Konvensyen Distrik Saksi-Saksi Yehuwa 2007 “Ikutlah Kristus!”
1 Musa telah memberikan arahan Yehuwa kepada seluruh bangsa Israel dan orang asing supaya berhimpun bersama-sama setiap tujuh tahun agar Taurat dapat dibacakan kepada mereka. Apakah tujuannya? “Supaya semua orang akan mendengar. . .dan belajar.” (Ul. 31:10-12) Yehuwa tahu bahawa umat-Nya perlu berhimpun dalam kumpulan besar. Tidak lama lagi, umat Yehuwa akan berhimpun lagi, selama tiga hari untuk Konvensyen Distrik “Ikutlah Kristus!”
2 Sudahkah anda bermula membuat persiapan? Perlukah anda memohon cuti daripada majikan anda? Bolehkah anda membantu pelajar Bible atau ahli keluarga yang tidak sekepercayaan untuk menghadiri konvensyen bersama anda? Adakah sesiapa dalam sidang yang memerlukan bantuan untuk menghadiri konvensyen? Adakah anda sedang merancang untuk menghadiri konvensyen selain daripada konvensyen yang telah ditetapkan untuk sidang anda? Adakah anda perlu menginap di hotel? Maklumat berikut akan membantu anda membuat persediaan.
3 Hadir Pada Ketiga-tiga Hari: Yehuwa membekalkan makanan rohani yang melimpah bagi umat-Nya. (Yes. 25:6) Bekalan ini merangkumi jamuan rohani yang disajikan semasa konvensyen tahunan kita. Telah diperhatikan bahawa bilangan yang hadir pada hari Jumaat agak rendah berbanding dengan hari-hari yang lain. Jadikanlah matlamat anda untuk menghadiri ketiga-tiga hari konvensyen yang menyegarkan, yang telah disediakan oleh organisasi Yehuwa bagi kita! Jika anda perlu memohon cuti daripada majikan, berdoalah tentang hal ini. Selepas itu, kerahkan keberanian untuk bercakap dengan majikan anda sebaik sahaja tarikh konvensyen diumumkan. (1 Tes. 2:2; Neh. 2:4, 5) Adalah baik jika anda menjelaskan bahawa konvensyen tahunan merupakan sebahagian daripada penyembahan anda. Buatlah demikian pada tarikh yang lebih awal untuk memudahkan majikan anda membuat penyelarasan bagi meluluskan permohonan anda.
4 Membantu Pelajar Bible dan Keluarga untuk Bersedia: Bayangkan betapa gembiranya hati anda apabila pelajar Bible menghadiri konvensyen bersama anda dan secara langsung menikmati kemesraan persaudaraan Kristian kita “dalam perhimpunan besar”! (Mzm. 22:26) Beritahu mereka seawal yang mungkin supaya mereka dapat meluangkan masa untuk hadir. Ceritakan kepada mereka sebab-sebab anda sendiri suka menghadiri konvensyen. Anda boleh membantu pelajar Bible membentuk gambaran tentang konvensyen dengan menunjukkan video kita yang mengandungi adegan-adegan konvensyen yang pernah diadakan, terutamanya video United by Divine Teaching. Ahli keluarga yang tidak sekepercayaan juga perlu diberitahu tentang rancangan anda. Mungkin mereka dapat mengaturkan masa supaya dapat menyaksikan drama atau menghadiri konvensyen untuk sekurang-kurangnya sehari bersama anda.
5 Membantu Saudara Saudari Anda: Hawari Paulus menasihati para Kristian yang kaya dari segi kebendaan “supaya berbuat baik, supaya rajin berbuat kebajikan, murah hati, dan suka memberi.” (1 Tim. 6:17, 18) Kita boleh menunjukkan kemurahan hati seperti yang digalakkan oleh Paulus jika kita prihatin terhadap keadaan mereka yang lanjut usia dan lemah secara fizikal, mereka yang melibatkan diri dalam kerja rohani sepenuh masa, keluarga dengan ibu bapa tunggal, dan mungkin juga orang lain dalam sidang yang memerlukan bantuan untuk menghadiri konvensyen. Sanak saudara yang berada dalam kebenaran memikul tanggungjawab utama untuk memenuhi keperluan mereka. Namun, para penatua dan saudara saudari yang lain boleh menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan mereka dan menawarkan bantuan yang penuh kasih apabila perlu.—Gal. 6:10; 1 Tim. 5:4.
6 Jika seseorang dalam sidang memerlukan bantuan untuk mendapatkan penginapan, Jawatankuasa Sidang harus memutuskan sama ada penyiar tersebut memenuhi syarat untuk mengisi borang Special Needs Room Request (Permohonan Penginapan Keperluan Khas). Sebelum mengirimkan permohonan ini kepada Bahagian Penginapan (Rooming Department) konvensyen, rujuk kepada garis panduan yang terdapat pada borang tersebut dan surat bertarikh 14 Disember 2006, yang ditujukan kepada semua badan penatua.
