENGAPA PENTING
Apabila harga barang naik, orang yang menerima hakikatnya akan berasa lebih senang untuk . . .
tetap bertenang. Jika kita tenang, kita dapat berfikir dengan lebih wajar dan membuat keputusan yang lebih bijak.
menjauhi tabiat yang buruk, seperti tidak membayar bil atau memboroskan wang.
mengelak daripada bertengkar dengan keluarga tentang wang.
mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil. Contohnya, mengurangkan perbelanjaan dan membeli apa yang benar-benar diperlukan.
APA YANG DAPAT ANDA LAKUKAN
Sudi membuat penyesuaian. Semasa harga barang melonjak tinggi, adalah bijak untuk cuba mengurangkan perbelanjaan. Sesetengah orang mahu ikut gaya hidup yang di luar kemampuan mereka. Hal ini seperti berenang melawan arus dalam sungai yang deras. Akibatnya, mereka hanya menyusahkan diri sendiri. Sudah tentu, jika anda berumah tangga, anda bertanggungjawab untuk menjaga keperluan mereka. Namun ingatlah, hal yang terpenting bagi keluarga anda ialah kasih, masa, dan perhatian anda.
Mengikut gaya hidup di luar kemampuan adalah seperti berenang melawan arus dalam sungai yang deras