RENCANA PEMBELAJARAN 17
LAGU 99 Berjuta-juta Saudara
Kita Tidak Pernah Akan Keseorangan
“Aku akan membantumu.”—YES. 41:10.
FOKUS
Empat cara Yehuwa menjaga kita.
1-2. (a) Mengapakah kita boleh yakin bahawa kita tidak perlu menghadapi cabaran seorang diri? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
SEMASA menghadapi cabaran yang berat, kita mungkin berasa seperti mengayuh bot kecil seorang diri di tengah lautan yang bergelora. Namun, kita tidak perlu menghadapi cabaran seorang diri. Bapa kita yang di syurga bukan sahaja nampak masalah kita, tetapi juga berjanji untuk membantu kita mengharunginya. Dengan penuh kasih, Yehuwa menjamin, “Aku akan membantumu.”—Yes. 41:10.
2 Rencana ini akan membincangkan empat cara Yehuwa membantu kita, iaitu dengan (1) membimbing, (2) menjaga keperluan, (3) melindungi, dan (4) melegakan hati kita. Yehuwa meyakinkan kita bahawa tidak kira apa cabaran yang kita hadapi, Dia sama sekali tidak akan melupakan kita atau meninggalkan kita. Jadi kita memang tidak keseorangan.
YEHUWA MEMBIMBING KITA
3-4. Bagaimanakah Yehuwa membimbing kita? (Mazmur 48:14)
3 Baca Mazmur 48:14. Yehuwa tidak menciptakan kita dengan kebolehan untuk membimbing hidup sendiri. Jadi bagaimanakah Dia membimbing umat-Nya hari ini? Satu cara adalah melalui Bible. (Mzm. 119:105) Melalui Bible, Dia bantu kita buat keputusan yang bijak dan memupuk sifat baik. Dengan itu, kita dapat menikmati hidup yang lebih bahagia sekarang dan hidup kekal pada masa depan.a Contohnya, Dia ajar kita agar tidak menaruh dendam, bersikap jujur dalam segala sesuatu, dan mengasihi orang lain dengan ikhlas. (Mzm. 37:8; Ibr. 13:18; 1 Ptr. 1:22) Dengan memupuk sifat-sifat baik ini, kita menjadi ibu bapa, pasangan hidup, dan sahabat yang lebih baik.
4 Selain itu, Yehuwa memastikan Bible mengandungi kisah hidup orang yang mempunyai cabaran dan perasaan yang sama dengan kita. (1 Kor. 10:13; Yak. 5:17) Semasa membaca kisah-kisah hidup ini dan menerapkan pengajarannya, kita meraih sekurang-kurangnya dua manfaat. Pertama, kita sedar kita tidak keseorangan kerana orang lain pun menghadapi situasi yang serupa dan berjaya mengharunginya. (1 Ptr. 5:9) Kedua, kita belajar cara untuk menangani cubaan kita.—Rm. 15:4.
5. Yehuwa menggunakan siapa untuk membimbing kita?
5 Yehuwa juga memberi kita bimbingan menerusi rakan seiman.b Contohnya, lawatan penyelia litar menggalakkan kita. Selain itu, ceramahnya menguatkan iman kita dan membantu memelihara perpaduan dalam sidang. (Kis. 15:40–16:5) Para penatua juga berusaha membantu setiap penyiar tetap kuat secara rohani. (1 Ptr. 5:2, 3) Para ibu bapa pula membimbing anak supaya anak mereka tetap akrab dengan Yehuwa, membuat keputusan yang bijak, dan memupuk tabiat rohani yang baik. (Ams. 22:6) Selain itu, saudari-saudari yang matang membimbing para saudari muda menerusi kata-kata galakan, nasihat, dan teladan baik mereka.—Tit. 2:3-5.
6. Apakah yang perlu kita lakukan supaya kita meraih manfaat daripada bimbingan Yehuwa?
6 Memandangkan Yehuwa telah memberi kita banyak bimbingan, apakah yang perlu kita lakukan supaya kita meraih manfaat daripadanya? Amsal 3:5, 6 kata, “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri.” Apabila kita berbuat demikian, ‘Yehuwa akan meluruskan jalan hidup kita.’ Maksudnya, Dia akan membantu kita hidup dengan lebih gembira dan mengelakkan banyak masalah. Kita sangat bersyukur kerana Yehuwa mengasihi kita dan memberi kita nasihat yang sesuai dengan keperluan kita!—Mzm. 32:8.
