Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
© 2024 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
8-14 JULAI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 60-62
Yehuwa Memberi Kita Penyelamatan, Perlindungan, dan Kestabilan
it-1 1220
Khemah
Perkataan “khemah” juga membawa beberapa maksud kiasan. Khemah merupakan tempat berehat atau tempat berlindung. (Kej 18:1) Apabila pelawat dijemput ke dalam khemah seseorang, mereka akan dijaga dengan baik dan dilayan dengan hormat. Wahyu 7:15 kata bahawa Tuhan “membentangkan khemah-Nya untuk melindungi” kumpulan besar manusia. Ini mungkin bermaksud mereka akan selamat dan dijaga dengan baik. (Mz 61:3, 4) Yesaya sebut tentang persiapan yang dilakukan oleh isteri kiasan Tuhan, iaitu Sion, untuk anak-anaknya. Dia diberitahu untuk ‘meluaskan khemahnya.’ (Yes 54:2) Jadi, tempat perlindungan itu akan menjadi lebih luas untuk semua anaknya.
w02 15/4 16 ¶14
Perintah Tuhan adalah demi Kebaikan Kita
14 Perintah Tuhan tidak pernah berubah-ubah. Dalam dunia ini yang kacau-bilau, Tuhan seperti gunung batu yang stabil dan kekal abadi. Tuhan kata, “Akulah Yehuwa dan Aku tidak berubah.” (Maleakhi 3:6) Standard Tuhan dalam Bible sentiasa boleh dipercayai. (Yakobus 1:17) Ini sangat berbeza dengan standard manusia yang sentiasa berubah-ubah. Satu contoh adalah mengenai cara membesarkan anak. Selama bertahun-tahun, ahli psikologi menggalakkan ibu bapa agar tidak menetapkan banyak peraturan atau mengongkong anak-anak mereka. Tapi kemudiannya, ada sesetengah yang ubah fikiran dan mengaku bahawa nasihat mereka salah. Standard dunia tentang hal ini selalu berubah-ubah. Namun, pandangan Tuhan tetap sama. Selama berabad-abad, Bible telah menggalakkan ibu bapa untuk membesarkan anak-anak dengan kasih serta menjelaskan caranya. Rasul Paulus tulis, “Hai bapa-bapa, janganlah memperlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah. Sebaliknya, teruslah besarkan mereka dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.” (Efesus 6:4) Kita rasa lega untuk tahu bahawa kita boleh bergantung pada standard Yehuwa yang tidak akan berubah.
Permata Rohani
w06 1/6 11 ¶6
Sorotan daripada Mazmur Buku Kedua
62:11. Tuhan ialah sumber kuasa dan tidak perlu bergantung pada mana-mana sumber lain. Maka, “segala kuasa berasal daripada-Nya.”
15-21 JULAI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 63-65
“Kasih Setia-Mu Lebih Berharga daripada Nyawa”
w01 15/10 15-16 ¶17-18
Siapakah yang Akan Memisahkan Kita daripada Kasih Tuhan?
17 Berapa pentingkah kasih Tuhan bagi anda? Adakah anda rasa seperti Daud yang menulis, “Kasih setia-Mu lebih berharga daripada nyawa, maka aku akan memuliakan-Mu dengan bibirku. Ya, aku akan memuji-Mu sepanjang hayatku; aku akan menadahkan tanganku sambil menyeru nama-Mu”? (Mazmur 63:3, 4) Sememangnya, tiada apa-apa yang ditawarkan oleh dunia ini yang lebih bernilai daripada kasih dan persahabatan dengan Tuhan. Fikirkan soalan ini: Yang manakah lebih berharga? Mengejar kerjaya yang masyhur? Atau memupuk persahabatan yang akrab dengan Tuhan dan meraih ketenangan hati dan minda? (Lukas 12:15) Perhatikan pengalaman Saksi-Saksi Yehuwa yang berada di kem konsentrasi Nazi semasa Perang Dunia Kedua. Mereka perlu buat pilihan sama ada untuk terus menyembah Yehuwa atau dihukum mati. Kebanyakan saudara saudari kita memilih untuk mengutamakan persahabatan mereka dengan Tuhan. Mereka mahu terus berada di bawah naungan kasih Yehuwa dan bahkan sanggup mati demi-Nya. Mereka yang tetap setia yakin bahawa mereka akan menerima ganjaran kehidupan kekal daripada Tuhan, sesuatu yang tidak dapat diberikan oleh dunia.—Markus 8:34-36.