7 Menghadiri Konvensyen Lain: Jika anda memerlukan Recommended Lodging List (Senarai Penginapan yang Disyorkan) atau maklumat tambahan untuk suatu konvensyen selain daripada konvensyen yang telah ditetapkan untuk sidang anda, anda boleh menyurati saudara-saudara yang menyelaraskan konvensyen tersebut. Gunakan alamat yang disenaraikan pada belakang borang Special Needs Room Request terkini yang boleh didapati daripada setiausaha sidang anda. Pastikan anda menyertakan sampul surat bersetem yang mempunyai alamat anda, supaya ibu pejabat konvensyen dapat membalas surat anda.
8 Menempah Bilik Hotel: Senarai hotel pada Recommended Lodging List akan diletakkan pada papan kenyataan sidang pada penghujung Perjumpaan Aktiviti Penyebaran minggu 26 Mac. Ikut arahan dalam petak “Langkah-langkah untuk Menempah Bilik Hotel.” Jika tiada lagi bilik hotel yang boleh ditempah setelah anda menelefon semua hotel yang terdapat pada senarai atau jika anda mempunyai masalah dengan hotel tertentu, beritahu setiausaha sidang anda. Dia seharusnya menghubungi Bahagian Penginapan konvensyen dengan menggunakan maklumat yang tercatat pada bahagian atas senarai tersebut. Jangan telefon pejabat cawangan. Sekiranya tiada lagi bilik yang boleh disewa pada kadar yang telah disenaraikan, adalah diharapkan saudara saudari tunggu sehingga sidang menerima senarai baru untuk konvensyen anda. Jangan telefon hotel yang tidak disenaraikan.
9 Berikan Kerjasama: Sewaktu kita tiba di dewan konvensyen, ternyatalah banyak kerja persediaan telah dilakukan. Saudara-saudara yang bertugas sebagai atendan menyambut kita dengan ramah, memberi kita atur cara konvensyen, dan membantu kita mencari tempat duduk. Saudara saudari telah membersihkan dewan konvensyen dan kemudahan yang ada dan juga telah menyiapkan pentas yang cantik. Banyak kerja yang penting juga telah dilaksanakan di belakang tabir seperti menyediakan program-program konvensyen, berunding dengan pihak hotel, dan menguruskan pelbagai perincian lain.
10 Bagi setiap konvensyen, banyak individu telah bekerja berbulan-bulan untuk membuat persiapan yang diperlukan. Keluarga mereka juga telah membuat pengorbanan kerana mengizinkan mereka menggunakan masa untuk menguruskan kerja-kerja persiapan ini. Tidakkah kita menghargai pengorbanan yang telah dibuat demi manfaat kita? Kita dapat menunjukkan rasa terima kasih dengan menurut arahan-arahan dalam artikel ini dan arahan-arahan selanjutnya yang mungkin diterima sebelum konvensyen kita. (Ibr. 13:17) Kerjasama daripada setiap orang yang rela hati memungkinkan semua perkara “dilakukan dengan baik dan teratur.”—1 Kor. 14:40.
11 Seraya kita ‘melihat hari itu mendekat,’ perhimpunan-perhimpunan umat Tuhan bertambah penting. (Ibr. 10:25) Dalam konvensyen Kristian, golongan hamba yang setia dan bijaksana membekalkan maklumat untuk membantu kita supaya “taat kepada ajaran [Yehuwa] dengan setia.” (Ul. 31:12) Buatlah rancangan mulai sekarang untuk hadir pada ketiga-tiga hari Konvensyen Distrik “Ikutlah Kristus!” supaya memanfaatkan semua ajaran rohani serta pergaulan yang ramah mesra!
[Soalan Pembelajaran]
1, 2. (a) Bagaimanakah Musa menggalakkan orang Israel untuk mendapat manfaat daripada berhimpun bersama-sama? (b) Persiapan apakah yang perlu kita buat mulai sekarang?
3. (a) Bagaimanakah kata-kata Yesaya 25:6 menjadi realiti dewasa ini? (b) Apakah yang telah diperhatikan berhubung dengan bilangan hadirin semasa konvensyen pada hari Jumaat, dan apakah yang harus kita lakukan sebagai individu?
4. Bagaimanakah kita boleh membantu pelajar Bible dan ahli keluarga yang tidak sekepercayaan supaya bersedia untuk konvensyen?
5, 6. (a) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kemurahan hati yang disebutkan di 1 Timotius 6:18? (b) Apakah aturan yang disediakan bagi membantu sesetengah orang yang mungkin memerlukan bantuan untuk mendapatkan penginapan?
7. Apakah garis panduan yang diberikan sekiranya kita perlu menghadiri suatu konvensyen selain daripada konvensyen yang telah ditetapkan untuk sidang kita?
8. Apakah arahan-arahan yang harus kita ikut ketika menempah bilik hotel? (Lihat petak “Langkah-langkah untuk Menempah Bilik Hotel.”)
9, 10. (a) Apakah persiapan yang telah dibuat demi kita sebelum kita tiba di dewan konvensyen? (b) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan rasa terima kasih untuk semua kerja yang telah dilaksanakan demi manfaat kita? (Baca Ibrani 13:17.)
11. (a) Mengapakah perhimpunan umat Yehuwa begitu penting dewasa ini? (b) Sebagai individu, apakah yang boleh kita lakukan sekarang?
[Kotak pada muka surat 5]
Waktu Program
Jumaat dan Sabtu
9:20 pagi - 5:05 petang
Ahad
9:20 pagi - 4:10 petang