YEHUWA MENJAGA KEPERLUAN KITA
7. Bagaimanakah Yehuwa menjaga keperluan kita? (Filipi 4:19)
7 Baca Filipi 4:19. Selain membimbing kita secara rohani, Yehuwa juga memberkati usaha kita untuk mendapatkan makanan, pakaian, dan tempat tinggal. (Mat. 6:33; 2 Tes. 3:12) Memang biasa jika kita berasa bimbang tentang keperluan fizikal kita. Tetapi Yehuwa menggalakkan kita agar tidak terlalu risau tentang hal-hal ini. (Lihat nota pembelajaran bagi Matius 6:25 dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia.) Mengapa? Kerana Dia tidak akan pernah mengabaikan kita semasa kita memerlukan bantuan-Nya. (Mat. 6:8; Ibr. 13:5) Kita yakin Yehuwa pasti akan mengotakan janji-Nya untuk menjaga keperluan kita.
8. Bagaimanakah Yehuwa menjaga keperluan Daud?
8 Perhatikan cara Yehuwa menjaga keperluan Daud. Semasa Daud hidup sebagai pelarian selama bertahun-tahun, Yehuwa memastikan agar Daud dan pengikutnya mempunyai apa yang mereka perlukan untuk terus hidup. Selepas memikirkan cara Yehuwa telah menjaganya selama itu, Daud menulis, “Dahulu aku muda dan sekarang aku sudah tua, tetapi aku tidak pernah melihat orang yang berbuat benar ditinggalkan Tuhan, ataupun anak-anak mereka meminta-minta makanan.” (Mzm. 37:25) Barangkali anda sendiri pernah melihat bagaimana Yehuwa menjaga keperluan anda dan saudara saudari lain pada masa yang susah.
9. Bagaimanakah Yehuwa menjaga keperluan umat-Nya yang ditimpa bencana hari ini? (Lihat juga gambar.)
9 Yehuwa juga menjaga keperluan umat-Nya semasa mereka ditimpa bencana. Contohnya, semasa kebuluran berlaku pada abad pertama, orang Kristian dari tempat lain menghantar bekalan kepada saudara saudari yang memerlukannya. (Kis. 11:27-30; Rm. 15:25, 26) Hari ini, umat Yehuwa juga menunjukkan kemurahan hati yang serupa. Apabila bencana berlaku, Yehuwa menggerakkan umat-Nya untuk membekalkan makanan, air, pakaian, dan ubat-ubatan bagi mereka yang tinggal di kawasan bencana. Kumpulan pembinaan membaiki rumah dan Dewan Perjumpaan yang rosak. Saudara saudari juga menjaga keperluan emosi dan rohani rakan seiman yang terkesan akibat bencana.c
Bagaimanakah Yehuwa melegakan hati kita semasa bencana melanda? (Lihat perenggan 9)e
10-11. Apakah yang anda belajar daripada pengalaman Borys?
10 Tuhan kita yang murah hati juga menjaga keperluan orang yang belum menjadi penyembah-Nya. Seperti Yehuwa, kita mencari peluang untuk berbuat baik kepada orang yang tidak seiman dengan kita. (Gal. 6:10) Usaha kita sering memberikan kesaksian yang baik. Perhatikan pengalaman Borys, seorang guru besar di Ukraine. Meskipun dia bukan Saksi, dia selalu melayan murid-muridnya yang merupakan Saksi dengan baik dan menghormati kepercayaan mereka. Semasa perang tercetus di tempat tinggal Borys, dia perlu melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat di Ukraine, dan saudara saudari kita telah membantunya. Borys kemudiannya menghadiri Peringatan. Mengenang kembali pengalamannya, Borys berkata, “Para Saksi sangat prihatin dan menjaga saya dengan baik. Saya berterima kasih kepada Saksi-Saksi Yehuwa.”
11 Kita dapat meniru teladan Bapa kita yang di syurga dengan menunjukkan kasih kepada orang yang memerlukan bantuan, tidak kira mereka ialah rakan seiman kita atau tidak. (Luk. 6:31, 36) Kita harap kasih kita akan mendorong mereka untuk menjadi pengikut Kristus. (1 Ptr. 2:12) Namun, tidak kira apa hasilnya, kita pasti berasa puas dan gembira kerana Yesus kata bahawa “lebih berbahagia memberi daripada menerima.”—Kis. 20:35.