18 Tetapi, sekadar hidup selama-lamanya tidak bermakna jika kita tidak mempunyai persahabatan dengan Pencipta kita, Yehuwa. Hidup kita akan sia-sia dan tidak mempunyai tujuan. Namun, sepertimana Yehuwa telah memberi kita kerja yang memuaskan untuk dilakukan sekarang, Dia juga akan mengamanahkan kita kerja yang bermakna pada masa depan di dunia baharu nanti. Kita akan menikmati hidup kita, dan mempelajari serta melakukan banyak hal yang menarik. (Pengkhutbah 3:11) Meskipun kita hidup selama-lamanya, kita tidak akan memahami sepenuhnya segala “kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Tuhan.”—Roma 11:33.
w09 15/7 16 ¶6
Tirulah Yesus—Ajarlah dengan Kasih
6 Kita suka bercakap tentang hal-hal yang kita gemari. Apabila kita melakukannya, biasanya kita akan bercakap dalam nada yang ramah dan bersemangat. Contohnya, jika kita bercakap tentang seseorang yang kita kasihi, kita tidak sabar-sabar untuk menceritakan tentang dirinya. Kita akan tunjukkan hormat, memujinya, dan membela nama baiknya. Hal ini kerana kita juga mahu orang lain tertarik kepada sifat dan keperibadiannya.
22-28 JULAI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 66-68
Yehuwa Menanggung Beban Kita Setiap Hari
w10 1/12 23 ¶6
Tunjukkan Keprihatinan kepada Ibu atau Bapa Tunggal
Yehuwa telah mengilhamkan penulisan lagu dan mazmur agar umat Israel dapat menyanyikannya semasa penyembahan. Bayangkan perasaan balu atau anak yatim yang bernyanyi tentang Yehuwa sebagai “bapa” dan “pembela” mereka. Kata-kata ini pasti mengingatkan mereka bahawa Yehuwa akan menjaga mereka. (Mazmur 68:5; 146:9) Kata-kata galakan kita juga dapat berikan kesan yang mendalam kepada ibu atau bapa tunggal. Ruth, seorang ibu tunggal, masih ingat pujian yang diberikan oleh seorang bapa 20 tahun yang lalu. Bapa itu kata, “Kamu sedang besarkan dua anak lelaki kamu dengan sangat baik. Teruskan usaha kamu.” Ruth kata, “Kata-kata ini sangat menyentuh hati saya.” Sememangnya, “kata-kata yang baik membangkitkan semangat.” (Amsal 15:4, Alkitab Berita Baik) Bahkan pujian yang ringkas pun dapat berikan manfaat yang sangat besar. Apakah pujian spesifik yang dapat anda berikan kepada ibu atau bapa tunggal?
w09 1/4 31 ¶1
Bapa kepada Anak Yatim
“TUHAN tinggal di tempat kediaman-Nya yang suci; Dia ialah bapa kepada anak yatim.” (Mazmur 68:5) Ungkapan ini menonjolkan satu sifat Yehuwa yang sangat menyentuh hati, iaitu Dia sangat peka terhadap mereka yang hidup susah. Keprihatinan Yehuwa kepada anak yatim sangat menonjol dalam Hukum-Nya kepada orang Israel. Mari kita perhatikan rujukan pertama dalam Bible bagi “anak yatim” yang terdapat di Keluaran 22:22-24.
Permata Rohani
w06 1/6 10 ¶5
Sorotan daripada Mazmur Buku Kedua
68:18—Siapakah “kurnia berupa manusia” yang dimaksudkan? Mereka ialah lelaki-lelaki yang ditawan semasa penaklukan Tanah yang Dijanjikan. Pada kemudian hari, mereka ditugaskan untuk membantu orang Lewi.—Ezra 8:20.
29 JULAI–4 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 69
Apakah Nubuat tentang Yesus yang Terkandung dalam Mazmur 69?
g95 22/10 31 ¶4
Adakah Seseorang Mungkin Mati kerana Hancur Hati?
