PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w22 Oktober ms. 2-5
  • 1922—Seratus Tahun yang Lalu

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • 1922—Seratus Tahun yang Lalu
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2022
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • “IDEA YANG BUAT ORANG TERBUNGKAM”
  • MENCAPAI RIBUAN ORANG MELALUI RADIO
  • “ADV”
  • KERJA YANG PENTING
  • 1919—Seratus Tahun yang Lalu
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
  • 1924​—Seratus Tahun yang Lalu
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • 1921—Seratus Tahun Yang Lalu
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Orang yang Menginjil—Para Penyebar Menawarkan Diri dengan Sukarela
    Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2022
w22 Oktober ms. 2-5
Pentas semasa konvensyen tahun 1922. Di atas pentas terdapat kain rentang yang mengandungi kata-kata: “Umumkan Raja Kita dan Kerajaannya.” Di belakang pentas terdapat huruf “ADV.”

Gambar pentas dengan kain rentang di atasnya

1922​—Seratus Tahun Yang Lalu

“TUHAN . . . memberi kita kemenangan menerusi . . . Yesus Kristus.” (1 Kor. 15:57) Itulah ayat tahunan 1922 yang meyakinkan para Pelajar Bible bahawa jika mereka tetap setia, mereka akan diberkati. Pada tahun itu, Yehuwa telah memberkati para penginjil-Nya yang bersemangat. Dia memberkati usaha mereka untuk mencetak dan menjilid buku sendiri, dan usaha mereka untuk menyebarkan kebenaran menerusi radio. Pada hujung tahun 1922, sekali lagi Yehuwa memberkati umat-Nya. Para Pelajar Bible telah menghadiri sebuah konvensyen yang bersejarah di Cedar Point, Ohio, A.S. Apa yang berlaku di konvensyen itu telah mempengaruhi kerja yang dilakukan oleh organisasi Yehuwa sampai hari ini.

“IDEA YANG BUAT ORANG TERBUNGKAM”

Oleh sebab kerja penyebaran semakin maju, keperluan untuk bahan bacaan juga semakin meningkat. Pada masa itu, para saudara di Bethel Brooklyn menghasilkan majalah sendiri, tetapi mereka masih bergantung pada syarikat luar untuk menghasilkan buku berkulit keras. Selama beberapa bulan, syarikat itu tidak dapat mencetak kuantiti buku yang mencukupi sehingga hal itu mempengaruhi kerja penyebaran. Jadi, Saudara Rutherford tanya Robert Martin, iaitu penyelia kilang pada masa itu, jika organisasi kita dapat menghasilkan buku sendiri.

Kilang cetak di Concord Street, Brooklyn, New York

Mengenang kembali masa itu, Saudara Martin berkata, “Itu idea yang buat orang terbungkam, kerana kami perlu membuka sebuah kilang yang lengkap dengan mesin penyusun huruf, mesin untuk menghasilkan plat cetak, mesin cetak, dan mesin penjilidan.” Jadi para saudara menyewa sebuah tempat di 18 Concord Street di Brooklyn dan membeli peralatan yang diperlukan.

Bukan semua orang suka dengan kilang baharu kami. Presiden kepada syarikat yang pernah mencetak buku untuk kami telah melawat kilang baharu itu. Dia berkata, “Kamu ada kilang cetak yang sangat canggih. Tetapi tiada seorang pun daripada kamu yang tahu menggunakannya. Dalam masa enam bulan, semua ini akan rosak.”

Saudara Martin berkata, “Kata-katanya kedengaran seperti masuk akal. Tetapi dia lupa bahawa Yehuwa sentiasa bersama kami.” Memang benar kata-kata Saudara Martin. Tidak lama kemudian, kilang cetak baharu kami mula menghasilkan 2,000 naskhah buku setiap hari.

Saudara-saudara berdiri di sebelah mesin linotaip di kilang cetak

MENCAPAI RIBUAN ORANG MELALUI RADIO

Selain daripada mencetak buku sendiri, umat Yehuwa mula menggunakan kaedah baharu untuk menginjil, iaitu siaran radio. Pada hari Ahad, 26 Februari 1922, Saudara Rutherford memberikan ceramah buat kali pertama melalui radio. Ceramahnya bertajuk, “Jutaan Orang yang Hidup Sekarang Tidak Akan Mati.” Dia menyampaikan ceramahnya di stesen radio KOG di Los Angeles, California, A.S.