YEHUWA MELINDUNGI KITA
12. Yehuwa berjanji untuk melindungi umat-Nya dari segi apa? (Mazmur 91:1, 2, 14)
12 Baca Mazmur 91:1, 2, 14. Hari ini, Yehuwa berjanji untuk melindungi kita secara rohani. Dia tidak akan mengizinkan Syaitan untuk mencemari ibadat sejati. (Yoh. 17:15) Apabila “kesengsaraan besar” bermula, kita dapat yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan menunaikan janji-Nya untuk melindungi umat-Nya dari segi rohani dan juga fizikal.—Why. 7:9, 14.
13. Bagaimanakah Yehuwa melindungi kita secara individu?
13 Bagaimanakah Yehuwa melindungi kita secara individu? Dia memberi kita Firman-Nya supaya kita dapat membezakan apa yang betul dan salah. (Ibr. 5:14) Apabila kita hidup selaras dengan prinsip Bible, kita dilindungi secara rohani dan fizikal. (Mzm. 91:4) Yehuwa juga melindungi kita menerusi sidang. (Yes. 32:1, 2) Apabila kita sering meluangkan masa bersama orang yang mengasihi Yehuwa dan yang mematuhi prinsip-Nya, kita menerima galakan dan kekuatan untuk melawan pengaruh buruk.—Ams. 13:20.
14. (a) Mengapakah Tuhan tidak melindungi kita daripada semua cubaan? (b) Mazmur 9:10 meyakinkan kita tentang apa? (Lihat juga nota kaki.)
14 Pada zaman dahulu, Yehuwa kadangkala memilih untuk melindungi umat-Nya daripada bahaya fizikal. Namun, Yehuwa tidak selalunya berbuat demikian. Ada kalanya, umat-Nya menjadi mangsa “kejadian yang tidak terduga.” (Pkh. 9:11) Selain itu, sepanjang sejarah manusia, Yehuwa telah mengizinkan umat-Nya dianiaya atau bahkan dibunuh untuk membuktikan Syaitan ialah pendusta. (Ayb. 2:4-6; Mat. 23:34) Hari ini, Yehuwa juga tidak selalu melindungi kita daripada cubaan. Biarpun begitu, kita dapat yakin bahawa Dia tidak akan meninggalkan orang yang mengasihi-Nya.d—Mzm. 9:10.
YEHUWA MELEGAKAN HATI KITA
15. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan doa, Bible, dan rakan seiman untuk melegakan hati kita? (2 Korintus 1:3, 4)
15 Baca 2 Korintus 1:3, 4. Ada kalanya, kita berasa sedih, runsing, atau murung. Adakah anda sedang bergelut dengan suatu masalah dan berasa keseorangan? Jika ya, ingatlah bahawa Yehuwa memahami perasaan anda. Dia bukan sahaja menyelami perasaan penyembah-Nya, tetapi juga “melegakan hati kita semasa kita mengalami segala macam cubaan.” Bagaimanakah Dia melakukannya? Semasa kita berdoa dengan bersungguh-sungguh, Dia memberi kita kesejahteraan yang “jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” (Flp. 4:6, 7) Semasa membaca Bible, kita diyakinkan akan kasih Yehuwa, diajar untuk menjadi bijaksana, dan diberi harapan. Semua ini melegakan kita dan membangkitkan semangat kita. Semasa menghadiri perjumpaan, kita menerima galakan melalui Bible dan merasai kasih daripada rakan seiman.
16. Apakah yang anda belajar daripada pengalaman Nathan dan Priscilla?
16 Bagaimanakah kita tahu Yehuwa menggunakan Bible untuk menggalakkan dan melegakan kita? Mari kita lihat pengalaman Nathan dan Priscilla yang tinggal di Amerika Syarikat. Beberapa tahun yang lalu, mereka telah pindah ke tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar. Nathan berkata, “Kami yakin Yehuwa akan memberkati usaha kami.” Tetapi selepas mereka berpindah, mereka menghadapi masalah kesihatan dan masalah kewangan. Akhirnya mereka terpaksa pulang, tetapi mereka masih menghadapi masalah kewangan. Nathan berkata, “Saya mula tertanya-tanya mengapa Tuhan tidak memberkati kami.” Dia menambah, “Saya juga fikir, ‘Adakah saya telah buat salah?’” Namun tidak lama kemudian, Nathan dan Priscilla mula sedar bahawa Tuhan tidak mengabaikan mereka. Nathan menyambung, “Sepanjang masa yang susah itu, Bible menjadi seperti kawan baik yang membimbing dan menggalakkan kami.” Dia kata, “Oleh sebab kami bertumpu kepada cara Yehuwa membantu kami bertabah dan bukannya bertumpu kepada masalah kami, iman kami semakin kuat dan kami bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan.”