Mengenai Yesus, Bible kata, “Aku hancur hati kerana dihina, dan luka di hatiku tidak dapat diubati.” (Mazmur 69:20) Ada orang kata Yesus Kristus mungkin mati kerana hancur hati. Beberapa jam sebelum Yesus mati, dia pasti rasa sangat tertekan. Sudah tentu, hal ini memberi kesan terhadapnya secara fizikal dan emosi. (Matius 27:46; Lukas 22:44; Ibrani 5:7) Perasaan hancur hati atau tekanan emosi yang melampau mungkin menjelaskan mengapa “darah dan air keluar” daripada luka Yesus selepas Yesus mati dan ditusuk. Apabila seseorang mengalami serangan jantung atau saluran darah utamanya pecah, hal ini mungkin menyebabkan darah mengalir ke dalam rongga dada atau perikardium (membran yang membaluti jantung dan mengandungi cecair). Sekiranya dia ditusuk di salah satu bahagian itu, cecair yang keluar mungkin kelihatan seperti “darah dan air.”—Yohanes 19:34.
it-2 967
Tumbuhan yang Beracun
Bible menubuatkan bahawa Mesias akan diberikan “tumbuhan yang beracun” sebagai makanan. (Mz 69:21, nota kaki) Hal ini berlaku kepada Yesus Kristus sebelum dia digantungkan pada tiang seksaan. Dia telah diberikan wain yang bercampur bahan pahit untuk diminum. Tetapi selepas merasanya, dia enggan meminumnya. Barangkali minuman itu bertujuan untuk mengurangkan kesakitannya. Mengenai kejadian ini, Matius 27:34 menggunakan perkataan Yunani kho·leʹ (bahan pahit), iaitu perkataan sama yang digunakan di Mazmur 69:21 dalam Septuagint bahasa Yunani. Namun, catatan Markus menyebut tentang mur. (Mr 15:23) Maka, sesetengah orang berpendapat bahawa “tumbuhan yang beracun” atau “bahan pahit” yang dimaksudkan ialah “mur.” Satu lagi kemungkinan ialah minuman itu mengandungi kedua-dua bahan pahit dan mur.
Permata Rohani
w99 15/1 18 ¶11
Berdoalah dengan Hati yang Setia
11 Banyak orang berdoa untuk meminta sesuatu daripada Tuhan. Tetapi, kasih kita kepada Tuhan Yehuwa harus mendorong kita untuk memuji dan mengucapkan syukur kepada-Nya dalam doa kita. Paulus menulis, “Janganlah khuatir akan apa-apa pun. Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur. Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu melalui Kristus Yesus.” (Filipi 4:6, 7) Jelaslah, kita bukan hanya menyatakan permohonan dan rayuan kepada Tuhan dalam doa kita. Tetapi kita juga harus mengucapkan syukur kepada Yehuwa atas berkat rohani dan jasmani yang dicurahkan-Nya. (Amsal 10:22) Pemazmur bernyanyi, “Kamu sepatutnya mengucapkan syukur sebagai korban kepada-Ku dan menunaikan ikrar kamu kepada-Ku, Tuhan Yang Maha Tinggi.” (Mazmur 50:14) Daud juga telah menggubah lagu yang mengandungi kata-kata ini: “Aku akan bernyanyi untuk memuji nama Tuhan, dan aku akan mengagungkan-Nya dengan ucapan kesyukuran.” (Mazmur 69:30) Jadi, semasa mengucapkan doa peribadi atau berdoa di hadapan umum, kita mahu meluahkan kesyukuran kita kepada Yehuwa.
5-11 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 70-72
Permata Rohani
it-1 637
Efrat
Sempadan Kawasan Bangsa Israel. Tuhan berjanji bahawa Dia akan memberi keturunan Abraham tanah “dari sungai di Mesir hingga sungai besar itu, iaitu Sungai Efrat.” (Kej 15:18) Kemudian, janji ini diulangi kepada bangsa Israel. (Kel 23:31; Ul 1:7, 8; 11:24; Yos 1:4) Satu Tawarikh 5:9 kata bahawa sebelum pemerintahan Raja Daud, keturunan suku Ruben meluaskan kawasan mereka “sampai ke jalan masuk yang menuju ke padang belantara di Sungai Efrat.” Memandangkan Sungai Efrat terletak kira-kira 800 km di “bahagian timur Gilead” (1Ta 5:10), pernyataan itu mungkin bermaksud bahawa suku Ruben meluaskan kawasan mereka ke sebelah timur Gilead hingga sempadan Gurun Siria. Gurun itu merangkumi kawasan hingga Sungai Efrat. (TB kata, “Wilayahnya sampai ke pinggir padang gurun yang terbentang mulai dari sungai Efrat.” ABB kata, “Mereka mendiami tanah di sebelah timur sampai ke padang gurun, yang terbentang hingga ke Sungai Efrat.”) Nampaknya, janji Yehuwa itu telah ditunaikan semasa pemerintahan Daud dan Salomo. Ketika itu, sempadan kawasan Israel telah diperluaskan hingga kawasan kerajaan Zoba di Aram. Maka, kawasan itu telah merangkumi utara Siria hingga Sungai Efrat.—2Sa 8:3; 1Ra 4:21; 1Ta 18:3-8; 2Ta 9:26.
12-18 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 73-74
Permata Rohani
it-1 1420
Lewiatan
Mazmur 74 menggambarkan cara Tuhan menyelamatkan umat-Nya. Ayat 13 dan 14 menjelaskan secara kiasan bagaimana orang Israel dibebaskan dari Mesir. Dalam ayat itu, istilah “raksasa laut [Ibr., than·ni·nimʹ, bentuk jamak tan·ninʹ]” digunakan sebagai istilah lain bagi perkataan “Lewiatan.” Barangkali, perbuatan menghancurkan kepala-kepala Lewiatan merujuk kepada kemusnahan Firaun dan tenteranya di Laut Merah. Ungkapan “kepala-kepala Lewiatan” diterjemahkan sebagai “pahlawan Firaun” dalam Targum bahasa Aram. (Bandingkan Yeh 29:3-5, yang menyamakan Firaun dengan “raksasa laut” yang berkubang di saluran air Sungai Nil; juga Yeh 32:2.) Istilah Lewiatan (LXX, “naga itu”) yang digunakan dalam Yesaya 27:1 nampaknya melambangkan sebuah empayar atau organisasi antarabangsa yang dikuasai oleh makhluk yang digelar sebagai “ular” dan “naga.” (Why 12:9) Mengenai nubuat ini tentang pemulihan bangsa Israel, Lewiatan merangkumi Babilon kerana Bible kata bahawa Yehuwa akan ‘menghukumnya.’ Namun, Yesaya 27:12, 13 juga menyebut tentang Assyria dan Mesir. Dalam ayat-ayat ini, Lewiatan nampaknya merujuk kepada empayar atau organisasi antarabangsa yang menentang Yehuwa dan penyembah-Nya.
19-25 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 75-77
Permata Rohani
w06 15/7 11 ¶4
Sorotan daripada Mazmur Buku Ketiga dan Keempat
76:10—Apakah maksud bahawa “kemarahan manusia” mendatangkan pujian kepada Yehuwa? Terdapat hasil yang baik apabila Tuhan mengizinkan manusia melampiaskan kemarahan mereka terhadap umat-Nya. Kesusahan itu dapat melatih kita dalam cara tertentu. (1 Petrus 5:10) Walaupun begitu, Yehuwa tidak akan membiarkan kita mengalami cubaan yang melebihi batas kita kerana Bible kata bahawa ‘Tuhan akan menghiasi diri-Nya dengan sisa kemarahan mereka.’ Bagaimana pula jika kita kehilangan nyawa kita? Hal ini juga dapat membawa pujian kepada Yehuwa kerana mereka yang melihat kesetiaan kita mungkin akan memuliakan Tuhan.
26 OGOS–1 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN MAZMUR 78
Amaran daripada Contoh Buruk Orang Israel
w96 1/12 29-30
‘Jangan Lupa akan Masa Lampau’—Mengapa?
Sedihnya, orang Israel selalu melupakan perbuatan Tuhan. Bible kata, “Berkali-kali mereka menguji Tuhan, dan mereka mendukakan hati Tuhan Israel Yang Suci. Mereka tidak ingat akan kuasa-Nya, dan waktu Dia menyelamatkan mereka daripada musuh.” (Mazmur 78:41, 42) Mereka bahkan lupa akan perintah Yehuwa, dan akhirnya hilang perkenan-Nya.—Matius 21:42, 43.
Sebaliknya, pemazmur merupakan teladan yang baik untuk kita. Dia menulis, “Aku akan mengingati perbuatan-perbuatan Yah; aku akan mengenang perbuatan menakjubkan yang Engkau lakukan pada zaman dahulu. Aku akan merenungkan perbuatan-Mu, dan aku akan merenungkan segala yang telah Engkau lakukan.” (Mazmur 77:11, 12) Dengan merenungkan perbuatan Tuhan yang pengasih dan kesetiaan-Nya, hal itu akan menggalakkan kita dan meningkatkan penghargaan kita. Jika kita tidak ‘lupa akan keadaan kita pada masa lampau,’ kita akan didorong untuk terus setia, tabah, dan berkhidmat dengan bersungguh-sungguh.
w06 15/7 17 ¶16
‘Janganlah Bersungut-Sungut’
16 Apabila kita bersungut-sungut, kita hanya bertumpu kepada diri kita dan masalah kita. Akibatnya, kita tidak dapat melihat berkat-berkat yang kita terima sebagai umat Yehuwa. Untuk menghindari sikap ini, kita mahu selalu memikirkan berkat-berkat yang kita miliki. Contohnya, kita mempunyai penghormatan untuk menyandang nama Yehuwa. (Yesaya 43:10) Kita dapat memupuk hubungan yang erat dengan Yehuwa, dan bercakap kepada “Pendengar doa” pada bila-bila masa. (Mazmur 65:2; Yakobus 4:8) Kita ada tujuan hidup yang bermakna kerana kita memahami isu kedaulatan Yehuwa. Kita mempunyai penghormatan untuk membuktikan kesetiaan kita kepada-Nya. (Amsal 27:11) Kita boleh bergiat dalam kerja menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. (Matius 24:14) Kita ada hati nurani yang bersih kerana beriman kepada korban tebusan Yesus Kristus. (Yohanes 3:16) Tidak kira apa jua cabaran yang kita hadapi, kita dapat menikmati berkat-berkat ini.
Adakah Yehuwa Mempunyai Perasaan?
Orang Israel mempunyai sikap suka memberontak. Pemazmur menulis, “Betapa kerapnya mereka memberontak terhadap-Nya di padang belantara!” (Ayat 40) Ayat seterusnya berbunyi, “Berkali-kali mereka menguji Tuhan.” (Ayat 41) Sikap ini jelas kelihatan sejak awal lagi, iaitu tidak lama selepas mereka dibebaskan dari Mesir. Mereka bersungut-sungut terhadap Tuhan, dan mempersoalkan jika Dia mampu dan mahu menjaga mereka. (Bilangan 14:1-4) Menurut satu bahan rujukan, ungkapan “mereka memberontak terhadap-Nya” juga boleh “bermaksud ‘mereka keras hati’ atau ‘mereka kata “Tidak” kepada Tuhan.’” Walaupun begitu, Yehuwa berbelas kasihan dan mengampuni mereka apabila mereka bertaubat. Sedihnya, mereka kembali ke haluan yang lama selepas itu dan mula memberontak lagi.—Mazmur 78:10-19, 38.
Apakah perasaan Yehuwa apabila orang Israel berulang kali memberontak terhadap-Nya? Ayat 40 kata, “Mereka menyakiti hati-Nya di padang gurun.” Satu terjemahan Bible yang lain kata, “Mereka menyedihkan hati-Nya.” Satu rujukan Bible menyatakan, “Kelakuan orang Ibrani boleh disamakan dengan kelakuan seorang anak yang tidak taat dan suka memberontak. Hal ini membawa keperitan hati.” Sepertimana seorang anak yang tidak patuh menyakiti hati ibu bapanya, orang Israel juga “mendukakan hati Tuhan Israel Yang Suci.”—Ayat 41.
Permata Rohani
w06 15/7 11 ¶5
Sorotan daripada Mazmur Buku Ketiga dan Keempat
78:24, 25—Mengapakah manna dipanggil “makanan malaikat”? Ungkapan ini tidak bermaksud bahawa manna ialah makanan malaikat. Sebaliknya, memandangkan malaikat berada di syurga, hal ini menunjukkan bahawa manna berasal “dari syurga” dan merupakan pemberian daripada Tuhan. (Mazmur 105:40; 11:4) Yehuwa juga mungkin menggunakan malaikat untuk memberikan manna kepada orang Israel.