Kira-kira 25,000 orang telah mendengar ceramah Saudara Rutherford. Selepas itu, ada antara mereka yang menulis surat untuk mengucapkan terima kasih. Salah sepucuk surat itu dihantar oleh Willard Ashford, yang tinggal di Santa Ana, California. Setelah menulis bahawa ceramah Saudara Rutherford sangat menarik, dia menambah, “Kami ada tiga orang yang sakit di rumah. Jadi biarpun kamu memberikan ceramah di blok sebelah, kami tidak dapat menghadirinya. Syukurlah kami dapat mendengar ceramah kamu menerusi radio.”

Pada minggu-minggu berikutnya, lebih banyak siaran radio diaturkan. Pada akhir tahun, majalah The Watch Tower menganggarkan bahawa “sekurang-kurangnya 300,000 orang telah mendengar berita baik menerusi radio.”

Pelajar Bible sangat digalakkan dengan sambutan yang diterima. Maka mereka membina stesen radio di Pulau Staten, yang terletak tidak jauh dari Bethel Brooklyn. Pada tahun-tahun berikutnya, para Pelajar Bible menggunakan stesen ini, iaitu stesen WBBR, untuk menyebarkan berita Kerajaan Tuhan secara meluas.

“ADV”

The Watch Tower terbitan 15 Jun 1922 mengumumkan bahawa sebuah konvensyen akan diadakan di Cedar Point, Ohio, dari 5 hingga 13 September 1922. Pelajar Bible sangat teruja semasa mereka berduyun-duyun ke Cedar Point.

Semasa ceramah pembukaan Saudara Rutherford, dia memberitahu para hadirin, “Saya yakin sepenuhnya bahawa Tuhan kita . . . akan memberkati konvensyen ini dan memastikan kerja penyebaran yang paling meluas akan dilakukan di bumi.” Penceramah lain di konvensyen itu juga berulang kali menggalakkan para penyiar untuk menginjil.

Orang ramai yang menghadiri konvensyen tahun 1922 di Cedar Point, Ohio

Pada hari Jumaat, 8 September, kira-kira 8,000 orang telah memasuki dewan untuk mendengar ceramah yang akan disampaikan oleh Saudara Rutherford. Mereka ingin tahu apa maksud perkataan “ADV” yang tercatat pada jemputan mereka. Ada dalam kalangan mereka telah memperhatikan kain rentang besar yang tergulung, yang digantungkan atas pentas. Arthur Claus, dari Tulsa, Oklahoma, A.S., telah menghadiri konvensyen ini. Dia berjaya mencari tempat duduk yang membolehkan dia mendengar ceramah Saudara Rutherford dengan jelas. Hal itu amat menakjubkan kerana pada masa itu, sistem pembesar suara belum lagi digunakan.

“Kami mendengar dengan teliti setiap kata-kata Saudara Rutherford”

Untuk memastikan agar ceramah Saudara Rutherford tidak diganggu, pengerusi mengumumkan bahawa orang yang datang lambat tidak akan dibenarkan untuk masuk ke dalam dewan semasa ceramahnya disampaikan. Pada jam 9:30 pagi, Saudara Rutherford memulakan ceramahnya dengan memetik kata-kata Yesus di Matius 4:17, “Kerajaan di syurga sudah dekat.” Semasa membincangkan bagaimana manusia akan mendengar berita tentang Kerajaan ini, dia berkata, “Yesus sendiri telah menyatakan bahawa semasa kehadirannya, kerja menuai orang akan dijalankan. Pada masa itu, dia akan mengumpulkan umatnya yang baik dan setia.”

Mengenang kembali apa yang berlaku, Saudara Claus, yang duduk di dewan berkata, “Kami mendengar dengan teliti setiap kata-kata Saudara Rutherford.” Tiba-tiba, Saudara Arthur Claus sakit perut dan terpaksa meninggalkan dewan. Saudara Claus keluar dengan sedih kerana dia tahu dia tidak akan dapat masuk ke dalam dewan lagi.

Selepas beberapa minit, Arthur mula berasa lebih OK dan dia berjalan kembali menuju ke dewan. Pada masa itu, dia mendengar tepukan gemuruh dan sangat ingin tahu apa yang sedang berlaku. Jadi dia membuat keputusan untuk memanjat ke atas bumbung agar dapat mendengar seluruh ceramah Saudara Rutherford. Semasa peristiwa itu berlaku, Arthur berumur 23 tahun. Dia memanjat ke bumbung dewan yang tingginya lebih daripada empat meter. Oleh sebab jendela langit dewan itu terbuka, dia dapat mendengar ceramah Saudara Rutherford dengan jelas sekali.