17. Bagaimanakah Yehuwa melegakan hati Helga? (Lihat juga gambar.)
17 Yehuwa juga menggunakan rakan seiman untuk melegakan hati kita. Perhatikan contoh Saudari Helga yang tinggal di Hungary. Selama puluhan tahun, dia berdepan dengan pelbagai cabaran yang membuatnya sangat tertekan dan berasa dirinya tidak berguna. Namun, semasa mengenang kembali masa yang mencabar itu, dia sedar bahawa Yehuwa telah menggunakan sidang untuk melegakan hatinya. Dia menulis, “Selama 30 tahun, saya perlu bekerja, menjaga anak yang sakit, dan menghadapi cabaran lain. Tetapi setiap kali saya rasa saya tidak dapat tahan lagi, Yehuwa pasti menghulurkan bantuan. Sebenarnya, Dia menunaikan janji-Nya untuk melegakan hati saya tiap-tiap hari. Sering kali, Dia menguatkan saya melalui rakan seiman yang prihatin dan baik hati. Mereka menghantar mesej, kad, atau memberikan pujian yang menyentuh hati apabila saya paling memerlukannya.”
Bagaimanakah Yehuwa mungkin menggunakan anda untuk melegakan hati orang lain? (Lihat perenggan 17)
18. Bagaimanakah kita dapat melegakan hati orang lain?
18 Kita diberi penghormatan untuk meniru teladan Tuhan dan melegakan hati orang lain. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Kita boleh mendengar luahan mereka dengan sabar, bercakap kepada mereka dengan baik hati, dan membantu mereka dalam cara yang praktikal. (Ams. 3:27) Kita berusaha untuk melegakan hati semua orang yang menderita, termasuk mereka yang tidak seiman. Semasa orang lain bersedih, jatuh sakit, atau resah, kita mahu melawat mereka, mendengar luahan mereka, dan mengongsi ayat-ayat Bible yang melegakan. Dengan itu, kita sedang mengikut teladan Yehuwa, “Tuhan yang melegakan hati kita dalam apa jua situasi.” Apabila kita berbuat demikian, kita bukan sahaja membantu rakan seiman kita untuk bertabah, tetapi juga berpeluang membantu orang yang bukan penyembah Yehuwa untuk mengenali-Nya.—Mat. 5:16.
YEHUWA SENTIASA DI SISI KITA
19. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mengambil berat terhadap kita? Bagaimanakah kita dapat meniru teladan-Nya?
19 Yehuwa sangat mengambil berat terhadap setiap orang yang mengasihi-Nya. Semasa kita ditimpa kesusahan, Dia tidak akan meninggalkan kita. Sebaliknya, Dia menjaga kita sebagaimana ibu bapa menjaga anak mereka dengan penuh kasih sayang. Seperti yang dibincangkan dalam rencana ini, Dia membimbing kita, menjaga keperluan kita, melindungi kita, dan melegakan hati kita. Kita dapat meniru Bapa kita yang pengasih dengan menyokong dan menggalakkan orang yang ditimpa kesusahan. Yehuwa telah berjanji, “Janganlah takut kerana Aku menyertaimu.” (Yes. 41:10) Jadi, tidak kira apa cabaran atau kesedihan yang akan kita lalui, yakinlah bahawa Yehuwa sentiasa di sisi kita. Ya, kita tidak pernah akan keseorangan!
LAGU 100 Sambutlah Mereka dengan Ramah
a Lihat rencana “Buat Keputusan yang Memuliakan Tuhan” dalam Menara Pengawal terbitan 15 April 2011.
b Lihat rencana “Teruslah Mengikut Bimbingan Yehuwa” dalam Menara Pengawal terbitan Februari 2024, perenggan 11-14.
c Anda boleh taip “membantu mangsa bencana” dalam kotak carian di jw.org untuk lihat contoh terkini.
d Lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal terbitan Februari 2017.
e KETERANGAN GAMBAR: Saudara saudari di Malawi yang menjadi mangsa bencana menerima barang bantuan dan galakan.