Tetapi Arthur tidak seorang diri di atas bumbung. Beberapa orang kawannya pun ada di situ. Salah seorang daripada mereka, iaitu Frank Johnson, berlari kepada Arthur dan bertanya, “Kamu ada bawa pisau lipat?”

“Ya,” jawab Arthur.

“Doa kami sudah dijawab,” kata Frank. “Kamu nampak kain rentang yang tergulung ini? Nanti apabila Hakim Rutherford berkata, ‘Maka umumkan, umumkan,’ potong empat tali ini.”a

Maka Arthur dan kawan-kawannya menunggu isyarat untuk memotong tali kain rentang itu. Tidak lama kemudian, Saudara Rutherford mencapai kemuncak ceramahnya. Dengan penuh semangat dan suara yang lantang, Saudara Rutherford berkata, “Jadilah saksi sejati yang setia kepada Tuan kita. Teruslah berjuang sehingga Babilon dimusnahkan sama sekali. Khabarkan berita ini ke merata tempat. Dunia mesti tahu bahawa Yehuwa ialah Tuhan dan Yesus Kristus ialah Tuan atas segala tuan dan Raja atas segala raja. Inilah hari yang terpenting. Lihatlah, Raja kita sudah memerintah! Kamulah wakil-wakilnya. Maka, umumkan, umumkan, umumkan Raja kita dan Kerajaannya.”

Arthur berkata bahawa selepas dia dan kawan-kawannya memotong tali, kain rentang itu turun dengan lancar. Selaras dengan huruf ADV, pada kain itu terdapat kata-kata, “Umumkan Raja kita dan Kerajaannya.” (“ADV” ialah singkatan bagi perkataan bahasa Inggeris “Advertise” yang bermaksud “Umumkan.”)

KERJA YANG PENTING

Konvensyen di Cedar Point telah membantu saudara saudari untuk bertumpu kepada kerja penting, iaitu mengkhabarkan berita baik Kerajaan Tuhan. Saudara saudari yang bersemangat sangat gembira untuk menyertai kerja itu. Seorang peneraju (kini dipanggil perintis) dari Oklahoma, A.S., menulis, “Kawasan penyebaran kami ialah kawasan pelombong arang dan orang di sana sangat miskin.” Dia berkata bahawa sering kali semasa orang mendengar mesej dalam majalah Golden Age, “mereka akan menangis.” Dia juga menulis, “Kami sangat gembira kerana dapat melegakan hati mereka.”

Sesuai dengan kata-kata Yesus yang tercatat di Lukas 10:2 iaitu, “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja hanya sedikit,” Pelajar Bible menginjil dengan perasaan mendesak. Pada hujung tahun itu, mereka lebih bertekad untuk mengumumkan mesej Kerajaan Tuhan ke seluas dunia.

a Saudara Rutherford juga dipanggil “Hakim” kerana dia ada kalanya berkhidmat sebagai hakim di Missouri, A.S.

Memberikan Kesaksian kepada Seluruh Dunia

Pada 26 Februari 1922, para Pelajar Bible telah mengaturkan hari “kesaksian di seluas dunia.” Mereka mengadakan perjumpaan khas di merata tempat supaya orang dapat mendengar ceramah “Jutaan Orang yang Hidup Sekarang Tidak Akan Mati.”

Ceramah itu diterjemahkan ke dalam sekurang-kurangnya 33 bahasa, dan majalah The Watch Tower menyatakan bahawa hampir semua saudara yang dapat memberikan ceramah umum telah ditugaskan untuk menyampaikan ceramah ini. Pelajar Bible di Great Britain telah mengaturkan 306 perjumpaan, dan 67,010 orang telah menghadirinya. Di Belgium, Perancis, dan Switzerland, lebih daripada 15,000 orang yang menuturkan bahasa Perancis telah menghadiri perjumpaan ini. Sambutan hangat orang ramai telah mendorong para Pelajar Bible untuk mengaturkan lebih banyak hari “kesaksian di seluas dunia” pada tahun yang sama, iaitu pada 25 Jun, 29 Oktober, dan 10 Disember.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi